Selasa, Disember 29, 2009

Yang lebih dahsyat dari membunuh

Sabtu lalu saya bertemu Ustaz@guru saya yang menjadi sahabat, Ustaz Azman Yaakub. Beliau sudah berhenti menjadi guru. Ceburi perniagaan. Walaupun semasa di sekolah dulu kami rapat, tapi setelah saya keluar dari Al-Amir, kami sudah tidak berhubung.

Saya ada dengar kabar angin atau gosip yang saya ingatkan berita itu adalah benar. Saya sejak dengar dari kawan-kawan seakan-akan percaya dan pengetahuan saya tentang Ustaz Azman adalah begitu - telah mengahwini Samihah sebagai isteri keduanya. Namun setelah mendengar sendiri dari beliau ternyata itu semua hanyalah fitnah! Dia sudah lama 'lost contact' dengan samihah. Dia sendiri bertanya saya kalau-kalau saya ada nombor telefon Samihah. Dia kata Samihah mengelakkan diri darinya.

Saya mendapat kabar dari kawan Samihah tentang hubungan mereka, tapi saya sekadar mendengar. Tapi saya percaya dia memang menjadikan Samihah isteri keduanya. Beliau sendiri tergelak bila sampai kepadanya bahawa ada yang mengatakan sudah beranak dua dia dengan Samihah. Sungguh hebat penangan fitnah yang melandanya...

Saya pernah mendengar cerita lain tentang guru saya yang lain antaranya Ustaz Abdullah Junuh dan Ustaz Adnan, cuma tidak tahu kebenarannya setakat ini kerana sudah lama tidak bertemu. Tapi kalau Cikgu Rosli K. Matari, rasanya cerita tentangnya adalah benar semata-mata benar. Sekali dua fikir, hebat juga guru-guru saya ni. Cuma tidak terfikir pula saya hendak mengikut jejak. Entah, yang sorang ni pun rasa tak larat dah...

Fitnah memang lebih dasyat dari membunuh. Kerana fitnah rumah tangga boleh runtuh. Kerana fitnah juga negara boleh musnah...

Melambai-limbai

Minggu lepas adalah minggu yang penuh debaran buat para bakal guru, sama ada Sarjana Muda Pendidikan mahupun Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI). Saya lepasan Sarjana Muda Pendidikan Islam UM dan isteri saya pula DPLI UM, tidak terkecuali merasai debaran ini. Apa yang menyulitkan ialah nama-nama untuk para bakal guru agama tidak boleh disemak melalui ‘online’. Talian telefon Bahagian Pendidikan Islam (BPI) pula menjadi begitu sibuk hingga sukar ditembusi.

Hari ketiga selepas percubaan demi percubaan, hari Rabu, akhirnya saya dapat hubungi BPI dan saya dimaklumkan saya ditempatkan di Sabah. Begitu juga isteri saya. Segala puji dan syukur kepada Allah Taala jua. Tidak kisah saya merantau jauh asalkan isteri saya ada berdekatan.

Hari khamis saya dimaklumkan oleh Encik Rashid, pegawai di BPI supaya melapor diri di KLIA pada 30 Disember. Dimaklumkan juga barang dibawa tidak boleh melebihi 20 kilogram. Tapi saya tengok beg besar saya macam sudah melebihi amat. Menurut maklumat RM 15 setiap kilo caj berat yang lebih had. Nampaknya saya kena timbang dan saring barang dalam beg saya dan terutama beg isteri saya yang sendat semacam.

Gunung Kinabalu sedang melambai-limbai kami dan kami masih di semenanjung menanti esok untuk penerbangan pertama kami sepanjang hayat ini. Akhirnya merasa juga saya naik kapal terbang. Saya teringat sewaktu kecil apabila kapal terbang lalu di ruang udara rumah saya, saya menjerit “kapal terbang... mari ambik aku...!” kadang-kadang bila teringat terasa lucu.

Anak saudara saya sudah melapor di Labuan semalam. Kawan saya dua orang Saharudin dan Abdullah sudah melapor di Sarawak. Tapi dua kawan saya yang dapat Sarawak (Ucok dan Redzuan@Abang Teh) masih tidak tahu nasib mereka, melapor bila, dapat tiket percuma ke tidak. Tidak ada panggilan sama ada dari BPI mahupun JPN Sarawak.

Esok, 30hb 8 pagi sudah kena ada di KLIA. Pertama kali saya akan melambai kepada tanah semenanjung dan bumi Sabah akan saya jejak buat pertama kalinya. Kawan-kawan Sabah yang ditempatkan di Sabah sudah tahu kena di mana. Tenom, Tawau, Sandakan. Untungnya yang dapat kawasan kampung sendiri, Cuma Nizam agak jauh di Tenom. Rumahnya Kota Kinabalu. Alahai.. Sabah kan kampung laman hang.

Selamat menjalankan tugas buat semua sahabat yang baru ‘posting’. Semoga kita jalankan tugas dengan penuh ikhlas dan amanah.

Ahad, Disember 06, 2009

Realiti yang fantasi

Awal mula pertama mula, maaf dipinta andai ada yang terasa dengan apa yang akan saya luahkan ini, kerana ia adalah jeluak hati saya yang sesiapa berkenaan dengannya akan terasa jua kalau tidak banyak pun, sedikit.

Luahan ini sebenarnya agak klise, sudah banyak yang meluahkan maksud saya. Tidak puas hati dengan rancangan realiti tv. Realiti yang bagi saya hanyalah fantasi. Melampau-lampau hingga membuatkan saya cuak. Komen jurinya. Nyanyian pesertanya bolehlah berkira, tapi kasihan, budak-budak lagi sudah diajar begitu. Besar nanti tak tahulah.

Saya perhati, masyarakat kita memang sudah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain kerana pentas dan tempat duduk dalam dewan atau auditorium sudah setaraf dengan kebanyakan negara maju. Pemikiran dan selera juga berubah-ubah seiring dengan pemodenan dan globalisasi yang didendangkan dan berdengung di sana-sini. Namun apa yang malang, kebanyakan orang terjerumus dalam gaung istilah ‘hedonisme’ dan pembaziran emosi. Menyanyi dan menari menjadi kebiasaan. Kalau yang kita lihat di kaca tv sudah sedemikian, apatah lagi yang tidak ditayangkan. Kalau tidak sekarang pun akan datang. Bukan hendak bersangka buruk, tapi firasatnya kuat begitu. Firasat itu sebenarnya adalah pemerhatian kepada kebiasaan. Bukan rasa-rasa yang lahir dari perasaan prasangka.

Saya sendiri menonton juga idola kecil 2. Saja hendak lihat anak kepada seorang kawan yang dulu saya tengok kecil sekarang sudah besar panjang. Mak dengan isteri saya pun tengok. Lagipun Majalah 3 baru habis. Drama entah apa-apa, jadi tengoklah TV9 dihatiku itu. Kakak saya yang minat Arwah Sudirman mungkin akan memuji budak-budak ini kerana pandai bawa lagu dengan baik dan penuh penghayatan. Memang sedap lagu-lagu Sudirman. Saya dan kawan-kawan PALAPES pernah menggunakan ‘Pelangi Petang’ sebagai lagu perpisahan dengan jurulatih kami, Sarjan Rosli yang berpindah ke Pulau Pinang. Memang menyedihkan. Menusuk-nusuk kalbu hingga begitu memilukan. Huhuhuhu... Kami memang sayang jurulatih kami itu walaupun beliau layan kami macam anak tiri... hihihi...

Yang paling saya menyampah ialah di akhir rancangan, tak ubah dengan mana-mana rancangan realiti tv yang lain. Moyok macam kucing diherdik tikus bila menunggu pengumuman siapa yang akan disingkirkan. Pakat-pakat menangis bila diumumkan. Alahai, lebih dari berpisah takkan berjumpa semula. Macam apa entah. Audien dalam studio pun tumpang semangkuk sepinggan secawan. Inilah yang saya maksudkan sebagai pembaziran emosi. Perlukah kita menangis tersedu sedan hanya kerana disingkirkan dalam sebuah realiti tv? Banyak perkara yang sepatutnya mendapat simpati dan tangisan tetapi hanya dilihat tanpa apa-apa perasaan atau hanya sekadar menyatakan kasihan...

Saya mungkin tidak pandai menegur, tapi apa yang saya pernah belajar, menegur secara berhikmah tidak bermakna kita harus berlemah-lembut dan berbahasa penuh kiasan. Kerana kalau berkias sangat orang tak faham dan kalau terlalu berlemah-lembut orang ingat kita tak tegas. Kalau teguran ada yang terasa, itu lumrah.

Renung-renungkanlah bersama dan selamat termenung...

Sabtu, Disember 05, 2009

Kisah waris sedara mara

Ketika arwah cik masih ada, beliau pernah membawa saya sekali berjumpa dengan Wok Mud (arwah dia dulu sebelum Cik). Beliau tinggal di Pondok Jabi, dekat dengan Besut tak silap saya. Wok Mud namanya sebenarnya Mahmud, anak sulung Abdul Rahman atau Deraman, datuk saya sebelah Cik. Sebab itu orang memanggil datuk saya Pak Mamud. Kalau orang Arab, disebut Abu Mahmud. Saya tidak sempat melihat datuk saya. Tidak tahu pula tarikh beliau meninggal. Datuk panggilan kepadanya Pok Wo. Nenek pula Mok Wo.

Itulah kali pertama dan terakhir saya melihat Wok Mud. Tika tu saya meningkat remaja. Tingkatan berapa saya lupa. Sebab tu Cik bawa saya, bukan adik lain yang masih tak mengerti apa-apa. Sejak itu semangat untuk mengenali sanak saudara lain meresap dalam tubuh saya. Saya rasa ingin menjejak dan mengenal waris sedara mara yang terputus hubungan. Terlalu banyak batasan yang memisahkan kami. Masa dan tempat menjarakkan. Tiada kemudahan pihak ibu dan bapa salah satunya. Maklumlah, orang susah keretanya banyak termasuklah pemandunya. Cuma lesen kepala agung sahaja yang kurang.

Bulan lepas pula saya bertemu sepupu yang paling tua, anak sulung Wok Mud. Kalau dulu Wok Mud terlalu uzur dek sakit tua, pun begitu juga Abang Wi. Wok Mud matanya tak boleh celik dan bergerak pun mengengsot. Ingatan juga kurang. Namun Abang Wi cuma kencing manis dan buah pinggang. Bicaranya jelas dan ingatannya masih kuat. Beliau bercerita tentang kisah silam, tentang Cik adik beradik yang menjadi kawannya ketika kecil. Cik lebih besar darinya. Abang Wi kawakan Pok Nik Husin dan dan Pak Lah. Berebut kelapa condong depan rumah datuk. Pokok kelapa yang menjadi kuda. Zaman itu apalah yang ada sangat.

Bertemu dengan Abang Wi pun di hospital UKM-tak jauh dari SMK Seri Permaisuri tempat saya jadi guru ganti, dengan jasa Abang Di, anak sulung gemulah Poknik Husin. Kata mak, mujurlah dia masuk hospital boleh juga jumpa. Kalau tidak manakan boleh jumpa sebab Abang Wi orangnya sibuk sentiasa. Saya senyum saja mendengar kata mak. Ada logiknya juga.

Abang Wi antara yang bitara dalam keluarganya. Belajarnya di luar negara pada zaman awal merdeka. Tapi saya tak tahu apa sebenar kerjanya. Entah apa projeknya hingga sibuk benar.

Abang Wi menceritakan impiannya. Dia bercita-cita menghimpunkan seluruh keluarga anak beranak Pak Mamud di sebuah rumah tepi pantai Melawi. Rumah tradisi seperti yang pernah dia huni dulu. Supaya anak cucu merasai suasana yang pernah beliau alami. Saya ceritakan pada abang sulong saya tentang cerita impian Abang Wi. Jawabnya bersahaja, itu cerita lama. Cerita lama... kalau dia kenal Abang Wi lebih lama, cerita itu memang cukup lama.

Saya tidak mahu mengharap, tetapi kalau benar impiannya bukan sekadar impian, biarlah jangan biarkan ia hanya sekadar impian. Saya juga mengimpikan suatu hari nanti saya mengenali semua saudara mara waris waras saya dalam suasana yang harmoni dan gembira. seperti impian Abang Wi. Tapi kuat saya rasakan impian ini mungkin tidak akan menjadi nyata...

Myblogloglaq