Isnin, Jun 29, 2009

Nasihat sang ayah buat anak dan kawan-kawan


“Tim.. ayah bukan nak malukan kamu..” ini adalah antara bait ayat seorang ayah pada hari terbuka kemajuan pelajar SMKTDH sabtu lepas. Satu kelas kena ceramah dek ayah Hatim (nama sebenar..huk..). Mula-mula tika saya bagi keputusan ujian pertengahan tahun kepada sang ayah memang berdebar. Apa tak.. garang sungguh ayat-ayatnya.

“Hah.. tengoklah ni.. hasil kau kompang dengan bersilat.. ayah kompangkan kau nak” tangan diacu pada muka anak. Hatim menunduk. Kamera duduk diam. Tak berani saya nak angkat kamera ambil gambar. Saya hanya merayap satu sekolah dengan kamera selepas dua orang ibu datang.

Setelah itu Cikgu Azura ambil alih semula kelasnya. Terpaksalah dia ambil semula sebab saya dapat tugas baru yang tiba-tiba diberi Penolong Kanan Ko-K, “Wah Ustaz Hasbullah dah jadi speacialist cameraman la.. ” katanya sambil ketawa kecil. Kamera tu dihulur oleh cikgu Jega, dengan arahan Puan Saidatul. Faham tak ayat ni? Buat-buat paham je la ye.

“Hatim kat rumah buat apa bang?” pertanyaan klise untuk beberapa ibu bapa yang datang. Nak tanya apa lagi kalau bukan aktiviti budak kat rumah.

“Ni kalau duk kat rumah dapat benda yang kecik tu yang tu la dia hadap sampai tengah malam. Suruh baca buku tak mau dia..” yang dimaksudkan ialah telefon bimbit. Nak buat macam mana bang, dah abang tak larang dia main henset. Kata saya dalam hati.

“Saya guru silat sekolah ni, tapi saya tak ajar dia silat. Mak sedara dia pulak mengajar kompang sekolah ni tapi tak ajar dia kompang.. ni lah sebabnya..” kata ayahnya budak. Apa tidak bengang bapaknya bila tengok keputusan anak dari 10 matapelajaran hanya dua saja yang lulus.

“Ayah tak pernah dapat keputusan macam ni.. Ayah dulu sekolah Aminudin Baki lagi.. bukan calang-calang sekolah.. buku kemajuan sekolah ayah ada lagi.. kau pernah tengok kan?” Hatim menunduk mungkin rasa malu dan bersalah.

“Kalau bukan sebab kakak dia yang telefon mintak saya datang saya tak datang ni cikgu.. saya kerja jauh” lupa dah dia kerja mana.. huhu.. tapi dengarnya memang jauh. Klang ke.. itulah anak-anak.. ayah sanggup berkorban apa sahaja. Sibuk kerja pun sanggup tinggalkan kerja.

“Kamu tahu tak sekarang anak muda kita?” tanya ayahnya budak pada kelas tu. “Pakcik kerja dengan Gerakan Khas.. kerja terjah tempat mat pet.. kamu tahu siapa yang ramai? Orang melayu kita.. pakcik sedih tengok yang di pusat serenti tu 80 peratus anak Melayu” macam tu lah lebih kurang ayat dia.

“Kalau nak beruniform ke, main ke.. ada masa dia.. bukan tak boleh.. tapi pelajaran paling penting.. saya ada sorang adik angkat cikgu..” dia paling kat saya pulak.. “tapi dia sejak sekolah aktif silat je.. pelajaran entah ke mana.. nak kerja apa? Sijil silat ingat boleh buat kerja ke.. sekarang kerja entah apa-apa..”

“Kamu ambil result ni kamu bagi kat mak kamu di rumah.. tengok apa nasib silat dengan kompang kamu..”

“Ni pakcik nak cakpa sikit pada yang lelaki ni.. kamu besok nak bagi makan anak orang.. jadi apa yang kamu belajar sekarang bakal menentukan kerja kamu besok.. ingat kita laki ni ada tanggungjawab besar.. nak bagi makan anak orang ingat senang? Masa ni lah korang nak belajar.. besok menyesal tak guna dah ” itulah antara bait-bait akhir sang ayah. Banyak kata-kata mutiaranya yang saya kutip tapi entah di mana jatuhnya. Banyak enzim kepala ikan sungguh. Sel semut pun ada barangkali.

Budak-budak tetap menunduk. Dapat pengajaran barangkali. Kalau semua yang hadir ni datang pada Kem Bina Insan tingkatan Tiga awal bulan hari tu, mungkin dapat suntikan semangat sempena PMR tahun ni.

“Ingat Hatim, ada dua tahun lagi.. dua tahun lagi..” sang ayah maksudkan SPM. “Kamu semua jangan hampakan harapan mak ayah yang hantar kamu mengaji 11 tahun sejak darjah satu sampai SPM” pendek pulak perhitungan pakcik ni. Saya belajar lebih dari tu. 6 tahun sekolah rendah (tiada tadika saya ye.. tak bodoh pun.huhu). Lapan tahun di sekolah menengah. Jadi.. 14 tahun! Wah ana tipu ke? Tak.. tak tipu.. haha.. apa salahnya belajar lama-lama kan.. Sekolah menengah mula dengan peralihan, lepas SPM sambung STPM tapi STPM pertama saya tak dapat selesaikan kerana masalah kesihatan. Paham ke dak nih? Buat-buat paham la ye.. haha.

Dalam hati saya ada juga menyalahkan sang ayah yang mungkin tersilap didikan dan asuhan. Kurang memberi perhatian dan dorongan. Anak jika mendapat motivasi dari ibu bapa akan lebih bersemangat untuk belajar. Kalau selalu kena marah maki hamun anak mana tak menurun dia punya semangat.

Cik (ayah) dan Mak saya selalu juga beri kata peransang dan nasihat dorongan walaupun mereka sekolah atap dan tidak melanjut pelajaran. Mak saya sampai darjah empat. Mak selalu sebut tentang datuk yang tidak ambil berat pada pelajaran anak-anak. Sebab tu lah mak taknak jadi macam dia. Cik pun orang mengaji tapi tak dapat sambung sebab datuk tak mampu. Jadilah cik seorang pendikir dan guru dikir di samping penjejak guru silat. Gelanggang mana dia tak berlimau, katanya dulu.

Sesekali bila saya teringat zaman remaja saya dulu, kenapa cik lebih banyak bercerita kepada sayaberbanding kepada adik-beradik saya yang lain.. mungkinlah saya anak lelaki yang jauh dari si sulong dan berminat dengan silat dan dikir barat seperti sulong juga. Tapi si sulong tidak banyak waktunya di rumah kerana sudah terbiasa tak lekat rumah sejak sekolah berasrama di Pengkalan Chepa, SM Faris Petra kemudian ke UIA dan bekerja di KL sebelum pulang ke Kelantan tika zaman ekonomi meleset 1998. Namun banyak yang dapat tahu dari cik tapi saya tak tahu. Harap dia tahu dari Cik bahawa keluarga kami bersusur galur kerabat Diraja Jembal juga. Cuma tidak memakai gelaran.

Nasihat saya kepada yang berkenaan, belajarlah menjadi ayah yang baik segenap sudut. Bukan sekadar mencari nafkah untuk keluarga sahaja. Luangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak. Kemarahan bukan cara mendidik yang bagus tapi ketegasan itu perlu pada tempat dan masanya. Mungkin ini adalah teori saya yang belum menjadi bapa, tapi saya banyak perhati, belajar dan mengambil iktibar dari perlakuan dan tindakan ramai lelaki yang berpengalaman manjadi ayah.

Er.. sama-samalah kita muhasabah dan saling memberi ingat.. demi anak-anak yang soleh. Semoga mereka mendoakan kesejahteraan kita bila kita tiada.

Wallahu a’lam.

Ahad, Jun 28, 2009

Nakal tak bermakna jahat

Semalam kena ‘relief’ sebuah kelas tingkatan empat. Kelas majoriti pelajar India. Waktu yang saya ganti pula mata pelajaran Sivik, guru India juga pengajarnya. Dan waktu ini dipisahkan antara India dan Melayu kerana Melayu mengambil Pendidikan Islam.

Setengah jam sebelum saya masuk kelas guru itu mendapatkan saya dalam bilik guru dan mengajak saya berbincang di luar. Sedikit pelik juga. Kenapa mesti di luar?

“Cikgu lepas ni relief kelas 4 KI kan?” cikgu dan pelajar India membiasakan panggilan cikgu kepada saya, bukan ustaz seperti cikgu dan pelajar Melayu lain.

“Ya saya, kenapa ya cikgu?” saya bertentang mata dengan cikgu India yang mungkin dalam 50 tahun umurnya. Lemah-lembut bicaranya. Melihat gaya pula kalau cikgu macam ni budak nakal tak makan dek saman.

“Saya terpaksa keluar sekejap lagi hendak ke sekolah rendah anak saya untuk ambil kad kemajuannya. Jadi begini cikgu, kelas tu kelas budak India. Cikgu nak masuk kena bawak itu rotan kerana budak-budak jahat, terutama yang lelakinya.” Saya sedikit tersentak. Jahat?

Perbincangan tak lama. Dia pun nak cepat. Saya masuk bilik guru dan meminjam rotan cikgu Rezal. Lucu juga rasa bila ada pelajar kenal rotan ni, “Ni rotan cikgu Rezal ke cikgu?” haha.. lagipun cikgu Rezal memang suka bawak rotan ke kelas.

Arakian saya ke kelas tersebut dan seperti yang dikhabarkan maka memang begitulah rupa. Pada awal memang tidak terkawal. Budak berjalan berlari dan bergurau. Gurau biawak kawan saya kata kalau macam ni. Kapur hancur dilempar pada muka kawan. Tak dapat tidak saya terpaksa mengugut dengan rotan. Budak diam sikit. Tapi ada sorang semacam tak puas hati. Saya bersangka baik muka dia memang macam tu. Lagipun saya tak marah dia sebab dia tak terlibat dengan geng nakal.

Seorang bersembang dengan saya. “Cikgu belajar di mana cikgu?”

“UM, kenal kan?”
“Ya.. kenal.. Kakak saya UKM, cikgu Bahasa Inggeris.. saya pun nak masuk U macam kakak saya” ada nada bersungguh. “Lagi sorang kakak saya minggu depan lapor masuk UUM..”tambahnya lagi.

“Awak nak jadi apa?” saya menduga. Orang lain tiada yang menyampuk.

“Saya nak jadi engineer.. tapi Matematik saya 50 saja..” ayat semacam pasrah.

“kalau Awak nak jadi engineer kena belajar sungguh-sungguh lah.. matematik, sains, bahasa Inggeris..”

“Wajib lulus Bahasa Melayu kan?”

“Mestilah.. tak lulus tak dapat sijillah.” Setelah habis setengah jam sahabat saya datang menggantikan.

Saya kembali ke bilik guru dengan dalam kepala memutar-mutar filem semasa berbicara dengan cikgu India yang terpaksa meninggalkan kelas kerana urusan di sekolah anaknya. Duduk sambung makan rojak jamuan perpisahan seorang guru GSTT yang dapat tawaran DPLI UPSI. Beberapa ketika saya terfikir, budak-budak ni haruskah dipanggil jahat?

Ah.. pelajar nakal di mana-mana tapi nakal tak bermakna jahat!

Sabtu, Jun 27, 2009

Bukan cerpen saya.. haha

cerpen ini bukan cerpen saya.. tapi kerana ada nama saya maka saya abadikan dalam blog ini.. cik mazmi ni kenal saya ke ek.. huhu. kebetulan Yusman pun senior saya

Cerpen: Sahabat yang terjebak

Oleh Mazemie Maz

“KAUCAKAP senanglah. Kau tak duduk tempat aku ....!” sergah Hasbullah, apabila aku bertanyakan keadaannya. Aku pun tak sangka dia sanggup berkasar dan menyergah aku sebegitu, setelah lima tahun kami tak berjumpa.

“Aku sebenarnya .…”

“Sudahlah Yusman. Kau pun sama macam ummi aku. Macam walid aku. Macam adik-adik aku ....!” sergah Hasbullah lagi.

“Sebab mereka tak nak tengok kau terus macam tu ....!” Aku bersuara setelah terkedu seketika.

“Macam apa? Syaitan ....? Iblis ....?”

“Hasbull ....! Kenapa cakap macam tu ....?”

Hasbullah menggenyeh-genyehkan hidungnya berkali-kali. Macam penagih dalam ketagihan. “Kenapa kau nak bersyarah dengan aku? Kenapa? Jahat sangat ke aku ni ....?”

“Hasbull ....! Siapa kata kau jahat?” aku cuba memujuk dan mengatur langkah mendekatinya.

“Heh ..., kau diam boleh tak ....?” suara Hasbullah semakin tinggi. Jari telunjuk kanannya serentak menuding ke arahku. Sementara jari-jari kirinya menggenyeh-genyeh hidungnya lagi berkali-kali. Ternyata dia benar-benar marahkan aku. Dia seakan tidak menerima kehadiranku yang bertujuan untuk menegurnya supaya menjadikan dirinya kembali seperti sebelumnya.

Hasbullah kemudiannya bermundar-mandir di bawah pokok rendang di tepi sungai di belakang rumahnya.

Sejak seminggu pulang bercuti, aku baru berkesempatan berjumpa dengannya. Sebelum ini, berkali-kali aku pulang bercuti ke kampung, tak pernah pula ternampak kelibatnya. Sedangkan aku berhasrat sangat untuk bertemu dan bertanyakan khabarnya. Aku sesungguhnya tidak menduga dia terjebak dengan dadah sehingga sejauh itu.

2 HASBULLAH, sahabat sekampungku. Perhubungan kami teramat baik sejak dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah. Kerap bermain-main bersama-sama. Memikat burung bersama-sama. Meronda-ronda berbasikal sekeliling kampung pun bersama-sama. Dengan seorang lagi sahabat kami yang juga sepupuku, Naswir. Kami sering terhibur dengan gelagat nakal dan gila-gila Hasbullah.

Semasa di sekolah rendah, Hasbullah kurang cerdik. Tidak sebagaimana aku dan Naswir. Di dalam kelas, antara kami, sejak dari darjah satu hingga darjah enam, hanya aku dan Naswir berlumba-lumba belajar untuk mendapatkan tempat pertama dalam kelas pada setiap penggal. Kalau aku dapat nombor satu dalam kelas, tempat keduanya pasti milik Naswir. Begitulah juga sebaliknya.

Semasa di sekolah rendah lagi, aku dan Naswir sudah pandai menulis dan membaca jawi. Kelebihan itu akan memudahkan aku dan Naswir untuk belajar bersolat. Hingga aku dan Naswir selalu mendapat pujian daripada Ustaz Omarul.

Hasbullah kurang pandai menulis dan membaca jawi, walaupun dia anak kepada Ustaz Omarul yang mengajar mata pelajaran pendidikan Islam di sekolah kami.

“Lepas sekolah rendah nanti, kamu nak sekolah di mana, Yusman?” Ustaz Omarul ingin tahu jawapanku.

“Saya nak ke sekolah menengah biasa saja, Ustaz,” jawabku teragak-agak.

“Kenapa nak masuk sekolah menengah biasa? Kenapa tak nak belajar di sekolah menengah aliran agama?” Ustaz Omarul sedikit kurang senang dengan jawapan yang kuberikan.

“Entahlah Ustaz ....”

“Ustaz suka kalau Yusman masuk sekolah agama. Kemudian jadi ustaz .…”

Aku sekadar tersengih.

Ustaz Omarul memang berhasrat melihat aku menyambung pelajaranku ke sekolah aliran agama. Impiannya mahu melihat aku menjadi seorang ustaz sepertinya. Itu yang pernah Ustaz Omarul luahkan kepada ayahku.

“Yusman tu cerdik budaknya. Belajar pandai, sembahyang pandai. Baca dan tulis jawi pun boleh. Jarang budak sebaya dia boleh baca dan tulis jawi. Saya yakin dia boleh jadi ustaz suatu hari nanti,” Ustaz Omarul memuji kebolehanku sewaktu sedang berbual-bual dengan ayahku. Dia kerap mengunjungi keluargaku.

“Saya tak kisah, Ustaz. Saya ikut saja mana yang Yusman suka,” balas ayahku.

3 MUNGKIN sedikit kehampaan terpacak di pundak Ustaz Omarul apabila dia mendapat tahu yang aku menyambung persekolahanku ke sekolah menengah biasa. Sama seperti anaknya, Hasbullah, tetapi Naswir yang berminat memasuki sekolah menengah aliran agama.

Naswir dan Hasbullah bagaimanapun tidak ke mana juga. Selepas tamat tingkatan lima, masing-masing membawa haluan sendiri.

Naswir kiranya bernasib baik kerana berjaya menjadi kerani di pejabat daerah di tempat kami. Tiga tahun selepas itu, Naswir menjalankan perniagaan menyewa kereta secara sambilan. Hingga kini, selain perniagaan sewaan keretanya semakin berkembang maju, dia juga memiliki sebuah pasar raya mini di kampung kami. Dia memang seorang yang berwawasan walaupun tidak berpelajaran tinggi. Dia berminat dalam bidang perniagaan.

Aku pula dapat melanjutkan pengajian di Kuala Lumpur dan terus bekerja di kota raya setelah tamat pengajianku selama tiga tahun. Kini sudah hampir tujuh tahun aku menjadi penghuni kota yang penuh dugaan dan cabaran ini.

Sementara Hasbullah pula tenggelam punca dalam kehidupannya. Kerana berkawan dengan tidak keruan, dia akhirnya terlibat dengan penagihan dadah. Astaghfirullah-al-azim ....! Aku agak terkejut juga mendengar perkhabaran malang mengenai sahabatku itu daripada adikku, Yusmar.

“Dia dah teruk sangat dah. Kalau tak dapat duit nak beli dadah, bukan rumah saja dibalingkannya dengan batu, ummi dan walid dia pun sanggup diugut dengan pisau,” cerita Yusmar melalui telefon setiap kali aku menghubunginya.

Aku sekadar mampu menggeleng-gelengkan kepala. Antara percaya dengan tidak apa yang aku dengar itu.

“Betul, bang. Yusmar tak bohong. Begitulah keadaan Hasbullah sekarang,” jelas adikku itu bersungguh-sungguh apabila aku melahirkan keraguan dengan apa yang aku dengar dari mulutnya.

“Umi dan walid dia macam mana ...?”

“Nak kata macam mana. Sudah kerap benar dia keluar masuk pusat serenti. Tapi masih macam itu juga,” ujar Yusmar lagi.

Pernah tiga tahun lalu, sewaktu aku pulang ke kampung aku sempat berbual-bual dengan Ustaz Omarul mengenai Hasbullah. Ternyata Ustaz Omarul amat terkilan dengan apa yang terjadi kepada anaknya. Dia juga tidak dapat menyembunyikan perasaan malunya kepada jiran-jiran dan seluruh masyarakat kampung sejak penglibatan Hasbullah dengan penagihan dadah yang berterusan itu.

4 “BERSABARLAH, ustaz. Mungkin masih ada peluang untuk selamatkan dia …” ujarku yang cuba menyelami perasaan Ustaz Omarul.

“Ustaz dah puas menanggung malu, Man. Malu dengan perbuatan anak ustaz sendiri,” Ustaz Omarul meluahkan perasaan hatinya.

Aku mengeluh. Turut menumpang rasa dengan apa yang dialami Ustaz Omarul.

“Ustaz mengajar anak orang lain supaya menjadi baik … menjadi manusia berguna …” Ustaz Omarul cuba menahan sebak. “Tapi anak ustaz sendiri yang jadi manusia tak berguna. Sampah masyarakat. Macam mana Ustaz tak malu, Man. Sudah tak tahu di mana lagi Ustaz nak sorokkan muka Ustaz ni ...!” Ustaz Omarul terus meluahkan apa yang terbuku di hatinya setelah sebaknya kembali reda.

Aku turut diburu rasa terharu setiap kali aku menatap wajah Ustaz Omarul. Sebenarnya aku pun tidak pernah menyangka yang Hasbullah boleh terlibat dengan dadah sejauh itu. Sewaktu di sekolah menengah dulu, aku pernah juga cuba-cuba merokok, tapi Hasbullah yang menegahku dengan mengugut akan memberitahu kepada ayahku jika aku teruskan hasratku itu. Disebabkan tegahannya itu aku mencampakkan rokok yang sebatang di tanganku itu ke tepi semak.

Aku dapat menyelami dan menduga hati walid dan umminya. Anak sulung yang diharap sebagai pengganti ketua keluarga setelah ketiadaan kedua-duanya, hidup tanpa keruan akibat terjebak dengan penagihan dadah. Betapa kecewa dan hampanya hati ummi dan walidnya itu.

“Semalam Ustaz Omarul kena serangan jantung,” beritahu Yusmar sewaktu aku menghubunginya di pejabat.

“Apa Ustaz Omarul kena serangan jantung? Kenapa? Parahkah dia?” aku tidak sabar ingin tahu.

“Puncanya kerana Hasbullah .…”

“Hasbullah lagi?” aku tiba-tiba melepaskan keluhan kesal.

“Dia mengamuk. Dia membaling rumahnya dengan batu bertubi-tubi,” ujar Yusmar.

“Sebab tak dapat duit nak beli dadahlah tu?” aku cuba mengagak.

“Huh .… apa lagi. Itulah selalunya. Kalau giannya dah sampai, dia bukannya peduli apa lagi. Minta duit dengan ummi dia untuk belikan dadah. Bila tak dapat, rumah yang jadi mangsanya. Tapi kali ni agak teruk dia mengamuk. Menjerit-jerit … memekik-mekik macam orang hilang akal ...! jelas Yusmar lagi.

5 USTAZ Omarul yang sudah lama menanggung malu dengan perbuatan anaknya itu, sudah tidak tersabar lagi agaknya. Penyeksaan yang ditanggungnya sekian lama telah diterjemahkan melalui jantungnya. Dan khabar yang menyedihkan aku terima, Ustaz Omarul telah pergi buat selama-lamanya setelah koma selama seminggu.

“Innalillahiwainna-ilaihirajiun.”

Dan betapa aku begitu berat untuk menerima kenyataan itu.

Betapa aku turut menumpang sedih dengan apa yang telah berlaku. Lebih mengharukan kerana aku tidak berpeluang menziarahi arwah Ustaz Omarul kerana kesibukan tugasanku. Namun dari jauh aku tidak lupa sedekahkan al-Fatihah buat arwah.

“Sudahlah, Yusman. Kau jangan ganggu aku lagi. Aku lebih senang dengan cara hidup aku macam ni ...!” lamunanku tersentak dengan sergahan Hasbullah yang tiba-tiba terhenti bermundar-mandir di bawah pokok rendang di tepi sungai itu. Sepasang matanya yang layu memandang ke arahku.

Aku dapat tahu yang Hasbullah ada di bawah pokok rendang itu daripada adiknya. Kebetulan aku singgah seketika di rumahnya untuk bertanyakan khabar keluarga arwah Ustaz Omarul.

“Senang apanya, Hasbull. Macam mana kaukata kau senang dengan cara hidup macam tu? Hidup tak serupa orang lain?” balasku dengan suara yang agak tinggi. Memang aku berhasrat sangat untuk bersemuka dengannya setiap kali pulang bercuti ke kampung. Tetapi kesempatan itu tak pernah ada. Ada kalanya aku pulang bercuti, Hasbullah pula berada di pusat serenti.

Tetapi hari itu aku berpeluang berjumpa dengannya. Dia baru seminggu keluar dari pusat serenti. Namun, begitulah selalunya. Pusat serenti tidak pernah mengubah keadaan hidupnya yang tersesat jauh itu. Dia pulih hanya seketika. Kemudian kembali kepada asal. Malah, aku juga agak terkejut apabila dia seakan-akan tidak bergembira berjumpa denganku. Sah, memang akalnya tidak sempurna. Itulah yang dapat aku mengagak. Dia bagaikan tidak pernah mengenali diriku yang juga sahabat karibnya sejak dulu.

Walaupun petang itu aku tidak berpeluang berbicara panjang dengannya, namun aku berjanji akan berjumpa dan bersemuka dengannya lagi. Aku terpaksa pulang ke Kuala Lumpur kerana tugas. Aku masih ingat pesan arwah Ustaz Omarul yang pernah meminta agar aku bersamanya dalam usaha membantu Hasbullah kembali ke pangkal jalan dan kembali menjadi manusia yang sempurna dengan menjauhi dadah dalam kehidupannya.

Aku merasa sedikit kecewa kerana hasrat Ustaz Omarul untuk melihat Hasbullah pulih seperti biasa tidak kesampaian. Dan aku berjanji akan menyambung hasratnya itu.

6 NAMUN sebulan setelah aku kembali ke Kuala Lumpur, aku mendapat khabar yang juga mengharukan. Kali ini khabar yang Yusmar sampaikan agak memeranjatkan juga.

“Bang, Hasbullah dah tak ada lagi. Baru sebentar tadi dia disahkan meninggal dunia.” Begitu pesanan ringkas yang aku terima daripada Yusmar. Ketika itu aku baru saja untuk memulakan mesyuarat mingguan dengan kakitangan di pejabatku.

Mesyuarat aku tangguhkan seketika. Aku terus menghubungi Yusmar untuk mendapatkan pengesahan. “Dia meninggal dunia kerana mengambil dadah berlebihan,” beritahu Yusmar.

“Innalillahiwainna-ilaihirajiun .…”

Kesedihan dan kehampaanku berbaur. Namun aku sedar aku tidak dapat mengatasi takdir Allah. Sesungguhnya takdir Allah itu mengatasi segala-galanya. Semoga roh Hasbullah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman. Amin ...!

Biodata:

MAZEMIE MAZ atau nama sebenarnya Mazmi Muhammad dilahirkan di Kuala Terengganu dan dibesarkan di Dungun. Mula menulis sajak dan cerpen pada awal 1980-an. Sajak pertamanya disiarkan dalam Watan dan diikuti majalah Wanita. Cerpen pertama disiarkan dalam Mingguan Perdana. Novel kanak-kanaknya, Biragas Makhluk Asing diterjemahkan ke bahasa Inggeris.

Karyanya masih mendapat tempat dalam media arus perdana tanah air. Pernah bekerja di jabatan kerajaan selama empat tahun sebelum menyertai syarikat penerbitan akhbar dan majalah tanah air bagi melebarkan minat dalam bidang penulisan. Pernah berkhidmat sebagai editor untuk akhbar dan majalah kanak-kanak, kereta dan motor sebelum membuat keputusan menjadi penulis bebas. Beberapa lirik lagu ciptaannya dinyanyikan sejumlah penyanyi popular tanah air. Novel terbarunya, Kenangan Semalam, sudah beberapa kali dicetak ulang.

Khamis, Jun 04, 2009

Bila Bangunan Runtuh

~ini bukan ultraman.. tapi resakse..


bangunan runtuh bila bina tak kukuh
akhlak runtuh kerana iman tak ampuh
semuanya runtuh bila Tuhan jadi musuh
bila yang Tuhan suruh buat acuh tak acuh


~gambar ambik tepek dari blog Zaid Akhtar.. timo kaseh deh~

Dua Pupu Ke Turki

Ustaz Sin, Abe Mat Mesir, Pok Su Wa, Pak Lah (ambolah) Awie tiada dalam gambar sebab dia kameraman.

Seorang woris saya ke turki dua hari lepas. Untuk cari bahan kesarjanaan PHDnya. Wah.. sampai turki ye. Setelah mengenali sejak di tingkatan empat rentetan perbualan depan maktabah hinggalah ke hari ini, tentulah ini pencapaiannya yang paling saya banggakan. Saudara-mara saya yang lain boleh menghubungi saya kalau nak mengaku woris (maksudnya merapatkan persaudaraan alias jejak kasih). Maklumlah zaman moden ni jurang persaudaraan makin jauh. Alaahai..

Anuar Mamat memang teruji kebitaraannya sejak di bangku Maahad Amir Indra Petra lagi. Sejak peralihan melompat ke tingkatan satu yang dipanggil tingkatan satu khas seterusnya cemerlang dalam PMR dan sempat ke kelas sains tulen di Maahad Muhammadi. Namun jiwanya tidak sun dengan kelas di sana menyebabkan dia kembali ke sekolah lama. Penolong kanan ingin menempatkan dia ke kelas teknik, menambah bilangan lelaki yang hanya 6 orang termasuk saya, namun dia tetap memilih aliran sastera. Memanglah dilihat luarbiasa bila cemerlang PMR tapi pilih kelas biasa. Baginya itu bukan suatu yang pelik, dan dia memang hanya minat mendalami bidang pengajian Islam, bukan teknik atau sains.

Kebitaraannya terserlah di pentas pengucapan. Para guru sendiri terpegun dengan kebolehannya yang petah berpidato di depan dua ribu pelajar. Kata seorang ustaz yang kebetulan duduk di tepi saya “ana pun tok leh kecek lagu ni.. mantap nuar.. kagum ana”. Masa tu saya jadi pengerusi majlis. Yang memang selalu saya yang ambil sebab anak buah ramai sangat gugup tak bersedia.

Saya tidak tahu apa perasannya ketika berucap. Gugupkah atau tidak. Yang tentunya ucapannya yang yakin, bernas dan mantap membuatkan semua orang ternganga. Mungkin ada yang berkata “tuan yang bercakap tak padan dengan saiz” haha.. jangan marah.

Saya masih ingat ketika pertama kali mempengerusikan perhimpunan, rostrum bergegar bila saya memegangnya. Tak lain tak bukan disebabkan saya yang bergetar. Masakan tidak mata dua ribu orang melihat kita di depan. Sudahlah berbaju hijau muka hitam hangus terbakar dek kawat memanjang.

Saya pasti dua pupu saya itu adalah orang pertama di tanah Beris Kubur Besar yang terus menyambung ke peringkat PHD selepas tamat ijazah pertama. Juga orang pertama alumni Al-Amir ke Turki mencari bahan untuk PHD. (Kalau ada yang lain boleh maklumkan di ruang komentar..hehe)

Semoga beliau selamatlah di sana selama dua minggu ini. Malam tadi ketika SMS dengan Ustaz Muhsin katanya orang di sana baik-baik dan perjalanan program setakat ini lancar. Mudah-mudahan Allah permudahkan urusannya di sana.

Di KLIA, bertemu sahabat yang berkenalan di PPMN lepas, Ustaz Zulkhair. Beliau ingin ke Qatar. Ada wacana ilmiah katanya.Terkial-kial berbasa-basi dengan teman Turki yang ada di sebelahnya. Pertemuan tidak lama kerana bergegas dengan rombongan menghantar Anuar. Abe Mat Mesir selaku orang yang amat berpengalaman di ‘bandara’ KLIA tentulah pembimbing terbaik buat Anuar dan kami yang pertama kali berurusan dengan penerbangan.

Setelah bersalaman dan bersalam dan salam lagi barulah berpisah dengan sahabat rafik saya itu. Lucunya apabila beliau sudah di bawah, berjalan terus dengan telefon melekap di telinga hingga tidak dengar kami memanggil untuk lambaian terakhir. Aduuhai..

Pulang dari KLIA kami para penghantar Dr. Anuar (baca bakal..hehe) ke Restoran Rawsyah di Jalan Damai. Sekilo Madghut tidak cukup tambah lagi setengah kilo. Perut yang hilang kawalan semakin ke depan tidak mampu menampung lebih banyak beban. Haha.. tapi dua pinggan juga malam tu. Abe Mat lain.. dia orang Arab. Tapi saya rasa, kalau ada ulam budu memang jelira malam tu. haha

Selasa, Jun 02, 2009

Kugiran Kenduri Kahwin Taman Bukit Angkasa

Setahun sudah saya mendiami Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam. Sudah bermacam rencam-rencana saya lalui. Namun, setakat ini tidaklah saya lihat ia semakin baik.

Ahad lepas ada kenduri kahwin atas jalan masuk ke blok 21. Tepatnya blok 19. Seperti lumrah berlaku di mana-mana di taman perumahan di Kuala Lumpur, bila buat atas jalan maka akan mengganggu lalu-lintas. Namun bukan soal lalu-lintas yang mengganggu nurani saya. Tapi perkara yang bagi saya tidak diperlukan dan membazir – kugiran alias hiburan. Bahkan kerana hiburan seumpama inilah yang mengklasifikasikan walimatul urus yang digalakkan oleh Islam daripada harus menjadi haram.

Sebelah siang saya lihat kumpulan gila hiburan (kugiran) hanyalah sekadar biasa. Itupun sebab saya sekadar lalu. Tak pernah saya bertandang tumpang makan kalau ada kenduri. Orang tak ajak takkan nak pergi. Sebelah malamnya amatlah mengecewakan saya. Bercampur lelaki perempuan berdansa diiring lagu kugiran. Jelas nampak kelihatan walaupun hanya sekadar lalu. Saya yang pulang dari rumah kawan yang buat majlis solat hajat dan bercukur hanya mampu menggeleng dan berkata-kata kecewa sesama kawan yang bawa motor. Ingatkan nak ambil video atau gambar. Tapi tak jadi memikirkan ada risiko jika buat begitu dengan pakaian baju melayu dan kopiah. Ah... Belum berubah lagi rupanya masyarakat kita.

Patutlah tak ramai orang kat surau. Rupanya ramai manusia yang macam ni. Nampaknya Kak Izzah Anwar selaku AP Lembah Pantai kena ambil pendekatan merubah fenomena begini paling tidak kawasan Taman Bukit Angkasa yang didiami oleh kebanyakan mahasiswa Universiti Malaya. Memanglah mahasiswa pun ramai yang spesis tak sedar diri, sama ada yang tinggal di dalam atau di luar. Sekurang-kurangnya beliau sebagai orang kuat Pakatan Rakyat yang mewakili Lembah Pantai di parlimen menjadi contoh dan menangkis tanggapan sesetengah orang yang pesimis melihat kemampuan AP muda menewaskan Kak Jat PRU lalu. Golongan muda memang memerlukan contoh dalam kalangan muda sebagai tauladan.

Ini hanyalah catatan kecil dari insan kerdil. Politik kepartian bukan bidang saya. Tapi tidak semestinya berpolitik hanya di atas landasan kepartian. Dan landasan politik perlu untuk berdakwah kepada masyarakat seumpama ini kerana dakwah melalui contoh tauladan pemimpin mudah dan cepat berkesan berbanding penceramah dan pendakwah di televisyen yang hanya dilihat kaki masjid. Kaki liburan tentunya cepat-cepat alih siaran hiburan. Kan banyak siaran tv kita sekarang ni. Macam-macam ada.. tepuk dada tanya iman laa..

Empat Minggu Latihan Mengajar

Para bakal guru di Hari Guru SMKTDH

Tak terasa sudah empat minggu saya jalani latihan mengajar di SMK Taman Dato’ Harun. Minggu ini kalau dikira minggu kelima, namun cuti sekolah 2 minggu menyebabkan latihan secara otomatiknya terbantut. Mungkinlah juga salah satu dari latihan. Iaitu latihan cuti sekolah. Latihan mengatur cuti dengan bijaksana. Haha. Tapi latihan cuti tidak begitu relevan buat manusia lelaki bujang seperti saya dan ramai lagi yang terkial-kial cuba menamatkan zaman berpoya-poya ini. ~maksud saya, zaman yang masih boleh ke sana-sini sesuka-suki tanpa terikat dengan insan bergelar isteri. Alaahai..

Bidang perguruan memanglah pilihan hati nombor satu saya, bukan askar. Kalau tak saya tak pilih sampai empat pilihan berturut-turut masa isi borang UPU dulu. Tapi askar tetap minat dan hobi saya. Sebab itu saya masuk PALAPES. Namun ramai yang kata saya lebih sesuai jadi tentera. Mungkin sebab imej saya yang tegap dengan rupa paras yang tegas dan garang. Memanglah, kalau saya tidak melarik senyum akan nampak garang dan bengkeng semacam. Namun demikian saya seorang yang ceria dan suka juga senyum. Suka buat lawak juga. Pandangan pertama orang akan melihat saya seorang yang garang. Tapi bagi yang pernah berkawan atau belajar dengan saya, tidaklah seperti yang dibayangkan.

Minggu pertama saya mengajar, ada dua orang murid yang tanpa segan silu ketika berselisih ‘eh garanglah cikgu baru ni’. Mungkinlah sebab saya tak senyum masa tu. Entahlah, mungkin masa belah mulut tika kecil bayi nak cukur dulu ayah saya taruh banyak asam gelugur. Kalau taruh banyak kurma dengan madu mungkin lainlah kot. Elok juga begitu kan..haha. tapi.. tapi.. kalau saya ‘ambil baris’ atau pakai baju askar, tak payah la buat lawak dengan saya terutama saat getir yang bukan sekadar memerlukan keseriusan dan ketegasan, bahkan suara yang paling tinggi juga. Jadi, sesiapa yang terlibat dengan saya masa itu usahlah ambil hati. Bak kata pepatah askar – kehendak perkhidmatan. Kadang-kadang terpaksa diaplikasi dalam kegiatan luar askar juga. Bila keadaan memerlukan saya berbuat demikian. Aduuhai..

Bagi saya, mengajar adalah sesuatu yang seronok. Bak kata Tuan Sabariah (Bidadari dari Timur) – kita harus bahagia dengan pekerjaan kita. Kalau tak silaplah. Lagipun buku tu dah di tangan bakal bidadari timur saya.. ehem..

Tika kaki jejak tanah Beris Kubur Besar, tempat membesar bapa saya dan daerah kebanyakan waris-waras saya – saya menanam azam ingin menjadi seorang guru. Berbeza dengan sekolah rendah semasa cikgu besar masa tu yang berjebang bertanya sorang-sorang nak jadi apa maka saya bangun jawab dengan tegas dan yakin “saya nak jadi askar cikgu!”. Bagus.. bagus.. yang beginilah yang kita nak. Kata cikgu besar yang ingat-ingat lupa namanya. Anehnya juga saya masih ingat sesetengah kenangan lama sedangkan saya mudah lupa banyak perkara yang baru dilalui. Mungkin dulu kurang tekanan, dan sekarang banyak sangat yang kena fikir dan kena ingat.

Jumaat lalu sekolah adakan sambutan hari guru. Kawan-kawan ada yang dapat banyak hadiah. Terutama guru GSTT yang memang dah lama mengajar. Tapi, ada juga yang jadikan guru sebagai kerja pra-kerjaya. Bermakna guru bukanlah kerjaya utama. Tidaklah hendak dikatakan dia tidak minat menjadi guru. Saya percaya bila dia bekerja sebagai penyelidik kelak pasti akan merindui saat menjadi guru. Rindu pada telatah kerenah murid. Rindu pada gurau senda teman sekerja. Rindu pada narwastu sekolah yang khas. Tiada di tempat lain.

Meladeni karenah murid yang bermacam ragam perangai. Mungkinlah sesetengah guru yang tak tahan dengan perangai murid akan mengata budak macam setan dan haiwan. Tapi harus diingat kata-kata guru tak ubah kata-kata ibu bapa yang merupakan doa. Walaupun sekolah yang saya jalani latihan sekarang memang masyhur dengan budak-budak yang berlagak samseng, tapi saya lebih suka anak-anak yang tidak sombong bongkak kerana kekayaan. Kadang-kadang timbul rasa kasihan dengan anak-anak yang menjadi mangsa golbalisasi sosial. Terjebak dengan bermacam perkara tidak baik yang diistilahkan oleh kerajaan sebagai gejala salahlaku. Latarbelakang keluarga yang rata-riti bukanlah berada. Dalam kelas belakang adalah seorang yang bapanya jadi kerani bank. Yang lain, ada bapa sudah pencen, ada bapanya pemandu lori, ada yang kerja dengan lori sampah bandaraya. Kawasan sekolah itu berada di kawasan orang pendapatan rendah. Baik sedikit dari setinggan. Dan memang kebanyakannya yang asalnya dulu penduduk setinggan yang bernomad kerana ops setinggan sifar, demi membersihkan wajah kota yang berjerawat.

Masih ada 6 minggu lagi. Jumaat ini pula bengkel refleksi di ILIM selama tiga hari, hingga hari ahad. Hari ini mesyuaratnya. Memang ada yang tidak berpuashati dengan tarikh ini. Namun bagi saya, ia adalah di luar lingkaran kemampuan manusia untuk meningkah takdir dan tidak mampu memuaskan hati semua orang. Saling faham-memahami akan situasi dan kerjasama serta toleransi itu penting. Dalam menganjurkan program yang penting atau kurang penting sama sahaja; dedikasi, komitmen dan pengorbanan semua pihak. Penganjur sudah membuat yang termampu dan terbaik baginya. Sebarang kekurangan dan kekhilafan adalah perkara biasa selagi kita bergelar manusia.

Apapun, saya mendoakan para sahabat Sarjana Muda Pendidikan Islam dan Sarjana Muda Sains Pendidikan selamat menjalani latihan mengajar walau di mana dan suasana sekolahnya. Masing-masing ada cabaran yang tersendiri. Sekolah elit dengan kepandaian dan kebongkakan sesetengah pelajarnya (yang ini saya akan ulas kemudian). Sekolah biasa dengan kebiasaan pelanggaran disiplinnya. Yang penting, mengajarlah dengan gembira dan berlapang dada. Tanggungjawab mendidik anak bangsa sesungguhnya mulia dan berat timbangannya. Mengajarlah dengan ikhlas dan penuh kasih sayang.

Ingatlah kata-kata Syeikh Abu Saif – erti hidup pada memberi. Dan katanya brader kala jengking – apa yang anda beri, anda akan dapat balik!

Myblogloglaq