Selasa, Disember 29, 2009

Yang lebih dahsyat dari membunuh

Sabtu lalu saya bertemu Ustaz@guru saya yang menjadi sahabat, Ustaz Azman Yaakub. Beliau sudah berhenti menjadi guru. Ceburi perniagaan. Walaupun semasa di sekolah dulu kami rapat, tapi setelah saya keluar dari Al-Amir, kami sudah tidak berhubung.

Saya ada dengar kabar angin atau gosip yang saya ingatkan berita itu adalah benar. Saya sejak dengar dari kawan-kawan seakan-akan percaya dan pengetahuan saya tentang Ustaz Azman adalah begitu - telah mengahwini Samihah sebagai isteri keduanya. Namun setelah mendengar sendiri dari beliau ternyata itu semua hanyalah fitnah! Dia sudah lama 'lost contact' dengan samihah. Dia sendiri bertanya saya kalau-kalau saya ada nombor telefon Samihah. Dia kata Samihah mengelakkan diri darinya.

Saya mendapat kabar dari kawan Samihah tentang hubungan mereka, tapi saya sekadar mendengar. Tapi saya percaya dia memang menjadikan Samihah isteri keduanya. Beliau sendiri tergelak bila sampai kepadanya bahawa ada yang mengatakan sudah beranak dua dia dengan Samihah. Sungguh hebat penangan fitnah yang melandanya...

Saya pernah mendengar cerita lain tentang guru saya yang lain antaranya Ustaz Abdullah Junuh dan Ustaz Adnan, cuma tidak tahu kebenarannya setakat ini kerana sudah lama tidak bertemu. Tapi kalau Cikgu Rosli K. Matari, rasanya cerita tentangnya adalah benar semata-mata benar. Sekali dua fikir, hebat juga guru-guru saya ni. Cuma tidak terfikir pula saya hendak mengikut jejak. Entah, yang sorang ni pun rasa tak larat dah...

Fitnah memang lebih dasyat dari membunuh. Kerana fitnah rumah tangga boleh runtuh. Kerana fitnah juga negara boleh musnah...

Melambai-limbai

Minggu lepas adalah minggu yang penuh debaran buat para bakal guru, sama ada Sarjana Muda Pendidikan mahupun Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI). Saya lepasan Sarjana Muda Pendidikan Islam UM dan isteri saya pula DPLI UM, tidak terkecuali merasai debaran ini. Apa yang menyulitkan ialah nama-nama untuk para bakal guru agama tidak boleh disemak melalui ‘online’. Talian telefon Bahagian Pendidikan Islam (BPI) pula menjadi begitu sibuk hingga sukar ditembusi.

Hari ketiga selepas percubaan demi percubaan, hari Rabu, akhirnya saya dapat hubungi BPI dan saya dimaklumkan saya ditempatkan di Sabah. Begitu juga isteri saya. Segala puji dan syukur kepada Allah Taala jua. Tidak kisah saya merantau jauh asalkan isteri saya ada berdekatan.

Hari khamis saya dimaklumkan oleh Encik Rashid, pegawai di BPI supaya melapor diri di KLIA pada 30 Disember. Dimaklumkan juga barang dibawa tidak boleh melebihi 20 kilogram. Tapi saya tengok beg besar saya macam sudah melebihi amat. Menurut maklumat RM 15 setiap kilo caj berat yang lebih had. Nampaknya saya kena timbang dan saring barang dalam beg saya dan terutama beg isteri saya yang sendat semacam.

Gunung Kinabalu sedang melambai-limbai kami dan kami masih di semenanjung menanti esok untuk penerbangan pertama kami sepanjang hayat ini. Akhirnya merasa juga saya naik kapal terbang. Saya teringat sewaktu kecil apabila kapal terbang lalu di ruang udara rumah saya, saya menjerit “kapal terbang... mari ambik aku...!” kadang-kadang bila teringat terasa lucu.

Anak saudara saya sudah melapor di Labuan semalam. Kawan saya dua orang Saharudin dan Abdullah sudah melapor di Sarawak. Tapi dua kawan saya yang dapat Sarawak (Ucok dan Redzuan@Abang Teh) masih tidak tahu nasib mereka, melapor bila, dapat tiket percuma ke tidak. Tidak ada panggilan sama ada dari BPI mahupun JPN Sarawak.

Esok, 30hb 8 pagi sudah kena ada di KLIA. Pertama kali saya akan melambai kepada tanah semenanjung dan bumi Sabah akan saya jejak buat pertama kalinya. Kawan-kawan Sabah yang ditempatkan di Sabah sudah tahu kena di mana. Tenom, Tawau, Sandakan. Untungnya yang dapat kawasan kampung sendiri, Cuma Nizam agak jauh di Tenom. Rumahnya Kota Kinabalu. Alahai.. Sabah kan kampung laman hang.

Selamat menjalankan tugas buat semua sahabat yang baru ‘posting’. Semoga kita jalankan tugas dengan penuh ikhlas dan amanah.

Ahad, Disember 06, 2009

Realiti yang fantasi

Awal mula pertama mula, maaf dipinta andai ada yang terasa dengan apa yang akan saya luahkan ini, kerana ia adalah jeluak hati saya yang sesiapa berkenaan dengannya akan terasa jua kalau tidak banyak pun, sedikit.

Luahan ini sebenarnya agak klise, sudah banyak yang meluahkan maksud saya. Tidak puas hati dengan rancangan realiti tv. Realiti yang bagi saya hanyalah fantasi. Melampau-lampau hingga membuatkan saya cuak. Komen jurinya. Nyanyian pesertanya bolehlah berkira, tapi kasihan, budak-budak lagi sudah diajar begitu. Besar nanti tak tahulah.

Saya perhati, masyarakat kita memang sudah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain kerana pentas dan tempat duduk dalam dewan atau auditorium sudah setaraf dengan kebanyakan negara maju. Pemikiran dan selera juga berubah-ubah seiring dengan pemodenan dan globalisasi yang didendangkan dan berdengung di sana-sini. Namun apa yang malang, kebanyakan orang terjerumus dalam gaung istilah ‘hedonisme’ dan pembaziran emosi. Menyanyi dan menari menjadi kebiasaan. Kalau yang kita lihat di kaca tv sudah sedemikian, apatah lagi yang tidak ditayangkan. Kalau tidak sekarang pun akan datang. Bukan hendak bersangka buruk, tapi firasatnya kuat begitu. Firasat itu sebenarnya adalah pemerhatian kepada kebiasaan. Bukan rasa-rasa yang lahir dari perasaan prasangka.

Saya sendiri menonton juga idola kecil 2. Saja hendak lihat anak kepada seorang kawan yang dulu saya tengok kecil sekarang sudah besar panjang. Mak dengan isteri saya pun tengok. Lagipun Majalah 3 baru habis. Drama entah apa-apa, jadi tengoklah TV9 dihatiku itu. Kakak saya yang minat Arwah Sudirman mungkin akan memuji budak-budak ini kerana pandai bawa lagu dengan baik dan penuh penghayatan. Memang sedap lagu-lagu Sudirman. Saya dan kawan-kawan PALAPES pernah menggunakan ‘Pelangi Petang’ sebagai lagu perpisahan dengan jurulatih kami, Sarjan Rosli yang berpindah ke Pulau Pinang. Memang menyedihkan. Menusuk-nusuk kalbu hingga begitu memilukan. Huhuhuhu... Kami memang sayang jurulatih kami itu walaupun beliau layan kami macam anak tiri... hihihi...

Yang paling saya menyampah ialah di akhir rancangan, tak ubah dengan mana-mana rancangan realiti tv yang lain. Moyok macam kucing diherdik tikus bila menunggu pengumuman siapa yang akan disingkirkan. Pakat-pakat menangis bila diumumkan. Alahai, lebih dari berpisah takkan berjumpa semula. Macam apa entah. Audien dalam studio pun tumpang semangkuk sepinggan secawan. Inilah yang saya maksudkan sebagai pembaziran emosi. Perlukah kita menangis tersedu sedan hanya kerana disingkirkan dalam sebuah realiti tv? Banyak perkara yang sepatutnya mendapat simpati dan tangisan tetapi hanya dilihat tanpa apa-apa perasaan atau hanya sekadar menyatakan kasihan...

Saya mungkin tidak pandai menegur, tapi apa yang saya pernah belajar, menegur secara berhikmah tidak bermakna kita harus berlemah-lembut dan berbahasa penuh kiasan. Kerana kalau berkias sangat orang tak faham dan kalau terlalu berlemah-lembut orang ingat kita tak tegas. Kalau teguran ada yang terasa, itu lumrah.

Renung-renungkanlah bersama dan selamat termenung...

Sabtu, Disember 05, 2009

Kisah waris sedara mara

Ketika arwah cik masih ada, beliau pernah membawa saya sekali berjumpa dengan Wok Mud (arwah dia dulu sebelum Cik). Beliau tinggal di Pondok Jabi, dekat dengan Besut tak silap saya. Wok Mud namanya sebenarnya Mahmud, anak sulung Abdul Rahman atau Deraman, datuk saya sebelah Cik. Sebab itu orang memanggil datuk saya Pak Mamud. Kalau orang Arab, disebut Abu Mahmud. Saya tidak sempat melihat datuk saya. Tidak tahu pula tarikh beliau meninggal. Datuk panggilan kepadanya Pok Wo. Nenek pula Mok Wo.

Itulah kali pertama dan terakhir saya melihat Wok Mud. Tika tu saya meningkat remaja. Tingkatan berapa saya lupa. Sebab tu Cik bawa saya, bukan adik lain yang masih tak mengerti apa-apa. Sejak itu semangat untuk mengenali sanak saudara lain meresap dalam tubuh saya. Saya rasa ingin menjejak dan mengenal waris sedara mara yang terputus hubungan. Terlalu banyak batasan yang memisahkan kami. Masa dan tempat menjarakkan. Tiada kemudahan pihak ibu dan bapa salah satunya. Maklumlah, orang susah keretanya banyak termasuklah pemandunya. Cuma lesen kepala agung sahaja yang kurang.

Bulan lepas pula saya bertemu sepupu yang paling tua, anak sulung Wok Mud. Kalau dulu Wok Mud terlalu uzur dek sakit tua, pun begitu juga Abang Wi. Wok Mud matanya tak boleh celik dan bergerak pun mengengsot. Ingatan juga kurang. Namun Abang Wi cuma kencing manis dan buah pinggang. Bicaranya jelas dan ingatannya masih kuat. Beliau bercerita tentang kisah silam, tentang Cik adik beradik yang menjadi kawannya ketika kecil. Cik lebih besar darinya. Abang Wi kawakan Pok Nik Husin dan dan Pak Lah. Berebut kelapa condong depan rumah datuk. Pokok kelapa yang menjadi kuda. Zaman itu apalah yang ada sangat.

Bertemu dengan Abang Wi pun di hospital UKM-tak jauh dari SMK Seri Permaisuri tempat saya jadi guru ganti, dengan jasa Abang Di, anak sulung gemulah Poknik Husin. Kata mak, mujurlah dia masuk hospital boleh juga jumpa. Kalau tidak manakan boleh jumpa sebab Abang Wi orangnya sibuk sentiasa. Saya senyum saja mendengar kata mak. Ada logiknya juga.

Abang Wi antara yang bitara dalam keluarganya. Belajarnya di luar negara pada zaman awal merdeka. Tapi saya tak tahu apa sebenar kerjanya. Entah apa projeknya hingga sibuk benar.

Abang Wi menceritakan impiannya. Dia bercita-cita menghimpunkan seluruh keluarga anak beranak Pak Mamud di sebuah rumah tepi pantai Melawi. Rumah tradisi seperti yang pernah dia huni dulu. Supaya anak cucu merasai suasana yang pernah beliau alami. Saya ceritakan pada abang sulong saya tentang cerita impian Abang Wi. Jawabnya bersahaja, itu cerita lama. Cerita lama... kalau dia kenal Abang Wi lebih lama, cerita itu memang cukup lama.

Saya tidak mahu mengharap, tetapi kalau benar impiannya bukan sekadar impian, biarlah jangan biarkan ia hanya sekadar impian. Saya juga mengimpikan suatu hari nanti saya mengenali semua saudara mara waris waras saya dalam suasana yang harmoni dan gembira. seperti impian Abang Wi. Tapi kuat saya rasakan impian ini mungkin tidak akan menjadi nyata...

Isnin, November 23, 2009

Puisi pertama di Berita Minggu


Seingat saya puisi pertama saya di Mingguan Malaysia adalah pada Mei 2008. Saya hilang keratannya ketika proses perpindahan dari kolej kelima ke rumah sewa di Taman Bukit Angkasa. Memanglah satu kerugian. Harus dibuat bagaimana..

Ketika sedang menikmati sarapan pagi bersama sahabat-sahabat PENA di Dewan Banquet DBP awal pagi hari ini mereka pakat kata puisi saya tersiar di Berita Minggu. Otak saya menggaru-garu benak akal dan mencari ingatan dalam arkib lupa. Ah.. bila aku hantar dan yang mana ya.. Seingat saya sukarnya hantar ke Berita Minggu. Tiap kali hantar mesti tak sampai. Beberapa kali bertanya Nazmi Yaakub tapi dia kata emel itulah. Bila saya buka sent item.. La rupanya yang saya hantar minggu lepas. Lepas la pulak. Sayangnya yang ini lupa letak alamat rumah kat kg da. takpelah, lain kali letaklah. Namun saya cukup puas hati dapat melekat di jaring sastera Berita Minggu.

Serumpun Tidak Seperdu
(bersatulah Melayu sedunia)

Dalam serumpun buluh
tidak seperdu pun yang utuh
hingga tebing runtuh
kerana aur tidak kukuh.

Serumpun buluh tidak seperdu
jauh-jauh dari tebing sungai deras
bagaimana aur ‘kan menjadi padu
menahan tebing dari jatuh
habis buluh dibawa arus.

Serumpun tidak seperdu
Tidakkan bersatu!

Hasmora Masnuri
Taman Bukit Angkasa, KL
0530 pagi, 14 September 2009.



Rabu, November 18, 2009

Meredah hujan kota metropolitan

Tadi saya ke Gombak dengan motosikal yang dipinjamkan Tuan Haji Shamsudin Othman Al-Johori semalam, ada urusan di SKEM. Tak jadi hendak ke SAKM 09 di UKM. SKEM ialah Institut memandu yang saya jadi ejen pendaftaran di Universiti Malaya sejak saya tahun dua, 2006. Tapi urusan utama ialah lesen saya sendiri yang terbengkalai sejak bulan Jun tahun lepas, di samping turut memaklumkan untuk berhenti menjadi ejen. Ingin saya sudahkan lesen di Kelantan. Sementara menunggu penempatan mengajar yang entah bila. Dengar-dengarnya lewat, seperti maklumbalas pihak KPM beberapa minggu sudah. Lama masa yang saya ambil untuk sudahkan lesen kereta nan sekeping. Lantaran sibuknya saya pada perkara lain. Dan juga belanjawan saya yang sudah ‘lari’ ke perkahwinan saya. Hehe.

Dalam perjalanan pulang turun hujan. Lebatnya alang kepalang. Berhenti bawah khemah tepi jalan. Sudah berteduh dua orang. Saya hanya senyum pada mereka. Dan kami hanya senyum sepanjang perteduhan kami itu. Tiada butir bicara kata walau sepatah. Senyum mungkin sudah cukup untuk mewujudkan suasana harmoni dan mesra kerana kami tahu kami senasib. Tersangkut perjalanan dek hujan. Sudah musim dia. Dan hujan pun aturan Yang Maha Pencipta. Tidak perlu sesiapapun merungut pabila turun hujan. Ini tidak “alah... hujan pulak dah..” tapi itulah yang selalu terjadi pada kebanyakan orang. Kufur nikmat weii..

Dua kali saya berhenti sebelum tiba ke destinasi kedua, Hentian Putra. Beli tiket pulang pula Isnin depan ni. Dengan basah kuyup masuk ke dalam. Kasut pun basah. Rosak pulak kasut buaya aku tak sempat baham orang lagi. Kasut hantaran kahwin tu.huhuhu.

Tika entri ni ditulis (baca taip) hujan masih turun. Patutlah semalam hujan tak turun rupanya qadha pada hari ni. Tak betah saya tinggalkan isteri di kampung musim-musim hujan begini. Hehehe. Tapi kerana Pertemuan Penyair Nusantara sudah dirancang lama dan saya terlibat secara serius sebagai urus setia tidak boleh saya menarik diri meski kakak saya yang menjanda itu akan menamatkan status jandanya Jumaat ini. Mujur dia tak kisah, dan dia pun tak boleh nak kata apa pada saya. Lagipun saya sudah tinggalkan isteri saya sebagai wakil. Aulawiyatnya ialah saya harus menunaikan yang amanah diberikan. Apapun, semoga kakak saya menikmati musim hujan ni dengan suaminya yang baru. Hahaha...

Muka depan SKEM, kawasannya hampir dengan Muzium Orang Asli



berhenti teduh tak jauh dari Greenwood. Motosikal ni Haji Sham Al-Johori punya



Kembali ke Kuala Lumpur

5.20 pagi semalam saya tiba di Terminal Putra, Kuala Lumpur. Bertolak dari Terminal Bas Transnasional Langgar, Kota Bharu jam 9.00 malam. Asal perancangan hendak bertolak pagi semalam bas jam 9 pagi. Tapi mendapat SMS dari Haji Shamsudin Othman memaklumkan mesyuarat pada 17 November jam 4.30 petang (semalam la maknanya tuh) di Rumah PENA. Mujurlah belum beli tiket lagi. Segera saya ke Terminal Langgar beli tiket. Memang nak beli tiket dah pun petang tu tapi perancangan asal bukan hendak ke KL malam, tapi pagi.

Sampai di Terminal Putra, turun bas saja ramai pemandu teksi menerpa dan bertalu-talu menawarkan khidmat. Saya hanya geleng saja. Kalau waktu siang tengahari tambang dah RM 10 untuk perjalanan sedekat Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam apatah lagi untuk kala dinihari. Mahunya depa perah poket sampai tinggal sekupang. Saya memilih untuk naik komuter seperti selalunya. Dengan sebuah beg galas dan sebuah beg besar yang ada dua beg lagi di dalamnya saya berjalan ke stesen komuter seberang jalan. Ke Stesen Angkasapuri tambangnya baru seringgit.

Komuter sampai jam 5.55 pagi. Orang tak ramai. Yang ada jeling-menjeling. Tak mesra langsung. Senyum saya tak berbalas. Mungkin masing-masing masih mengantuk. Senyum masih tawar. Apalah mamat ni senyum. Ada apa-apa ke.. mungkin itu yang bermain di benak mereka. Ah, pedulilah. Di KL Sentral naik beberapa orang. Duduk tak jauh dari saya. Dari gaya bercakap bukan orang Malaysia. Macam Indonesia tapi tentunya bukan Jawa sebab saya pernah dengar bahasa Jawa. Bukan begitu. Sampai di Angkasapuri saya turun. Angkat beg yang agak berat naik jejantas. Mungkin sebab kurang latihan sejak bergelar pegawai kadet bersara menyebabkan stamina pun berkurang. Habis halangan jejantas saya heret beg bertayar tu. Ada seorang lelaki menunggu komuter dan saya senyum. Hambar tak berbalas. Serempak dengan petugas stesen yang baru sampai pun saya buat tak tahu. Bengang dah.

Saya memilih untuk naik bas, bukan minta tolong kawan di rumah sewa sebab beg besar susah bawa dengan motosikal. Seringgit juga tambangnya. Kalau teksi duduk saja dah tiga ringgit. Sampai di flat mahunya 5-6 ringgit. Padahal kalau berjalan tak sempat berpeluh pun. Takkan nak berjalan heret beg bertayar yang murah pagi buta. Berat pulak tu. Sampai di Kampung Pantai Dalam, ramai yang naik. Penuh satu bas. Kerana saya duduk belakang pemandu dan dekat pula dengan pintu maka saya tengok satu demi satu yang naik. Saya cam, wah ini semua bapak-bapak sama ibuk-ibuk mau pergi kerjak! Kebetulan pula pemandunya bernama Sunarto dan yang baru naik seorang berbicara samanya begitu lama sampai saya turun di Taman Bukit Angkasa. Nampak gayanya sungguhlah Kuala Lumpur bukan sahaja cepat banjir dek hujan malah sudah banjir sama pendatang!

Selasa, November 17, 2009

Berubah wajah lagi

Saya harap ini kali terakhir saya mengubah wajah blog ini. Tapi ini bukan muktamad lagi, Cuma selepas ini kalau saya ubah pun saya guna template sedia ada sahaja. Template sebelum ini meskipun cantik tapi ia mungkin agak berat untuk sesetengah komputer orang yang mengunjungi blog ini.

Dua orang komplen serupa, Ustaz Azman Al-Kurauwi dan terbaru Marsli N.O. Masing-masing kata kenapa blog ni jadi kelabu. Mungkin latarbelakang blog ini kelabu dan ditampal kanvas biru yang cantik. Saya ingat tulisan saja yang kelabu rupa-rupanya latar pun sama. Saya harap tak ada yang komplen tak dapat baca blog ini disebabkan template sebab saya sudah gunapakai template biasa yang sedia ada dalam senarai blogspot.

Buat semua, selamat menulis blog.

Perkampungan Penulis 1Malaysia


Perkampungan Penulis 1 Malaysia selama tiga hari di Biro Tatanegara, Akademi Kenegaraan - tidaklah begitu mengujakan. Namun kerana ia peluang untuk menimba ilmu dan pengalaman saya gagahkan jua untuk pergi.

Saya rasakan lewat untuk mencatat kehadiran saya di perkampungan itu, tapi lebih baik catat. Ada juga kenangan untuk dikongsi. Program berlangsung tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November lalu. Saya memilih untuk sebilik dengan Abdul Hadi Yusuf. Keunikan di BTN ialah dalam satu bilik dibahagikan kepada tiga bilik kecil lengkap dengan katil untuk seorang, pendingin hawa dan sebuah almari. Kak Wan Zaida kata macam hotel Cuma kena bawa ‘toilettries’ sendiri.

Terdapat seminar dan bengkel. Juga acara deklamasi puisi yang sebenarnya tiada dalam tentatif. Diadakan serta merta. Bengkel diagihkan peserta kepada kumpulan kecil, kumpulan saya dikendalikan oleh Sdr. Abdul Hadi. Tapi beliau terpaksa pulang ke Kelantan pada sesi kedua, diganti oleh Cikgu Amiruddin.

Dua buah puisi bertema 1 Malaysia kena hasilkan. Masing-masing pakat perah otak. Memang kalau saya ada masanya tersumbat payah sungguh nak buat sajak bersifat tempahan. Tapi saya gagahkan juga. Keluar dengan Sdr. Abdul Hadi dalam jam 12.30 pagi cari air dengan kacang di kedai mamak dekat Hotel Midah. Balik ke bilik makan kacang dengan air tambah seratus (baca hundred plus) pun tak jadi. Saya tinggal Abdul Hadi sorang-sorang buat sajak. Saya baru siap empat baris masa masuk tidur. Hanya ketika mandi pagi yang agak lama (bukan mandi wajib ya) barulah dapat idea mencurah-curah macam air hujan. Siap mandi saya terus tulis. Edit semasa bengkel. Saya hanya peduli komen Sdr Abdul Hadi. Komen Cikgu Amirudin saya peduli juga tapi ia tak mengubah puisi saya itu. Saya kalau saya dah rasa puas dengan editan itu maka saya muktamadkan puisi itu. Kecuali saya baca semula dan rasa perlu edit barulah saya edit.

Saya turunkan di sini sebuah puisi yang sudah di tangan Perpustakaan Negara saya rasa. Puisi ini alami perubahan kedudukan rangkap selepas dikomen oleh Sdr Abdul Hadi. Bertambahlah guru sajak saya. Guru cerpen saya masih hanya Zaharah Nawawi. Sebab tu belum menulis dengan semangat. Hehe.. sebenarnya itu hanyalah alasan orang yang malas sahaja. Mahu seribu daya upaya kan...


Tanah Darah Pusaka

Tanah ini, tanah darah pusaka
yang kita boleh berkongsi
atas nama bangsa Malaysia
namun itu tidak bermakna
boleh menuntut hak yang sama
sedangkan kami lebih lama
bermukim di tanah ini.

Ini, tanah darah pusaka
boleh dikongsi banyak perkara
cuma hormatilah hak istimewa
kerana kami awal mula
meneroka ini benua.

Ibu pertiwi warisan pusaka
mengandung jasad pembela nusa
lalu bisakah kita memberi
apa sahaja yang dipinta
sedangkan telah termaktub
dalam kitab kanun negara.

Tanah ini tanah warisan
dipertahankan nenek moyang
dengan menumpahkan darah
hingga kini masih basah
semerbak harum wangi tanah.

Hasmora Masnuri
Akademi Kenegaraan, Kuala Lumpur
30 – 31 Oktober 2009.

Sabtu, November 14, 2009

Menulis adalah kerja

Saya pernah ditanya oleh seorang pelajar tahun dua Akademi Pengajian Melayu yang pernah membuat penyelidikan di persatuan penulis "bagaimana kamu semua boleh jadi penulis ya?".Soalannya itu sebetulnya saya rasakan bunyinya bodoh alang-alang, tapi ia adalah satu soalan yang ikhlas tulus terbit dari hati nuraninya. Saya garu hati sendiri. Nak garu kepala kan cepat botak pula. Tiada jawapan yang tepat boleh saya berikan. "Kalau nak jadi penulis kena menulislah".

Saya sebetul-betulnya tidak pernah bercita-cita menjadi penulis mahupun penyair. Zaman sekolah rendah dulu, darjah satu -masa tu takda cikgu dalam kelas- dengan semangat saya bangun bila guru besar bertanya "apa cita-cita kamu?". Seorang demi seorang bangkit menjawab. Macam-macamlah jawapan ada. Tapi saya memilih jawapan "saya nak jadi askar cikgu!"

Guru besar menepuk bahu saya dan memberitahu murid lain "bagus..kamu sepatutnya mencontohi kawan kamu ni.. sapa nama kamu?" "Hasbullah cikgu.." jawab saya sambil merasakan wap semangat saya semacam suatu aura.. haha

Naik sekolah menengah ayah saya (baca Cik) menghantar saya ke sekolah arab. Saya nak jadiustaz pulak. Sekarang pun tercapailah cita-cita saya tu. Termasuk nak jadi askar. Wataniah pun wataniahlah janji askar.. kan?

Penulis? saya memang tidak memilih untuk menjadi penulis. Dan ia bukan satu kerja yang andaboleh minta di mana-mana. Kecuali anda nak jadi penulis wasiat..hah tu ada orang yang bayargaji anda bulan-bulan. Bagaimana pula saya jadi penulis? Saya selalu memikirkan perlukahsesiapapun yang ingin jadi penulis perlu masuk Akademi Pengajian Melayu UM atau ASWARA atau mana-mana Universitilah yang menawarkan pengajian seumpama itu.

Tapi hendak menulis mesti ada ilmu paling tidak pun boleh menulis dan membaca. Saya tidak nafikan di sini bahawa memang penting bagi mereka yang serius hendak jadi penulismelanjutkan pelajaran dalam bidang penulisan seperti ASWARA. Tidak pernah pula sayamenafikan kepentingan ASWARA dan APM dalam bidang kepenulisan ini. Tapi jangan ingat semua yang belajar di Akademi Pengajian Melayu ada bakat menulis. Setakat yang kenal senior saya di UM beberapa tahun ialah Zalila Isa, Ali Atan dan Zamzuri Mustapha. Yang lain saya tidak pasti. Yang pasti kawan-kawan saya ramai di APM tu yang takda bakat menulis bahkan tidak minat menulis pun. Ramai yang jadi insan bertuah terpilih ke APM meskipun Uni.Malaya adalah pilihan terakhir mereka. Barangkali mereka tidak tahu UM adalah IPTA pertama yang memilih pelajar dalam senarai UPU.

Bagaimana jadi penulis? Berkali-kali soalan ini menujah cepu fikir saya sekian lama. Dan banyak pendapat tentang persoalan ini. Jika mengikut pendapat sahabat saya yang banyak mendorong, Zamzuri - bila karya seseorang terbit di mana-mana penerbitan maka ia akan menjadi penulis. Kalau menggunapakai pendapat Zamzuri sahihlah saya ini seorang penuliskerana beberapa sajak saya pernah tersiar di Mingguan Malaysia dan juga Tunas Cipta. Ada tulisan lain pula saya pernah terbaca tapi lupa adakah ia dari seorang sarjana ataupun penulis biasa, katanya sesiapa yang menulis sama ada untuk simpanan sendiri atau dibaca orang maka ia adalah seorang penulis. Maka jika anda penulis blog maka anda juga seorang penulis. Cumanya bergantung kepada cara anda menulis bagaimana, kalau menulis entah apa-apa dan tidak menjaga bahasa maka anda bukanlah seorang penulis yang baik. Kalau menulis blog di ruang yang boleh kita katakan luas lalu anda menulisnya seperti ingin menghantar SMS dengan ayat rojak dan ayat rosak sana-sini maka labellah diri anda penulis tahap picisan dan haprak.. maaf terguna istilah ini kerana anda merosakkan bahasa Melayu yang indah lagi amat berharga dan tidak dapat ditukar dengan wang ringgit sekalipun kerana ia adalah maruah bahkan nyawa kepada bangsa yang diinjak dan dihina oleh 'pejuang' bangsanya sendiri. Ingin jadi penulis berhemah maka gunalah Bahasa Melayu Tinggi seperti yang selalu disarankan oleh Puan Ainon, bos PTS.

Bagaimana pula saya boleh minat jadi penulis? inilah soalan yang tak habis-habis saya ulang dari tadi. hahaha.. Saya mula meminati sastera sejak sekolah rendah. Sejak kakak saya yang nombor dua ajak ke Kota Bharu untuk dengar deklamasi puisi. Tapi saya tak pergi pun. Cuma saya terfikir-fikir apakah makhluk bergelar puisi atau sajak ini. Hinggalah saya ketemu Kumpulan Puisi Hadiah Sastera 70-an ketika sekolah rendah dulu, yang sekarang amatlah lusuh dan masih dalam simpanan saya setelah ketemu kembali beberapa bulan lalu dalam kotak. Dalam kumpulan puisi itu ada sajak Kemala bertajuk 'Meditasi'. Tajuk puisi ini amatlah saya ingat kerana puisinya amatlah panjang hinggakan saya 'pening' membacanya. Antara penulis lain yang ada dalam kumpulan puisi itu ialah Baha Zain dan A.Latif Mohidin. Dan sejak buku itu saya bereksperimen sendiri menulis sajak. Tapi sajak koleksi sendiri dan tiada disiplin menulis waktu itu. Simpan entah di mana. Menulis semata-mata untuk suka-suka. Saya hanya mula serius ketika tahun dua di Universiti Malaya. Sajak pertama di Tunas Cipta pada Mei 2007 bertajuk 'Wasiat Ayah'. Sejak itu saya menulis sajak dan cerpen yang tidak pernah hendak siap. Saya hadir bengkel penulisan pertama anjuran DBP dibawah tunjuk ajar Zaharah Nawawi. Tapi sampai sekarang disiplin penulisan cerpen saya amat teruk. Hanya sajak yang satu demi satu siap. Cuma sekarang kurang sikit menghantarnya. Bukan apa bila karya kita mula diterima orang dan dibaca maka perlulah teliti mengedit bila hendak hantar. Kalau betul-betul puas hati edit baru berani nak hantar. Kalau tak nanti jumpa rakan penulis apa pula dia komplen kalau tulis ikut sedap tanpa edit.

Bagi saya menulis adalah hobi yang paling murah tetapi pulangan agak lumayan kalau kena gayanya. Kerana itu ada yang menjadikan menulis sebagai kerjayanya. Kerja saya bukan penulis tapi menulis adalah salah satu kerja saya sama ada menulis rasmi (papan hitam, Rancangan Pengajaran) atau tidak rasmi (tulis blog atau sajak atau cerpen yang tak siap-siap pada waktu lapang). Kata pensyarah Media Cetak Dakwah saya dulu, Pn Zabehah - jadikan menulis satu sumber pendapatan, bukan untuk suka-suka sahaja. Ciptalah nama ketika di kampus. Begitulah pesannya kurang lebih pada dua tahun lepas kepada kami yang kebanyakannya dari jabatan berlainan, mengambil subjek elektif luar jabatan. Menulis adalah kerja bagi mereka yang minat menulis (isi masa lapang atau untuk kepuasan). Menulis juga satu kerjaya seperti faisal Tehrani, Nisah Harun (sekadar menyebut dua nama sahaja.. maaf ya) yang memilih menjadi penulis sepenuh masa (kerana dengan menulis mereka dapat duit biaya). Ada juga yang menulis di samping itu mereka ada kerjaya lain dan inilah yang kebanyakan penulis yang ada di Malaysia. Ada yang jadi guru, dan bidang lain termasuk wartawan yang sememangnya kerjanya adalah menulis.

Almakanya maka arakiannya, menulislah kita demi Tuhan moga menjadi ibadat dan aset kita untuk memberatkan timbangan pahala di al-Mizan kelak. InsyaAllah.

Khamis, Oktober 29, 2009

Hari-hari terakhir di Kuala Lumpur

Dengan Nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.

Hari ini antara hari-hari terakhir saya di kota selut metropolitan, Kuala Lumpur.

Pertama kali saya menjejak kaki pada tahun 1999, bekerja di Restoren Artis Corner-Wisma Perisai Wira, milik Dato’ Muhammad Ghani, dua pupu Mak saya. Tika itu hendak masuk tingkatan tiga, umur saya sudah 15. Asalnya ia adalah misi mencari sepupu yang lama tidak pulang. Adik sepupu saya itu sebagai ketuanya, namun misi itu menemui jalan buntu. Tinggal saya dan Khairi bekerja di restoren itu sebagai pelayan dan tukang basuh pinggan juga. sepupu saya itu pulang, tak sedap katanya. Tidaklah seronok bekerja walaupun setiap hari boleh bertemu artis. Sejak itu saya berpendapat, bertemu artis bukanlah suatu yang mengujakan. Maklumlah, saya melihat sendiri perangai artis bagaimana, terutama pada bulan puasa. Itulah, kenangan pertama saya di KL.

Buat kali kedua saya jejak bersama kakak saya, Rosnani. Datang kami berhajat besar, merayu untuk belajar di Uni.Malaya. SPM saya tidaklah teruk sangat, tapi mungkin silap saya semasa mengisi borang UPU. Masakan tidak, empat pilihan pertama saya ialah Akademi Tentera Malaysia (ATMA), Universiti Pertahanan Nasional sekarang ni. UM pilihan kelima. Akhirnya saya pulang dengan harapan yang hampa. Bukan rezeki saya di UM ketika itu.

Dengan keputusan STPM cemerlang, alhamdulillah saya mendapat tempat di Universiti Malaya. Seorang abang di UIA, seorang kakak di IMR, seorang kauseling di UPSI, seorang jadi misi. Saya mencapai cita-cita menjadi guru mendapat Pendidikan Islam. Itulah cita-cita terpahat sejak peralihan di SMU (A) Amir Indra Petra. Seorang adik lepasan politeknik Politek Kb, kini juruteknik elektrik di HUSM. Seorang lepasan Darul Quran Kuala Kubu Baru kini melanjut ijazah di Insaniah, seorang sedang ambil diploma di Politek, KB. Tinggal seorang lagi di sekolah arab, Paksu.. minta dia jadi orang jadilah. Yang bongsu ni culas sedikit pelajarannya.

Saya berjaya kerana melewati liku berduri onak susah hidup seperti abang dan kakak saya lalui. Namun tidak adik saya yang bongsu, dimanjai kerana sudah ada abang dan kakak yang bekerja menyara keluarga dan yang mendapat lebih perhatian ketika kecil tentulah, dia..

Kini minggu terakhir saya di SMK Seri Permaisuri, Cheras. Minggu depan guru yang saya ganti akan datang ambil tempat dia. Moga-mogalah saya tidak ditempatkan mengajar di Kuala Lumpur. Paling tidakpun di pinggir kota atau lebih selesa saya di kawasan kampung. Pedalaman Ulu Legeh pun tak mengapa.. keh keh.. saya minta Sabah, entahkan dapat entahkan tidak. Ikutlah, tak kisah.. saya ini pacar hina hamba dina menurut kata lemparlah di mana sahaja. Ikhlas hati berkhidmat bakti untuk anak bangsa, insyaAllah..

Saya ingin menulis lagi, beberapa catatan pendek. insyaAllah kalau ada peluang kelapangan dan ilham.

Isnin, Oktober 26, 2009

PERTEMUAN PENYAIR NUSANTARA 2009

PENA akan menganjurkan Minggu Sastera Antarabangsa PENA pada 18-22 November 2009 yang mengandungi dua segmen, iaitu Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu ke-10 (SAKM X) dan Pertemuan Penyair Nusantara ke-3 (PPN3).

Pertemuan Penyair Nusantara (PPN) ini bermula di Medan pada tahun 2007 dengan nama Pesta Penyair Nusantara sebagai usaha untuk menghimpunkan penyair dari rantau Asia Tenggara khususnya, dan dari seluruh dunia umumnya. Acara ini diasaskan oleh badan budaya bukan kerajaan, iaitu komuniti penyair di Indonesia dan kemudian berkembang dengan disertai oleh komuniti sastera dan budaya dari Malaysia dan Brunei.

Gabungan komuniti penyair dari Indonesia, Malaysia dan Brunei ini akhirnya telah menubuhkan Panitia Rasmi Pesta Penyair Nusantara. Persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat di Medan adalah untuk mengadakan acara ini pada setiap tahun secara bergiliran. Bermula di Medan, Indonesia dengan The First Medan Poetry Gathering 2007 pada 25-29 Mei 2007, ia kemudian dilanjutkan dengan Pesta Penyair Nusantara Kedua (PPN2) (The 2nd Kediri Poetry Gathering) pada 29 Jun - 3 Julai 2008 di Kota Kediri, Indonesia. Pada tahun 2009, PENA telah dipilih untuk menjadi tuan rumah dengan nama Pertemuan Penyair Nusantara ke-3 (PPN3).

PENA menggariskan matlamat mengangkat dunia perpuisian Melayu khususnya dan Nusantara umumnya ke persada antarabangsa. PPN3 ini menjadi wadah dalam merealisasikan cita-cita untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat budaya yang penting di rantau Asia Tenggara khususnya dalam konteks ASEAN.

Di samping PPN3 ini, PENA dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan SAKM X pada 18-19 November 2009. Pertemuan ilmiah ini menyediakan ruang untuk percambahan ilmu dan penyebaran hasil penyelidikan yang dapat mengangkat sastera sebagai bidang kajian kemanusiaan ke tahap yang tinggi. Pengurusan SAKM X akan dijalankan oleh pihak panitia daripada UKM sahaja, manakala PENA hanya bertindak sebagai rakan penganjur. PENA akan menguruskan penganjuran PPN3 sepenuhnya dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).


TEMA
PUISI SUARA KEMANUSIAAN

KONSEP
Menggabungkan seni dan fikiran kemanusiaan melalui sesi forum, dialog, seminar dan persidangan selain acara pendeklamasian dan persembahan kebudayaan.

MATLAMAT
1. Menggerakkan sastera khususnya dalam kelompok generasi muda.
2. Mempererat hubungan antara sasterawan tanpa mengira sempadan.
3. Menjadikan budaya sebagai medium pembina nilai kemanusiaan dan kebersamaan.
4. Menggiatkan budaya dalam konteks melahirkan generasi yang kreatif dan inovatif.

TEMPOH & TARIKH
Tiga hari. 20-22 November 2009

TEMPAT
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur & Rumah PENA


MINGGU SASTERA ANTARABANGSA PENA

18 November 2009 (Rabu)
SEMINAR ANTARABANGSA KESUSASTERAAN MELAYU ke-X (SAKM X)
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Anjuran UKM, DBP dan PENA
0830 – 1230 : Sesi Pembentangan Kertas Kerja
1230 – 1430 : Makan Tengah hari dan Rehat
1430 – 1630 : Sesi Pembentangan Kertas Kerja

19 November 2009 (Khamis)
SEMINAR ANTARABANGSA KESUSASTERAAN MELAYU ke-X (SAKM X)
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Anjuran UKM, DBP dan PENA
0830 – 1230 : Sesi Pembentangan Kertas Kerja
1230 – 1430 : Makan Tengah hari dan Rehat
1430 – 1630 : Sesi Pembentangan Kertas Kerja
1630 – 1730 : Majlis Penutup


20 November 2009 (Jumaat)
PERTEMUAN (PESTA) PENYAIR NUSANTARA
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
Anjuran PENA, JKKN, DBP dan ITNM
0830 – 1430 : Pendaftaran Peserta
1430 – 1630 : Dialog Penyair
1630 – 1700 : Minum Petang
1700 – 2000 : Rehat
2000 – 2045 : Peserta ke Dewan Banquet, DBP
2045 – 2300 : Majlis Perasmian & Persembahan Baca Puisi

21 November 2009 (Sabtu)
PERTEMUAN (PESTA) PENYAIR NUSANTARA
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
Anjuran PENA, JKKN, DBP dan ITNM
0830 – 1230 : Seminar & Forum
1230 – 1430 : Makan Tengah hari
1430 – 1830 : Baca Puisi di Menara Kuala Lumpur
1830 – 2030 : Rehat dan Minum Petang di Rumah PENA
2030 – 2300 : Baca Puisi di Rumah PENA

22 November 2009 (Ahad)
PERTEMUAN (PESTA) PENYAIR NUSANTARA
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
Anjuran PENA, JKKN, DBP dan ITNM
0830 – 1130 : Persidangan Penyair
1130 – 1230 : Majlis Penutup
1230 – 1430 : Makan Tengah hari dan Bersurai


JADUAL ATUR CARA

Hari PERTAMA (Jumaat 20 November 2009)
PAGI
9.00 pagi – 12.00 tgh : Pendaftaran Peserta
12.30 tgh – 2.30 ptg : Makan Tengah Hari
2.30 tgh – 4.30 ptg : Forum Penyair: Puisi Mancanegara
Pengerusi : Mohamad Shahidan
Malaysia : Malim Ghozali Pk
Shamsudin Othman
Indonesia : Ahmadun Yosi Herfanda
Brunei : Sheikh Mansor
Singapura : Djamal Tukimin
Thailand : Abdul Razak Panaemale

MALAM
8.45 mlm – 11.00 mlm: ACARA PERASMIAN
Bacaan Doa oleh Ustaz Azman Al Kurauwi
Ucapan Sambutan
Ybhg. Presiden PENA
Ybhg. Pengerusi Lembaga ITNM
Ybhg. Ketua Pengarah JKKN
Ybhg. Ketua Pengarah DBP
Ucapan dan Perasmian
YB Menteri Penerangan, Komunikasi
dan Kebudayaan Malaysia
Perasmian buku puisi Suara Kemanusiaan Nusantara
Cenderahati kepada:
Para Wakil Penaja
Perwakilan Negara Peserta
Jamuan Makan Malam
Persembahan
 Deklamasi puisi 1 – wakil kanak-kanak
 Deklamasi puisi 2 - Siti Zainon Ismail (Mal)
 Persembahan tradisional Gemala Kasturi
 Deklamasi puisi 3 – Lim Swee Tin (Mal)
 Deklamasi puisi 4 – Puzi Hadi (Mal)
 Deklamasi puisi 5 – Wakil dari Indonesia
 Deklamasi puisi 6 – Zaen Kasturi (Mal)
 Persembahan lagu puisi Dewangga Sakti
 Deklamasi puisi 7 – Wakil dari Thailand
 Deklamasi puisi 8 – Wakil dari Singapura
 Deklamasi puisi 9 – Wakil dari Brunei
 Deklamasi puisi 10 – A. Shukri Abdullah (Mal)
 Lagu Rakyat Roslan Madun


Hari KEDUA (Sabtu 21 November 2009)

PAGI
8.30 pagi–10.30 pagi : Ucap Utama
Sasterawan Negara Dato’A. Samad Said
Pengerusi : Puan Siti Zaleha Md Hashim

10.30 pagi : Jamuan Teh

10.45 pagi–1.15 tgh : Pembentangan Kertas Kerja:
Pengerusi : A. Ghafar Abdullah
Malaysia : Dato’ Dr. Ahmad Kamal (Kemala)
Jasni Matlani
Indonesia : Maman S. Mahayana
Singapura : Rasiah Halil
Thailand : Hassan Madmarn

1.00 tgh –2.30 ptg : Makan Tengah Hari

2.30 ptg – 6.30 ptg : BACA PUISI DI MENARA KUALA LUMPUR

6.30 ptg : Jamuan teh dan makan malam (di Rumah PENA)

MALAM : PERSEMBAHAN & BACA PUISI DI RUMAH PENA
Koordinator : Dr. Ahmad Razali Yusuf
Pengacara : Dr. Ibrahim Ghaffar

Hari KETIGA (Ahad 22 November 2009)
PAGI
8.30 pagi–10.30 pagi : Persidangan Penyair: Kerjasama Penyair dalam Mengataskan Suara Kemanusiaan
Pengerusi : Mohamad Saleeh Rahamad

10.30 pagi : Jamuan Teh

10.45 pagi–12.30 tgh : Majlis Penutup:
Ucapan SM Zakir
Ucapan Ybhg. Pengerusi Lembaga Pengelola DBP

12.30 tgh – 1.30 tgh : Makan Tengah hari

1.30 tgh : PESERTA BERTOLAK PULANG


Disediakan oleh : Syed Mohd Zakir Syed Othman (S.M. Zakir)
Setiausaha Agung PENA
017-3427991

KEPADA YANG INGIN MENYERTAI PERTEMUAN PENYAIR NUSATARA 2009 SILA MUAT TURUN BORANG PENDAFTARAN DI SINI DAN SILA HANTAR SELEWAT-LEWATNYA 15 NOVEMBER 2009.

Ahad, Oktober 04, 2009

Bapa saudara yang terakhir

Nama beliau dalam sijil perakuan kematian yang saya terima dari anaknya, Mat Hussin bin Draman. Berbeza dengan arwah Cik yang guna nama Abdul Rahman. Arwah Pak Lah pula guna Deraman. Mungkinlah mereka hanya berdasarkan apa yang mereka dengar di mulut orang tanpa tahu nama sebenar bapa sendiri. apapun, anak-anak datuk saya yang dipanggil Pak Mahmud telah bersemadi di dalam bumi. Abdul Rahman, datuk saya digelar Pak Mahmud sempena nama anak sulungnya, Mahmud.

Mat Hussin digelar kerabatnya termasuk kami anak Pakda Mat sebagai Poknik Hussin. Beliau bapa saudara terakhir kami sebelah arwah Cik. Sebelah Mak ada lagi seorang pak sedara, Pokcik Mat Tokdin atau nama sebenarnya; Mat Abdul Majid bin Yahya. Poknik meninggal Khamis lalu pada jam 1.45 pagi. Adik saya Zaki sms pada jam 1.54 pagi. Dan saya membaca smsnya kurang lebih jam 5 pagi setelah telefon saya berkokok di hujung kepala. Doa bangun tidur saya pada masa tu ialah, innalillahi wainna ilaihi rojiunn.. dan kawan sebelah saya bertanya “bakpo Loh?” “Pok sedaro aku meninggal...”

Setelah cubaan untuk menumpang anak menantu poknik gagal, saya pulang juga meskipun gagal mendapatkan keizinan pengetua setelah telefon tidak berangkat. Namun sms saya berbalas juga dengan satu amaran jangan sms, minta izin berlisan.. jumpa saya bersama sijil kematian! Hoh.. nasib eden la labuu.. saya pulang juga walaupun tahu guru ganti dibayar mengikut hari dan saya akan rugi sekurang-kurangnya RM 260 termasuk tiket pergi balik. Tapi duit kan boleh dicari.. silaturrahim? Cukuplah dengan insiden kekhilafan majlis perkahwinan saya yang tidak terjemput ramai kawan. Huhu..

Ketika saya menulis artikel ini, seorang lagi di kampung saya meninggal dunia. Makdo Lijah. Salam takziah buat keluarga arwah.



Jumaat, Oktober 02, 2009

Pilihanraya demi pilihanraya dan Rijaalulghaib

Salam Idul Fitri tuan-tuan dan puan-puan,

Pertengahan Ramadhan lalu, seorang sahabat mengajak saya makan di gerai nasi kukus di Pantai Dalam. Beliau juga mengajak seorang lagi. Ketika itu adalah dalam jam 10 kurang lebih. Kiranya lepas solat terawihlah.

Perbincangan agak lanjut sampai ketengah malam dan menghampiri jam satu pagi. Bermacam perkara kami bincangkan. Tentang masalah dalaman sebuah penerbitan hinggalah tentang pilihanraya demi pilihanraya, wabak selesema babi dan penglibatan Rijaalulghaib.

Entah dari guru tasauf mana si kawan saya tu belajar atau mungkin dia pernah terbaca mana-mana atau kemungkinan demi kemungkinanlah. Rijaalulghaib menurut teman saya itu, mereka mengadakan semacam pertemuan di sebuah gunung diberi nama Gunung Qaf. Bermula telahannya mengatakan bahawa mungkin ada kuasa ghaib yang terlibat dalam fenomena politik tanah air kerana seolah-olah satu perancangan rapi dan teliti apabila ahli politik mati satu demi satu. Seperti juga wabak yang mampu dihindarkan oleh golongan ini dengan doa kerana menurutnya doa golongan Rijaalulghaib dimakbulkan Allah. Wallahua’lam..

Saya sendiri sebenarnya pernah terdengar tentang rijaalullghaib tapi tidak tahu benar. Saya pun belum selidik lagi tentangnya. Dan saya pun tidak berani berbincang tentangnya takut salah fakta. Yang saya faham akan kemungkinan mereka ini ialah golongan wali yang ghaib. Namun, tidak pula saya boleh mengiakan. Ilmu saya masih cetek bab ni.

Walauapapun telahan kita, ketahuilah semuanya sudah tercatat di Luh mahfuz.

Setidak-tidaknya pilihanraya demi pilihanraya adalah perihal petanda perubahan lebih besar akan kita lihat pada laman politik tanah air. Entahkan ia semakin cantik atau semakin buruk hanya Tuhan saja yang maha tahu... dan Tuhan itu hanyalah Allah. Tiada Tuhan selain-Nya.

Sama-sama kita doakan kebaikan di dunia dan di akhirat.

p/s: doa-doa juga, usaha dulu baru tawakal. Usaha, tawakal dan doa pun tak guna juga kalau sembahyang tak pernah tak tinggal.. bawalah bertobat wahai umat...

Salam Eid Mubarok... Maaf zahir batin.

Rabu, September 30, 2009

Restu yang dipaksarelakan?



Selama saya berada di bangku sekolah, saya rasa tidak pernah ketemu majlis seumpama ini, majlis yang dinamakan restu ilmu. Terlintas dibenak saya, adakah ada antara para guru yang tidak merestui ilmu yang mereka curahkan!

Semalam ketika di perpustakaan sekolah saya terdengar tanpa sengaja kata-kata terluncur dari bibir mungil seorang guru, yang maksudnya guru itu akan merestui muridnya yang mematuhi syarat yang dia kenakan. Ada pro dan kontra saya kira di situ. Mungkin ada eloknya, supaya murid lebih cakna akan nasihat guru.

Jadinya... kalaulah guru tersebut merasa tidak rela merestui ilmu yang mereka ajar selama ini, harusnya bagaimana? Meski diadakan majlis restu ilmu yang melibatkan murid, guru dan para ibu bapa juga penceramah khas!

Saya tahu sebenarnya kebanyakan guru berhati mulia dan tak kisah akan layanan dan balasan feel perangai anak murid terhadap jasa dan budi guru mengajar penuh ikhlas tanpa mengharapkan penghargaan dari murid. Tapi tak dapat dinafi bahawa ada guru yang berkira-kira. Masakan kalau diberi madu yang dibalasnya tuba.

Saya sendiri secara peribadi amat kasihan melihat nasib anak-anak zaman ini yang rata-riti seolah-olah ketandusan kasih sayang dan perhatian ibu bapa terutama di ibukota ini. Ibubapa tungkus lumus siang malam mencari biaya hingga tiada masa berkualiti bersama anak-anak bertanya khabar mengambil berat. Melihat-lihat kerja sekolah anak-anak.

Tapi... banyak juga silap ibu bapa sebenarnya dalam mendidik anak-anak. Saya sejak sekian lama percaya kata-kata nasihat mak sepupu saya yang mengatakan mendidik anak bukan dengan memarahi mereka. Anak kecil tidak mengerti apa yang mereka buat itu baik atau buruk. Cara yang betul beritahu dengan lemah lembut. Jika diajar secara bentak kasar marah dan tengking kelak anak akan menjadi seorang degil dan sukar mendengar nasihat. Kalau terpaksa pukul sekali-sekala biasalah. Cuma jangan jadikan pukulan itu kebiasaan.

Tidaklah dapat dipastikan akan keberkesanan ceramah motivasi yang hebat dan mengujakan bahkan menghiburkan oleh gelagat dan kebolehan motivator. Sebelum inipun semasa saya menjalani latihan mengajar, juga pernah terlibat sebagai jawatankuasa program motivasi. Apa yang saya perhati semangat murid hangat-hangat tahu ayam sahaja. Inilah kelemahan daya motivasi luaran. Motivasi dalaman paling penting walaupun suhunya suam-suam kuku saja..huhu

Apa-apapun, guru-guru sekalian ayuh kita redhai dan restui ilmu yang kita kongsikan selama ini. Doakanlah murid kita berjaya dunia akhirat sekalipun kini murid kita tak ubah macam harimau dan buaya. Esok berubahlah depa...

Ikhlaskanlah restu dan keberkatan ilmu. insyaAllah balasan setimpal menanti kita DI SANA...

Selasa, September 29, 2009

Demi silaturrahim

Di bulan Syawal yang mulia ini, pertama sekali saya ucapkan, Minal ‘Idil wal Faizin, Taqabbalallahu Minna waminkum taqabbal ya kareem..

Saya tahu, ramai sahabat rakan taulan dan woris saudara mara yang terkilan terasa hati dan berdukacita kerana kekhilafan saya yang tidak terjemput, tidak terundang dan tidak terajak ke majlis perkahwinan saya tempohari. Ampun maaf saya pinta kerana kegagalan saya memenuhi tuntutan silaturrahim yang amat penting ini.

Di samping amanat ibu yang saya harus penuhi – jangan panggil kawan ramai sangat sebab kita buat majlis kecil-kecilan. Namun saya sebenarnya terkilan kerana tidak terjemput semua sahabat taulan saya semasa bergelar pelajar di sekolah menengah dulu. Ada kerana si kawan menukar nombor telefon, ada yang terlupa dan ada juga yang selalu jumpa namun tak tersebut lidah sepatah madah. Entahlah, mungkin sebab kesibukan dan banyak perkara yang difikirkan dalam kepala jadi serabut dan bagai lagi.

Yang saya jemput namun tidak dapat datang tak mengapa. Saya amat memahami musim perayaan dan musim kenduri-kendara di samping jalan sesak-sendat di sini-sana.

Demi silaturrahim dan ukhwah fillah hingga akhirat ayuh kita padamkan segala kesumat di dada. Biarlah ia menjadi abu dan mengalir dalam alir airmata keinsafan.

Demi silaturrahim yang manis dan mahal, maaf segala khilaf saya. Kita terbitkan cinta dan kasih sayang baru lagi murni dan harmoni.

Salam Eid Mubarok... Maaf Zahir Batin.

Khamis, September 17, 2009

Perutusan lebaran


Assalamualaikum dan salam lebaran buat semua muslim. Alhamdulillah syukur kita rafakkan ke hadrat Ilahi kerana masih ada peluang menikmati syawal tahun ini, insyaAllah.. mohon diselamatkan perjalanan pulang kita ke laman desa dan selamat jua pulang ke rantau orang tempat mencari rezeki sesuap nasi.

Saya sebagai mantan Yang Dipertua PALAPES UM Intake 27, mantan exco Kebudayaan dan Rekreasi PMKUM, mantan Ketua Batch Sarjana Muda Pendidikan Islam sesi 2005/2006, dan kini alumni Universiti Malaya – ingin memohon ampun dan maaf dari semua insan yang mengenali dan terlibat dengan saya selama 4 tahun saya di uni-perdana ini. Sama ada kata-kata saya menghiris rasa atau menggores luka di hati atau saya tidak begitu mesra dan ramah-tamah dengan mana-mana yang pernah merasakan saya tidak berlaku adil padanya. Ya, saya juga insan biasa yang tidak dapat lari dari kelemahan dan masalah menyebabkan kekurangan diri terserlah dan menyebabkan sesiapa pun terasa saya tidak meladeni mereka selayaknya mereka dilayani dan diramahi.. dan dan dan apa lagi...

Buat keluarga di kampung; Mak, adik beradik dan sanak saudara jiran tetangga. Terima kasih daun keladi atas segala jasa dan budi selama ini yang takkan pernah terbalas meski khidmat bakti dicurah saya seumur hidup.

Tidak lupa juga kepada kaum kerabat saya tidak kira di mana saja mereka berada. Kepada anak-anak saudara di Johor; Azanah, Azira, Afelrol, Asila dan Firdaus (maaf kalau ada yang Pok Loh tertinggal sebut). Maaf kerana lama tidak bertanya khabar. Kalau terbaca perutusan ni, sudilah hadir majlis kenduri nanti. Maaf kerana jauhnya hubungan kita terbatas oleh masa dan jarak. Nampaknya teknologi masih gagal mendekatkan kita.

Kepada para guru saya di Sekolah Kebangsaan Banggu, Maahad Al-Amir Indra Petra, SMAP Labu, Universiti Malaya (Akademi Pengajian Islam-Fakulti Pendidikan), UIN Indonesia – Prof Ahmad Thib Raya, Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari dan Syeikh Ahmad Fahmi Zam-Zam serta Baba Aziz (meski tuan guru sesekali tidak kenali saya~syukran jazilan atas segala ilmunya). Dengan keberkatan ilmu kalian para guruku insyaAllah saya akan menyambung perjuangan mendidik anak bangsa dan mengasuh ummat seadanya mampu daya hamba.

Kepada kawan-kawan yang pernah bersahabat, mengenali, serumah sewa, sekuliah dan lena, sekubu latihan tahunan, dan sebagainya. Semoga persahabatan kita kekal hingga akhirat. Segala salah silap harap maaf. Tersilap cakap, terdibelanja makan dan segala macam ter-ter, halalkanlah ya.. :)

Buat bakal teman suri hidup, insyaAllah ikatan pertunangan akan tiba tempoh penamatnya dan berganti akad mengesahkan cinta kita. Semoga kita menuai bahagia hingga ke syurga, insyaAllah. Kutidak mengharapkan kesempurnaan darimu, hanya cukup jika dikau melengkapi kekurangan diri ini. Begitu jualah kuharapkan darimu agar tidak menuntut kesempurnaan padaku yang serba lemah dan kekurangan ini. Kerana hidup ini tidak lain hanya lengkap melengkapi. Tiada kesempurnaan pada manusia marhaen seperti kita.

Selamat Hari Raya ‘Idul Fitri, Maaf Zahir dan Batin.

Rabu, September 16, 2009

Hari Angkatan Tentera Malaysia



Selamat Hari Angkatan Tentera Malaysia kepada;

Seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia amnya, dan kepada warga Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti Malaya terutama jurulatih-jurulatih dan para senior juga junior saya, serta seluruh warga Rejimen 515 Askar Wataniah Kuala Lumpur.

Semoga kita terus siapsiaga menghadapi ancaman dan tekal dalam mempertahankan kedaulatan negara.

"Kedaulatan negara, kita pertahan, kita jaga"

Ikhlas dari Lt M Hasbullah Hj. Mohamed
AJK Agama, R515AWKL.


Yang sana kena pergi yang sini kena datang

Semalam hari yang agak kalut. Setelah meminta kebenaran dari Uncle Sultan minggu lepas, bolehlah saya ke program khatam Quran dan berbuka puasa di SMK Seri Permaisuri. Namun beberapa hari lepas itu dapat makluman dari SM Zakir akan diadakan mesyuarat Perhimpunan Penyair Nusantara dan majlis berbuka serta juga solat terawih. Pada waktu yang sama!

Dua perkara meletakkan saya dalam dilema. Saya harus memilih antara dua atau kedua-duanya atau mungkin saya memilih untuk tidak memilih!

Pengetua tidak mahu melepaskan saya dengan alasan yang sama saya terima semasa membuat latihan mengajar di SMK Taman Dato’ Harun dulu. Namun akhirnya pengetua membenarkan dengan syarat saya hadir dulu sekejap majlis khatam kemudian pergilah ke Rumah PENA.

Sempat saya berceloteh dengan shuib ‘penat aku shuib, yang sana kena pergi yang sini kena datang’.. Shuib senyum saja..

Memang melelahkan dari Cheras hendak ke Rumah PENA. Jalan terlampau sesak memberi kesan kepada motor tua saya. 45 minit juga. Mujur juga sempat sekejap hadir mesyuarat yang hampir selesai. Selepas berbuka solat jemaah maghrib dan menunggu isya’ sebelum solat terawih berimamkan Ustaz Azman al-Kurauwi dengan saya sebagai bilalnya.

Dalam kelelahan dan sedikit sakit kepala, hairan juga saya pabila merasakan tubuh saya tidak begitu kekenyangan dan kepenatan ketika terawih seperti malam-malam sebelumnya. Kerana apakah...

Saya pulang selepas menerima beberapa bahan untuk web komuniti PENA dan juga sempat menjemput yang mana sempat ke majlis perkahwinan saya raya ini.. oh ya.. saya akan kahwin.. doakanlah kelancaran majlis dan kebahagiaan saya ya.. :)



"Tak sabar nak balik kampung. Kawe nok kawen" kata Hasmora.

"mu ingat kawen ni mudoh ko?" jawab ustaz Azman dalam nada cemburu.

(gambar dan dialog adalah oleh Zalila Isa dlm album Mesyuarat PPN di facebooknya.. saya akan saman beliau kerana mereka-reka dialog tanpa izin atau mungkin mendesaknya menghadiahkan kamera seperti dia guna sebagai hadiah perkahwinan saya.. haha)

Isnin, September 14, 2009

Sweeping Malaysia? Kamu siapa?

Dua hari lalu di meja makan berbuka puasa di rumah uncle sultan, bersembang-sembang seperti selalu. Tiba-tiba saya tertanya tentang pembantu indonesia mereka yang kelihatan ramai. Dan rupa-rupanya pembantu rumah setiap keluarga yang datang tiap hari berkolaborasi menyediakan juadah berbuka. Saya bertanya tentang gaji mereka. Banyak juga, RM 600. Kemudian tiba-tiba isu terhangat yang merimaskan hubungan indonesia-malaysia timbul. Uncle sendiri bertanya menantunya yang sebenarnya terjadi itu apa kenapa dan bagaimana.

Saya mula menelusuri jaringan maya di laman sesawang penulis-penulis mapan. Dan juga mengikuti perkembangan emosi beberapa rakan. Ramai yang melenting dek kedangkalan segelintir rakyat Indonesia yang gelarkan mereka Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera). Sdr Nassury Ibrahim mengulas tentangnya dengan entri bertajuk sweeping Indonesia from Malaysia. Sila klik kanan dan new tab di sini.

Ada kawan saya mengkeparatkan sekalian orang Indonesia dalam facebook dek insiden bodoh lagi membodohkan ini. Saya membalas kata-katanya dengan mengkritik akan kedangkalannya berfikir memukul rata semua orang Indonesia sedemikian rupa sedangkan yang buat hanya beberapa makhluk mangkuk sahaja.

Tidak adil sebagai seorang siswazah yang diwatikahkan segulung ijazah menghukum orang berdasarkan emosi dan fikir lapis pertama. Tidak adil sama sekali. Seharusnya beliau menggunakan ilmu dan pengalaman yang didapati selama bertahun di alam kampus dengan penuh bijaksana.

Tidaklah cerdik segelintir manusia mangkuk yang melatah tak tentu pasal pabila ada pihak yang tersilap memasukkan budaya tarian mereka dalam beberapa minit promosi pelancongan Malaysia. Saya rasa yang tukang buat iklan tu pun tak boleh nak beza yang tu tarian apa dan dari mana kerana mereka anggap kalau tarian melibatkan orang melayu semuanya sama saja tak kiralah Negara mana. Dan saya rasa alasan mereka kalau mereka dipersalahkan mereka akan berkata – bukankah Indonesia dan Malaysia Negara melayu serumpun? Hah, telanlah hakikat itu sendiri.

Kalau dulu-dulu bolehlah pemimpin Indonesia lantang mengganyang Malaysia. Tapi sekarang zaman sudah berubah. Malaysia sudah jadi Negara membangun yang disegani di rantau asia. Dan rakyat Indonesia sendiri berapa ramai mencari rezeki di Malaysia. Dalam hal ini, Malaysia dan Indonesia saling memberi dan menerima. Itulah hikmah berjiran. Bak kata SBY ‘kita boleh memilih teman, tetapi kita tidak boleh memilih jiran’. (sumber: blog Nobisha)

Agaknya yang bikin onar di sana lupa bahawa sebelum ini Malaysia terlalu banyak menghargai hiburan dan kebudayaan mereka. Dangdut itu asalnya malaysiakah? Bagaimana dengan artis-artis Indonesia yang bagai kambing ceroboh kandang lembu tumpang sekaki makan rumput. Ini hanya analogi, saya tidak kata para artis itu kambing dan lembu. Kalau anda faham begitu apa harus saya buat. Kenapa mereka tidak melenting dan membawa buluh runcing bila cerita indon siang malam main di tv Malaysia. Hanya kerana sedikit tanyangan tarian pendet yang saya pun baru dengar, sudah hendak isytihar perang kepada jiran sebelah menyebelah? Bukankah itu namanya bodoh lagi membodohkan!

Namun begitu saya melihat perkara ini dari satu sudut positif. Dan tidak mahu menyalahkan sesiapa kecuali mereka yang terlibat mengkhinzir-buta. Saya syak semua ini ada dalang yang maha jahat cuba melaga-lagakan serumpun bangsa. Supaya berlaku perang saudara. Paling tidak silaturrahmi harmoni terjalin selama ini renggang dan bermasam muka. Cuma persoalannya siapa? Yahudi? Amerika?

Apa pula gelagat pemimpin kita dan mereka dalam menangani masalah ini. Bolehkah kita mengguna istilah ‘satu nusantara’ untuk mengeratkan hubungan sesama melayu seperti satu malaysia menjadi gagasan walaupun ia tidak ubah seperti mengolah semula perpaduan antara kaum dalam format baru?

Sebenarnya Islam telah sempurna ajarannya dengan menekankan perpaduan semua bangsa, puak dan kaum. Namun ironinya perjuangan kebangsaan yang diperjuangkan menekankan ketuanan bangsa menyebabkan bangsa lain pun terasa disisihkan.

Begitulah akhirnya apabila kita sebenarnya terlalu menurut akal dan nafsu, bukan Al-Quran dan Hadis Rasul SAW yang mana jika kita berpegang kepada keduanya akan selamat sejahtera dan aman harmonilah hidup kita.

Ahad, September 13, 2009

Kotak bicara kembali!


Setelah sekian lama kotak bicara gagal berfungsi dek keghairahan mengedit blog sedikit masa dulu, kini ia dapat diguna kembali dan masih juga yang lama. Bukan yang baru. Dan yang terakhir mencatat bicara ialah suhada jaafar..

Kotak bicara ini khusus untuk anda berinteraksi dengan saya dan juga dengan orang lain yang turut menggunakannya. Amatlah diharapkan budi baik saudara saudari berbahasa dengan bahasa sepatutnya dan berbicara seperti orang berbudi bahasa layaknya.

Selamat menggunakannya.

Bersalin kulit

Alhamdulillah, akhirnya...

Sudah lama sebenarnya saya ingin menyalin kulit blog ini. Akhirnya setelah bertemu kulit yang sesuai dan berkenan di mata maka tibalah masanya ia ditukar.

Oh ya.. ingin beri pandangan? Apa-apalah pandangan sama ada cara menulis ke.. tentang template baru ni ke atau apa-apa sajalah.. yang penting anda jaga bahasa anda. Jangan mencarut. Bulan puasa ni. Kemudian jagalah cara anda menulis. Tulis dalam tulisan penuh, bukan tulisan SMS. Kita ada ruang yang cukup untuk berjuta perkataan dalam jaringan maya ini.

Cerita Tiga Orang Bakhtiar

Pertama-tama saya mohon maaf andai anda yang membaca bernama Bakhtiar atau anda punyai kaitan saudara dengannya, kerana nukilan saya kali mungkin kan mengguris rasa. Maaflah ya.. bukan hendak membuka aib sesiapa cuma hendak berkongsi sedikit cerita dari beberapa peristiwa yang mencuit jiwa saya.

Atau anda yang saya sebut sendiri adalah watak cerita, maaflah ya.. sekadar berkongsi luahan rasa untuk tauladan bersama.

Bakhtiar yang pertama;

Ketika saya menjaga kedai buku di Akademi Islam, sebelum saya menjadi guru ganti di SMK Seri Permaisuri, Cheras.. ada seorang Bakhtiar datang kepada saya. Hari itu adalah hari terakhir saya menjaga kedai buku Ustaz Azman al-Furati (gelarnya begitu kerana syarikatnya bernama Furat Enterprise). Ketika dia datang adalah beberapa orang pelanggan lain, anak gadis. Setelah gadis-gadis itu beredar dia memberitahu saya akan isi hatinya yang berkenan dan suka pada gadis Kelantan, terutama yang dia lihat itu tadi. Comel dan manis katanya. Dia beli sebuah buku dan meminta nombor saya. Pertama kali saya tulis nombor telefon pada buku yang saya jual. Kenapa dia tak minta autograf saya sekali ye.. silap tu.. tandatangan saya lawa apa.. hehe

Hari berikutnya adalah langkah seterusnya bagi dia. Dia sms saya dan telefon saya. Bagi saya, inilah orang pertama begitu serius mencari jodoh melalui saya. Sebelum ni sudah ada, tapi sekadar sembang-sembang gitu saja. tidaklah sampai sms bertalu-talu dan bercakap lebih lima minit untuk hal ini. Bagi saya berbicara dengan lelaki yang baru kenal dalam telefon melebihi lima minit untuk hal seperti ini sudah dikira amat serius. Bermakna dia betul-betul ingin saya mendapatkan jodoh untuk dia. Dia ingat saya ni ejen cari jodoh apa. Cukuplah dengan muka ejen pendaftar lesen SKEM dan ejen HPA yang dicop di dahi saya. Cukup. Yang tu takpa sebab niaga dan cari wang biaya. Ini buat pening kepala. Bukan apa, cari jodoh untuk seseorang yang menetapkan syarat yang agak rigid adalah sesuatu yang agak menyusahkan. Di mana hendak cari seorang gadis yang cantik, berilmu agama, warak dan orang Kelantan pula. Ingat boleh petik jari macam tu ke.. cakap bolehlah buat tengok.

Memang ramai di Akademi Islam tu.. tapi pengalaman mengajar saya. Saya sebelum ni tak pernah minta tolong orang carikan. Memanglah sayapun agak popular di UM kerana aktif dalam persatuan tapi itu bukan saham saya dalam mendapatkan seorang calon isteri. Tidak mudah. Yang saya dapat sekarang pun tidak begitu mengenali saya ketika belajar dulu. Tapi pernah juga satu kuliah. Itupun dia yang beritahu. Nak harapkan saya kenal gadis-gadis sekuliah, yang sama-sama tutorial sajalah. Satu kuliah ramai takkan saya nak perhati sorang-sorang, nantikan apa pensyarah kata, orang lain kata.. kan?

Semalam dia telefon lagi tapi sudah lewat senja hampir waktu berbuka. Saya tidak angkat kerana waktu itu sedang bertadarus di rumah Uncle Sultan. Kalau ya pun SMS sepatah tanya boleh telefon ke tidak. Saya pun lupa hendak tanya lepas tu kerana hambatan berbuka dan bergegas pulang untuk terawih, kena jadi imamlah pula.

Telah saya maklumkan usah bergantung harap sangat kepada saya kerana saya sudah kurang ke dalam UM seperti sebelum mengajar. Masa tidak mengizinkan. Memang saya ada beberapa orang kawan, tapi bab mempertemukan jodoh bukan perkara biasa yang boleh sambil lewa seperti borak-borak biasa. Perlu bertemu mata bagi saya kalau dekat-dekat sama-sama di kota. Paling tidak panggilan telefon kalau si gadis sudah di desa. Dan, yang gadis pun mahu lihat si jejaka yang ingin mengambilnya menjadi suri, kacakkah dia. Machokah dia. Warakkah dia. Bukan hak sebelah pihak dalam memilih walaupun wanita ramai mereka pun ada kepentingan terhadap lelaki. Lelaki bagaimana yang layak untuk mereka. Atau yang mereka rasa sesuai dan kena dengan citarasa. Jangan diingat ya wanita bukan hanya memandang pada rupa. Wanita yang bijak menilai segala-gala. Dan wanita yang bodohlah yang selalu silap memilih yang mengakibatkan jalan hidupnya tidaklah jernih seperti diharapkan. Sama juga lelaki, jika hanya memilih rupa semata tanpa mengambil kira aspek-aspek lain, silap-silap anda kan merasa pahit bila mengecap gula!

Saya bilang sama dia, jangan hendak dipilih yang bertudung labuh saja. Yang pertama-tama tengok pada akhlak dia. Risik dia adakah dia menghormati orang tua. Kalau isteri hormat orang tua kita maka berbahagialah kita. Bab tudung kita boleh didik. Kita boleh suruh. Saya kata lagi, semuanya bergantung pada kita para suami. Saya bawa contoh seorang kawan saya yang kini bakal menimang cahaya mata pada Syawal bakal menjelma. Isterinya sebelum menjadi isterinya bertudung tiga segi, tapi sekarang bertudung labuh dan siap berjubah lagi. Apa pula berlaku pada sesetengah gadis yang bertudung labuh tapi dapat suami yang tak suka isterinya pakai begitu... dia setuju apa yang saya kata. Tentang dia berhenti di situ. Saya masih berfikir bagaimana cara hendak carikan dia seorang isteri seperti yang dia mahu. Yang tak tahan... demand tuuuu...


Bakhtiar yang kedua;

Yang ini pendek saja ceritanya. Yang ini saya tak jumpa, dia telefeon saya. Ketika dia telefon saya di SMK Seri Permaisuri, hari pertama melapor dan sedang lepak-lepak tempat duduk yang saya gantikan sementara tuan asalnya dalam pantang. Saya dimaklumkan guru yang saya ganti tu terpaksa bercuti kerana dibuat orang. Hehe..

Yang ni sorang berkempen dalam telefon. Agak lama juga dalam 15 minit gitu. Dalam hati saya cuak bercampur geram akan adanya mangkuk ayun macam tu. Cakapnya laju. Pada awal bicara dia beritahu tentang pakej rescue-simkad Celcom. Encik adalah orang terpilih mendapat panggilan ini dari kami.. begitulah lebih kurang awal mulanya. Manis je dengarnya. Mujur tidak perempuan,kalau perempuan lagi lama saya layan.. haha...

Katanya kalau telefon hilang nombor-nombor telefon akan selamat bila kita tuntut nombor yang sama. Percuma untuk bulan pertama dan RM2.50 bulan seterusnya. Strategi niaga memang awal percuma, macam orang tak tahu. Cuaknya bila dia sambung lagi bicara kempen insuran la pulak. Hampeh betul rasa pabila nada katanya macam nak paksa saya daftar insuran tu. Saya tanya laman web syarikat yang katanya kerjasama dengan Celcom Malaysia. Tak pernah saya dengar nama syarikat tu. Tak masyhur pun.

Macam-macam dia cerita nak tarik perhatian saya. Yang sakit hati dia cerita kalau encik mati besok mak bapak encik bagaimana? Weh bapak aku dah takda dan mak aku ada lapan orang lagi adik-beradik boleh jaga! Tapi saya tak kata camtu pun kat dia. Ingat ni bulan puasa dan dalam bilik guru pula. Lagipun saya ni guru agama. Malulah saya. Saya cuak dia berbicara tentang takdir, tentang jaminan masa depan. Kalaupun saya tidak ambil insuran dia apa dia ingat dia sorang saja ke meniaga insuran? Saya cakap elok-elok taknak ambil. Dan dia macam cuak dengan saya terus letak telefon lepas beritahu – encik kalau berminat encik boleh telefon talian 1-800 dan beberapa nombor yg tak sempat saya tangkap sebab lajunya dia bercakap sebelum gagang itu dihempas. Kalau betul kenapa tidak suruh saya telefon talian tetap yang dia guna untuk memanggil saya. Apa dia ingat saya bodoh, talian hangat tu memang bebas tol tapi kawan saya kata minyak kena bayar sendiri! dan memang saya pernah kena pun.

Tidak lama ada seorang ejen insuran takaful etiqa tak silap saya yang menawarkan skim takaful warga pendidik khas kerjasama dengan NUTP. Saya dengar sekejap penerangan pakcik India itu yang berdiri macam cikgu bagi penjelasan pada cikgu-cikgu yang duduk-duduk di kawasan rehat bilik guru. Dan tidak pula dia memaksa guru-guru supaya mendaftar walaupun dia bercakap sudah lebih dari sejam saya tengok. Dan dalam hati saya, nanti aku posting ok jugak ambil takaful ni dari duk percaya yang dalam telefon yang entah ya entah tak ya.

Tak lama juga tiba SMS yang menawarkan khidmat rescue-simkad. Sekali saya terfikir, macam betul je.. ah.. aku salin dah pun nombor-nombor dlm telefon ni. Tak payah buang duit tiap bulan.. huh


Bahktiar yang ketiga;

Yang ini lagiii pendek. Sebenarnya ini adalah cerita kawan saya apabila dia mendengar perbualan telefon saya dengan Bakhtiar yang pertama tadi. Dia rasa lucu apabila ada juga orang macam tu. Dia pun ceritalah pasal kawan dia bernama Bakhtiar yang sudah tua tapi belum juga kawin entah-entah meninggal sebatang kara. Jenis tersumbat katanya. Haha.. apa-apalah. Tapi konklusinya bukanlah yang bernama Bakhtiar itu tersumbat ya.. kebetulan saja. Sapa-sapapun tersumbat kalau tak kena cara.

Oklah.. selamat menikmati hari-hari terakhir Ramadhan dengan penuh pengertian. Hargailah peluang yang ada ini. Ramadhan tahun depan belum tentu kita jumpa. Renung-renugkanlah dan selamat beramal.

Sabtu, September 12, 2009

Ruang-Ruang Kemerdekaan


Telah kita korbankan sebahagian usia
mengisi ruang kemerdekaan negara
lalu adakah kita kan membiarkan
anak muda hari ini memunah masa depan
dengan gaya hidup rosak cara barat
dibangga-banggakan hingga menjadi
cara hidup sekalian marhaen
melupuskan resam adab budaya timur.

Ruang-ruang kemerdekaan kini
sungguh polos dengan hedonisme
rencam angan-angan disebut wawasan
umat ini sungguh makin lupa pada Tuhan
Tuhan dipedulikan hanya pada waktu solat
agama dirujuk ketika nikah dan cerai
imam dicari tatkala kematian sanak-saudara
masjid dijejak untuk solat sunat hari raya
sedang waktu biasa masa menjadi sia-sia
dengan aktiviti maksiat dan liburan semata.

Umat hari ini mengisi ruang kemerdekaan
memadai bagi mereka dengan mengibar bendera
cukup dengan hadiri ceramah patriotik anjuran penguasa
menunjukkan semangat tatkala perhimpunan para pemuda
lalu apakah untung kepada negara, andai ini semua
tidak lebih hanyalah semata-mata retorik belaka.

Ruang-ruang kemerdekaan, malangnya
terisi oleh hedonisme dan retorika sia-sia.

Hasbullah Mohamed Rahman
Taman Bukit Angkasa,
Kuala Lumpur.

Ahad, Ogos 30, 2009

Kali yang terakhir

Semester lepas, ketika itu saya meniti hayat terakhir sebagai mahasiswa di Universiti Malaya. Di hadapan Bank Islam, Bangunan Peperiksaan, dia datang kepada saya dan meminta supaya menyertai pertandingan pantun anjuran jabatannya. Sebagai kerja kursus katanya. Namun saya tidak menjanjikan apa-apa. Tengok keadaan kata saya. Saya ambil nombor dia, dan dia ambil nombor saya.

Tidak berapa lama dia SMS saya. Saya mula garu kepala. Mana nak cari lagi dua orang peserta. Hendak tiga satu kumpulan. Saya kata saya kan beritahu bila dah jumpa orangnya. Saya tanya Hafizul. Dia tak sudi. Aku tak pandai berpantun, katanya. Saya tanya Cik Salmi Manja (gelar saya padanya).. pun tak sudi. Saya pun beritahulah dia, tak dapat menyertai sebab tiada partner.

Semalam, sedang saya jaga buku di Akademi Islam, Maizatu Akman mampir lalu mengkhabarkan pemergiannya menemui Tuhannya. Innalillah.. satu kejutan buat saya. Arwah seorang yang periang dan sangat aktif dalam Persatuan Mahasiswa Kelantan. Kali pertama engenali sejak di tahun tiga dulu semasa program gerai konvo. Ada gelaran diberi untuk mereka tiga orang. Lupa dah... ish... kenangan tu.. boleh lupa pulak dah.. kali terakhir berseloroh dengannya ketika gerai konvo yang lalu. Tika itu saya sudah jadi pelanggan. Bukan pekerja lagi dah. Dah empat tahun saya di dapur Citarasa Darul Naim. Tiba masa kena jadi pelangganlah pula.

Itulah permintaan pertama dan terakhir dari dia kepada saya. Hari ini rasa terkilan itu tiba-tiba menerpa kerana tidak menunaikannya dulu. Ah, sesal tiada guna.

Al-Fatihah buat Arwah Siti Shuhada Mohamad. Semoga beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang soleh di akhirat kelak. Amin...


Jari Siti Suhada dan hafizul seolah-olah saling menunjuk antara satu sama lain.. yang berpaling ke kanan dipanggil kawan-kawan sebagai Seni. Tak silap saya, ini gambar terbaru di gerai CDN, konvo yang lalu..
(sumber gambar dari blog PMKUM)

Jumaat, Ogos 28, 2009

Ismail oh Ismail

Di kampung saya ada dua orang Ismail Mamat. Sorang baru sahaja meninggal beberapa bulan lepas. Beliau lebih dikenali sebagai Haji Ismail. Alfatihah.. saya hanya mampu mengirim SMS takziah kepada anak sulungnya. Dan sedekahkan al-Fatihah cuma. Tidak mampu saya pulang menjenguk insan yang pernah menjadi sahabat dan guru saya itu. Hari itu hari sabtu, 2 Mei dan latihan mengajar hanyalah hari isnin berikutnya. Seorang lagi Ismail Mamat ialah sahabat karib saya sejak kecil yang juga rumahnya sebelah rumah saya saja. Kalau datang berita mengatakan Ismail Mamat maka saya akan tanya Ismail yang mana? Alhamdulillah sahabat saya itu masih ada untuk saya tatap dan mungkin saya akan menyaksikan dia berteman tidak lama lagi..hehe.. ada beberapa orang lagi Ismail di kampung saya, antaranya dikenali sebagai Pakdo Weil, Pak Muda (juga dipanggil sebagai Jusuh dalam kalangan rakan sebayanya), Mail Keh (buldozer, sebab dulu keja dia bawak makeluk tu).. dan beberapa lagi Ismail termasuklah ayah sepupu saya yang anaknya serumah dengan saya sekarang.. orang kampung panggil dia Pokheng..

Malam tadi pula saya dapat satu SMS dari seorang kawan berbunyi begini;

“Innalillahi wainna ilaihi rajiun, Ustaz Ismail Kamus baru menemui Allah sebentar tadi.. satu kehilangan besar buat agama dan negara.. semoga Allah mencucuri rahmat kpdnya.. tlg fwd sama”

Saya tak melatah.. saya buka facebook.. biasa kawan-kawan ada yang mengulas dalam status mereka. Saudara Afifi ada tulis sesuatu menafikan.. Sape la sebarkan fitnah Ust. Ismail Kamus meninggal katanya. Saya pun komenlah status dia tu.

Tak lama lepas tu menyusul SMS berikutnya dari kawan sama.. alhamdulillah nasib saya selidik dulu.. saya juga SMS sahabat di Gombak, Ustaz Hj Manaf yang merupakan murid Ustaz Ismail Kamus. Pendek saja jawapannya “nawok tu”.. haha.. ringkas tapi padat.

Maka saya terbaca sebuah berita dalam Berita Harian online tentang Prof Ismail Salleh yang meninggal dunia akibat sakit jantung. Mungkinlah ada pihak yang memanipulasikan berita ini lalu mensensasikannya dengan mengatakan Ustaz Ismail Kamus yang meninggal dunia. Padahal beliau sedang berada di Mekah dalam keadaan sihat wal afiat. Subhanallah, siapalah punya kerja tak senonoh sebar berita palsu di bulan mulia ni..

Alfatihah buat Prof Ismail Salleh dan takziah buat keluarga arwah. Semoga beliau dicucuri rahmat olehNya.


Dr Md Ismail Salleh (sumber BH online)


SYAKIR Hanis (dua dari kanan) bersama kakak dan abang menyiram air mawar di pusara bapa di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang, semalam. (sumber BH online)

Ahad, Ogos 23, 2009

Sijil halal hotel


Apabila membaca berita dalam Utusan Online tentang sijil halal hotel di Malaysia, terpana saya sekejap. Sebelum itu saya sudah dengar dari radio IKIM FM, beberapa peratus saja. Memang mengejutkan. Gelap perut la makan kat hotel yang teramat was-was dapur depa.

Inilah yang menggusarkan saya kalau nak pergi hotel. Lebih baik makan kat warung tepi jalan. Kalau nak nampak mewah pun restoren yang ada nama sikit. Kalau di Pantai Dalam ni, Anis Putri Konar bagi saya paling oklah. Kena dengan selera Kelantan saya, meskipun kemungkinan makanan dimasak oleh mek-mek Indon amat besar.

Oleh yang demikian, perlulah alternatifnya. Apa alternatif yang mampu menghilangkan gusar anda yang mementingkan halalan toyyiba bukan hotel mewah dan berbintang-bintang semata? Bagi saya, usahawan Islam wajib menceburkan diri dalam bidang perghotelan. Dan sepuluh bintang dari empat belas bintang bendera Malaysia saya beri kepada Haji Ismail, bigboss HPA atas usahanya dalam mendirikan hotel HPA yang halal. Kenapa hanya 10? Nanti beliau berjaya buat satu Malaysia baru dapat 14! 10 pun dah banyak dah tu..hehe

Saudara-saudariku muslimin muslimat yang dirahmati Allah sekalian, carilah yang halal dalam apa jua urusan anda demi akhirat yang sejahtera.


Hotel HPA yang akan dibina di Kota Bharu, insyaAllah.. takbir!
(sumber gambar)

Sabtu, Ogos 22, 2009

Malam yang pertama


Alhamdulillah, akhirnya kita masih sempat berada di madrasah Ramadhan yang teramat mulia. Pastinya inilah saat detik yang ditunggu sekalian para solehin. Musim beribadat dengan ganjaran melimpah ruah.

Malam yang pertama tarawih, seperti tahun-tahun sebelumnya.. alhamdulillah ramai orangnya. Pernah ketika saya menginap di Kolej Kelima Universiti Malaya, malam pertama terawih jemaah melimpah hingga ke tangga. Melucukan juga tahun lepas di pangsapuri saya tinggal ini, jemaah sampai keluar di koridor.

Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bermaksud “Barangsiapa yang mendirikan sembahyang (terawih) pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Begitu sekali tawaran yang Rasulullah SAW sampaikan dari Allah SWT. Adakah kita mahu memandang remeh tawaran dan peluang keemasan yang tidak selalu datang ini? mahukah lagi kita menangguhkan penerimaan terhadap tawaran yang amat berharga ini?

Sungguh, berapa ramai antara kita yang rugi kerana mensia-siakan sekian banyak peluang yang Allah berikan kepada kita. Hidayah, kita sebenarnya harus berusaha mendapatkannya. Allah berikan kita akal untuk berfikir apa yang baik dan buruk. Allah tidak menghukum atas kealpaan dan kejahilan. Namun setelah sampai seruan dan peringatan, bermulalah taklifan atas kita manusia hamba-Nya.

Pada zaman ini, sepatutnya tiada lagi alasan tidak tahu, jahil dan sebagainya. Tidak semestinya perlu masuk kuliah atau menghadiri majlis ilmu di masjid untuk mendapatkan ilmu agama. Sekarang maklumat di hujung jari. Di televisyen, di radio, buku-buku dan banyak lagi sumber boleh didapati. Ustaz-ustaz pun ramaisekarang ni tak macam dulu. Haruskah lagi kita menunggu tua sedangkan Izrail pasti menjemput bila-bila masa! Yang penting, anda berfikir sejenak, kenapakah anda hidup di dunia, untuk apa dan mengapa.. tidaklah Allah membuat sesuatu dengan sia-sia. Seperti juga Allah jadikan sekalian makhluk dan alam. Pasti ada tujuannya. Anda manusia dikurniakan akal, fikirkanlah!

Malam pertama terawih sudah berlalu, hari pertama Ramadhan ayuh kita mulakan tadarus al-Quran sekurang-kurang sekali khatam bulan ini. Dua kali lagi bagus, insyaAllah sama-sama kita pulun. Dan malam-malam yang seterusnya, ayuh kita hadir tanpa gagal!

Myblogloglaq