Rabu, Oktober 12, 2011

BELAJAR BAGI MAKAN KUCING




Cepat Hamzah belajar, meniru perbuatan saya memberi makan kucing. Subhanallah..

Posted by Picasa



Ahad, September 04, 2011

Lelaki Kedekut Air Mata


Saya adalah seorang lelaki yang kedekut air mata. Hampir saja saya tidak menangis setiap kali kematian saudara atau sahabat. Seingat saya kali terakhir saya menangis adalah ketika kematian adik istimewa saya, Aishah yang mengidap sindrom down. Pergi akibat jantung berlubang. Peristiwa itu berlaku 18 tahun yang lalu.

Dalam Ramadhan yang baru berlalu, saya kehilangan seorang kakak dan seorang sahabat yang sama-sama dalam PALAPES di Universiti Malaya. Berturutan dua hari berturut-turut. Kakak hari Khamis dan sahabat itu hari Jumaat. Seperti kematian bapa pada 2003, perasaan saya Cuma sedih dan pilu kerana kehilangan seorang kakak yang sangat penyayang dan prihatin kepada kami walaupun kami berlainan ibu. Pergi akibat kompilasi penyakit terutama kencing manis yang berpanjangan. Kehilangan sahabat saya pula, Farid Sulaiman – seperti kehilangan sahabat sepermainan saya, Ismail Ayub atau panggilan manjanya Rosdi. Kedua-duanya mati akibat kemalangan. Tambah tragis beritanya digilis treler disampaikan sahabat-sahabat yang lain dalam nada yang sangat sayu, diambil pula gambar keratan akhbar ditandanama dalam bukumuka, ada gambar mayat ditutup dengan sesuatu mungkin kain atau kertas. Pun begitu, saya hanya rasa sedih dan sebak, namun tidak menyebabkan saya mengalirkan air mata.

Akhirnya pada pagi ini kala saya bangkit untuk solat isyak dek kerana terlena penat, kala membuat air susu kambing hi-goat, seperti Kak Yah saya masih hidup datang menegur di cuping telinga – Adik.. panggilan yang selalu arwah guna kala cuba mematahkan perasaan ego saya. Dan saya memang selalu kalah. Saya, seorang lelaki yang kedekut airmata, tiba-tiba pagi ini mengalir deras bagai air yang dilepaskan dari empangan. Kasih sayangnya adalah bisa yang selalu meruntun nurani saya sebagai seorang adik.

Telah dua minggu kakak kesayangan saya itu meninggalkan anak-anaknya menjadi yatim walau sudah besar-besar semua. Hampir setiap hari saya teringat-ingat terutama ketika bermain dengan bahan rempah sup, saya teringat Kak Yah pernah membuat sup haruan yang paling sedap yang pernah saya makan. Sup itu khas untuk saya sahaja kerana ketika menziarahinya saya baru lepas dibedah akibat apendik, beberapa hari sebelum saya naik pentas graduasi. Hampir saja saya terlepas konvokesyen kerana hanya tinggal 5 hari semasa kena bedah, alhamdulillah terminum air akar kayu yang amat mujarab ketika majlis bercukur di rumah sahabat, Ustaz Muhsien Sulaiman.

Kak yah, seorang kakak yang tiada ganti. Hanya Allah sahaja yang layak membalas segala budi baik, jasa dan kasih sayangnya terhadap kami. Semoga arwah kak yah ditempatkan bersama para solihin, golongan yang dijanjikan syurga. Amin.

Al-Fatihah.

Isnin, Julai 18, 2011

Kami Akan Teruskan Peperangan Ini

Kami akan meneruskan peperangan bersama mereka

Kami semua akan terus melawan mereka

Kami akan mengembalikan hak yang telah tercabul

Dengan segala kekuatan, kami akan menentang mereka

Dengan bersenjatakan hak yang telah dinafikan,

Kami akan membebaskan bumi itu agar merdeka,

Kami akan mengembalikan kesucian kepada al-Quds,

Selepas segala kehinaan dan keaiban


Kami akan meneruskan penghancuran mereka

Dengan segenap tenaga kita mengekang mereka

Membersihkan segala keaiban dengan tangan-tangan kita

Dengan sepenuh kekuatan kita melawan mereka

Tidak akan kita redha seinci tanah terjajah

Tidak akan kita tinggalkan selangkah tanah yang terhina

Bumi akan bergegar menghancurkan mereka

Menjadi gunung berapi yang akan membakar mereka

اللهم نصراخوانن المجا هد ين في فلسطين وفي كل مكن




Ana Muslim dan Ana Muslimah Dakwah ilallah



Ahad, Julai 10, 2011

Hamzah belajar berjalan

adalah membahagiakan melihat anak membesar di hadapan mata.. alhamdulillah anak sulung saya, Hamzah sudah mula belajar berjalan. Usianya 11 bulan.. baru tumbuh 2 batang gigi bawah.



Jumaat, Jun 10, 2011

Apa yang mujur...

saya tak masuk MPR?

peserta MPR 2011 (gambar dari blog MPR)

1. ketika saya menerima tawaran MPR umur saya sudah 26 tahun.. tak rasa macam remaja dah rasanya.. rasa malu la sebab mesti para peserta muda trang tang-tang dan mungkin karya lebih hebat dari saya.. wakaka

2. ketika itu juga saya sudah berjinak-jinak dengan PENA dan selalu juga bertandang ke DBP.. dua tiga orang je pun orang DBP yang kenal saya.. dan jemputan MPR rasanya takda kaitan dengan perkenalan saya dengan orang DBP yang kenal saya itu.. kerana jemputan itu dari Editor Majalah Tunas Cipta yang tidak pernah jumpa saya kecuali karya-karya saya saja.. kalau 2007-08 jemput mungkin saya pergi.. ini dah 2009.. haishh lebih umur rasa malu laaa

3. dan apa yang mujur lagi? kalau saya jadi alumni MPR, malu la saya kalau saya tidak aktif menulis seperti sekarang ni! adoi...

dan dengan rasa malu itu maka saya lebih rela tidak bergelar alumni MPR.. teringat kata2 sahabat Zarif Hasan - alah, aku pun bukan MPR..

Rabu, Jun 08, 2011

Kerbaukah ter-Persona

kawe eksiden denge kuba, alhamdulillah kawe denge kuba sehat.. persona ja hok berat!

di sini sungguh 1Malaysia
lembu, kerbau, kambing dan kuda
semuanya boleh berada di atas jalanraya
kerana tuan mereka seperti akalnya tiada
tidak bertambat, melepaskan begitu sahaja

akhirnya giliran saya tiba jua
apabila seekor anak kerbau muda
yang sedang gila-gila remaja
terpesona dengan Persona saya
lalu menghadiahkan kalungan bunga
dari semak yang diambil dengan tanduknya
sambil membuat saya rugilah juga
kalau tidak seringgit beribu tu ada
benar saya tuntut insuran
tapi kena paham yang tersirat
insuran kan naik bila saya nak bayar nanti
itulah kerja manusia hari ini
tak dapat hidup kalau tak menipu

inilah yang orang politik kena buat
bikin peraturan baru di Kota Belud
nak tunggu ada orang mati langgar kerbau ke
kalau kerbau mati pun dah dikira rugi
kalau lembu, kuda mati pun juga rugi
tapi lebih baik dari orang yang mati
lebih baik dari tuan kereta yang rugi
ini tidak, tuan kerbau lembu tak pernah rugi
sebab pakat-pakat taknak mengaku

inilah ujianMu ya Allah
ku redha, kuterima...


inilah kerbau yg terbang tiba2 landing atas jalan, tiada apa2 sihat walafiat lagi dia

ada kalungan bunga yg tiada bunga.. terima kasih wahai kerbau

kereta saya kena kerbau, tapi kereta sebelah yg mengelak masuk gaung.. yg banyak kereta nun tengok yg masuk gaung la tu.. alhamdulillah semua selamat.. cuma cedera ringan

Sabtu, Jun 04, 2011

Ya Allah lanjutkan Usia Tuanku YDPA


"Di negara kita mengikut Perlembagaan Persekutuan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong merupakan pemimpin tertinggi, sebagai ketua negara, Baginda juga sebagai ketua agama Islam. Dalam Islam kedudukan seseorang pemimpin itu terlalu mulia dan agong, mereka ini disyariatkan bagi mengantikan tugas kenabian dalam memelihara agama dan mentadbir urusan dunia umat Islam. Menurut al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam as-Sultaniah di antara tugas khalifah itu adalah menjaga hal ehwal agama dan mentadbir hal ehwal dunia. Pemimpin juga boleh disebut sebagai ketua khalifah Allah untuk melaksanakan tugasan dan amanah di muka bumi ini. Antara amanah yang perlu dilaksanakan ialah menyebar dasar Islam dengan berlaku adil kepada sesama manusia iaitu tidak membenci, tidak berlaku zalim, tidak melakukan penindasan, penipuan dan tidak mengabaikan manusia tanpa memandangkan status seseorang. Usaha mewujudkan keadilan kepada manusia sejagat adalah sebahagian sifat ketakwaan. "
-Khutbah Jakim, Jumaat 3 Jun 2011

Jumaat, Jun 03, 2011

Hamzah tengok lembu

Cuti dua minggu sebenarnya agak lama.. alhamdulillah, sebagai guru saya menikmati cuti sekolah ini dengan sebaiknya.

Anak saudara yg bertugas di WP Labuan datang bercuti kali ni.. tahun lepas saya ke Labuan, dan tiada apa-apa yang menarik sangat di sana. Paling-paling pergi tengok burung di Taman Burung dan akuarium yg ada dua tiga ekor ikan..

Cuti kali ni pun tidaklah banyak sangat tempat yg kami pergi.. hendak pergi ke tempat Tagal tak sempat. Pergi ke akuarium di UMS tutup pulak pada hari rabu. Jadi, pergilah kami tengok2 lembu di Desa Lembu@Sapi di Kundasang.. yg bagi kami dan kebanyakan pengunjung sudah macam New Zealand dah..
anak-cucu sedara..

suka Hamzah tengok lembu susu..

tang mana laa yg seronoknya...


Isnin, Mei 30, 2011

yang penting nawaitu

- sesungguhnya setiap amalan mestilah dengan niat, kerana setiap perkara yg dilakukan dinilai berdasarkan niatnya. (Muhammad SAW)

apabila menguruskan peserta kadet polis untuk perkhemahan kedua saya di sekolah saya bertugas, sekali lagi saya terasa 'tergores hati' dgn beberapa perkara yg tidak perlu saya jelaskan di sini kerana bimbang ada yg lain bukan sekadar 'tergores hati'. meski blog ini tempat saya melepaskan rasa tapi bukan rasa tidak puas hati kpd orang yg bermain setiap hari dgn saya di tempat saya berjalan dan berlari..

kerana itu saya perbetuli niat, apa yg saya lakukan ini hanyalah kerana Allah, bukan kerana sesiapa. saya sudah terbiasa dgn masalah lebih kurang sama sejak terlibat dgn unit beruniform ini. sejak di sekolah menengah, masuk alam askar wataniah sehinggalah ke pasukan PALAPES semasa di UM.

masih banyak yg perlu kita perbaik demi keharmonian hidup di masa akan datang insyaAllah.. buat para pelajar, perbetulkan niat anda, apakah tujuan anda berkecimpung dlm ko-kurikulum, hendak cari glamor atau ambil kesempatan atau saja-saja masuk sbb boring di rumah saja-saja duduk.. bah, halatuju kamu sendiri tentukan!

Isnin, Mei 16, 2011

bersedialah kita

berita 15 Mei, 2011 23:40 PM
bertajuk: Rakyat Diminta Bersedia Kemungkinan Harga RON95 Naik
PUTRAJAYA, 15 Mei (Bernama) -- Rakyat perlu bersedia kemungkinan berlaku kenaikan harga petrol RON95, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kemungkinan itu adalah memandangkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi dijangka akan dibuat sekali lagi bulan depan.

"Saya ingin rakyat bersedia. Saya tidak mahu nanti rakyat terkejut, kata harga minyak tidak naik tetapi akhirnya naik juga," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar baru-baru ini bahawa harga bahan mentah itu tidak akan naik buat masa ini.

Ismail Sabri berkata kenyataan tidak akan naik buat masa ini tidak bererti harga bahan mentah itu tidak akan naik.

Kali terakhir harga RON95 naik ialah pada Disember tahun lalu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter.

-- BERNAMA

SUDAHKAH ANDA BERSEDIA?

Isnin, Mei 09, 2011

Oooh gulaa..


Sedih dan kecewa dengan kenaikan harga gula 20 sen, selepas minyak ron 97 juga naik 20 sen, apakah nasib ibu-ibu dan anak-anak miskin ? adakah mereka sudah cukup dibela ? tidaklah kenaikan ini hanyalah untuk kesenangan pihak tertentu sahaja, pasti harga makanan yang melibatkan gula akan naik dengan kadar tidak munasabah, cuba renungkan dan hayati sajak karya Dr Asri ini untuk kesedaran kita bersama. [ADMIN]

KEMANA PERGI SUBSIDI KAMI ?
( Dr. Mohd Asri Zainul Abidin )

kalian rampas subsidi kami , entah ke mana dibawa lari
kalian beritahu , wang mesti dicatu , kita menuju maju ..
kalian kata : semua menderita , habis harta negara ..
kalian berbahasa ; bukan barang naik harga ,
cuma subsidi turun sahaja ..

kami orang desa , mungkin tidak pandai kira berjuta-juta ..
kami orang kecil kota , mungkin tiada sedemikian harta ..
jika kalian tipu sebegitu , biasanya kami diam selalu ..
tapi dapatkah kami dibohongi , tentang suapan saban hari ?

apalah yang dapat diberitahu anak ke sekolah .. ?
papa semakin parah.. ? wang semakin lelah ..?
jika semalam berlauk , hari ini cuma berkuah ..
kerana kerajaan kita sedang susah .. ?
maka subsidi kita terpaksa diserah ..

jika semalam kau makan sepinggan, hari ini separuh
kerana barang semakin angkuh , wang papa makin rapuh ..
apa yang dibisik pada anak berkopiah ke madrasah .. ?
makananmu sayang , sebahagiannya sudah hilang ..

jika mereka bertanya siapa yang bawa lari
kepada siapa patut kami tuding jari ?
janganlah nanti mereka membenci pertiwi ..
akibat pencuri harta bumi rakyat marhaen ini ..
atau kami jadi insan curang ..
kami beritahu : cuma subsidi sahaja yang kurang ?
tiada apa yang hilang , nanti akan datang wang melayang ..

dengar sini wahai yang tidak memijak bumi !
pernahkah kalian mengintip kehidupan kami ..
pernahkah kalian ngerti makna derita dan susah hati ..
kamu yang semput bagai melukut di kota kedekut ..
kami yang bekerja hingga senja di desa yang makin terseksa
bertarung nyawa dan masa , menghitung setiap belanja

pernahkah kau merasa ?
rumah bocor yang lanjut usia ?
baju dan kasut anak yang koyak
tinggal dalam rumah yang berasak asak
siang kami sebak , malam kami sesak ..

sedangkan kalian manusia angkasa ..
istana permata dibina , kereta berjuta dirasa ..
elaun di serata , dari isteri sehingga seluruh keluarga ..
hidangan istimewa , konon meraya kemakmuran negara ..

tapi kami masih di sini .. di teratak ini ..
dengan lauk semalam
dengan hidangan yang tidak bertalam ..
dengan rumah yang suram ..
dengan wang yang hampir padam ..

tiada istana lawa .. tiada kereta berharga ..
tiada layanan di raja .. tiada baju bergaya ..
tiada kediaman menteri .. tiada hidangan v.i.p
tiada persen di sana sini .. tiada bahagian anak dan bini ..

tiba tiba kalian kata : kamilah beban negara ..
aduhai celaka bahasa yang kalian guna ..
kalian yang belasah , kami yang bersalah ..
kalian yang untung , hutang kami tanggung ..
kalian mewah melimpah , kami susah parah ..
kalian hilangkan wang , poket kami yang terbang ..
kalian bina istana , rumah kami jadi manga ..
kalian makan isi , kami dijadikan abdi ..

lantas , kalian rampas lagi subsidi ..
ke mana wang itu pergi nanti ?
jika kalian berhati suci , wajib menganti buat kami ..
jika tidak pun buat gula konon merbahaya
mengapa tidak beras diturun harga ?
jika tidak untuk minyak kereta ?
mengapa tambang tidak dipotong sahaja ..
tapi entah berapa kali janji ..
konon : nanti kami ganti , kami ganti , kami ganti ..
hari demi hari , ceritanya pun tidak berbunyi lagi ..
kami terus termanggu di sini ..
kalian juga yang nikmati..
kami hanya mengigit jari ..

kembalikanlah kepada kami harta negara ..
jangan hanya kalian sahaja yang merasa ..

dr maza
July 2010

Jumaat, April 29, 2011

Cucu Sulung Datuk Kami

Gambar bersama Abe Wi yang pertama dan terakhir, tanpa baju.. panas katanya

Nama beliau Prof. Dr. Mohd Zawawi bin Mahmood. Merupakan mantan pensyarah di Universiti Malaya suatu ketika dahulu. Saya tidak pasti tahun berapa, jika tak silap zaman 80-an.

Selalu di zaman kecil saya mendengar tentang beliau dari mulut mak dan cik, namun tidak pernah saya kenal sehinggalah pada Oktober 2009 ketika Husmidi Husin @ Abe Di membawa saya melawat beliau yang terlantar di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Abe Wi dan Abe Di adalah sepupu saya dan kedua-duanya merupakan anak sulung keluarga masing-masing. Bezanya Abe Wi adalah cucu sulung kepada datuk kami, Abdul Rahman @ Deraman atau panggilan mesra orang kampung, Pak Mahmood (Pok Mamud) yang bermaksud bapak kepada Mahmood. Walaupun saya di Kuala Lumpur selama 4 tahun kerana belajar di UM tapi tidak ditakdirkan saya berjumpa semasa dia sihat dan masih bekerja sebagai pengarah syarikat.

Gambar di atas adalah perjumpaan kedua kami, kunjungan pertama saya ke rumah barunya yang mana menempatkan kehidupan baru bersama isteri barunya berketurunan Cina. Juliana nama isteri baru, memeluk Islam sebelum kahwin dengannya.

Sepetang bersembang dengan Abe Wi di belakang rumahnya di Jalan Tempayan, Kampung Paya Jaras Dalam. Banyak cerita yang keluar dari mulutnya. Cerita-cerita yang menarik untuk dikongsi dengan sanak-saudara yang lain, namun tidak pasti apakah mereka bersedia menerima cerita-cerita itu. Cerita-cerita yang menjadi rahsia keluarga sejak zaman datuk kami. Yang tidak diceritakan kepada bapa-bapa kami semasa muda oleh datuk kami. Cerita-cerita yang saya rasa tidak dapat saya kongsikan di sini kerana terlalu peribadi dan mungkin tidak diterima sesetengah orang, atau disalahgunakan.

Abe Wi telah kembali ke rahmatullah jam 8.40 malam, pada 27 April 2011. al-Fatihah. Semoga ruh beliau dicucuri rahmat Allah SWT.

Isnin, April 25, 2011

Dewasa...?


rindu neon Kuala Lumpur

kala telusuri sendirian

lewati bingit kota

hujan ribut

hidup kalut

.

.

.

setelah mengungsi

kota demi kota

desa demi desa

terpaku aku

pada kata

‘dewasa’.

Khamis, Mac 17, 2011

Dialog Orang Muda Mac 2011

Hati berbunga-bunga kembang kuncup mahu pergi, tapi kerana tiket belon sekarang mahal, susah pula tinggal anak bini di Sabah, cukup la rasanya tengok poster lawa ni. Encik Naga buat ni.. syabbash betteyy..

Interlok masih bergelut nyawa (nota kecil buat Uthaya Sankar SB)

Rupa-rupanya Interlok masih bergelut nyawa. Ingatkan dah selamat kena sembelih dah. Namun kemelut pindaan ini masih dalam proses. Cuba klik pautan ke Malaysiakini di sini.

Memang lapan panel tumbang dan tiga ahli India tarik diri, tapi apakah orang India akan berputus asa selagi Interlok belum selesai dipinda. Uthaya Sankar SB (sendirian berhad ke special branch tak tahu la) adalah orang kuat mewakili kaum India setakat ini. Dia berhak kecewa dan terasa dikhianati. Namun 100 pindaan kepada novel Interlok memang melampau!

Kata Nazmi Yaakob ketika memautkan artikel Malaysiakini dalam facebook "Cuba buat 100 pindaan dalam karya penulis seorang itu pula, tengok macam mana!"

Uthaya Sankar ini pernah mengagumkan sesetengah rakyat Malaysia dengan kebolehan bercakap dan menulis Bahasa Melayu dengan begitu baik. Namun kami orang Melayu sebenarnya tidak suka saudara menggunakan bahasa kami untuk melukai hati kami sebegini rupa. Kami tidak rela.

Memang 'Interlok' bukanlah satu bahagian atau frasa dalam perlembagaan negara apatah lagi sebuah kitab agama. Namun ia adalah karya yang terbit dari tangan seorang Sasterawan Negara. Menjamah karya SN bermakna anda menjamah gelaran yang diberikan oleh Yang Dipertuan Agung. Persoalannya siapa anda untuk berbuat demikian?

Di kala majoriti penulis Melayu yang menjadi rakan anda sebelum ini berjuang mempertahankan maruah sebuah karya SN, anda berada di posisi penyerang bersama-sama mereka yang rakus menyerang. Lalu di manakah saudara di hati kami?

Oh ya Saudara Uthaya, izikan saya meminda sepuluh perkataan dalam novel saudara... boleh?

Rabu, Mac 16, 2011

Interlok berjaya dipinda


Tahniah kerana kejayaan meminda sebuah novel karya sasterawan negara Dan tahniah juga, kerana berjaya menyembelih maruah seorang Sasterawan Negara. Setelah 40 tahun karya seorang sasterawan yang dinobat Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agung, ia telah dilucutkan kewibawaannya!

Lihat kenyataan akhbar tentangnya di sini.

Ketika menonton berita di TV3, saya terasa lucu pula apabila pembaca berita tiada perasaan segan silu langsung melaporkan tentang kejayaan kerajaan Malaysia meminda novel demi menjada hati kaum India negara ini. Itulah hebatnya pembaca berita. Tak kira apapun yang mereka laporkan, tak ubah seperti robot yang tiada perasaan. Adalah sekali-sekala, berita sedih atau gembira memang wajah mereka menunjukkan peri-manusia. Tapi kalau bab politik, tak
ubah seperti lembu dicucuk hidung!

Banyak pro dan kontra isu ini. Bagaimanapun saya lebih suka melihat kesan negatif peristiwa ini. Puncanya salah satu ialah Gagasan 1Malaysia itu sendiri. Kerana bangsa India telah melihat dalam 1Malaysia menawarkan kesamarataan hak semua kaum maka mereka menuntut supaya 'paria' tidak lagi dikaitkan dengan mereka. Penyakit inilah sebenarnya sedang melanda negara hari ini. Cuma ia tidaklah menakutkan seperti H1N1. Namun ia bisa menjadi barah yang bakal meranapkan ketamadunan Melayu di Tanah Melayu sendiri!

Ya, Tanah Melayu. Itulah perkataan keramat yang dipadamkan oleh penjajah Inggeris demi untuk memerah segala kekayaan Svarnabumi ini. Setelah hak demi hak dinafikan, tiba masanya orang Melayu sendiri menggadaikan maruah kepada orang lain.


Saya teringat pertanyaan seorang ibu, peserta dari Indonesia pada Hari Puisi Nasional ke-18 di Resort Binsulok, Membakut. "Malaysia sepatutnya belajar dari Indonesia..." persoalan itu dijawab sinis oleh Cikgu Amiruddin. Ya, dari segi sastera tiada apa yang perlu kita belajar dari Indonesia, kerana menurut Cikgu Amiruddin Malaysia lebih bagus dalam hal sastera. Sastera diajar dalam kelas setiap hari. Buat program sastera pun mendapat bantuan kerajaan.

Namun orang Indonesia menempelak kita dalam novel Di.Ar.Ti yang merupakan karya pengalaman Dr. Rahmat Haroun yang melanjutkan pelajaran di sana yang kurang lebih begini "Malaysia mendapat kemerdekaan dengan cara percuma..." Saya terlepas pandang sebenarnya novel ini, ketika saya tahu enaknya membaca novel ini setelah meminjam dari Saudara Dahri Zakaria, kaunter buku DBP sudah pun ditutup (pada Hari Puisi).


Ada satu lagi karya yang saya rasa bakal menggugat rasa politikus Malaysia khususnya Melayu, buku 'Melayu Hilang Di Dunia' oleh Khalid Salleh atau Wak Khalid nama manjanya. Tulisan ini kalau nak pinda memang jenuh. Kerana apa yang
ditulis itu adalah apa yang terbuku dalam hati dan jiwa seorang penulis, pelakon teater malah pengkritik politik Malaysia. Beliau melihat Melayu ini bakal hilang kerana perbuatan pemimpin Melayu itu sendiri. Walaupun saya belum membaca buku ini (kebetulan duit yang dibawa tak cukup, RM50 harganya), tapi dari apa yang Wak Khalid ceritakan ketika pertemuan kami di Hari Puisi itu cukup untuk saya memahami apa yang hendak disampaikan Wak Khalid dalam buku yang tebal itu.

Kita ini Melayu, bak kata Dato' Hashim Yaacob "Kitalah Tuan". Saya pun pernah menulis sebuah puisi tentang tetamu. Apa yang ingin saya sampaikan dalam puisi itu ialah tentang adab dan tatacara yang sepatutnya tetamu buat di rumah orang. Apabila kita biarkan tetamu m
enjadi tuan di rumah kita, maka bersedialah kita untuk menjadi hamba.

Sebuah puisi Dato Hashim Yaacob tentang Melayu yang harus kita renungi

KEMANA KAU MELAYUKU

Melayuku zaman ini
di kampung dan di kota
sedang bersengketa mereka.
Berpecah tiga, empat dan lima
tidak lagi sekata.

Tidak nampak Melayuku ini
pada bara yang kian menjadi unggun
menunggu membakar mereka!

Mari Melayuku kita ke kota:
Melihat gedung jualan,
dan bangunan menyergam,
kita pun berasa megah.
kita pun menjadi jaguh
pada cakap dan pandang.
Yang menyergam itu
bukan kita pemiliknya!

Mari Melayuku kita pulang ke kampung:
Kita fikirkan
apakah lima puluh tahun nanti
di tanah pusaka turun temurun ini
kita masih akan di sini?
Mari kita fikirkan ,
cara memadamkan bara
yang mengunggun
menanti membakar kita!

Hashim Yaacob
17 Jun 2001

Fikir-fikir dan selamat beramal...!

Rabu, Februari 16, 2011

Makan.. makan

hari ni post kedua kategori memetik status facebook yang mengancam selepas status Dr Abu Hasan Hasbullah aka Hassan Hayastani. Kerana dalam facebook sebenarnya banyak kata-kata yang bagus dari cerdik pandai yang tidak diindahkan dalam media arus perdana.

Saya terusik dengan kata-kata seorang yg menggelar diri Alykallam Yaakob

Berkatalah orang-orang ini
Si miskin : apa kita nak makan?
Si mewah : di mana kita nak makan ?
Orang Politik : Siapa kita nak makan ?
pada 25hb Januari pukul 8.20 ptg ·

Ini bukan satu lelucon biasa. Hebat kata-katanya. Kata-kata ini adalah komen kepada gambar facebook Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan bertajuk 'Peristiwa 1.1.11.00.01'


Peristiwa 1.1.11.00.01

Orang kaya suka bermain bunga api;
Bunga api dibeli dengan banyak duit.
Membakar bunga api itu membakar banyak duit;
Dari mana orang kaya dapat banyak duit?
Daripada menjual balak atas bukit!

Kata Cucunda saya Farhan berkata, saja-saja bakar duit!

Sama-sama kita fikirkan dan selamat beramal.

Rabu, Februari 09, 2011


PENA telah mendapat dua nombor akaun teman penulis yang sedang diuji Allah dengan kesakitan, dan yakinlah kata saya bahawa mereka perlu kita bantu. Persaudaraan sastera mari kita perkukuh:

>Akaun Amirul Fakir (BSN GIRO: 0810029000172634);
>Akaun Saleha Ahmad (CIMB: 09020049938521)

Tolong kongsi maklumat ini dan sebarkan

(gambar lama, bukan sekadar hiasan)

Selasa, Februari 08, 2011

Apabila jadi pe-tua



maka apabila pe-tua (pemimpin tua) berjuang demi memboroikan lagi perut anak bini dan kroni, mereka mesti berundur sebelum mereka diperlakukan seperti rakyat Mesir meluahkan lahar nanah kemarahan kepada Hosni Mubarok.. kebangkitan anak muda ibarat bangkitnya pahlawan dulu kala..cuma kini pedang menjadi perkataan.. Allahu akbar..

kenapa?

kerana kita ini hanyalah manusia biasa, tentu sekali bukan dewa.. dan dewa apakah bukan sekadar istilah kuno yang menjadi mitos yang belum tentu lagi kebenarannya?

Tun M pun pernah berkata 'Melayu Mudah Lupa'.. bahkan sebenarnya Manusia pun mudah lupa tuan. Ma = apa atau benda, nusia = keterlupaan, pelupa, diterlupakan.. manusia bukan perkataan asal bahasa Melayu, tetapi pinjaman bahasa Arab seperti banyak perkataan lain yang tak mungkin kita akan pulangkan. entah sejak bila kita pinjam dan tidak pernah ada tarikh mesti dipulangkan semula.

Oh ya, Melayu mudah lupa? bukan Malaysia? dua istilah ini menjadi isu atau polemik yang belum selesai dalam dunia persuratan Melayu. ramai sarjana persuratan Melayu tidak setuju penggunaan istilah Bahasa Malaysia, tapi pemimpin-pemimpin nan tua itu lebih suka menggunakannya kerana semangat 1Malaysia-nya. Ah, bahasa pun bila dipolitikkan akan juga menjadi tahik...

Satu persoalan ingin saya lontarkan semoga menjadi titik tolak anjakan paradigma seterusnya memacu perubahan negara (kalau ia mampulah);

"masihkan kita ingin meletakkan masa depan nan jauh kepada pemimpin tua yang mementingkan diri sendiri dan kroni?"

kerana kita dikurniakan akal, fikirlah sewajarnya supaya tidak menjadi golongan yang rugi di kemudian hari..

kenyataan tetap kenyataan, ia takkan dapat diubah dalam pembohongan dan putarbelit maha dasyat sekalipun!

Isnin, Februari 07, 2011

Hari Kemarahan... di Mesir

dan kawasan yang sewaktu dengannya


Kebangkitan di Mesir dan negara Arab lain adalah ironi kpd pembebasan Palestin,dan di mana suara kita selama ini yg bergegar hendak selamatkan Palestin tercinta? semua sudah dibawa anginkah?

Hentikanlah retorik plastik kerana hipokrit itu ssungguhnya munafik dan fasik.. seorang kawan bertanya, kalau saya di sana adakah saya tidak kan balik? ah dunia ini sementara, di mana2 pun kita kan mati juga..tp kan lebih baik mati mulia demi agama..

Myblogloglaq