Sabtu, Januari 31, 2009

Bukanlah kupinta

Petang tadi, saya ke kedai sayur. Beli daun limau purut. Kalau di kampung harus dapat percuma di pohon sendiri. Seorang lelaki yang masih budak turut datang membeli, seekor ikan. Tutur bicara budak ini dengan penjual seakan senada. Tukang jual bukan rakyat Malaysia. Tak cerah macam saya juga. Tapi rasanya saya taklah segelap dia. Rasa sayalah. Harga seekor ikan itu RM 10.50. Budak tu hanya bawa RM10 sahaja. Budak tu minta diskaunlah kononnya. Langsung tidak dipertimbangkan. Entah apa bakhilnya manusia. Bicara berpanjangan, penjual bertanya bosnya. Bos pun tak bagi muka. Daun limau purut saya 50 sen dan saya hulurkan seringgit. Saya pun kata pada penjual - saya bayar 50 sen dia. Budak tu langsung tak tengok pun muka saya apatah lagi mengucapkan terima kasih lalu meninggalkan saya dan kedai itu begitu sahaja. Bukanlah saya minta diterima kasih, tapi sudah adab pabila orang berbudi kita berbahasa. Nampaknya masyarakat kita bukan sahaja semakin miskin bahasa malah budi juga. Kasihannya budak tu. Entah bagaimanalah ibu bapa yang mendidik dan mengasuhnya. Aduhai... maaaaasyarakat....

Adik Saya Akhirnya Seorang Huffaz

Entah apa yang dia pelik tengok aku nampak gelap.. eh dah memang kaler akulah!

Dulu masa muda remaja saya pernah ada cita-cita memasuki Maahad Tahfiz Pulai Condhong. Tapi akhirnya hanya tinggal kenangan. Ada juga terniat hendak masuk Darul Quran. Tapi keputusan SPM tidak mengizinkan. Semangat saya hampir mati. Lama-lama ada semilir bertiup menusuk sukma. Cita-cita awal ketika melangkah kaki ke Al-Amir kini hampir digenggam.Cuma kadang-kadang rasa tak layak orang panggil ustaz. Weh... ustaz tu tahap profesor. Oleh sebab uruf Malaysia asal bidang agama saja mesti ustaz, maka saya tidaklah rasa sangat.

Pagi-pagi saya ke Kuala Kubu Baru. Sedikit pengorbanan demi adik tersayang. Kurang lebih sejam lima belas minit tiba ke bumi barakah - Darul Quran. Meskipun saya gagal menjadi seorang al-hafiz, namun cukup berbangga kerana adik saya akhirnya menjadi seorang al-hafizoh. Ah... rasanya masih ada masa. Cuma ruang dan peluang serasakan cukup terhad. Disiplin dalam harungi perjalanan menjadi seorang huffaz cukup ketat. huh... Dah jadi huffaz pun jenuh jugak nak jaga hafazan...

dan ini adalah baris2 puisi buat adikku itu..

menanam Kalam Tuhan
dalam dada
bukankah lebih baik
dari menanam naskahNya
di Kutub Utara
lalu kita tanpa rasa berdosa
berbangga
dengan sikap bodohnya

alangkah susah untuk menjaga
sukma dinoda dosa-dosa
yang menjadi racun
dan jiwa pun mati
tiada lagi rasa
cinta Ilahi


Hasbullah Haji Mohamed Abdul Rahman al-Masnuri
Taman Bukit Angkasa
Pantai Dalam



Jumaat, Januari 30, 2009

Pagar dan Tuan Pagar

Seorang pekebun berusaha gigih membina pagar agar tanamannya tidak dimakan kambing atau dimasuki ayam-ayam jiran mahupun binatang peliharaannya sendiri. Namun suatu hari dia sendiri sengaja melanggar pagar itu. Alasannya - ah, pagar itu aku yang bikin, suka hati akulah. Orang macam ni marah pun tak guna. Kata orang kampung saya - kakah tigo selendar...

Ops Khidmat Masyarakat PMKUM Di Rantau Panjang


Saya rasa inilah kali pertama saya pulang ke Kelantan tapi sampai di kampung orang. Saya menelefon emak pada hari kedua. Ada desir murka dalam bicaranya. Masakan tidak, menjenguk orang lain dulu. Bagaimana nak buat, saya naik bas dari UM terus ke Rantau Panjang. Memang bercadang menyertai OPKIM kali ni. Yang tahun sudah balik ke rumah dulu. Sesi lepas di Pulai Condong, Machang. Bezanya tahun ini pada cuti semester kedua, bukan cuti akhir semester pertama. Keluarga angkat saya di Tok Bok.

Kali ni dapat abang angkat sekeluarga, Abang Syukri. Anak-anak pun kecil lagi. Tahun lepas semua sekali satu keluarga dari ayah, Mama dan semua anak beranaknya diangkat. Yang paling manja tentulah anak bongsunya. Huh... tak larat nak layan kerenahnya.

Ketika sedang syok dengan program sukaneka di padang, kakak saya sms pasal gerhana matari. Saya ingatkan 25 hb, mungkin sebab tak faham apa yang DJ radio tu cakap apa. Sempat juga tengok yang sudah nak habis. Cerap dari celah-celah jari. Pelik je orang tengok saya. Mata saya mampu tengok macam tu. Kalau mata tak tahan silau baik jangan tengok. Tapi kawan-kawan yang ada sekali ada juga yang mampu. Itupun ambil masa agak lama. Awalnya kata tak nampak. Adalah dalam jam 6.30 masa tengok tu.

Seminggu sebelum asalnya bercadang nak ikut OPKIM Anak Kedah. Maklumlah, nak jejak Negeri Jelapang Padi. Nawaitu bertukar pabila dapat sms Nik Lokman yang jemput kenduri kesyukuran perkahwinan. Buat kecik-kecik rupanya. Patutlah susah nak cari rumah. Tak ada petunjuk apatah lagi bunga manggar. Kali ni tak sempat ambil gambar kenangan. Kamera telah kehilangan kuasa sepenuhnya.

Tentunya saya kan tetap memahat nostalgia di Rantau Panjang pada memori atau sekurang-kurangnya di blog ini. Pantun di bawah ini telah saya bacakan pada akhir majlis penutup, lagipun saya sebagai pengerusinya. Terima kasih buat semua yang terlibat.


Kenangan Di Rantau Panjang


Tiada barang untuk kujual
Tiada ringgit untuk kubeli
Setelah tiba di kubang kual
Seperti sampai di kampung sendiri

Harum wangi narwastu kasturi
Kantuk bertamu mengulit siuman
Jauh-jauh datang ke sini
Untuk bertemu saudara sekalian

Lain kerengga lainlah kera
Lagilah lain si kura-kura
Bercanda ria bicara mesra
Seperti lama jadi saudara

Menjala ikan di sungai kasap
Dibawa pulang hanyalah jala
Biarlah mata pedihkan asap
Asalkan masak bubur asyura

Hanya jasad duduk di beranda
Jiwanya entah pergi ke mana
Comelnya adik bergurau senda
Semoga menjadi insan berguna

Ke rumah pak andak memetik kelapa
Memanjat manggis rumah pak anjang
Sekali-kali pun takkan kulupa
Kenangan manis di Rantau Panjang


Hasbullah Haji Mohamed
Masjid Kampung Kubang Kual
6:15 petang, 26 Januari 2009.



Jumaat, Januari 23, 2009

Seusai Solat Jumaat Dua Rakaat

Usai solat jumaat, di sebelah ada seorang kawan lama yang sudah tak cam saya - Uthman namanya. Datangnya dari Somalia. Cerah saya sikit je dari dia. Berkenalan di kolej kelima. Jumpa kali pertama di surau dan tak jumpa-jumpa selepas tu. Memang patutlah tak ingat pun. Berbicara dalam dwibahasa, Inggeris dan Arab. Mudah mesra orangnya, seperti dulu juga. Ada seorang lagi kawan foreigner saya, Bilel namanya, dari Tanzania. Juga sekulit dengan Uthman. Kata kawan-kawan golongan kulit hitam manis ni sedara mara saya. Ah, nampak sangat nak kata saya ni sekulit dengan mereka. Gelap sikit macho apa untuk manusia speasis Adam. Kalau jumpa mana-mana bertegur sapa. Sekurang-kurangnya taklah saya ni sejakun mana sebagaimana orang lain yang takut-takut nak bercakap dengan pelajar negara asing. Sekurang-kurangnya saya membetulkan tanggapan foreigner ni bahawa pelajar Malaysia bukanlah jenis sombong. Walaupun hakikatnya kebanyakn manusia Malaysia di Uni.Malaya memang tak reti nak tegur orang malah tak tahu nak hormat orang langsung.

Kadang-kadang terfikir juga saya "pelajaran tinggi-tinggi sebenarnya mengajar manusia jadi apa?".

Usai Solat Jumaat juga bersua sahabat lama yang sudah bertukar nama dan kembali kepada agama fitrahnya. Kini namanya Yassin, sebelum itu Chow Kim Wui. Alhamdulillah, hidayah Allah memancar dalam sukmanya. Sebenarnya telah saya dengar kisahnya. Cuma tidak sempat bersua dan berbicara. Dulunya pernah memegang jawatan dalam kabinet Kolej Kediaman Kelima, namun terpaksa meletakkannya kerana praktikal di Sabah. Beliau juga pernah jadi kadet nombor satu dalam PALAPES Laut UM. Keluar baris ketika akhir semester pertama tak silap saya. Mulanya agak terasa kehilangan, kerana apabila tauliah kami mewakili UM, bukan pasukan Army atau Navy semata-mata. Apapun, seri hidayah pada wajahnya menggembirakan sahabat-sahabatnya.

Di Akademi Islam lain sedikit kisahnya. Berkenalan dengan rakan senegeri, Ibrahim namanya. Sudah lama saya perhati, selalu nampak di Akademi tapi tak macam kuliah di Akademi. Rupa-rupanya dari Fakulti Ekonomi. Makan semeja memungkinkan kita berbicara dengan mesra meski dengan orang yang memang ketika duduk nak makan itu kita mengenalkan diri. Saya rasa, inilah indahnya apabila Islam menjadi tunjang akar silaturrahmi. Subhanallah...

Oh ya... saya rasa, sesiapa sahaja umat Islam (lelaki) yang menunaikan solat empat rakaat lewat tengahari tadi - tidaklah mereka itu menunaikan Solat Jumaat.

Sekian, wallahua'lam.

Khamis, Januari 22, 2009

Kawan-Kawan Cina - Suatu catatan sahaja

Kebanyakan kawan-kawan yang mengenali saya, ada juga yang saya lupa nama mereka. Kekhilafan dan kekurangan diri tentunya. Maafkan saya ya. Dalam ramai-ramai kawan ada juga kawan cina. Kebanyaknnya saya ingat dan tak lupa (ada beza ke tak ingat dengan lupa?er... ye?) . Kawan-kawan yang saya berbangga dengan mereka. Kebanyakannya saya dapat di Uni.Malaya. Tentunya.

Gadis kecil comel molek pertama saya kenal, malah Zamzuri juga - LiChin Tang. Lebih mesra dengan panggilan Li Chin. Manis orangnnya. Malah mudah mesra dan boleh bergurau senda sepadanya. Maksudnya di sini, kami tidaklah terlalu skema hingga bercakap sekadar angguk-angguk. Berceloteh juga. Berkenalan ketika tahun pertama di kolej sepuluh. Li Chin ni orangnya cukup aktiff dengan aktiviti kolej, malah seorang pemuzik juga. Kini jarang-jarang berutus sms mengucapkan sesuatu seperti Selamat Hari Raya contohnya.

Seorang anak jati Kelantan dipanggil orang Chua. Mahasiswa Fakulti Sukan, sudah grad pun. Aktif dalam SUKSIS dan pernah jadi ahli MPMUM. Cakap Kelantan cukup pekat. Dari Wakaf Bharu. Dengan kawan-kawan orang luar (selain Kelantan maksud saya) pun dia cakap Kelate selamba. Memang respek saya sama dia. Seorang yang prihatin. Bab mesra ni memang mudah dengan siapa sahaja.

Dalam PALAPES ada seorang, Alvin Chai Cheah Hau namanya. Dari Sarawak, sebilik dengan Jackson Anak Jalin - seorang pemuda Iban berhati tekal. Satu-satunya cina dalam batch saya. Fakulti alam bina, satu-satunya juga. Pada tahun akhir dia dapat seorang amoi banyak cantik punya. Bolehlah dikatakan amoi paling cantik kat Uni.Malaya di Kolej Kelima yang saya kenal. Seorang artis juga. Nyanyi lagu Siti Nurhaliza pada Makan Malam Kolej di Sunway, fulamak... kalah budak Melayu yang nyanyi lagu sama. Memang ada perkara yang saya tak suka apabila Alvin rapat dengan dia, sudah reti ponteng latihan dan kurang daya kemahuannya. "Minta maaf la YDP. Sori ye banyak menyusahkan awak." Ikutkan hati mahu sahaja saya mengiakan sahaja pertanyaan Kapten Peter - terminate sahaja dia. Tapi saya bela dan kata mungkin dia masih berguna. Saya selalu bermanis muka dan sekali-kali tidak menunjukkan saya bosan dengannya. Cuma saya nyatakan juga perasaan kawan-kawan yang menunjukkan rasa tak puas hati. Masakan tidak, masa kena guling dan gulung dia tak ada. Ah... yang lain pun ramai juga. Apa kurangnya. Yang saya suka, dia bukan jenis berkira (sekurang2nya dengan saya, maklumlah YDP dia).

Kawan cina-siam yang terbaru, Khen. Seorang pegawai di KLIA. Kenal melalui laman maya ini. Sebab nak buat rawatan lintah. Yang saya tahu paling murah setakat ini. RM 25 pakej pelajar. Mana nak dapat. Makcik kat bawah blok 21 ni pun RM 25 jugak tapi 2 ekor je. Dgn Khen 10 ekor pun tak apa, siap urut-urut lagi. Datang rumah pulak tu. Yang bangganya asal Kelantan juga. Sudah berbahasa bro dah sekarang. Bangganya juga dia guna produk HPA, Kismis dengan Radix Fried Chicken - Tepung Goreng Herba. Kalau nak buat rawatan lintah, hah kat tepi blog ni saya dah letak link dia. Klik la sendiri.

Sebenarnya saya cuma nak ucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada kawan-kawan kaum Cina.
Sampai tulis berjela-jela.. huhu.. yang mana tak tertulis tu jangan terasa. Sekadar menyebut beberapanama. Alvin pun jangan terasa ya. Kenangan semua tu. Semoga kita semua hidup harmoni di bumi Malaysia yang tercinta.

Oh ya... apakah hukum kita umat Islam turut meraikan Tahun Baru Cina? Bolehlah klik di sini, tulisan sahabat baik saya. tentunya...

zwani.com myspace graphic comments
Myspace Chinese New year Graphics

Selasa, Januari 20, 2009

Tahniah saudara.. tahniah!

Gembiranya rasa kerana berpeluang merasa zona pemerintahan Pro Mahasiswa. Tahniah atas kemenangan. Tahniah mahasiswa Universiti Malaya kerana bijak memilih. Nampaknya arus perubahan tidak ditongkah. Seharusnya sebagai mahasiswa intelek bijak memilih perubahan. Kepada kepemimpian baru; lakukanlah perubahan seperti yang disipongangkan!

Isnin, Januari 19, 2009

Jerek - Gua Musang; dan Kisah Seorang Lelaki Bernama Zamzuri


Semalam, Zamzuri menelefon saya. Bertanya tentang Bengkel Menulis Novel Sejarah Johor di Melaka. Belum apa-apa lagi saya mengatakan saya tak dapat turut serta kerana bersetuju dengan Joe untuk mengikuti OPKIM di Rantau panjang bermula 23 hingga 26 Januari. Bengkel tersebut pula 23 - 25 Januari. Sayangnya tak dapat ikut. Makluman Zamzuri lewat 4 hari dari tarikh saya setuju dengan program OPKIM. Dah siap bayar tiket dahpun.

"Sebenarnya aku dapat GSTT di Gua Musang, malam ni kena balik sebab esok dah kena lapor diri. Takpelah ingat nak mintak mu ganti aku. Aku dah bayar RM100 tapi rasanya tak dapat pergi." Saya tak dapat berkata apa-apa. Nak buat macamana. "Takpelah tengoklah nanti aku cuba cari orang lain" katanya lagi...

Sempat juga diluahkan rasa sayangnya nak tinggalkan anak-anak didiknya di KL terutama yang baru sahaja diajarnya di USJ 20. Akhirnya, saya menawarkan diri untuk ambil alih. Kelas pertama saya bermula petang tadi. Maka penuhlah jadual mengajar saya pada hari Isnin. Bermula jam 4 ptg hingga 4.30 di Hill park. Kemudian press mutor cabukku ke USJ 20, jam 5 mengajar BM selama sejam. Kalau sempat, balik. Takpun iiktikaf di masjid cantik depan balai polis sementara menunggu maghrib. Kemudian ke SS 14 yang tak jauh dari masjid. Kelas jQAF dari 8 hingga 9 malam.

Rasanya, 3 orang murid cukuplah. Tak larat dah rasa. Kena luang masa juga untuk mamah dan telan buku-buku sastera yang menimbun dibeli di DAWAMA tempoh hari bersama Zamzuri. Tambah pula beli di DBP semasa diskusi karya mantan MPR. Yang beli sebelum tu pun belum hadam lagi. Kitab kat masjid tak habis tadah. Huh...tahun akhir yang padat. Tambah pula kelas puisi dengan Prof Rahman Shaari pada petang rabu. Belum masuk lagi, tapi sudah minta izin saat bertemu di DBP sabtu lalu. Kelas ini joe juga yang beritahu. Subjek elektif luar fakulti dia. (kelas lain yg wajib tak payah la cerita sbb memang dah wajib.. yg cerita ni yang sengaja pergi carik...huh...)

Baru sekejap tadi... sebelum saya menulis entri ini, Zamzuri sms saya (dari smsnya juga dapat idea entri ini). Bertanyakan kelas pertama saya
- ada sesuatu yang menarik?
+ok je kelas. cuma mak dia suruh bagi nota. mintak ajar tatabahasa juga..aih..kena buka buku hijau balik aku (tatabahasa dewan kulit hijau muda)
-kawe berat hati nak tinggal ngaja dia. Dlm byk2 berat2 hati, yang ni la berat hati sekali.. kawe suko dengar dia cerita..tak tipu ni wei!
+erm..aku pun suka dengar dia bercerita..sungguh ceria orangnya..ha
-Aku ngaja BM Ting 4 & 5. esok aku tolak 6.30pg. Skolah ni ada melayu dan Asli. Ada kelas terpaksa dibubar sbb 33 orang guru berpindah. Skolah ni biasanya cikgu kurang 75 org dlm satu2 masa. Cikgu hok jd guru sandaran skali dgn aku kata kena mengajar setahun. Masalahnya, kalau aku dapat SLAB, aku wajib daftar mengaji sblm 31/12/09.
+erm..agak sumbat..tapi banyak jugak bahan kalu demo nak berkarya tu..(pikir sastera je aku kalu sembang dgn zam nih)
-begitulah. Pejalanan pegi balik ambik masa 1jam setengah. Rasanya aku akan kembali sepi di sini. Kalu duduk rumah sewa ok gak. Taklah awal2 kena bertolak. jalan sunyi sgt2 pg2 ni.
+alahai...begitu sekali nasibmu kawan..habis macammana?
-Takpe la. Ada la tu hikmahnya. Udara di sini amat segar. Dan kawe blh mendalami perut pedal budak2 ulu ni...

sehingga itu sahaja sms zamzuri yang ambil masa setengah jam juga tempoh sms pertama hingga sms terakhir. Jadilah zamzuri salah seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerek, Gua Musang. Aku yakin anda tabah dan kuat sahabat. Jadi, sempena Zamzuri jadi warga Kementerian Pelajaran Malaysia saya mengucapkan selamat datang ke dunia pendidikan. Sebelum ni jadi guru tuesyen di rumah. Hah, sekarang rasalah realiti dunia yang guru-guru dahulu sudah merasa pahit maungnya. Terimalah sebuah puisi dariku ini.


Menjadi Guru

Menjadi guru
adalah sama membakar dirimu
demi menerangi ruang tamu
yang dipenuhi sukma bisu
dada kelam tanpa ilmu.

Menjadi guru
tekallah hati
kerana jika di hulu
semangat bisa mati
cabaran-cabaran baru
memang tak sangka sekali.

Menjadi guru
sungguh mulia tugasnya, sahabatku
memanusiakan manusia bukan mudah
mudah lagi melahirkan modal insan
untuk menghidupkan kilang
dan memacu pemodenan
lantas insani insan
dilupakan!
Maka kitalah
yang menjadi guru
membimbing anak bangsa
agar tidak hilang bahasanya
tidak pula luput jatidirinya
diragut pemimpin bangsanya!

Taman Bukit Angkasa

-saudara... anda pasti kan merindui Pantai Dalam!

Antara PRK dan PRK


Sabtu yang baru berlalu; melewati zona masa kita tanpa datang kembali. Hari itu memahat kenangan manis kepada penduduk Kuala Terengganu kerana dapat ahli parlimen baru. Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu menguji ketelusan SPR. Katanya DS Rais Yatim - Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu membuktikan demokrasi masih wujud di Malaysia. Aih... semacam je bunyinya. DS Najib pula cakap - kita menghormati keputusan rakyat...

Kalau berita lambat keluar...memang dah tahu dah. Memang BN kalah. Kalau tak, kan main lagi dibantai dalam tv. Terkedu pengacara tv pun.

Pagi ni tinggal beberapa jam lagi akan bermula sesi membuang undi bagi PRK Universiti Malaya. Pro-Mahasiswa menjanjikan harapan dan perubahan. Pengerak Mahasiswa (dulunya aspirasi) pula seperti tahun-tahun sudah, macam bisu tak reti nak bercakap. Mungkin mereka pikir tak perlu berkempen sangat kerana mereka boleh menang dengan mengugut pelajar dikolej seperti tahun-tahun sudah. Saya tak pasti adakah pelajar UM yang tinggal di kolej masih belum kalih dengan serangan seperti ini ataupun masih lembik. Alahai...kalau hangpa tak aktif kolej juga janganlah duk harap sangat boleh terus tinggal di kolej.

Aspirasi biasanya ke kolej kediaman dan bercakap macam jaguh. Tak pernah nampak masuk kuliah pun. Mungkin tak berani. Takut kena cemuh. Kelas saya memang tanpa segan silu mengeluarkan rasa dalam dada mereka yang membubuk kian lama.

Jadi... mengundilah Penggerak Mahasiswa jika anda masih ingin menanggung yuran-yuran mereka dan segala keperluan asas mereka di Universiti Malaya seperti yang dinyatakan oleh pimpinan pro-mahasiswa. Saya yakin mereka tidak berbohong dan mereka-reka fakta kerana jika mereka sengaja mengada-adakan cerita tanpa bukti yang nyata kukuh, konkrit dan sebagainya... sudah tentu sahaja mereka akan didakwa!

Juga saya ingin berkempen untuk penggerak mahasiswa... undilah mereka jika anda ingin melihat UM terus kaku dan program kebajikan hanya untuk mereka dan program hiburan yang entah apa-apa akan terus berterusan sehingga UM akan kelihatan seperti Universiti kebanyakan yang hanya melahirkan pekerja dan peraih nikmat dunia semata-mata. Hukum larangan Tuhan belakang cerita. Ah... tak retilah nak cerita kat hangpa.

Antara pilihan raya kecil Kuala Terengganu dan pilihan raya kampus Universiti Malaya ada persamaannya. Agak-agaknya apa?


Suasana kecoh pada hari penamaan calon kerana isu rasuah calon oleh TNC HEP. Bukti surat dari TNC difotokopi oleh pihak pro-m beserta laporan polisnya sekali. Tapi, TNC menafikannya jumaat lalu. Habis yang sebenarnya apa? Pro-M saja-saja buat konspirasi? Alahai...

Ahad, Januari 18, 2009

Sandiwara... oh sandiwara...

Setelah puas membunuh, menyembelih dan melapah umat Palestin, Olmert tampil - maaf kerana membunuh umat Palestin yang tidak berdosa. Ah... alangkah lembut lidah bicara. Mohon maaf begitu sahaja?

Husni Mubarok si munafik. Jiran yang tiada perikemanusiaan. Anjing yahudi laknatullah dan Amerika. Dibiarkan Palestin menderita. Tidak dibenar memasuki wilayahnya. Palestin begitu dihimpit derita. Bukan sahaja tidak dibantu. Bahkan dilihat sahaja. Malah tiada simpati dibiarkan sahaja Israel laknatullahi 'alaihim membantai Palestin.

PBB pula Persatuan Babi Buta atau juga boleh dikenali sebagai Pertubuhan Bebal Bengong Belaka. Resolusi demi resolusi dicapai hanya untuk mengaburi mata dunia. Kami sedang bekerja. Kami akan membela keadilan. Kami akan amankan dunia mengikut kesukaan kami dan cara tuan kami iaitu Amerika.

Maka, jadilah musuh Amerika itu semuanya pengganas. Lalu berkatalah Bush sebelum berundur dari tempat berdirinya sebelum diberi kpd Uncle Hussin, "Amerika sebenarnya masih dihantui oleh pengganas!". Meski sebenarnya pengganas itu adalah dia sendiri. Ah gila! Hantu menghantui dirinya sendiri.

Protes di mana-mana. Demontrasi demi demontrasi. Tunjuk perasaan dengan penuh perasaan. Pulang rumah buka TV tengok sarkis. Tonton tv sambil panggung kaki. Palestin menyaksikan peluru bersimpang siur secara langsung dengan mata kepala sendiri!

Palestin masih harum darah para syuhada'. Olmert pula sedang mengganggu keseronokan tentera rejimnya bermain pelbagai alat mainan yang baru-baru. Tak kurang juga keghairahan rakyat yahudi laknatullah yang melepaskan gian menandatangan di bom-bom. Seronoknya mereka. Macam hiburan pula. Hiburan yang menghadiahkan derita kepada orang lain.

Sandiwara demi sandiwara kita lihat kan. Jadi kitalah yang menjadi juri dan hakimnya. Siapa yang bersalah? Obama yang belum duduk kerusi presiden? Atau Bush yang melunaskan nafsu dan dendam sebelum berehat sambil berseronok. Atau Husni Mubarok yang tunduk menganjing di bawah dagu Amerika dan zionis. Atau OIC yang mewakili umat Islam tetapi hanya tunggu dan lihat. Ah, dengarnya nak tubuhkan pasukan tentera. Kalau saya layak, jemputlah saya sama!

Ini cerita, cerita siapa? Ini dunia dunia siapa? Peperangan mereka hanya derita mereka? Kita minta Israel Zionis laknatullah letakkan senjata sedang mereka sudah gam senjata tu kat tangan mereka. Zionis laknatullah sedang kekenyangan sekarang. Jadi mereka ingin berhenti buat seketika. Agaknya sudah capai target jangkapendek mereka. Berhenti dulu. Lagipun satu dunia sedang tekan mereka kecuali Amerika dan anjing-anjingya.

Sandiwara oh sandiwara... bila sandiwara ini akan tiba episod terakhirnya?!

Saya hanya mampu berdoa dan merintih tangis. Mungkin saudara juga. Anak beranak kita di Palestin? Mereka telah kering air mata...

T_T

Sabtu, Januari 17, 2009

Isu Hudud... senjata makan tuan.

Jumaat minggu lepas di kafetaria Akademi Islam. Pensyarah saya di Fakulti Pendidikan mampir, biasanya datang untuk menjamah juadah istimewa hari jumaat, kari kambing.

Pada mulanya saya tersentak melihat seorang pensyarah saya yang lama menghilang, En Zahari. Kurus dan hilang misainya. Hampir saya tak cam. Rupa-rupanya lama sudah beliau menderita sejenis penyakit. Puas sudah berubat. Ramadhan sudah beliau dibedah, di belakang tengkuk. Alhamdulillah, semakin sihat sekarang.

Pensyarah saya sorang lagi mulakan topik hangat... Kuala Tganu.. "Seorang pensyarah UM kita ada kat sana, buat penyelidikan". katanya sambil senyum. "Katanya, BN memang peluang tipis, kemungkinan besar kalah.." saya kata "Lagipun, BN guna senjata remeh, bahkan mungkin makan diri. Hudud tak relevan diorang guna nak serang PAS!" "sah kalah dah" sambung pensyarah saya lagi. "Diorang ingat rakyat bodoh ke nak burukkan PAS dengan isu hudud.. dahlah permainkan hudud.." Saya rasa makin meluat pulak ingatkan gelagat2 manusia yang bermain-main isu hudud. Weh... hudud daripada Tuhanlah... bukan hukum undang-undang buatan PAS!

Ai... kalau rakyat sudah menyampah..buatlah apapun orang akan menyampah juga...


Hadiri Majlis Diskusi Karya Mantan MPR


Malam tadi Zamzuri memberitahu sesuatu yang sebelum ini saya pernah terbaca di blog Puan Nisah, cuma tidak begitu cakna. Menyebabkan tiada dalam perencanaan dan lupa begitu sahaja. Inilah pentingnya jika ada buddy. Macam dalam askarlah juga. Wah, rindunya zaman pegawai kadet. Betul kata Lt M Noriam, hilanglah zaman keseronokan apabila bergelar pegawai muda. Tak selamanya kita jadi pegawai kadet puan...

Menyaksikan Majlis Dikusi Karya Mantan MPR, bersama-sama alumni MPR. Kebanyakannya penulis mapan. Kerdil rasanya. Ramai yang baru saya temu mata secara langsung.

Sebelum Prof Rahman Shaari membentangkan kertas kerjanya, sempat juga bersua dengan Nasriah Abdul Salam, ketika dia mengedarkan kertas kerja Prof Rahman. Dia semacam sedikit terkesima. "Eh... kita jumpa sat gi eh..." Dia kata. Saya angguk je. Sebelum ni kenalan di laman maya ni saja. Hari ni jumpa secara live. Tentu ada sedikit teruja. Nasriah gadis manis dan ayu. Lelaki manapun bisa jatuh hati pada pandang pertama. Saya tadi? Ah, anda usah buat provokasi sendiri. Siapalah saya ini. Bukan lelaki idaman sang puteri. Tak jumpa sangat pun. Sibuk nampaknya. Maklumlah, ajk majlis.

Agak ramai tadi. Apa yang saya faham, kebanyakannnya pelajar UPM. Ummu Hani Abu Hassan sempat berceloteh pada awal sesi kedua diskusi "mesti pensyarah push, kalau tak... tak datang..." sambil ketawa kecil. Mungkin budak-budak UPM tersipu-sipu kat depan nuh. Saya di belakang, bersama Zarif dan Zamzuri.

Sempat juga saya dan Zarif menggeletek hati sendiri dengan "Tikaman Madah". Buah tangan Anbakri. Falsafah yang cukup menikam ulu hati. Contohnya - Untuk membunuh nyamuk, anda tidak memerlukan senapang RELA.

Usai majlis saya mampir ke meja jualan buku. Puan Nisah pertama kali tengok saya, menelengkan kepalanya memandang saya. Segan pula saya. Macam dia cam saya je. Ingin saja saya tanya, cam saya ke? Ah, mana pernah jumpa di mana-mana. Cuma pernah komen kat blog je... Entah, tak mampu saya tebak kenapa. Sebelum ramai mengerumuni beliau, saya cepat-cepat sambar beberapa buah buku, beserta minta autografnya. Buku "Hak Cipta" dimintanya saya buka plastiknya. "Semua sekali RM 57". Tanpa banyak bicara saya ambil dompet di kocek belakang. Terrrkena jiran sebelah (perempuan)...upss... mujur kena sikit. Kalau tak, melatah dia .... malu saja saya jam 1:45 petang tadi (kurang lebih sahaja).

Sebelum pulang, menyantap semeja SM Zakir, Rahimidin Zahari, M. Lutfi, Zamzuri, Zarif - sekadar menyebut beberapa nama*. Ada topik menarik disembangkan. Antaranya esok, 18 Januari, hari ulangtahun ke 80 SN Noordin Hassan. Usai makan, sempat saya suakan gambar kepala babi di surau APIUM yang ada dalam kamera saya. Satu saja, itupun tak berapa jelas (kebetulan bawa kamera kekurangan kuasanya pagi semalam). Tapi kalau lihat sebelum makan...mahunya nasi tak mampu ditelan.


*menjadi bahan lelucon pula hari ini. Diubah menjadi - dan beberapa nama lagi - oleh Prof Rahman Shaari.

Jumaat, Januari 16, 2009

Pagi Babi... Petang Anjing!

Gambar ihsan Ustaz Adi Jabatan Siasah Syariyyah

Sebelum subuh... kira2 jam 4 pagi, abang Din selaku staf APIUM, yg bertugas sbg drebar di APIUM dlm masa sama juga ditugaskan sbg tok siak surau APIUM datang ke surau. abang Din yg kepenatan kerana byk kerjanya, tidur lena. Dia hanya tersedar apabila Azlan Zainal mengejutkannya dan berkata "Pak Din, kepala babi tu!" terkejut abang Din bukan kepalang.

Azlan Zainal dan Shahril datang ke surau APIUM untuk menunaikan solah subuh. tak tersangka ada orang yang sanggup meletakkan kepala babi lakdalam surau apium! Abang Din menghubungi keselamatan UM tapi kerana kesengauannya Azlan pun membantu. Abang Din hanya dapat difahami jika bercakap berdepan. Kalau dalam telefon memang entah apa yang dibicarakannya.

Dalam masa singkat pelajar mula membanjiri surau apium.. seorang demi seorang datang. Saya sendiri dikejutkan dari tidur oleh Bukhori Ganu dengan ayat "Loh, ada ppaler babi dalam surau A.I! saya bingkas bangkit, terkejut bukan main. Usai solat terus lepas tu ke a.i.

Subhanallah... ini sudah melampau... kenapa terlalu nihil manusia sampai sanggup begini sekali. Setakat pilihanraya kampus sampai tahap ni. Kepala babi diletak di atas bendera Pas dan di bendera di tulis PMI, Pro-M (pro mahasiswa@gagasan) dan Pas... sanggup buat kerja sebegini.. astaga... polis hadapi kesukaran mencari cap jari. seolah2 tdk ditinggalkan pada tombol pintu. yg didapati di tempat lain. entah jap jari sapa. seorang demi seorang datang melihat. ambil gambar dan menggeleng. aku sendiri mual tengok, terutama ketika pak gad belek2 dan angkat bubuh dalam plastik hitam. tak boleh makan aku pagi tadi. huh...

Petang pula saya ke Subang, ada kelas tuesyen di rumah. Sudah agak lama juga mengajar di sini. Ganti kawan yang dapat GSTT. Selepas mengajar dalam setengah jam, rehat kejap. Sedang syok sembang tetiba anak murid saya tu cakap "Ustaz, esok papa nak beli anjing" Amboi selambanya dia cakap macam tu. Saya agak terkesima. Sebelum ni dia ada tanya "boleh tak ustaz saya nak bela anjing?" depan mak bapak dia ditanyanya saya. Saya cakap "tak boleh". Dia jawab lagi "kawan saya kata boleh. Ayah dia cakap tak apa. boleh" Alahai... macamana aku nak jawab. Mama papa dia marah sebab tanya soalan tu pada saya.

Agak lama tempoh kejadian pertanyaan itu dengan hari ini. esok, bakal jadi kenyataan. Boleh pulak dia tanya saya "Ustaz nak main dengan anjing saya tak?" Budak ni aku lesing jugak kang. "Anjing saya tu perempuan, saya bagi nama Tun.. atau Toress. Ustaz suka nama mana?" Boleh pula tanya saya macam tu. Memang nak kena lesing budak nih. Pulak tu cakap anjing perempuan. Eh, budak ni nak beli budak perempuan ke anjing.. konpius aku... Saya tanya lagi "kenapa nak bela anjing?" Dia jawab "Minggu lepas ada pencuri masuk. banyak kali dah pencuri datang sini. jadi papa nak beli anjing.." Rasa lega sikit. Masalahnya tadi cakap nak main ngan anjing. Mmg nak kena budak ni.

Dalam hati saya mengeluh.. alahai.. pagi tadi babi dalam surau AI... petang ni anjing pulak... Allahu Akbarr...

Selasa, Januari 13, 2009

Sampai bila... Hegemoni Dunia terus Kuasai diri


Hegemoni Globalisasi

Retorik-retorik terus bersipongang

tatkala tangis anak kecil masih bergema
sampai bila kita biarkan mereka
menghilang dahaga dengan air mata
sedangkan yahudi laknatullah terus melapah
sanak saudara kita di bumi Gaza.

Palestin bagaikan sebilah pedang
makin hari makin tenggelam
kerana kita biarkan Islam karam
dalam nurani paling dalam
Islam sekarang (kebanyakan)
yang ada pada kita hanyalah hiasan
ketawalah manusia-manusia syaitan
kerana anak Adam telah sujud pada nafsu
di mana para syaitan enak beradu.

Di mana salam
yang seharusnya penyambung hubungan
di mana senyuman
menghidupkan kemesraan
telah semua ditelan kemodenan
hegemoni globalisasi
hidup mu-mu, ku-ku
kita nafsi-nafsi
ah! beginilah nampaknya
pabila cinta dunia kuasai diri
mati menjadi ketakutan manusiawi...

Nihilnya hamba ini!
hegemoni dunia terus kuasai diri...


Taman Bukit Angkasa

Isnin, Januari 12, 2009

Malam Puisi Pena - Palestin

Malam sabtu lalu, bersama Zamzuri Mustapha ke Rumah Pena. Hadir memberi sokongan kpd Deklamasi puisi Pena sempena Palestin. Agak lewat, hampir jam 10. Itupun ikut jalan jauh. Kenapalah Zam tak bagitau awal2 dia tahu jalan dekat.

Kali kedua ke Rumah Pena, kali pertama pada majlis idul fitri lalu. Hati yang asalnya berbunga-bunga kerana jarang-jarang hadir ke majlis sebegini, bertukar gerimis tatkala tersentuh. Alahai, askar bejiwa mulus ke apa saya ini.

Sempat saya rakamkan aksi beberapa penyair; SM Zakir (tiba2 jadi penyair), Zubir Ali, Kemala dan Malim Ghozali PK. Sayangnya tak rakam Mas Adeki baca gurindam bernada lantang. Sedap bangat. Berkobar-kobar jantung eden. Semangat meluap semacam. Sama naik dengan semangat penyair di depan. Ada juga penyair jemputan seorang srikandi seberang. Pada awal bicara sudah gawat, seakan ada sebak yang menyesak dada.

Tak mampu saya rakam semua aksi penyair lantaran ketidakmampuan kamera murahan saya yang takberapa jelas dan tidak memuaskan hasilnya-yang sebenarnya kekurangan tenaga. Namun cukup untuk saya merakamkan alunan syahdu Balada Gadis Kecil dan sebuah lagi lagu dendangan Zubir Ali dituju kpd Tuan Presiden, maksudnya kpd Presiden Amerika- negara paling kuat mengangkat Bukit Zion kaum paling bongkak dan angkuh di muka bumi ini.

Usai majlis deklamasi, sempat saya menemui Dato' Baha Zain. Tujuan utamanya untuk minta autograf pada bukunya - Berguru Pada Bintang. Bicara apa sahaja, diungkit bangkit kenangannya semasa di Uni.Malaya masa muda. Isterinya banyak juga bicara. Sunguh ramah. Bicaranya tentang Dato' Baha zaman muda. Keghairahan perjuangannya membela bahasa bangsa hingga tertangkap polis. Kegigihan Baha Zain perjuangkan bangsa Melayu (dengan membela bahasa Melayu) sanggup bersengkang mata, berpenat lelah.

Telah saya muat-naik video tersebut dalam youtube. Dan hasilnya boleh ditatap dibawah ini (memang tak memuaskan hati bg mereka yg inginkan kesempurnaan).


Balada Gadis Kecil dan Monolog dengan Presiden Amerika



Malim Ghozali PK




Saudara S.M Zakir




Ahad, Januari 11, 2009

Pernahkah Termimpi?


pernahkah bermimpi
malam tanpa bulan
hanya cahaya dari rumah terbakar
menerangi alam hingga ke langit

pernahkah termimpi
saudara kita di Palestin tertidur lena
tanpa di ganggu desir senjata yahudi?

alangkah sukar melelap mata
alangkah hilang sepicing lena
kerana asyik bermimpikan saudara
sentiasa tergenang air mata
menangis ratap hiba
lantaran kejamnya manusia
seolah-olah mereka bukan lagi manusia


Taman Bukit Angkasa

Kerosakan pada blog

Beberapa hari lepas.. mungkin minggu lepas atau dua minggu lepas.. ah sungguh saya manusia.. mudah lupa.. yang saya ingat telah berlaku kerosakan apabila saya membanting jari mengedit laman blog saya ini. Shoutbox dah tak boleh aplikasi seperti biasa. Senarai blog tak dapat edit. Semua jadi keras.

Mungkin inilah balasan kpd saya kerana terlalu ghairah mengedit blog -tukar template. akhirnya template biasa cadangan blogspot juga saya guna.

Alahai... nihilnya hamba...

Kata Dua kepada Si Keparat

Kata Dua Kepada Si Keparat


Sembelihlah saudara-saudaraku wahai keparat
nantikan aku menutup jasad mereka dengan bajuku sendiri
dan kau akan berhadapan denganku berdada telanjang
ayuh kita bergumul seperti anak jantan
akan aku buat engkau menjadi pondan
akan kubuat kau tak bisa punya keturunan
kerana hidupmu tidak lagi memberi makna
kepada sesiapapun di dunia ini
hidupnya engkau sebagai manusia perosak
membunuh sesuka hati tanpa belas kasihan.

Wahai anak-anak Benjamin natang yahudi
kamu semua sungguh bacul kerana menindas
dan membunuh sesuka hati anak kecil tak berdaya
menganiaya sang renta tak bermaya
menghenyak pemuda yang tidak memikul senjata
kerana engkau pun takut jika mereka memegang batu
engkau tak mahu terluka meski sedikitpun
engkau tak rela tanah rampasanmu dijejak saudaraku

ah, engkau yahudi si laknat keparat
tunggulah engkau nanti kan dihantar ke neraka!


Taman Bukit Angkasa



Khamis, Januari 08, 2009

Pak Thib Raya, Saya dan sebagainya


Semalam, Profesor Dr. Ahmad Thib Raya atau lebih mesra dengan panggilan Pak Thib menghadiri majlis khusus untuknya-majlis perpisahan. Tidak ramai yang tahu. Entah berapa orang sahaja. Saya pula tidak begitu tahu awalnya. Pak Thib sudah dua hari berada di UM. Tapi hanya 7 hb baru saya dapat jumpa dia. Sebelum tu tak sempat. Sebenarnya agak aneh juga jika Pak Thib berada di Malaysia pada hari bekerja atau bukan hari minggu. Pak Thib hanya berada di Malaysia sebelum ni bermula hari jumaat dan biasa akan pulang ke Indon pada hari ahad.

Tidak pernah saya ceritakan tentang Pak Thib di sini. Hari ini saya ceritakan sedikit meski entri ini akhirnya akan disiar lewat. Terimbau saat hari pertama beliau menemui kami pelajar Pendidikan Islam. Masa tu masih tahun 3. Subjek Pengajaran Teks Al-Quran dalam Bahasa Arab. Pak Thib berasal dari Pulau Sumbawa, Indonesia. Katanya, "kebiasaan orang Sumbawa berkulit gelap tapi saya sebaliknya. Ramai orang tidak percaya kalau saya bilang saya dari Pulau Sumbawa." Pak Thib orang yang murah senyumannya. Inilah barangkali petua awet mudanya. Meski usia menginjak 60an tapi kelihatan seperti orang berumur 40an.

Pernah makan semeja dengan saya kafe Akademi Islam. Nampak macam biasa saja. Macam makan di kedai-kedai dengan kawan-kawan. Padahal beliau Rektor Kemahasiswaan Universiti Islam Negeri, Ciputat Jakarta. Kalau di sini setaraf dengan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar. Tapi kerana tawaduknya bapak, beliau tidak kisah makan bersama saya. di meja biasa kafetaria. Bahkan dia pernah berkata pada majlis berbuka puasa "kenapa aja kita tidak bisa berbuka bersama kawan-kawan lain di atas tikar sana..." Paling mengejutkan saya pernah suatu hari sukar dapatkan kenderaan untuk Pak Thib yg menginap di kediaman UM yg hampir dgn Kolej 9 "bapak, saya tak ada kereta nak ambil bapak" kata saya semasa ke kediamannya. "Anak Hasbullah ada apa ya?" tanya bapak. "Motor!" kata saya. Jawab dia "motor pun tak apa, enggak mengapa.. bapak suka bonceng itu motosikal" sambil senyum. Saya pun buatlah alasan tak ada helmet lebih. Takkanlah TNC HEP nak naik motor aku.. huhuhu.... Saya cuba dapatkan pertolongan pak leh. Yang dapat Fadli Apet. Mujurlah. Awal-awal Pak Thib datang memang sukar sikit pengangkutan ke sana ke mari. Beberapa org kawan banyak membantu, termasuk Husna, Najihah - sekadar menyebut beberapa nama :).

Pak Thib telah tamat kontrak dengan UM. entah bila lagi dapat bertemu. Semoga beliau merindui kami dan menggerakkan nalurinya utk datang lagi ke UM ni. Sesungguhnya sukar bagi kami ketemu lagi mudarris dan murabbi spt bapak...


Harapnya ini bukan kali terakhir saya berjumpa dengan Pak Thib


*abaikan tarikh pada gambar kerana lupa nak cek ikut setting ke tak.

Rabu, Januari 07, 2009

Sudah 26 Tahun rupanya hamba!

Semalam hari ulang tahun kelahiran saya(mengikut kalender seantero dunia). Kalau dalam taqwim Islamiah umur saya menjangkau 27 tahun. Saya lahir pada 6 Januari 1983 M di rumah mak bapak saya, bersamaan 21 Rabiul Awal 1403 H.

Banyak juga dapat ucapan dari kawan-kawan. Saya tidak biasa meraikan hari ulang tahun saya sendiri. Pernah sekali dalam hidup, kebetulan adik bongsu perempuan dalam keluarga saya meraikan sesuatu maka kak ngah saya dapat idea untuk meletakkan nama saya sekali pada kek. Cuma tiada tiup lilin. Ketika itu saya belum jejak kaki ke menara gading lagi. Lupa sudah tarikh sebenar. Yang pastinya 6 Januari. Tak silap masa saya tingkatan enam atas atau sedang menunggu keputusan STPM.


Malam semalam sebelum jam 12 tgh malam, kawan2 saya meraikan saya dengan belanja di KFC. Satu rumah pergi. Sudah beberapa kali dibelanja KFC. Cuma kali ini sempena hari lahir saya. Sekadar makan meraikan. Masing2 sudah makan malam. Sekali-sekala makan lewat malam. Biarpun makan lewat malam tidak elok untuk diamalkan.

Buka friendster beberapa orang kawan hantar testi ucap selamat hari lahir. Tak kurang juga yang hantar sms. Semalam juga dapat bonus hari lahir dari maxis. Sehari dapat panggilan percuma ke semua nombor maxis. Tapi saya hanya dapat buat panggilan pada waktu malam sahaja dek kerana jadual kuliah dengan beberapa urusan yang perlu diselesaikan. Juga dapat panggilan percuma Celcom ke nombor 8pax. Dilema saya nak buat nombor mana sebab terhad amat. Buat ke nombor mak saya pun tak dapat. Macam biasalah, tertakluk kpd terma dan syarat. Inilah hadiah bersyarat pertama yang saya dapat.

Dapat juga hadiah dari teman serumah, Mahmud. Sebuah diari. biasanya saya beli sendiri diari Islami. Nampaknya tak usah berbeli la saya diari tahun ni. Diari yang ringkas dan menarik. Perkara pertama yang saya catit dalam diari ini ialah perjumpaan kali pertama pasukan Dikir Barat Akademi Islam pada Jumaat ini dengan Halim Yazid. Aih, dah nak habis pun masih bergelumang dengan persatuan lagi. Tak mengapalah.

Sekarang, hamba sudah 26 tahun. Abang Sulung aya kahwin pada usia ini. Sedang saya masih berhempas pulas menghabiskan program ijazah pertama saya. Saya baru serius mencari bakal isteri. Entah bilakan dapat. Jadi sesiapa rasa berkenan kat saya silakan emel saya :P (masih gadis dan dara ye..huhuhu)

Sekarang semester akhir tahun akhir, tahun empat. Bulan Mei ni insyaAllah praktikum. Entah dapat mengajar kat mana. Dekat2 je kot. Baru juga tadi pergi jumpa kerani Jabatan. Tanya bila sampai senarai sekolah kawasan Selangor. Bila nak mula mesyuarat. Aih... kena tolong juga. Kerani baru... walaupun SMPI ada beberapa pensyarah dan staf baru, tapi kan masih baru. Takda pengalaman uruskan budak2 tua yang banyak ragam. Saya sebagai mantan ketua batch yang pernah pening selama 2 tahun dengan fe'el perangai kawan2 rasa perlu hulurkan bantuan. Lagipun saya ditarik ke dalam kabinet batch oleh kawan saya sebagai exco akademik. Uruskan beberapa masalah berkaitan andainya timbul.

Subhanallah... hamba ini rupanya sudah 26 tahun mengecap udara dunia!

Isnin, Januari 05, 2009

Melakar Lembaran Hidup

Puisi ini disiarkan dalam Mingguan Malaysia semalam.Tataplah... Hayatilah...


Melakar Lembaran Hidup

Dakwat tinta masih basah pada lembar kisah semalam
lalu bagaimana kuingin melakar kisah baru
pada lembaran baru pada esok hari.

Langit jingga masih belum padam pada petang ini
bagai tak rela malam memadamkan hari ini
dan menggantikan hari baru pada esok hari.

Hujan masih turun lewat malam ini
bagai menangisi dosa-dosa semalam
yang belum terbasuh dek kejahilan manusiawi.

Tatkala melakar lembaran baru, setiap hari
lakaran-lakaran semalam tetap terbayang
pada helaian-helaian hidup yang semakin pudar.

Hasmora Masnuri
Taman Bukit Angkasa
29 Disember 2008.


Jumaat, Januari 02, 2009

PPSMI, Saya dan Anda

Adakah kita masih tidak cerdik menilai sejarah yang telah berlalu. Adakah kita hanya belajar sejarah untuk lulus cemerlang atau sekadar berbangga bahwa datuk nenek moyang kita dahulu bermandi darah untuk mempertahanakan tanah air dari di jajah? Sedangkan kita kini sedang membiarkan minda anak-anak kita dijajah satu demi satu. Hegemoni barat beranak pinak dalam cepu akal lalu menganggap apa sahaja dari barat adalah entiti yang tidak boleh ditolak malah perlu disanjung meski terpaksa menguburkan legasi nenek moyang sendiri.

Sudah jenuh saya melihat semua sandiwara pemimpin. Melontarkan retorik-retorik plastik, sedangkan tak lain semua hanyalah kata-kata fantastik yang tak bukan untuk mengangakan sesetengah manusia yang sukakan perubahan drastik mesipun tak tercapai akal memikirkan natijahnya. Sesetengah orang kita memang suka mengungkapkan peribahasa ‘sudah terjatuh baru terngadah’. Dan akibatnya penyesalan tiada kesudah.

Saya tidak pasti adakah rakyat marhaen akan lebih mendengar kata-kata seorang Profesor dalam bidang bahasa atau lebih sanggup terperangkap dalam jurang retorik pemimpin sombong yang melontarkan keangkuhannya di tengah-tengah kekalutan ideologis seolah-olah tiada sesiapa akan mencabar keangkuhannya itu. Saya tergerak untuk menulis tentang Pengajaran Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ini setelah terkilan dengan seorang kawan dari Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Matematik) yang tidak tahupun apa itu PPSMI. Barangkali diapun sama sahaja mesti teruja kerana dapat mengajar matematik dalam bahasa inggeris. Kalau setakat speaking merangkak macam saya baik tak payah nak berbangga.

Saya amat bersetuju jika kerajaan memperkukuhkan Bahasa Inggeris. Ini, bahasa inggeris entah ke mana, sains matematik pun entah ke mana. Nak budak terer bahasa inggeris tapi inggeris kokap, matematik sains pun tak dapat tangkap. Seorang profesor dari UPSI berjuang habis-habisan menetang PPSMI ini. Ramai juga yang bermujahid bersamanya termasuk golongan muda yang dipelopori oleh PKPIM.

Saya menyokong penuh usaha sesiapapun yang mempertahankan bahasa ibunda dengan apa cara sekalipun kecuali membunuh dan menghuru-harakan negara dalam konteks menimbulkan peperangan bersenjatakan parang, M16, mortar, kereta kebal, jet pejuang atau seumpamanya. Cukup hanya pena menjadi pedang dan hujah kata yang bagaikan belati tajam menikam dan menusuk kalbu pemimpin dan mereka yang menyokong di belakangnya. Sembelihlah ideologi karut dan hegemoni yang membelenggu pemikiran moden mereka. Sesungguhnya sebarang usaha mencemarkan maruah bahasa ibunda adalah perbuatan yang tidak boleh dimaafkan sama sekali. Prof Abdullah Hassan ada mengkhabarkan tentang pembentang Hawaii yang menyatakan bahawa bahasa Hawaii telah pupus sepenuhnya lantaran pemimpin zaman yang tak lama dahulu terlalu mengagungkan bahasa orang putih dengan memutihkan semua bahasa asli Hawaii.

Tertarik saya pada sebuah forum beberapa malam sudah. Seorang dari kementerian pelajaran manakala dua lagi ahli akademik bergelar profesor. Bangganya saya profesor dari UKM itu adalah kaum cina, bertambah berbangganya apabila beliau dengan tegasnya mengatakan bahawa bahasa melayu mampu menjadi bahasa ilmu maka mengapa pula harus diambil bahasa inggeris sebagai bahasa untuk mendalami sains dan matemtik. Bangsa yang berjaya di dunia ini tak pernah menjadikan bahasa inggeris sebagai bahasa perantara dalam mengembangkan ilmu sains dan teknolofgi mereka. Hairan juga saya jika kita (Malaysia) beria-ia memperkenalkan dasar pandang ke timur dengan menjadikan Jepun dan Korea sebagai contoh untuk mengembangkan teknologi kita maka kenapa kita tidak melihat satu perkara yang menjadi tunjang kepesatan mereka, iaitulah bahasa. Tidak dinafikan mereka juga menggunakan bahasa inggeris tetapi bukan sebagai bahasa buku teks untuk anak-anak mereka. Hanya diajar bahasa inggeris untuk mereka boleh berkomunikasi dengan orang luar.

Sebagai contoh, Thailand- adakah anda pernah menonton rancangan televisyen Thailand? Jika pernah, perasankah anda bahawa semua rancangan tak kira dari jepun atau amerika hatta cerita hindustan pun dialih bahasa kepada bahasa thai@siam. Betapa mereka begitu taksub terhadap bahasa mereka. Tapi kita pula sanggup menggunakan bahasa inggeris hatta dalam dewan parlimen yang sepatutnya menggunakan bahasa melayu bahkan sesetengah ahli parlimen dengan wenangnya tidak menyebut dengan izin apabila menuturkan istilah tertentu bahasa inggeris. Lebih teruk apabila keluar parlimen pabila bercakap depan wartawan dia main rojak pasemboq je bahasa tu. Jadi inilah pemimpin yang kita harapkan untuk memperkasakan bahasa kebangsaan.




Khamis, Januari 01, 2009

Ekspidisi Menawan Bukit Tabur bersama PKPIM UIA



Menawan Puncak Tabur

Mentari jingga terbit dari ufuk timur
tersenyum pagi ini sungguh menawan
sungguh kuteruja untuk menawan sebuah puncak
biarpun tidak setinggi awan
dan pagi ini, aku bergerak
bersama-sama mereka yang baru menjadi kawan
hari pertama tahun baru,
hatiku sungguh diharu menusuk rawan.

Keinginan menakluk puncak
yang tidak seberapa tinggi
tetap mencabar
kerana batu-batu bergigi
tetap juga bimbang
dengan langkah penuh hati-hati
kerana sudah ada yang jatuh di sini
dek kerana terlepas tali.

Bersama kawan yang baru kukenal
tidaklah aku merasa janggal
kerana ukhwah fillah dalam diri
tidak sukar kumesrai.

Dalam perjalanan
bertemu saudara Chung Hwa
sudah ingin turun rupanya
mereka entahkan subuh sudah menjelma
melihat kabus melintas depan mata.

Melihat UIA dari puncak Tabur
juga menikmati pemandangan Kuala Lumpur
entah asap entah kabus pandanganku kabur
ah Kuala Lumpur, tempat cinta-cinta berterabur!


Bukit Tabur
1 Januari 2009

Myblogloglaq