Khamis, April 29, 2010

Temuduga SPP


Ketika saya membuat persediaan untuk temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), ketua kerani sekolah (Chief Clerk-CC) menasihatkan saya turun awal-awal lepas subuh, kerana jalan di Kota Kinabalu tak ubah macam Kuala Lumpur, ‘jam’. Dalam hati terdetik ‘aku bawak roti banyak-banyaklah..hehe’.

27 April 2010, tepat jam 6 pagi saya bertolak dari rumah di Taman Jadi, menuju ke K.K. Kenapa ngam-ngam jam 6? Sebab tika nak buat 3 penjuru selepas keluar dari rumah, ngam-ngam radio sabah berbunyi tet.. teetttt... pukul 6 pagi.. berita daa..

Jalan memang agak ‘jam’.. dalam hati rasa lega sebab tolak ‘permohonan’ penempatan di SMK Taman Dato’ Harun, tahun lepas oleh pengetua. Kalau tidak, makan ‘jam’ sajalah tiap hari. Mesti jemu muntah punya. Dah la ada tol’ol’ yang kena bayar. Sewa rumah mahal. Kos sara hidup tinggi. Cuma banyak kelebihan lain lah di KL, contohnya asap yang lebih banyak dan penyangak yang lebih ramai. Hehe.

er..Minum air dulu. Mai secawan...
.
.
Tak lama kemudian, setelah 1 jam 45 minit kurang lebih (nak kena dengan PM aku ni..ah lantak la..) sampailah saya di Wisma BSN, pejabat SPP di tingkat 3. Lebih 45 minit berbanding perjalanan biasa, tapi banyak masa buat ‘jam’, nak buat macamana. Sebelum temuduga makan dulu, lagipun isteri saya dan anak dalam perutnya lapar (oh ya.. mem ikut sekali sebab nak daftar kursus bersalin di Hospital Likas, dan cari baju mengandungnya..). Bila siap makan bubur nasi (dengan agak laju) saya ke tingkat 3, mendaftar untuk temuduga. Bertemu pula saya dengan junior di SMAP Labu, Mohd Fahmie. Sudahlah masa temuduga UTM di Wisma Darul Iman dulu jumpa dia, yang ini pun jumpa dia. Alahai dunia, kecilnya ya.

Dapat giliran kelapan. Seorang demi seorang masuk dan keluar bilik temuduga. Khabar yang mereka beri rupanya tidak seindah rupa yang digambarkan oleh kawan saya dalam komen facebook. Bukannya bersembang, tapi memang satu-persatu ditanya. Dan kawan-kawan saya yang akan hadapi temuduga akan datang (terutamanya di Sabah, kerana mungkin orang sama), perlu bersedia dengan tajuk di bawah ini;

1- Falsafah Pendidikan Kebangsaan, dan falsafah Pendidikan Islam
2- KBSR dan KBSM
3- Kaitan antara KBSR dan KBSM
4- Perkara berkaitan dengan sekolah anda berkhidmat
5- Perkara berkaitan dengan pelajaran anda ajar
6- Salah satu antara NKRA, PIPP, Wawasan 2020, konsep 1Malaysia dan
7- Isu-isu semasa..

Yang lain-lain spot sendiri.. aku pun tak tahu kena tanya semua ni.. hangpa beruntung aku kena dulu tau! Uhuhu..

Pedihnya jawab soalan dari seorang penemuduga yang skema begitu hanya Tuhan yang tahuuu...

Itu sahaja laporan dari saya untuk kawan-kawan yang akan hadapi temuduga tak lama lagi. Bagi DPLI saya tak pasti bagaimana, adakah perlu tunggu konvokesyen atau boleh minta surat dari jabatan di Fak.Pendidikan seperti yang dimaklumkan kawan saya dari DPLI UDM. Apapun, selamat hadapi temuduga SPP buat mereka yang akan hadapi tak lama lagi atau tak tahu bila lagi. Kata kawan saya ‘ala dia ajak sembang je tu..’ tapi anda harus siapsiaga kerana apa yang akan kita hadapi mungkin takkan sama dengan orang lain hadapi..

Salam perjuangan mendidik anak bangsa..

Kota Belud, Sabah
290410, 4.00 pg.

Jumaat, April 09, 2010

Malam Jumaat

kala bulan malu-malu
sembunyi sebalik awan
tergigit aku lidah kelu
bicara bisu menusuk rawan

malam jumaat, azimat hikmat
bagai belati tertusuk sukma
Tuhan itu Maha Melihat
tiap baris kata dalam jiwa

Allah itu Tuhan, hanya Dia
tiada Tuhan selain-Nya
menjadikan siang cerah
malam untuk beradu

hanya debarku kala ini
esok hari Jumaat
hari dijangka kiamat
tiada diketahui waktu

kala ini jua aku tertanya
bersediakah aku hadapi
sedang diri dipasung nafsu

Hasbullah Mohamed Rahman
Kota Belud, Sabah.
Jumaat, 12.03 pagi
09 April 2010

Sabtu, April 03, 2010

Sudah jarang menulis

Sejak tidak lagi berhadapan dengan hiruk-pikuk kota raya Kuala Lumpur. Sejak berkahwin dan jarang-jarang membujang dengan kawan-kawan di kedai kopi. Sejak bergelar guru di Negeri Bawah Bayu, saya sudah jarang menulis.

Dulu saya suka mengemaskini blog, untuk kepuasan sendiri dan juga perkongsian peribadi. Menulis sajak sama ada dihantar atau siar di blog atau simpan saja. Kini pun saya masih menulis, tapi jarang benar.

Jarang benar.

Puisi saya yang terakhir bertajuk ‘Bila Banyak Lebih’. Dua atau tiga minggu yang sudah saya tulis. Awalnya saya ingin hantar ke majalah Solusi, namun tidak terhantar. Entah mengapa. Lama sudah saya tidak hantar puisi kepada editor Utusan Mingguan (sastera). Juga lama tidak saya hantar puisi ke majalah Tunas Cipta. Apatah lagi Dewan Sastera, saya langsung tiada rasa berdaya menembusinya langsung. Walau orang kata tak cuba tak tahu.

Entah mengapa.

Idea dan ilham kadang-kadang datang mencurah-curah, menyebabkan banjir idea. Namun dalam masa sekejap sahaja sebelum saya sempat menulisnya ilham itu ‘kering begitu sahaja. Usahkan cerpen, apatah lagi novel, penghasilan puisi pun tidak begitu memberansangkan.

Kalaupun ada orang berpendapat, seseorang penulis lelaki sukar meneruskan penulisannya selepas berkahwin, saya kata pendapat itu tidak tepat. Kerana saya ketika belajar pun tidak ghairah menghasilkan karya, selepas berkahwin apatah lagi.

Seorang penulis memang memerlukan motivasi dalaman yang kuat untuk tegar menulis tanpa jemu dan putus asa, dan inilah yang sebenarnya saya perlukan sekarang ini.

Zaharah Nawawi pernah menegaskan kepada kami peserta Bengkel Penulisan Cerpen Pelbagai Kaum 2007, bertempat di Hotel De Palma Ampang; yang penting dalam penulisan ialah disiplin. Tiada alasan tiada masa, kerana setiap kita ada banyak masa terluang. Cuma disiplin kita memanfaatkannya.

Bermula hari ini detik ini; saya ingin menanam azam agar cergas menulis dan mencapai cita-cita menjadi penulis mapan suatu hari nanti.

Doakan.


Taman Jadi, Kota Belud Sabah

Myblogloglaq