Khamis, Februari 28, 2008

JALAN-JALAN KUALA LUMPUR – SELAMA KUTELUSURI

Pertama kali menelusuri jalan-lebuhraya kuala Lumpur; memandu motosikal sendiri, saya belum mesra dan akrab lagi dengan liku-likunya. Akibatnya saya telah tersesat selama kurang lebih satu jam! Puncanya hanya satu, saya menerima satu tugas dari kawan, semasa Festival konvokesyen 2005. Tugasnya ialah mencari dan membeli pemetik api atau orang kampung saya sebut lighter.

Diberi suis motosikalnya. Dia beritahu jalan. Senang je dia cakap. “Mung gi kot ni, konar kkanan, pah mung jjupo stesen minyak pah... bla...bla...” saya yang pertama kali naik motor di Kuala Lumpur ni tawakal je lah. Lagipun takda orang lain yang boleh diminta tolong belikan lighter. Semua sibuk. Ramai lelaki yang ada kuliah. Ramai juga yang tak ingin terlibat. Yang adapun wanita-wanita solehah yang kebanyakannya tiada lesen motor. Ish... kumenerima tugas tersebut dengan penuh debaran dan rasa was-was. Jalan Kota Bharu manakan sama dengan jalan Kuala Lumpur. Natijahnya terpaksalah saya terpaksa menelan beberapa kilo langsat sebelum sampai semula UM. Bila sampai UM member saya pun tanya “eh demo gi beli lighter mmano sapa dua tiga jam?”. Apa dia tahu, kita ni dah cukup nasib baik polis tak tolong hantar balik. Itulah pengalaman pertama di jalan di Kuala Lumpur.

Setelah tiga tahun, jalan-jalan di Kuala Lumpur sedikit demi sedikit saya hafal. Banyak membaca jalan nampaknya saya ni. Maklumlah, bila motor yang dihadiahkan oleh kakak menjejak semula tanah kelahirannya (motor saya nombor daftar wilayah-saya tuan yang kelima), maka bergembiralah ‘dia’ memesrai semula urat-murat Kuala Lumpur yang semakin hari semakin berselirat.

Walaupun sudah memesrai jalan Kuala Lumpur, namun adegan makan langsat tidak dapat dielakkan juga. Ada kadangkala jalan dilalui sudah lama tidak berkunjung. Dan tak kurang juga jalan yang memang langsung tak pernah sampai. Untuk sampai ke sesebuah destinasi banyak juga pilihan laluan – jalan.

Antara destinasi yang pernah saya kunjungi dengan motosikal ialah;
1. Universiti Putra Malaysia, Serdang (melawat kawan-Faizal n Miji – tak penah diorang melawat aku kat sini, ish)
2. Putra Jaya
3. Masjid Negara (dekat je-selalu berulang alik dalam puasa dua tahun ni)
4. Perpustakaan Negara
5. Hospital Kuala Lumpur
6. Masjid Wilayah (pun dekat-Jalan Duta tu je)
7. Puchong (untuk beberapa urusan-antaranya; kem motivasi)
8. PWTC (pesta buku – tak lama dah lagi utk thn ni)
9. Gombak (ada beberapa urusan di sini- rasmi dan tidak rasmi)
10. Dan banyak lagi – x larat nak ingat dah banyak sangat

Ada beberapa sebab utama mengapa banyak sangat perjalanan yang saya buat setiap hari (hari kuliah banyak kat UM je). Antaranya ialah:
1. Sebagai part timer katering (pertama kali di SUK Selangor, Shah Alam dan seterusnya merata-rata, mengikut senior PALAPES dan member yang kenal sejak serumah sewa tahun 1; Azman)
2. Sebagai part timer Fasilitator – kadang-kadang jika tiada latihan PALAPES, Abang Syam –pengasas ASA Explore –akan hubungi dan minta jadi fasi. Terpulang kepada program, ada yang sehari, ada yang sampai tiga hari. Tapi kebanyakannya terpaksa ditolak kerana latihan belum habis ‘edah lagi. Tunggu tauliah bulan Jun ni lego la eden.
3. Untuk tujuan peribadi seperti ke pasar raya –biasanya Mydin, cari gadjet – Low Yat atau Digital Mall.
4. Menemani kawan ke tempat tujuannya yang baginya penting tapi tak berani pula pergi sendiri walaupun ada motosikal, kononnya takut. Pernah saya sindir “Mung ni... molek wat tukun Tasik Varsiti la mutor mung nih!”. Sebagai penunggang yang berdedikasi, bagi saya usah segan, malu dan takut untuk berkenalan dengan jalan di Kuala Lumpur kerana paling tidak pun makan langsat tiga empat kilo je. Kalau takut mati, kan lebih baik tak payah bersusah payah untuk hidup! Kerana apa... mati itu di mana-mana, tengah termenung pun ada yang mati!

Walaubagaimanapun, kehidupan saya jauh sekali berbeza dengan kebanyakan orang di Kota Raya ini. Bertungkus lumus bergelut dengan cubaan dan godaan dalam meneguk titis embun ilmu di Danau Ilmu – Akademi Pengajian Islam dan Fakulti Pendidikan untuk menjadi seorang guru – mendidik anak bangsa dalam meniti arus dunia globalisasi yang kian keruh dan ganas sekarang. Dunia langit terbuka. Entah apa lagi yang akan luruh dari langit terbuka dan entah apa lagi yang akan menerobos jiwa dan minda di dunia tanpa sempadan kini.

Ah... sesungguhnya dunia ini tak ubah seperti jalan-jalan Kuala Lumpur. Banyak liku dan semakin hari semakin berselirat. Oh... Hanya kepada-Nya kita mohon SELAMAT!

Sebuah Puisi - Koreksi Perjuangan

usah berbicara soal perjuangan
jika kawan susah kita tak hulur tangan.

usah beretorik tentang perjuangan
jika kita mudah serik dengan ujian.

usah terlalu berani dalam perjuangan
tapi masih takut perbaiki kesilapan.

usah kita berbasa-basi dengan perjuangan
tapi tiada tahu rasa juang itu kepahitan.

usah kita berbangga dengan perjuangan
jika kita menganggap ia hanya beban!

pendokong dan penyokong perjuangan,

Al-Masnuri
Teratak Dayasari

Rabu, Februari 27, 2008

ooo siapa kamu?

sebuah puisi PRU

siapa berpencak sumbang
dalam gelanggang indah
siapa pula berpencak mantap
di atas batu-batu jeram

siapa menari songsang
di pentas rata
siapa pula menari elok
di atas jongkong bata

siapa menghunus keris
seperti menjolok nangka
siapa pula menjemput hantu
dari alam penipuraya?

Teratak Dayasari UMKL

Selasa, Februari 26, 2008

undi ooo undi

undi ooo undi
pangkah kertas nampak mudah
di hati berbelit payah
siapa nak dipangkah
hati mula merentap goyah.

undi ooo undi
yb ini banyak jasa
yb itu banyak berjanji
yb ini selalu nampak muka
yb itu datang setahun sekali
yb ini kaya suka pula menderma
yb itu kaya, menjelma bila mengundi
ooo YB mana yang suka menabur kata-kata
ooo YB yg mana pula yang suka menabur janji.

undi ooo undi
musim bakawali menjadi tebu
musim api digenggam jadi abu
musim meniup gunung jadi debu
musim kambing disumpah jadi lembu
musim hantu di pohon semambu
di jemput ke dalam kelambu
bersama-sama membuat bubu.

undi ooo undi
ada orang tak daftar pemilih
konon bila daftar terlibat dalam politik
entah kenapa ada orang macam ni di tempat terpilih
tempat sepatutnya akal minda kelas berfikir ceghidik!

undi ooo undi
ceriteranya asal manifestasi demokrasi
tapi aku hanya lihat autokrasi
kadang-kadang hanya kudengar isu basi
alih-alih yang kenyal makin berisi
yang terhimpit tak terhidu nasi.

undi ooo undi
ada orang mengundi kerana tanggungjawab
ada orang mengundi kerana malas bersoal jawab (dengan jiran)
ada yang mengundi tanpa sebab musabab (main ikut-ikut)
apapun mengundi tetaplah kena mengundi
jangan duduk rumah goyang kaki tengok tv!

Teratak Dayasari

Khamis, Februari 21, 2008

CAMNE TU?

Posting ini adalah editan sebuah makalah yang dikeluarkan oleh Balai Islam Kolej Kediaman Kelima UM yang diedarkan oleh sahabat saya, Shamsuddin, tatkala saya hendak keluar cari tiket pulang mengundi. Dengan harapan agar kita sama-sama mengoreksi diri kita, sejauhmanakah kita dalam bab yang sesiapapun tidak mampu nak elak jika terlalu menurut kata hati yang dirajai nafsu (penasihatnya tentulah syaitan).

Berdua-duaan seolah-olah menjadi adat yang perlu dilalui oleh golongan muda. Sesetengah orang menamakan ia sebagai dating, sesetengah couple. Namun tiada seorang pun yang menamakan ia berdua-duaan, berkhalwat atau berkata- saya nak keluar sekejap, nak buat maksiat dengan girlfriend atau pak we saya.

Perlakuan sumbang ini bukan setakat di taman bunga, malah di kompleks membeli belah, kedai makan, dalam perpustakaan dan jika diperhatikan di Universiti Malaya, fenomena ini boleh dilihat di Tasik Varsiti, Bukit Cinta (elok ubah la nama ni-nama warisan yg tak berapa elok) malah berkepit di fakulti dan di mana-mana hatta ke pasar malam sekalipun!

Apa yang dikesali ialah, tahap faham agama majoriti pelajar universiti bukanlah yang boleh dibanggakan. Namun yang lebih saya kesali ialah kawan-kawan saya sendiri yang satu fakulti malah ada yang satu kursus pengajian dengan saya- Sarjana Muda Pendidikan Islam- yang bila sudah bergelar graduan nanti akan menjadi guru agama dan mendidik anak bangsa seagama apa itu halal dan haram dalam perhubungan lelaki dan perempuan! Susah juga ramai yang belajar agama tinggi tapi tidak faham agama. Kebarangkalian ramai orang ingat agama Islam ni cuma sembahyang, puasa dan zakat. Mungkin? Bukan mungkin lagi dah... Tuan-tuan, Agama Islam ialah 24 jam terus menerus tanpa ada satu saat pun terkecuali!

Bukan saya hendak mendabik dada bahawa saya ini baik sangat, namun dalam bab ni saya betul-betul jaga. Saudara-saudari cuba guna ilmu Ttasir (istilah loghat Kelantan-dah guna peringkat Malaysia dah kot) iaitu apa yang kita nak buat kita nilai apakah kita mengambilkira sensitiviti diri kita sendiri. Sebagai contoh; apakah perasaan kita jika seorang remaja lelaki usung adik perempuan kita (bahasa kasar) atau bonceng (rasanya lembut sikit istilah ni) adik kita ke hulu ke hilir. Bagaimana? Marah? Bengang? Rasa nak penampar? Begitu juga kalau kita buat kat adik orang lain atau anak orang. Orang pun kurang lebih macam tu la juga.Tapi jika anda tidak sensitif terhadap perkara ini; saya ingin mengklasifikasikan golongan sebegini sebagai; bangang lagi tolol!

Maaf jika istilah ini terlalu kasar. Tapi inilah hakikat. Kita tidak sensitif terhadap maruah dan kehormatan adik kita. Kita tidak sensitif terhadap maruah keluarga kita. Seorang perempuan adalah tanggungjawab bapanya, tanggungjawab abangnya, tanggungjawab suaminya bahkan tanggungjawab semua. Jika tidak mengapa kuasa wali terletak pada seorang lelaki. Mengapa autoriti cerai terletak ditangan suami? Mengapa maruah, keselamatan, dan bagai-bagainya lagi disandarkan kepada lelaki? Ada rasionalnya. Lelaki ada ‘kekuatan’ untuk menampung, membantu ‘kelemahan’ wanita. Tapi rasional itu yang kita fikir. Allah swt memang buat sesuatu hukum untuk kemaslahatan makhluk-Nya. Cuma makhluk spesis manusia (kita) yang jenis keras pedal (bongkak, ego, dan sewaku dengannya) sikit.

Hanya kita sekarang yang banyak fikir apa rasional tentang sesuatu hukum, sedangkan pada zaman Nabi saw dahulu, sahabat menerima sesuatu hukum dengan lapang dada, tanpa banyak soal, tiada bantahan, tiada minta sesuatu pandangan untuk kepentingan diri, tanpa prejudis! Beza kan dengan zaman sekarang?. Ramai ustaz dan ulama’ kemukakan pandangan agama yang berselindung untuk menyedapkan telinga pemerintah-melegakan hati rakyat (yang mindanya sudah diracuni hegemoni yang berjaya disogok oleh barat). Akibatnya, perzinaan merata-rata, mendedahkan aurat berleluasa, rogol bermaharajalela. Tak berani. Kalau ada yang berani, kena pecat. Kalau ada yang lantang kena gam. Yang baru nak naik terpaksa bercakap hal remeh temeh, isu yang orang dah ulas. Tapi tak apa, mungkin nak bina pengaruh. Dah dapat pengaruh, lantanglah dia. Bila dah lantang, kena gam pun tak apa. Ye ke? Hangpa pikiaq sendiri ah...

Kita lihat dan perhati zaman sekarang, pasangan-pasangan yang tidak ‘diiktiraf’ dan direstui, berpegang-pegangan tangan, berpeluk-pelukkan tanpa segan silu, tanpa ingat kepada Allah dari pelbagai peringkat- dari sekolah menengah hingga IPT. Tuan-tuan, tidak semua orang pandai tu cerdik. Orang paling pandai dan cerdik ialah orang yang paling mengingati mati dan bersedia untuknya. Adakah dengan membuat maksiat dan melanggar perintah Allah siang malam cerdik tuan-tuan? Apa yang peliknya mereka berbangga dengan perbuatan haram itu (kalau tak bangga takkan nak tunjuk-tunjuk kat orang ramai). Lebih menyedihkan, terdapat pasangan yang membuat maksiat itu adalah orang yang bertudung. Tapi bagi saya, apa nak hairan, cikgu makan berdiri, murid makan berlari berganti-ganti. Jika golongan Akademi Pengajian Islam yang tiap-tiap hari tadah kitab pun tunjuk contoh tak elok, apatah lagi pelajar fakulti lain yang orang mengajar kat surau pun liat nak turun, tengok televisyen saluran tu elok-elok duk tayang program Islamik dia pi alih rancangan lain.

Pada semester lepas saya dan sahabat-sahabat sekumpulan menemuramah beberapa orang guru Pendidikan Islam di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan di Petaling Jaya untuk subjek Metodologi Pengajaran Akhlak. Menurut ustaz tersebut, lapan dari sepuluh orang gadis (pelajar sekolah tu) yang 'bercinta' yakni sudah mempunyai pasangan sudah tidak suci lagi. Terlanjur dengan teman lelaki masing-masing. Kata-kata Ustaz tadi dikukuhkan oleh kenyataan Ustazah yang kebetulan adalah senior saya yang sudah setahun tahun mengajar di sekolah tersebut. Menurut beliau ada seorang pelajar perempuan membuat pengakuan kepadanya bahawa dia sudah terlanjur dengan teman lelakinya beberapa kali. setelah berasa menyesal lalu dia mendapatkan ustazah untuk mengadu. Tuan-tuan, saudara saudari; pelajar perempuan tersebut baru sahaja tingkatan satu, dan teman lelakinya baru tingkatan dua! Inilah hakikat; kebebasan, keterdedahan dan keterbukaan masyarakat kepada pelbagai sogokan dan hegemoni kefanaan fatamorgana duniawi menyebabkan masyarakat kita semakin ketandusan nilai agama, kepupusan budi bahasa dan kehilangan akar budaya bangsa.

Kebanyakan kita sekarang telah dipesongkan dengan konsep mengenali atau bercinta dahulu baru berkahwin. Ada yang berkata “Jika tidak keluar bersama-sama, masakan kita boleh mengenal pasangan yang akan bakal menjadi suami atau isteri kita?”

Adakah untuk mengenali bakal pasangan kita nanti, atau lebih tepat jika ditulis... adakah untuk menuju perkahwinan perlu membuua perkara yang haram terlebih dahulu? Adakah perlu keluar bersama-sama, berdua-duaan ke kedai makan? Belajar di perpustakaan bersama dan sebagainya perlu dilakukan agar bila berkahwin nanti rumahtangga akan selamat dan sejahtera?

Memang elok mengenali pasangan masing-masing sebelum berkahwin, tetapi berdua-duaan bukanlah caranya. Cinta sebelum kahwin tidak salah dan bercinta selepas kahwin pun lagilah tiada salah! Yang menjadi salah dan masalah ialah membuat perkara haram sebelum berkahwin. Setiap gadis sepatutnya membuka fikiran dengan iman. Jika mereka mengenali seseorang jejaka yang dicintainya, dan bila dia mengajak untuk keluar bersama-sama, ia adalah isyarat tentang bagaimana rendahnya pandangan lelaki tadi terhadap wanita itu.

Adakah si gadis ini berendapat lelaki ini adalah lelaki yang baik, dan sesuai untuk dirinya kerana menganggap lelaki ini suka akan dirinya? Ubahlah sedikit pemikiran saudari dengan iman, dengan pandangan bahawa jika belum berkahwin pun sudah diajak membuat dosa, adalah petanda bahawa lelaki tadi tidak mampu membimbing untuk menuju ke syurga Allah.

Jika selepas seronok berdua-duaan selama setahun, baru si lelaki melamar si gadis, kekasih untuk berkahwin, dan berkahwinlah mereka, apakah pengalaman semasa berdua-duaan itu akan mengindahkan lagi suasana suami isteri? Apakah ia akan menyemarakkan cinta ketika berumahtangga?

Bagaimana pula jika mereka tidak jadi berkahwin, tetapi sudah maklum kepada orang lain bahawa mereka adalah pasangan kekasih yang sentiasa berdua-duaan bagaikan merpati sejoli?

Realitinya, orang akan memandang rendah pada si gadis yang malang itu dan memandang hero si lelaki yang jahat itu. Ironisnya jika mereka terlanjur berzina, si gadislah yang menanggung beban dan menerima padahnya, sementara lelaki terus mencari mangsa dengan menjaja cinta kasanovanya.

Adakah mereka ini akan beristighfar atau bertaubat kerana telah melakukan perbuatan-perbuatan haram ketika berdua-duaan? Malah ada pasangan apabila terlihat berdua-duaan dulu. "Romantikkan? Walau diamarah oleh ayah...” tiada langsung perkataan- Astaghfirullah... kita telah membuat dosa masa sebelum kahwin dulu. Tiada langsung penyesalan.

Bagi pasangan yang berkahwin ekspres kerana kononnya terlanjur, tidak juga insaf dan memperbanyakkan taubat kepada Allah. Berdua-duaan ketika bercinta dulu, membawa padah serta mengukir catatan hitam dalam kehidupan iaitu lahirnya anak di luar nikah. Alangkah beratnya beban yang tertanggung si anak itu, yang tidak tersenarai sebagai anak yang sah. Tentunya hati ibu dan ayahnya akan menangis setiap kali menatap anak mereka itu, anak yang lahir dari persetubuhan haram. Itulah natijahnya berdua-duaan.

Dalam hal ini Rasulullah saw bersabda yang bermaksud; “Barangsiapa (lelaki beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka jangan sekali-kali dia bersendirian dengan seseorang perempuan yang tidak bersama mahramnya. Kerana yang ketiganya adalah syaitan.” (Riwayat Ahmad).

Khamis, Februari 14, 2008

Pilihan Raya Umum Menghampiri

Parlimen sudah dibubarkan
bendera-bendera semakin rancak naik
tak cukup pokok, tiang elektrik
orang sana jeling, orang sini pun jeling
entah adakah mungkin tiba-tiba
hendak pergi memilih, membuang undi
oh...pemilihanturaya pula yang datang.

sebuah puisi telah dihasilkan beberapa hari lalu, sebelum parlimen dibubarkan.

memangkah undi

sekeping kertas di meja
sebatang pensel di tangan
untuk memangkah undi
bakal berhormat meraih simpati
kerana mengidamkan sebuah kerusi
dan kedudukan dalam parti.

kenapa mengundi dipangkah?
bukan tandakan betul
adakah kerana yang dipangkah
memang tidak betul
janji dan manifesto?

pangkahlah undi
jangan rosakkan undi
walau apapun janji
janji tetaplah janji
walau hanya tinggal janji
walaupun segala kata
mungkin takkan dikota.

kerana memangkah undi
itulah tanggungjawab diri
memilih penduduk kerusi
untuk memimpin generasi
kesinambungan pertiwi.


Teratak Dayasari
KUALA LUMPUR

Rabu, Februari 06, 2008

Setelah setahun juga...

Puisi ini juga dinukil setahun lalu...selepas latihan tahunan intermediate.. kawan saya Nik Affendy kata blog saya ni elok diberi nama blog sajak..buleh 'masuk' ko?.. sumat molek...
-tentang puisi ni..tak nak la komen... tercoret tatkala rehat tengahari... hayatilah.

tika ni, saya masih guna nama Hasbullah H.M. Nama HASMORA tercetus bila saya dapat idea nak gabungkan tiga nama, datuk saya sekali.

IZINKAN AKU BERBICARA

Izinkan aku berbicara
walau aku agak bisu untuk berkata-kata
kerana apa yang terpendam di jiwa
agak meluap di dada
serasa akan melimpahi aksara-aksara asmara
kerana jiwa dan jasad ini tiada syarat dan terma
untuk menyinta dan dicinta.

Terasa bahang dalam nafsi
dek mabuk cinta Ilahi
lantas hilang dalam mimpi
pengembaraan mencari diri
yang terumbang ambing sendiri
dilanda arus duniawi
yang nisbi.

Izinkan aku berkata-kata
andai jika kataku dusta
tegurlah dengan bijaksana
walaupun engkau mungkin hanya penglipurlara
kerana akupun bukan pendeta
untuk mendabik dada
bahawa aku tahu segala.

Cinta sejati hanya wujud pada diri
yang padanya ada perimanusiawi
yang cintanya hanya kepada Rabbul Izzati
yang cintanya jua kepada Rasul Ilahi
yang cintanya kepada al-Kitab yang suci
dan aku harap diri aku begini
cintaku pada-Nya akan menjadikan aku abdi.

Ini adalah dunia yang fana
ramai yang sudah lemas dalam arusnya
dilanda ombak derita
tenggelam dalam kemewahan harta benda
terjerat oleh tipudaya dunia
kerana manusia itu alpa
dunia hanya fatamorgana.


Hasbullah H.M
Kolej Kediaman Kelima Universiti Malaya.
1345H
4 Februari 2007.

Jumaat, Februari 01, 2008

Setelah setahun...

Setelah setahun berlalu...barulah puisi di bawah ini ditatap orang.. Bergurindam dengan hidup dalam hidup..

Gurindam Hidup

Hidup kadang-kadang sukar
permudahkan dengan sabar.

Hidup kadang-kadang bahagia
panjatkan syukur kepada-Nya.

Hidup kadang-kadang rusuh
usahlah mencari musuh.

Hidup kadang-kadang senang
ingatlah susah pasti datang.

Hidup ini kadang-kadang derita
ujian Tuhan menguji hamba-Nya.

Hidup ini adalah bahtera
mati itulah pelabuhannya.

Sejauh manapun teruji hidup
hati yang panas perlu redup.

Apapun hidup mesti ceria
tak perlu bermuram durja.

Dalam menongkah arus
hidup ini perlu terus.


HASMORA MASNURI
Kolej Kelima Universiti Malaya
312356H Januari 2007.

Myblogloglaq