Rabu, September 30, 2009

Restu yang dipaksarelakan?



Selama saya berada di bangku sekolah, saya rasa tidak pernah ketemu majlis seumpama ini, majlis yang dinamakan restu ilmu. Terlintas dibenak saya, adakah ada antara para guru yang tidak merestui ilmu yang mereka curahkan!

Semalam ketika di perpustakaan sekolah saya terdengar tanpa sengaja kata-kata terluncur dari bibir mungil seorang guru, yang maksudnya guru itu akan merestui muridnya yang mematuhi syarat yang dia kenakan. Ada pro dan kontra saya kira di situ. Mungkin ada eloknya, supaya murid lebih cakna akan nasihat guru.

Jadinya... kalaulah guru tersebut merasa tidak rela merestui ilmu yang mereka ajar selama ini, harusnya bagaimana? Meski diadakan majlis restu ilmu yang melibatkan murid, guru dan para ibu bapa juga penceramah khas!

Saya tahu sebenarnya kebanyakan guru berhati mulia dan tak kisah akan layanan dan balasan feel perangai anak murid terhadap jasa dan budi guru mengajar penuh ikhlas tanpa mengharapkan penghargaan dari murid. Tapi tak dapat dinafi bahawa ada guru yang berkira-kira. Masakan kalau diberi madu yang dibalasnya tuba.

Saya sendiri secara peribadi amat kasihan melihat nasib anak-anak zaman ini yang rata-riti seolah-olah ketandusan kasih sayang dan perhatian ibu bapa terutama di ibukota ini. Ibubapa tungkus lumus siang malam mencari biaya hingga tiada masa berkualiti bersama anak-anak bertanya khabar mengambil berat. Melihat-lihat kerja sekolah anak-anak.

Tapi... banyak juga silap ibu bapa sebenarnya dalam mendidik anak-anak. Saya sejak sekian lama percaya kata-kata nasihat mak sepupu saya yang mengatakan mendidik anak bukan dengan memarahi mereka. Anak kecil tidak mengerti apa yang mereka buat itu baik atau buruk. Cara yang betul beritahu dengan lemah lembut. Jika diajar secara bentak kasar marah dan tengking kelak anak akan menjadi seorang degil dan sukar mendengar nasihat. Kalau terpaksa pukul sekali-sekala biasalah. Cuma jangan jadikan pukulan itu kebiasaan.

Tidaklah dapat dipastikan akan keberkesanan ceramah motivasi yang hebat dan mengujakan bahkan menghiburkan oleh gelagat dan kebolehan motivator. Sebelum inipun semasa saya menjalani latihan mengajar, juga pernah terlibat sebagai jawatankuasa program motivasi. Apa yang saya perhati semangat murid hangat-hangat tahu ayam sahaja. Inilah kelemahan daya motivasi luaran. Motivasi dalaman paling penting walaupun suhunya suam-suam kuku saja..huhu

Apa-apapun, guru-guru sekalian ayuh kita redhai dan restui ilmu yang kita kongsikan selama ini. Doakanlah murid kita berjaya dunia akhirat sekalipun kini murid kita tak ubah macam harimau dan buaya. Esok berubahlah depa...

Ikhlaskanlah restu dan keberkatan ilmu. insyaAllah balasan setimpal menanti kita DI SANA...

Tiada ulasan:

Myblogloglaq