Ahad, Ogos 30, 2009

Kali yang terakhir

Semester lepas, ketika itu saya meniti hayat terakhir sebagai mahasiswa di Universiti Malaya. Di hadapan Bank Islam, Bangunan Peperiksaan, dia datang kepada saya dan meminta supaya menyertai pertandingan pantun anjuran jabatannya. Sebagai kerja kursus katanya. Namun saya tidak menjanjikan apa-apa. Tengok keadaan kata saya. Saya ambil nombor dia, dan dia ambil nombor saya.

Tidak berapa lama dia SMS saya. Saya mula garu kepala. Mana nak cari lagi dua orang peserta. Hendak tiga satu kumpulan. Saya kata saya kan beritahu bila dah jumpa orangnya. Saya tanya Hafizul. Dia tak sudi. Aku tak pandai berpantun, katanya. Saya tanya Cik Salmi Manja (gelar saya padanya).. pun tak sudi. Saya pun beritahulah dia, tak dapat menyertai sebab tiada partner.

Semalam, sedang saya jaga buku di Akademi Islam, Maizatu Akman mampir lalu mengkhabarkan pemergiannya menemui Tuhannya. Innalillah.. satu kejutan buat saya. Arwah seorang yang periang dan sangat aktif dalam Persatuan Mahasiswa Kelantan. Kali pertama engenali sejak di tahun tiga dulu semasa program gerai konvo. Ada gelaran diberi untuk mereka tiga orang. Lupa dah... ish... kenangan tu.. boleh lupa pulak dah.. kali terakhir berseloroh dengannya ketika gerai konvo yang lalu. Tika itu saya sudah jadi pelanggan. Bukan pekerja lagi dah. Dah empat tahun saya di dapur Citarasa Darul Naim. Tiba masa kena jadi pelangganlah pula.

Itulah permintaan pertama dan terakhir dari dia kepada saya. Hari ini rasa terkilan itu tiba-tiba menerpa kerana tidak menunaikannya dulu. Ah, sesal tiada guna.

Al-Fatihah buat Arwah Siti Shuhada Mohamad. Semoga beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang soleh di akhirat kelak. Amin...


Jari Siti Suhada dan hafizul seolah-olah saling menunjuk antara satu sama lain.. yang berpaling ke kanan dipanggil kawan-kawan sebagai Seni. Tak silap saya, ini gambar terbaru di gerai CDN, konvo yang lalu..
(sumber gambar dari blog PMKUM)

Jumaat, Ogos 28, 2009

Ismail oh Ismail

Di kampung saya ada dua orang Ismail Mamat. Sorang baru sahaja meninggal beberapa bulan lepas. Beliau lebih dikenali sebagai Haji Ismail. Alfatihah.. saya hanya mampu mengirim SMS takziah kepada anak sulungnya. Dan sedekahkan al-Fatihah cuma. Tidak mampu saya pulang menjenguk insan yang pernah menjadi sahabat dan guru saya itu. Hari itu hari sabtu, 2 Mei dan latihan mengajar hanyalah hari isnin berikutnya. Seorang lagi Ismail Mamat ialah sahabat karib saya sejak kecil yang juga rumahnya sebelah rumah saya saja. Kalau datang berita mengatakan Ismail Mamat maka saya akan tanya Ismail yang mana? Alhamdulillah sahabat saya itu masih ada untuk saya tatap dan mungkin saya akan menyaksikan dia berteman tidak lama lagi..hehe.. ada beberapa orang lagi Ismail di kampung saya, antaranya dikenali sebagai Pakdo Weil, Pak Muda (juga dipanggil sebagai Jusuh dalam kalangan rakan sebayanya), Mail Keh (buldozer, sebab dulu keja dia bawak makeluk tu).. dan beberapa lagi Ismail termasuklah ayah sepupu saya yang anaknya serumah dengan saya sekarang.. orang kampung panggil dia Pokheng..

Malam tadi pula saya dapat satu SMS dari seorang kawan berbunyi begini;

“Innalillahi wainna ilaihi rajiun, Ustaz Ismail Kamus baru menemui Allah sebentar tadi.. satu kehilangan besar buat agama dan negara.. semoga Allah mencucuri rahmat kpdnya.. tlg fwd sama”

Saya tak melatah.. saya buka facebook.. biasa kawan-kawan ada yang mengulas dalam status mereka. Saudara Afifi ada tulis sesuatu menafikan.. Sape la sebarkan fitnah Ust. Ismail Kamus meninggal katanya. Saya pun komenlah status dia tu.

Tak lama lepas tu menyusul SMS berikutnya dari kawan sama.. alhamdulillah nasib saya selidik dulu.. saya juga SMS sahabat di Gombak, Ustaz Hj Manaf yang merupakan murid Ustaz Ismail Kamus. Pendek saja jawapannya “nawok tu”.. haha.. ringkas tapi padat.

Maka saya terbaca sebuah berita dalam Berita Harian online tentang Prof Ismail Salleh yang meninggal dunia akibat sakit jantung. Mungkinlah ada pihak yang memanipulasikan berita ini lalu mensensasikannya dengan mengatakan Ustaz Ismail Kamus yang meninggal dunia. Padahal beliau sedang berada di Mekah dalam keadaan sihat wal afiat. Subhanallah, siapalah punya kerja tak senonoh sebar berita palsu di bulan mulia ni..

Alfatihah buat Prof Ismail Salleh dan takziah buat keluarga arwah. Semoga beliau dicucuri rahmat olehNya.


Dr Md Ismail Salleh (sumber BH online)


SYAKIR Hanis (dua dari kanan) bersama kakak dan abang menyiram air mawar di pusara bapa di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang, semalam. (sumber BH online)

Ahad, Ogos 23, 2009

Sijil halal hotel


Apabila membaca berita dalam Utusan Online tentang sijil halal hotel di Malaysia, terpana saya sekejap. Sebelum itu saya sudah dengar dari radio IKIM FM, beberapa peratus saja. Memang mengejutkan. Gelap perut la makan kat hotel yang teramat was-was dapur depa.

Inilah yang menggusarkan saya kalau nak pergi hotel. Lebih baik makan kat warung tepi jalan. Kalau nak nampak mewah pun restoren yang ada nama sikit. Kalau di Pantai Dalam ni, Anis Putri Konar bagi saya paling oklah. Kena dengan selera Kelantan saya, meskipun kemungkinan makanan dimasak oleh mek-mek Indon amat besar.

Oleh yang demikian, perlulah alternatifnya. Apa alternatif yang mampu menghilangkan gusar anda yang mementingkan halalan toyyiba bukan hotel mewah dan berbintang-bintang semata? Bagi saya, usahawan Islam wajib menceburkan diri dalam bidang perghotelan. Dan sepuluh bintang dari empat belas bintang bendera Malaysia saya beri kepada Haji Ismail, bigboss HPA atas usahanya dalam mendirikan hotel HPA yang halal. Kenapa hanya 10? Nanti beliau berjaya buat satu Malaysia baru dapat 14! 10 pun dah banyak dah tu..hehe

Saudara-saudariku muslimin muslimat yang dirahmati Allah sekalian, carilah yang halal dalam apa jua urusan anda demi akhirat yang sejahtera.


Hotel HPA yang akan dibina di Kota Bharu, insyaAllah.. takbir!
(sumber gambar)

Sabtu, Ogos 22, 2009

Malam yang pertama


Alhamdulillah, akhirnya kita masih sempat berada di madrasah Ramadhan yang teramat mulia. Pastinya inilah saat detik yang ditunggu sekalian para solehin. Musim beribadat dengan ganjaran melimpah ruah.

Malam yang pertama tarawih, seperti tahun-tahun sebelumnya.. alhamdulillah ramai orangnya. Pernah ketika saya menginap di Kolej Kelima Universiti Malaya, malam pertama terawih jemaah melimpah hingga ke tangga. Melucukan juga tahun lepas di pangsapuri saya tinggal ini, jemaah sampai keluar di koridor.

Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bermaksud “Barangsiapa yang mendirikan sembahyang (terawih) pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Begitu sekali tawaran yang Rasulullah SAW sampaikan dari Allah SWT. Adakah kita mahu memandang remeh tawaran dan peluang keemasan yang tidak selalu datang ini? mahukah lagi kita menangguhkan penerimaan terhadap tawaran yang amat berharga ini?

Sungguh, berapa ramai antara kita yang rugi kerana mensia-siakan sekian banyak peluang yang Allah berikan kepada kita. Hidayah, kita sebenarnya harus berusaha mendapatkannya. Allah berikan kita akal untuk berfikir apa yang baik dan buruk. Allah tidak menghukum atas kealpaan dan kejahilan. Namun setelah sampai seruan dan peringatan, bermulalah taklifan atas kita manusia hamba-Nya.

Pada zaman ini, sepatutnya tiada lagi alasan tidak tahu, jahil dan sebagainya. Tidak semestinya perlu masuk kuliah atau menghadiri majlis ilmu di masjid untuk mendapatkan ilmu agama. Sekarang maklumat di hujung jari. Di televisyen, di radio, buku-buku dan banyak lagi sumber boleh didapati. Ustaz-ustaz pun ramaisekarang ni tak macam dulu. Haruskah lagi kita menunggu tua sedangkan Izrail pasti menjemput bila-bila masa! Yang penting, anda berfikir sejenak, kenapakah anda hidup di dunia, untuk apa dan mengapa.. tidaklah Allah membuat sesuatu dengan sia-sia. Seperti juga Allah jadikan sekalian makhluk dan alam. Pasti ada tujuannya. Anda manusia dikurniakan akal, fikirkanlah!

Malam pertama terawih sudah berlalu, hari pertama Ramadhan ayuh kita mulakan tadarus al-Quran sekurang-kurang sekali khatam bulan ini. Dua kali lagi bagus, insyaAllah sama-sama kita pulun. Dan malam-malam yang seterusnya, ayuh kita hadir tanpa gagal!

Jumaat, Ogos 21, 2009

Marhaban Ya Ramadhan...

Assalaamu'alaikum warohmatullahi wabarakatuh..

Marhaban ya Ramadhan, Bulan dimana nafas kita menjadi tasbih,
tidur kita menjadi ibadah, amal kita diterima dan do'a kita di ijabah,

Sungguh cantik kain pelekat,
dipakai orang pergi ke pekan.
Puasa Ramadhan semakin dekat,
silap dan salah mohon dimaafkan.

Berharap padi dalam lesung,
yang ada cuma rumpun jerami,
harapan hati bertatap langsung,
cuma terlayang e-mail ini.

Sebelum cahaya surga padam,
Sebelum hidup berakhir,
Sebelum pintu taubat tertutup,
Sebelum Ramadhan datang,
ku mohon maaf lahir dan batin....

Taqqobalahu Minna Waminkum,
Taqoballahu Ya Karim,

Marhaban Ya Ramadhan
Allaahumma baariklanaa fi Sya'ban wa ballighnaa Ramadhan

-saya menerima ayat-ayat ini melalui YM offline..terima kasih kepada kawan yang menghantarnya..

Ahlan wasahlan ya Ramadhan
Selamat Menyambut Ramadhan!

Ahad, Ogos 16, 2009

Selesema babi dan konvokesyen

Alhamdulillah, konvokesyen Universiti Malaya berakhir semalam dengan selamat, tanpa tragedi. Meski sekian banyak spekulasi saya dengar sebelum terlaksana majlis ulung bagi para graduan dan universiti perdana ini.

Saya konvokesyen hari rabu, hari pertama buat graduan ijazah sarjana muda. Sebelumnya graduan PhD dan Sarjana. Terima kasih Tuanku Raja Nazrin atas pengurniaan. insyaAllah patik akan melaksanakan tugas dengan dedikasi dan cemerlang di samping mengharumkan nama Universiti Malaya ke mana saja patik pergi .

Dalam pada universiti lain menerima tempias hebat selesema babi dengan ditutup selama seminggu, UM tidak. Dengan itu maka cuti semester bagi UM ada seperti biasa, sedangkan universiti lain sudah ditarik cutinya dengan cuti sempena peristiwa selesema babi.

Namun demikian, apa yang saya lihat, konvokesyen tahun ini amat suram berbanding tahun-tahun lepas. Kemeriahan tidak dirasai pada konvokesyen kali ini. Konvokesyen kali ini juga untuk kali kelima saya menjaga booth pendaftaran lesen memandu. Kali terakhir saya menjaga booth lesen SKEM, tahun depan kalau datangpun, datang melawat kawan-kawan sajalah. Huhu..

Apa yang saya lihat, pelajar sendiri pun tidak ramai. Mungkinlah takut hendak keluar. Baik duduk di fakulti atau tidur saja di kolej. Mungkinlah. Begitulah saya melihat penangan selesema babi yang menjadi wabak terkini sedunia sekarang.

Tidak ramai yang mendaftar lesen tahun ni, terutama lesen motor. Saya syak, lesen motor telah diselesemababikan oleh pihak tertentu untuk kepentingan tertentu. Ramai yang datang ke kaunter dan bertanya tentang status janji RM 215 itu. Tidak dapat saya jawab, sebab saya bukan menteri. Saya hanya santeri yang menumpang lorong rezeki sebuah institut memandu terkenal dalam kalangan pelajar sekitar lembah kelang ini. Dan satu lagi saya syak mengapa ramai tidak mahu ambil lesen lagi, sebab inilah. Alsan saya hanya satu, janji ni dibuat pada musim pilihanraya Manik Urai. Apa yang tak timbul tiba-tiba boleh timbul. Alahai...

Yang saya fikir tentang isu ini, jika harga paling murah di SKEM sekarang berbanding tempat lain yang sudah melambung naik, RM 390 untuk lesen memnadu motosikal, bagi yang tiada apa-apa lesen lagi. Kalau 390 tolak 215 sama dengan 175. Nah, sama ada kerajaan mahu memberi subsidi sebanyak RM 175 atau lebih kepada setiap satu kepala manusia di Malaysia nak ambil lesen motor atau kerajaan mahu institut memandu menanggung kos tersebut dengan kerugian yang tidak sedikit. Nah, ambik pikiaq la sendiri!

Janji-janji orang politik, sejauhmanakah anda memegangnya? Usah terlalu berharap.

Satu lagi, usahlah sesiapapun terasa pada pendapat saya ini. Sekadar satu perkongsian pandangan buat tatapan dan renungan. Kita rakyat Malaysia yang aman dan damai, (aman dari peperangan sahaja) jauh bezanya dengan tempat lain. Dari segi sistem lesenpun, kita jauh lebih baik dari negara yang kita rasa mereka gah megah. Hampeh apa dia! Berapa ramai pelajar asing datang ke kaunter, dan kami bergebang. Depa cerita tentang cara ambik lesen tempat dia. Dalam hati, nasib baiklah aku rakyat Malaysia, walau kulit gelap sawomatang. Haha.

Tapi masalahnya orang Malaysia kita ni, berkira sangat! Kenapa saya kata begitu? Yelah.. dengan lesen beberapa ratus berkira, tapi dengan motor beribu-ribu atau kereta beratus ribu taklah plak berkira! Kenapalah manusia jadi begini. Bila dapat kerete pulak berlagak atas jalan. Takpun bawak kerete macam jalan bapak dia buat untuk dia sorang.. alahai manusia.. Tuhan dan kata jangan berjalan sombong..

Ya kawan-kawan sekalian..setakat ni.. ni sajalah dulu bebelan saya. Selsema slesema juga. Babi.. babi juga.. Janganlah kita takut selesema babi lebih dari kita takut kepada Tuhan. Allah yang memberi penyakit dan menyembuhkannya. Allah yang memberi nyawa dan mengambilnya. Redhalah kerana kita hanyalah hamba. Hati-hati, kalau kita takut selesema babi lebih dari kita takut Tuhan, syirik kita nanti. Takutlah untuk membuat maksiat kerana itulah larangan-Nya.

Sehingga berjumpa lagi.. Assalamualaikum...

Khamis, Ogos 13, 2009

Dia telah pergi.... tak kembali

Dua hari ini saya ralit melayan lagu-lagu Rabbani. Entah mengapa. Lagu terakhir pagi tadi. Lagu duet dengan Amy Search, Mentari Merah di Ufuk Timur.

Sedang saya asyik duduk di gerai lesen di Feskum, Khalil datang memberitakan pemergian Ustaz Asri Ibrahim. Al-Fatihah untuk arwah.

Sungguh... kali ini beliau telah pergi tak kembali.

Saya ingat lagi dulu, Ustaz Asri sebelum menubuhkan Rabbani dalam Nadamurni bersama Hijjaz sekarang, bernaung di bawah OVA Production, syarikat Arqam dulu. Termasuklah juga The Zikr sebelum menjadi Raihan. Saya membesar dengan lagu-lagu nasyid mereka. Menyebabkan saya juga menjadi penasyid semasa remaja, dan masih suka melagukan nasyid sampai sekarang.

Semoga arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang soleh di sana nanti.

Sehingga berjumpa di sana.. insyaAllah...



Rabu, Ogos 12, 2009

Segulung ijazah untuknya


Alhamdulillah... hari ini saya telah selamat konvokesyen. Namun segulung ijazah itu adalah untuk ibu yang mengasuh, mendidik dan membesarkan saya. Dengan berkat dan dorongan ibu, akhirnya saya menjadi seorang graduan. Dan wasiat ayahanda tertunai.

Alfatihah buat cik. Segulung ijzah ini juga buatnya. Semoga beliau sejahtera sentosa di alam barzah sana.Terima kasih kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung sehingga saya berjaya memegang segulung ijazah sarjana muda. Betullah kata Cikgu Nik Mat Nik Lib dulu.. kejar ijazah sebelum Azizah.. dan memang saya tidak pernah mengejar Azizah.. tapi orang lain.. haha

Segulung ijazah ini untuknya. Tanda bakti anakmu dan kepatuhan kepada nasihat dan tunjuk ajarmu.. ibu dan ayah tercinta.

Selasa, Ogos 11, 2009

Tahun demi tahun demi tahun

Sejak bergelar murid, pelajar, penuntut dan sebagainya di jalan ilmu, alhamdulillah akhirnya saya bakal menerima segulung ijazah sarjana muda esok. Maka, saya akan memakai jubah konvolah esok. Kata kawan saya, macam baju kelawar. Jawab saya, ye.. jadilah kelawarman lah kita nanti. Haha..

Tahun demi tahun saya hitung. Saya ingat tahun satu dulu, wah empat tahun.. lamanya... Tapi hari ini.. bila diingatkan kembali.. dihitung dicongak.. rasa sekejap la pulak..

Segala syukur ada-Mu ya Rabb
Sekalung terima kasih buat ayah bonda atas segalanya
Sekalung terima kasih buat para guru yang banyak berjasa
Sekalung terima kasih buat para sahabat seperjuangan

Buat para sahabat yang akan konvo tahun ini... tahniah!

Ahad, Ogos 09, 2009

Tentang nama

Nama saya yang diberi ayah@cik ialah Hasbullah. Kata arwah, beliau bermimpi ada orang suruh beliau beri nama saya Hasbullah.

Kenapa saya mengguna nama pena Hasmora? Jika anda baca profil saya, anda boleh tahu. Sudah saya jelaskan. Akronim tiga nama. Nama saya, ayah saya dan datuk saya juga. Kalau bapa saudara saya mereka guna Deraman. Nama klasik untuk orang bernama Abdul Rahman. Tapi ayah saya tidak, beliau mengguna Abdul Rahman dalam kad pengenalannya. Dan mengapa nama ayah saya Mohamed bukan Muhammad? Saya berpendapat bapak polis tukang tulis surat beranak zaman dulu berpendidikan Inggeris dan belajar mengeja nama Muhammad sedemikian rupa. Rasanyalah.

Sekarang dalam dilema juga dalam nak guna nama pena. Sama ada Hasmora atau Hasbullah Mohamed Rahman. Rakan-rakan penulis sudah selesa memanggil saya Hasmora. Mungkin sebab huruf L lebih berat berbanding huruf R. Bagi saya nama sebenar saya memang lebih sedap dan melambangkan kelelakian berbanding nama pena saya yang bunyi macam nama perempuan. Haha. Senior saya tertanya-tanya bila saya hantar emel guna nama Hasmora. Dia kata “aku ingatkan perempuan manalah...” haha..

Namun begitu, dulu saya memilih Hasmora sebab bagi saya bunyinya lebih sastera. Dan Masnuri, mungkin ramai tertanya-tanya kenapa Masnuri. Dulu, saya guna Mansuri. Diganding dengan nama Hamzah. Hamzah Mansuri. Tapi sejak kejadian helikopter Nuri terhempas saya buat sajak Nuri Mas. Kemudian idea membuat nama Hasmora menjelma. Maka saya pun mengambil keputusan menggabungkan Hasmora dengan Nuri Mas dengan Mas diletak depan dan Nuri di belakang. Tapi sekarang timbul idea nak gugurkan pula Masnuri, sebab orang suka dan biasa sebut Hasmora saja. Kata Kak Nisah Haron semasa di PPMN dulu, elok juga nama pendek macam ni, senang ingat, dan lain dari yang lain.. macam Nimoiz TY katanya...

Saya juga ada terfikir, apa kata saya guna nama Hasmora sebagai penyair dan nama Hasbullah Mohamed Rahman sebagai penulis cerpen. Ah, cerpen saya mana pernah disiarkan! Hehe...

Sabtu, Ogos 08, 2009

Makhluk Tuhan bernama Apendix


Hari rabu lalu, pada awalnya saya ingat sakit perut biasa. Pada tengahari semasa hantar motor pada Ali Si Pomen Uni.Malaya sudah rasa gigitan mesranya. Pada petang sewaktu membantu menyiapkan gerai lesen SKEM di tapak pesta FESKUM pun rasa juga, Cuma tidak ketara. Hanya setelah sampai di rumah waktu maghrib, sakit perut menggila.

Hingga tengah malam saya menggelepar. Sakit tidak terkata. Hinggalah sahabat serumah mencadangkan saya ke hospital sebab dia syak apendix. Nik Pendi nama kawan saya tu. Dialah hantar saya jam satu pagi ke HKL. Menunggu hingga saya tahu keputusan, bahawa saya apendix positif!

Jutaan terima kasih buat mak yang datang lebih awal dari Kelantan, kerana saya masuk wad. Memang beliau nak ke Kuala Lumpur tapi bukan sebab saya apendix, adik saya konvo di Darul Quran pada Sabtu. Asalnya nak la datang hari Jumaat tapi diawalkan pada malam Jumaat. Paham ke tak ayat berbelit ni. Buat-buat paham je lah...

Terima kasih juga kepada sepupu saya di Kuala Lumpur kerana banyak membantu sepanjang Mak saya datang KL. Berkampung di KL Mak saya minggu ni. Konvo adik saya di DQ, Kuala Kubu Baru, dan konvo saya hari rabu mendatang ini.

Tak lupa, terima kasih dan sayang kepada bakal isteri saya yang sudi datang memberi sokongan moral dan semangat.(^_^) Jauh juga KL dengan tempat dia praktikum tu.. hem..

Dan juga terima kasih buat sahabat-sahabat yang sudi menziarahi saya.

Alhamdulillah.. Allah sekali lagi menegur dengan kifarat dosa ini. Sebenarnya setiap yang kita lalui adalah ujian dari-Nya,sama ada kesusahan atau kesenangan. Semoga kita sedar dari leka.

Wassalam...

Ahad, Ogos 02, 2009

Belasungkawa Makteh Minah

Nama beliau mungkin Aminah. Entah kenapa tidak pula saya tahu nama sebenar. Tak pernah terlintas bertanya. Sudah besar panjang jadi malu pula. Saya lebih kenal beliau dengan panggilan Mak Teh Minah. Ibu saudara saya sebelah bapa (ayah saya dipanggil Cik..)

Saya tahu dari Kak Nani dan juga Kak Raihan, awal pagi semalam. Biasanya Raihan atau gaya panggilnya Royhan saya panggil dengan nama saja. Nama sebenarnya Yati. Dia SMS saya tak berapa lama lepas Kak Ni SMS. Lepas mandi sebelum ke APIUM saya baca SMS kedua-duanya. Maksud isinya serupa; Makteh Minah meninggal dunia. Lepas saya balas SMS Royhan dia telefon saya, minta beritahu Abang Di. Sepupu saya yang tinggal di Puchong Prima (kalau dia tak pindah lagi). Kemudian saya panjangkan juga kepada adik-adiknya, Ja dan Li.

Hanya Li saya tak tanya dia balik atau tidak. Tapi kedua-dua abangnya kata tak dapat balik. Tak tahu sebab apa. Saya juga tak balik. Terkilan juga. Tapi apa kan daya. Musim krisis kewangan sekarang. Bak kata orang tua ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Saya ni, malam pun mengais lagi.. uhu hu.. jadinya bajet pulang kampung perlu dihadkan. Masakan tidak, duit rumah sewa bulan lepas tak selesai. Bulan ni, tunggu hujan emaslah jawabnya. Ada kawan tanya, mengapa saya tak balik kampung? Kalau balik kampung, tak berkais la saya jawabnya.. uuuhuuu...

Apa pun, saya hanya mampu sedekahkan al-Fatihah dan juga al-Ikhlas. Sudah dibuat solat ghaib jenazah. Saya masih terfikir apakah mungkin Abang Di di Puchong boleh anjurkan majlis tahlil buat arwah. Walau sekadar dengan anak-beranak sendiri.

Kenangan terakhir bersama Makteh Minah, saya lupa bila. Tapi kali terakhir saya sempat bergambar, dan beliau masih boleh berjalan. Cuma tak larat hendak senyum, kerana sakit agaknya. Dia sakit berat beberapa minggu lepas pun saya tak tahu. Tapi baru minggu lepas, entah mengapa tiba-tiba wajahnya memanggil-manggil. Meminta saya menjenguk. Tiba-tiba rindu. Rupa-rupanya itulah panggilan terakhir beliau. Tapi firasat saya terhijab. Tidak terbaca isyarat itu.

Makteh Minah, ibu saudara terakhir sebelah Cik. Sekarang hanya tinggal Pok Nik Husin, ayah kepada Abang Di dan dua orang sepupu saya yang berada di Lembah Kelang ini.

Al-Fatihah buat Makteh Minah, semoga beliau dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman di akhirat kelak. Begitu juga dengan arwah Cik, Pok Loh (dikatakan kebanyakan saudara saya serupa dengannya bukan hanya sekadar nama panggilan), Mok Yang (saya sempat bertemu ketika kanak-kanak dulu), Mak Su (saya tak sempat dengannya). Juga buat arwah datuk yang tidak saya tatap wajahnya, gambar pun tak pernah. Nenek sempat, tapi masa tu dia dah tua benar. Dan masa tu saya pun kanak-kanak amat. Tak berapa cerdik lagi.

Oh ya... mohon ampun maaf kepada sepupu sepapat kalau ada yang saya tak kenal atau tak rapat. Maklumlah, jarang benar kita ziarah menziarahi. Orang tua pun bukan ada kereta dan memang tak pernah berkelapangan membawa ziarah ke rumah saudara mara. Kalau kenal hamba ni, tegurlah dulu. Kata kita sepupu. Setakat ini, sehingga saya saja yang cakna dengan sedara-mara ni.. adik-adik dah tak peduli dah. Kiranya ambo ni jenis suko bersilaturrahim lah..

Wassalam.. wallhu ‘alam.

Myblogloglaq