Selasa, Januari 22, 2008

Antara Dorongan dan Bisikan

Pernahkah terjadi kepada kita perkara yang tersebut di bawah? selalu bukan? Kadang-kadang kita dapat atasi bisikan syaitan. Tapi selalunya kita tewas. Di bawah ini adalah mesej yang dihantar oleh seorang kawan dalam friendster. Jadi saya ingin berkongsi diruangan ini dengan anda sekalian...

Manusia - Eh, dah subuh dah?
Malaikat - bangunlah wahai anak Adam, tunaikan solat subuh mu ...
Syaitan - Alahhhhhh, kejaplah, ngantuk ini...awal lagi nie!.zzzzzzzz

Manusia - Nak makan, laparlah!!
Malaikat - Wahai Anak Adam, mulakanlah dengan Bismillah...
Syaitan - Ahh, tak payahla... dah lapar ini !! mmm..sedapnyaaaa! .

Manusia - Hari ni nak pakai apa ye?
Malaikat - Wahai anak Adam, pakailah pakaian yang menutup aurat..
Syaitan - Ehh, panaslah, takde style langsung, nampak kampung!!!

Manusia - Alamak, dah lewat!
Malaikat - Bersegeralah wahai manusia , nanti terlewat ke pejabat..
Syaitan - Ahhh!awal lagi!mmm..aaahh! suruh si X, punchkanlah!

Manusia - Azan sudah kedengaran.. .
Malaikat - Wahai anak Adam, bersegeralah menunaikan kewajipan
Syaitan - Baru pukul berapa.. rilex lah..awal lagi nieii!.

Manusia - Eh, eh... tak boleh tengok ini, berdosa...
Malaikat - Wahai anak Adam, alihkanlah pandanganmu, sesungguhnya Allah Maha Melihat dan mengetahui !
Syaitan - Perggghh... best tu... . rugi ooo kalau tak tengok nie..

Manusia - Saudaraku sedang melakukan dosa
Malaikat - Wahai anak Adam, cegahla ia..
Syaitan - Apa kau sibuk! Jangan jaga tepi kain orang, lantaklahh! .

Manusia - Elok kalau aku sampaikan nasihat ini kepada orang lain
Malaikat - Wahai anak Adam, nasihat-menasihatilah sesama kamu..
Syaitan - Sendiri pikirlah, semua dah besar, buat apa susah2... pandai2lah!

Manusia - aku telah berdosa..
Malaikat - Wahai anak Adam, bertaubatlah kamu,sesungguhnya Allah Maha Pengampun. .
Syaitan - Tangguhlah dulu, lain kali boleh bertaubat... lagipun muda hanya sekali....rugila. .. (kalau sempatla)

Manusia - Kalau pergi, mesti seronok!
Malaikat - Wahai anak Adam, kakimu ingin melangkah ke jalan yang dimurkai Allah,berpalinglah dari jalan itu ..
Syaitan - Jangan bimbang, tiada sesiapa yang tahu...Jomlahhh!

Manusia - Uuhhh!letihnya arini..tak solat lagi nieee!.
Malaikat - Wahai anak Adam, taatilah Allah dan RasulNYA, kebahagiaan di dunia dan akhirat untukmu. Solat itu wajib bagimu...
Syaitan - Hey anak Adam, ikutilah aku,kebahagiaan di dunia (sahaja) dan kebahagiaan diakhirat (jangan mimpilah!) untukmu...

-semoga kita mengambil inisiatif segera mengubah diri kita menjai lebih baik. Bersama-sama menyeru ke arah kebaikan dan bersama mencegah kemungkaran...

Isnin, Januari 21, 2008

Liku-Liku Jalan di Kuala Lumpur – Saya Kemalangan

Catatan ini saya tulis sambil merendam kaki dalam air yang dicampur dengan ais – atas nasihat doktor, juga sambil menikmati lagu ‘Farsyi Turab’ yang berkali-kali diulang dari pagi. Kenapa? Kaki saya membengkak abibat kemalangan jalanraya dengan sebuah kereta di hadapan Stesen Universiti sekitar jam 2345 H. Beberapa kawan sekuliah menyaksikan kejadian tersebut. Masa tengah-tengah sakit mereka hantar sms tanya khabar. Layan jugaklah walaupun kekok menaip mesej dengan tangan luka .Tak kurang juga kawan karib saya tak putus-putus buat panggilan tanya keadaan dan kedudukan saya ketika itu. Ketika itu saya di dalam kereta pelanggar dalam perjalanan mencari klinik 24 jam yang buka. Susahnya hendak cari apabila kita memerlukan ya? Masa tak nak, elok-elok je ada. Mungkin sebab hari ini hari minggu maka malam tadi kebanyakan klinik tutup awal. Kalau macam tu tak payah letak nama klinik 24 jam.

Semua orang sebenarnya tidak ingin perkara ini berlaku pada dirinya. Namun sedarkah kita tiap yang berlaku ada hikmahnya. Tuhan nak tegur kita sebenarnya tu. Mungkin inilah kifarat dosa atas apa yang saya lakukan atau kifarat dosa tuan kereta tersebut. Wallahu a’alam. Saya redha perkara ini berlaku. Walaupun jelas kesalahan pemandu kereta tersebut tapi saya rasa saya pun ada silap juga. Apa yang silap tu yang belum jumpa lagi. Tidak hati-hati itu satu. Tapi siapa sangka bahawa ada orang yang melanggar peraturan jalanraya di depan kita kan? Kalau kita sudah berhati-hati tapi ada orang yang tidak hati-hati di sekitar kita maka yang makan hati sudah tentulah kita!

Bagaimana berlaku? Si pemandu kereta (nama dia Sabri atau abang Sabri-identitinya tidak akan didedahkan) tidak mahu ‘berbaris’ di laluan yang sepatutnya maka dia mengambil jalan mudah iaitu ‘memotongpendek’ (istilah saya sendiri) @ ‘short cut’ atau kita sebut juga memintas jalan sehala ke UM sedangkan dia hendak ke jalan yang menghala ke Shah Alam. Apabila lampu hijau saya masih berada agak jauh dari kereta itu maka saya tidak menukar gear dan jalan terus dengan kelajuan 40 km/j kurang lebih. Tiba-tiba dia membelok sedikit ke kiri sedang saya berada di tepi kereta. Maka, dushhh... berlakulah perlanggaran berkesan yang mengakibatkan saya terpelanting di hadapan. Syukurnya masa tu tak ada kereta atau kenderaan yang menyertai adegan perlanggaran tersebut. Segera dia mendapatkan saya dan memapah ke tepi. Saya yang masih terkesima cuba bergerak perlahan. Adus... sakit kaki dan tangan. Tubuh ketar-ketar. Tengok tangan, luka sedikit sahaja. Tapi kaki, sebelah kanan nampak teruk sedikit. Yang sedikit itu nampak banyak hari ini. membengkak semacam. Nak makan pun terpaksa minta tolong kawan yang tapaukan.

Kes diselesaikan ‘diluar’. Kalau buat laporan polis leceh. Banyak kena buat. Kena bayar saman lagi. Saya kena bayar laporan dia pun kena saman. Lagipun dia sanggup membiayai kos perubatan saya dan kos baiki motosikal kawan saya yang saya pinjam. Ehem.. kebetulan pula saya kemalangan dengan motor ‘room mate’, bukan dengan motor saya sendiri yang baru habis RM100 semalam (18 Jan-Sabtu) menukar beberapa alat yang tamat tempoh. Uhuhu.. syukur juga kamera digital yang baru seminggu saya beli Low Yat, sihat wal afiat walaupun ia berada di belakang (dalam beg galas) yang kemungkinan besar terlibat dengan aktiviti ‘forward roll’ semasa jatuh. Kalau tak, adus... RM500 tu... guna duit biasiswa yang baru masuk selepas kenaikan biasiswa bulan 12 lalu. Amat memerlukan gajet seperti itu kerana terlibat dengan banyak aktiviti di UM dan juga masih kurang gambar kenangan bersama keluarga tercinta di kampung.

Berputar-putar mencari kedai 24 jam di bangsar. Nasib baik ada. Saya kagum dengan kesungguhannya. Dia tidak mahu ke PPUM kerana proses di sana amatlah lama. Pendek kata saya menderita dululah. Dia pun tak mahu menunggu lama kerana banyak lagi urusan yang terpaksa dia selesaikan. Kebetulan semalam dua kawan saya juga ke PPUM. Kawan yang pertama ke PPUM 6.30 petang, nun jam 10.30 malam baru tiba giliran rawatan. Seorang lagi kemalangan seorang diri dalam UM, pergi jam 1 pagi, dekat subuh baru balik. Huh, kalau Abg Sabri dengar cakap saya supaya ke PPUM, alamatnya derita menunggulah kami, sebab Abg Sabri tidak akan tinggalkan selagi saya belum menerima rawatan Selepas mendapat rawatan di Klinik inter-med bangsar, kami ke warung mapley tepi klinik gigi bangsar, siap berkenalan dan tanya latarbelakang lagi. Inilah kali pertama peristiwa kemalangan saya yang paling menarik dan paling berhikmah. Dengan kemalangan boleh menjalin ukhwah.. Selepas menghantar saya, kami bersalaman, dia memohon maaf kerana kecuaiannya, siap peluk-peluk lagi, huhu. Dia pesan kalau lapang ziarahlah dia di Pantai Dalam.

Saya selaku antara orang yang masih hidup dan sihat wal afiat selepas kemalangan di jalanraya di Kuala Lumpur ingin berkongsi pandangan dan memberi sedikit nasihat. Pertama, berhati-hatilah di jalanraya. Ingatlah Allah,dengan membaca doa dan zikir, jangan ingat orang yang tersayang kalau tak jiwa melayang. Hehe. Kedua, jika kita ditimpa kemalangan tetapi kita masih boleh bercakap dan mengengsot-engsot, janganlah mudah hilang sabar dan memaki hamun serta berkata perkara yang tidak elok kepada orang yang langgar kita (kalau parah nak marah memang tak boleh la, nak marah macammana kan? Ke ada?...). Dia sudi turun dari kereta dan membantu kita sudah kira beruntung dan bernasib baik dah. Selesaikan dengan bijaksana dan profesional, bukan ikut nafsu hati dan emosional. Tiada masalah yang boleh selesai dengan marah. Bukankah marah itu dari syaitan dan syaitan tidak lain adalah penyesat manusia dan makhluk terhina yang berpaling dari mentaati Tuhannya!

Teratak Dayasari
20 Januari 2008

Jumaat, Januari 18, 2008

Puisi hijrah

Puisi hijrah saya nukilkan pertama kali semasa pensyarah Media Cetak Dakwah –Puan Zabehah Ibrahim memberi kerja kursus supaya membuat artikel, cerpen atau puisi. Maka kebetulan ketika itu sudah terlalu hampir dengan 1 Muharram 1428H maka saya bercadang hendak menukilkan sebuah puisi pada waktu pagi 1 Muharram. Maka terhasillah sebuah puisi yang agak panjang. Pada tahun ini pula saya menukilkan sebuah lagi puisi hijrah tetapi sehari lebih awal. Maka di bawah ini saya siarkan kedua-dua puisi tersebut untuk tatapan sahabat-sahabat sekalian. Puisi ini agak mematuhi gaya sajak lama, yang mementingkan rima dan bentuk dalam persembahannya. Mungkin kerana terikut-ikut dengan gaya sajak pujangga-pujangga silam.


Tafakur Hijrah

Aku masih berdiri
Merenung dalam diri
Menghitung dosa hati
Sebelum hatiku mati.

Hatiku kian gelap
Lantaran api cinta kepada Ilahi yang malap
Ruh Islamku tidak digilap
Kerana kejahilan yang menelap.

Orang lain sudah berlari
Mengejar cinta Ilahi
Kembara yang suci
Ke negeri abadi.

Sedang aku masih nanar
Mencari arah perjalanan hidup
Yang lurus dan benar
Demi bayangan-Nya yang redup.

Iktibar hijrah nabi
Aku kembara sendiri
Mencari cinta ilahi
Dalam kekalutan duniawi.

Tafakurku dalam-dalam
Tentang kejadian seluruh alam
Betapa agungnya engkau Tuhan
Maha Pengasih Maha Penyayang.

Kumuhasabahkan diri
Mencari-cari jatidiri
Yang ditenggelami
Keegoan manusiawi.

Tafakurku dalam diam
Fikirkan tentang dosa
Yang hitam zulumat
Dalam hati sendiri.

Berikanku petunjuk ya Ilahi
Jalanmu penuh ranjau berduri
Jikapun aku adalah pemimpin tertinggi
Didepan-Mu kuhanya abdi.


Hasbullah H.M
20 Januari 2007 M/ 1 Muharram 1428 H
Kolej Kediaman Kelima Universiti Malaya

dan ini adalah puisi kedua-yang baru

TAFAKUR HIJRAH II

Lapan hari lalu tahun baru masihi
orang menyambut ghairah sekali
esok pula tahun baru hijriah
entah apakah akan dirai meriah
aku hanya menanti dengan sabar
adakah orang lain juga merasa debar.

Kadang-kadang aku rasa terharu
setiap kali sambutan tahun baru
ramai orang memasang azam
banyak pula yang menjadi angan
impian dan cita-cita yang dikejar
gugur bersama semangat yang hambar.

Sejenak kudiam bertafakur
di saat semua berdengkur
seusai doa di atas sejadah
merajut harapan kepada Allah
semoga dunia kembali aman
manusia berlumba mencari pedoman.


HASBULLAH HAJI MOHAMED
Kolej Kediaman Kelima
Universiti Malaya.
9 Januari 2008.
30 Zulhijjah 1428 H

Isnin, Januari 07, 2008

Umurku telah bertambah....

Sudah 25 tahun rupanya umurku sekarang. Tanggal 6 Jan 1983 saya dilahirkan. 25 tahun jika menurut kalendar masihi. Jika menurut takwim Hijriah umur saya akan masuk 26 tahun pada 21 Rabi'ul Awwal akan datang.
ehem, lagi tua rupanya. huhuhu

Saya bertanya juga pada diri sendiri, setakat 24 tahun yang berlalu apakah kejayaan yang sudah saya lalui. Kejayaan yang dalam erti kata sebenarnyalah. Kalau kejayaan yang nisbi agak banyak juga, walaupun tidaklah secemerlang kawan sekampung yang berjaya ke MRSM dan Maahad Tahfiz Pulai Chondong. Bukan calang-calang orang yang dapat ke Maahad Tahfiz. Kejayaan amat bermakna ialah apabila menjejak kaki ke menara gading. Itulah harapan keluarga. Harapan ayahanda yang tidak sempat melihat anak terunanya memakai jubah konvokesyen.

Mungkin menjadi kebiasaan bagi insan bergelar lelaki jika tidak menyambut ulangtahun kelahiran seperti yang disambut oleh kebanyakan orang. Atau fenomena ini berlaku hanya kepada orang yang seperti saya. Tidak kisah dengan sambutan. bagi saya cukup dengan rasa bersyukur kerana dipanjangkan usia dan membuat solat hajat. Tapi kalau ada orang yang sudi menaja majlis jamuan ulangtahun kelahiran apa salahnya asalkan tidak melanggar hukum Islam dan menurut kehendak syarak.

Apapun saya sudah menganjak usia. Ramai juga kawan yang mengucapkan selamat hari lahir, termasuk seorang kawan dari PALAPES laut yang kebetulan hari lahirnya juga sama dengan saya, Raihana namanya. Banyak lagi yang perlu saya gali dalam hidup ini. Perjalanan hidup entah di mana perhentiannya. Bersediakah saya menghadapi cabaran-cabaran yang bakal menduga. Yang terdekat bakal saya hadapi - Pertandingan Dikir IPTA pada lewat Februari, Pentauliahan diraja PALAPES ke-27 di UKM awal Mei dan banyak lagi. Ingatkan senang kehidupan kampus. Namun segala cabaran menjadikan saya lebih matang (sikit je la-huhu).

Semoga kita semua dipanjangkan umur, murah rezeki dan hidup ini kita hanya abdikan segala-galanya kepada Allah Taala, pencipta kita. Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

Selasa, Januari 01, 2008

SELAMAT TAHUN BARU

Selamat tahun baru sahabat-sahabatku. selamat tahun baru juga buat semua pengunjung blog ini. Semoga tahun ini kita akan lebih baik dan lebih berjaya berbanding tahun-tahun sudah.

Bulan lepas hanya sebuah artikel sahaja yang sempat. Dek latihan tahunan PALAPES yang juga disebut sebagai latihan berterusan. Tiada masa hendak memuatkan artikel dalam blog. Apatah lagi selepas latihan fasa kem terus pulang ke kampung halaman - Kelantan. Oleh sebab cuaca yang tidak menentu dan bandar pula agak sukar hendak ke sana (tiada kafe siber kampung ana, huhu) maka hanya satu sahaja artikel yang disiarkan.

InsyaAllah pada bulan pertama tahun 2008 ni sekurang-kurangnya sepuluh artikel disiarkan.

Semoga hari-hari yang berlalu
walau dalam dada bertambah rindu
semoga hatiku tabah menghadapi
kembara ilmu di jalan Ilahi.

Myblogloglaq