Isnin, November 26, 2007

Bagaimana Belajar Berkarya? -pendapat saya...

*sebenarnya berkarya atau menulis secara kreatif tidak dapat diajar secara formal seperti dalam bilik darjah. Itu yang saya faham dari kata-kata beberapa penulis seperti yang saya baca dalam ruangan Bimbingan berkarya DBP Online dan juga dari guru saya sendiri- Zaharah Nawawi-semasa bengkel penulisan cerpen pelbagai kaum beberapa bulan yang lalu. Kita perlu banyak membaca pelbagai bahan dan banyak juga membaca karya-karya penulis mantap. Pada peringkat awal kita boleh meniru gaya mereka dan apabila kita peroleh rentak sendiri maka kita akan menghasilkan karya dengan gaya kita yang tersendiri. Begitulah cara belajar berkarya. Jika hendak harapkan belajar berkarya dari A sampai Z mahunya tidak menulis si penulis-penulis. Ramai lagi orang yang ingin belajar menulis, bukan kita seorang. Jadi jika ada penulis mantap yang sudi, relahati dan sukarela memberi kita bimbingan seadanya, berkongsi pengalaman dan memberi petua semampu daya mereka itupun sudah cukup memadai. Dan sebenarnya jika kita sudi meluangkan masa kita mendampingi penulis-penulis mantap, mereka sebenarnya lagi-lagilah sudi menumpahkan ilmu yang ada pada mereka yang seadanya. Yang mana patut penulis yang baru dan mentah seperti saya ini inginkan. Teguran dan nasihat yang diberikan tentulah menjadi azimat yang amat berharga.

di bawah ini adalah antara puisi Masuri S.N dan beliau antara penyair yang menjadi inspirasi kepada saya dalam genre sajak atau puisi.

Satu Rahmat

wangi udara pagi
ada kuresapkan
keharuman mendesak, mencintai
alam dan insan.

bergerak dari tidur yang nyenyak
bangun menatap wajah hari,
sinar ke dalam rahmat-Nya kuingat
hanya begini aku lupa untuk berangkat.

antara jejak di bumi
kadang aku terbang tinggi sekali,
dua kali mengingat apakah mimpi
ada pagi berwajah mengilhami jiwa mencari.

lagi-lagi aku mengucap lapang
terbuka dada menerima hidup satu siang,
duka bahaya derita bukan menghalang
aku hidup satu rahmat mengalami bukan terbuang.


Masuri S.N
Puisi-Puisi Pilihan.

Rabu, November 21, 2007

Masa Sebenarnya apa ya... bagiku- segala-galanya

Masa di Nubariku

Masa itu emas
telah lama kutahu.

Masa itu segala-gala
baru hari ini kutahu.

Masa itu apa bagimu
dalam sanubarimu
tidaklah kutahu.

Masa itu bagiku
emas tak dapat dibeli
segala-gala yang kucari
di seluruh mayapada ini
bekal ke akhirat nanti.


HASMORA MASNURI
20 November 2007
Taman Jaya.

catatan: diilhamkan Allah ketika mendengar ucapan Ustaz Muhsein..

Ahad, November 18, 2007

Sempena Musim Orang Kahwin ni....

.::puisi ni saya nukilkan semasa musim exam semester lepas, masa tgk kawan2 yg 'bahagia'. Tapi hari ni ada sorang kawan saya yg betul2 akan menghadapi hari bahagianya. Tengahari ni (18 Nov 2007) angkat nikah di Kajang: selamat pengantin baru PK Kamarudin a.k.a Din. Semoga bahagia dunia akhirat. Puisi ini bermaksud, berpasang-pasangan itu adalah lumrah makhluk di alam ini. Bumi dan langit, bulan dan bintang, kanan dan kiri, lelaki dan perempuan, suami dan isteri. Hanya Allah sahaja yang satu, Maha Esa, tiada dua, tiada seperti-Nya di dunia ini. Pada-Nya sahaja kita sandarkan cinta. Kerana Dialah Yang Maha Pencinta::.


Musim Mengawan

Beberapa pasangan merpati
terbang seiringan
merpati dua sejoli
yang baru berkawan.

Merpati-merpati itu terbang beriringan
ke hulu ke hilir berteman
mengutip daun-daun yang kekeringan
kerana ini musim mengawan
teman meneman
berpasang-pasangan.

Ini musim mengawan
lumrah hidup makhluk Tuhan.


HASMORA MASNURI
250015 H April 2007.
B.G.D, Dayasari.

Sabtu, November 17, 2007

Kuning Lambang Semangat

.::semangat juang pahlawan::.

Antara warna bendera negaraku
biru merah putih kuning
kuning juga yang aku minat
kerana kuning itu semangat
seperti kuning pulut semangat
yang ibu buatkan untukku dulu
ketika aku ingin bersunat.

Warna kuning aku cinta
kerana kedaulatannya
kerana keindahannya
kerana cahayanya
kerana kekuningannya
yang menguningkan
harapan dan impian.

Kuning itu lambang semangat
yang pernah membodohkan Tuah
yang pernah membunuh Jebat
yang pernah menghambakan rakyat
yang pernah disimbah darah
dan kuning kini masih payung
yang meneduhkan ummat.


HASMORA MASNURI
Dayasari.

Jumaat, November 16, 2007

Perang Tiada Kasihan

.:entah bilakan kan berakhir:.

Peperangan menumpahkan darah
membajai benci yang telah subur
meracuni harmoni yang menggelupur
menuai dendam yang tiada sudah.

Perang adalah kalah dan menang
yang menang menjadi arang
yang kalah menjadi abu.

Perang yang tiada kasihan
mematikan sebuah pekan
menjadi perkuburan sebuah negeri
yatim piatu si anak kecil
hanya kerana sejenis eksperimen
keberkesanan sebuah senjata
supaya laris dijual
kepada manusia kehausan darah.

Peperangan demi peperangan
adalah satu percaturan
manusia berkuasa berperikebinatangan
yang penting bunga keuntungan
memuaskan nafsu yang beraja
dan syaitan yang bertakhta.

Perang tiada kasihan
Membunuh siapa saja
Memusnah segala-gala
Menjadikan dunia ini neraka!



HASMORA MASNURI
Dayasari.

VIRUS SENGKETA BUMI MERDEKA

KEAMANAN dan kemakmuran negara kini diancam dengan pelbagai virus dan penyakit. Tidak kira serangan dari luaran atau penyakit yang sedia ada di dalam diri sendiri. Penyakit dan virus ini perlu dianalisa dan dirawat supaya ianya tidak menjadi barah sehingga menggugat kedaulatan dan memusnahkan kemerdekaan ini. Kesejagatan telah meletakkan Malaysia sebagai suara dunia ketiga dan wakil Negara Islam bagi membangkitkan isu-isu yang bakal merosakkan integrasi sosial.

Namun kelantangan ini sebenarnya banyak menimbulkan rasa tidak senang banyak pihak khasnya yang berkepentingan. Isu militan, Ianun, tuntutan bertindih dan kehadiran kuasa besar di rantau ini merupakan agenda yang perlu ditangani dengan baik dan berkesan kerana semuanya ada kaitan dengan kedaulatan dan keselamatan Negara. Suasana Negara aman dan makmur yang dikecapi telah memberi kelebihan bagi mengundang para pelabur dan pedagang berurusan di negara tercinta ini.

Bukan setakat itu, ianya juga telah ‘menjemput’ tetamu asing kerana mereka juga percaya ada ruang yang boleh dimainkan dalam mengambil kesempatan atas keadaan ini. Semua ini bakal memberi kesan kepada keselamatan dan kestabilan negara kita. Kekuatan ekonomi dan perdagangan yang mengalir dan melayari persekitaran Negara memberikan kelebihan dalam menguatkan lagi pertumbuhan negara dan pendapatan rakyat. Hal ini disedari banyak pihak sehingga mengundang kuasa besar yang tidak yakin akan semangat keperwiraan dan kepahlawanan kita dalam mengekang segala ancaman yang tidak diundang.

Kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara terletak ditengah-tengah laluan ekonomi dunia telah digunakan oleh pakar ekonomi dalam melakar dan merancang ekonomi negara. Ini memberikan kita ruang untuk berurusan dengan hampir semua rakan ASEAN yang dilihat dari segi geografi dan mempertahankan kedaulatan negara strategik sebagai sebuah negara yang terbaik untuk memaksima kedudukan ini.

Disamping itu,kejayaan pemimpin negara dalam memaksimakan hasil bumi melalui keadaan sosial, politik dan ekonomi telah menjadi negara ini contoh terbaik dikalangan negara dunia ketiga dan negara Islam. Kita berjaya mempelbagaikan hasil ekonomi dengan memperkayakan pendapatan rakyatnya hasil dari bahan mentah yang dimiliki. Dasar kerajaan yang menggalakkan R&D untuk mengurangkan kebergantungan kita kepada pihak asing juga mencerminkan persediaan kita menghadapi cabaran globalisasi.

Aspek penggunaan teknologi dan peningkatan ilmu dalam budaya kehidupan juga dilihat sebagai kelebihan yang menjadikan Malaysia sebagai pilihan para pelabur asing. Keamanan ini jelas meyakinkan pelabur bahawa Malaysia sebagai syurga untuk mereka berurusniaga di rantau sebelah timur ini. Antara faktor yang menjadi Malaysia tumpuan semua pihak kerana peranan kita sebagai Negara Islam yang paling berpengaruh khasnya dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan dan hak Islam di mata dunia. Penampilan Malaysia jelas memberi impak kepada kuasa dunia yang merasakan si kerdil bersuara lantang ini tidak mampu mengawal rantau asia tengara ini kerana dirasakan kita seolah-olah ingin bertindak sebagai ketua dengan kelebihan kedudukan dan pengalaman menghadapi krisis ekonomi ciptaan mereka.

Pemimpin kita dikecam kerana tidak mahu mengikut cara mereka namun akhirnya mereka akui yang cara tersebut nyata membuahkan hasil. Kejayaan ini dilihat mereka sebagai satu ancaman kepada mereka kerana idea tersebut datang dari sebuah Negara Islam dan Negara Dunia Ketiga. Sedang ramai pakar ekonomi mengakui keberkesanan cara kita, mereka tetap angkuh sehingga cubaan merosakkan imej negara melalui laporan akhbar yang jelas bertentangan dengan keadaan sebenar.

Keupayaan kita juga dipertikai dalam menentukan keselamatan selat Melaka, antara selat yang paling sibuk di dunia. Hak kita untuk memiliki sistem pemantauan selat juga tersebut telah dinafikan oleh pihak yang berkepentingan sehingga timbul idea menjemput kehadiran kuasa asing bagi menangani masalah tersebut.

Seperkara yang perlu ditangani ialah tuntutan bertindih. Ini menimbulkan banyak masalah jika pihak yang menuntut tidak mahu menerima keputusanTribunal antarabangsa yang dilantik. Kegagalan menghormati keputusan ini bakal mengundang keadaan yang tidak stabil khasnya keselamatan. Ini akan memberikan ruang terutamanya kuasa besar dalam menempatkan diri sebagai suasana hak ketiga yang mendakwa diri sebagai polis dunia bagi menenangkan suasana.

Kita telah bertindak seperti menarik rambut dalam tepung, namun pihak yang sama menuntut cuba bertindak melampaui batas kemanusiaan dan adakalanya tidak menghormati orang lain yang merupakan jiran mereka sendiri. Dalam melaksanakan dasar memakmurkan jiran, seperkara yang harus dipandang serius ialah tindakan luar jangkaan mereka yang menyebabkan kita mesti lebih bersedia dan berwaspada dengan tindak-tanduk jiran dan tindakbalas kita terhadap reaksi tersebut.

Jelas bahawa keamanan dan kemakmuran ini sedang diserang dan cuba digodam dengan virus yang paling merbahaya, merobek keharmonian antara kaum dan hubungan serantau demi kepentingan dan agenda tersembunyi.

Kejayaan kita mengadun pelbagai bangsa, etnik dan suku kaum dalam sebuah negara mendatangkan rasa cemburu pihak asing kerana pada mereka kita tidak menurut cara untuk mentadbir sebuah negara demokrasi. Keharmonian sosial kita cuba diserang dengan pelbagai dakwaan dan tohmahan walaupun kebanyakan negara dunia ketiga mengiktiraf kita sebagai sebuah negara yang berjaya mengintegrasikan hubungan pelbagai bangsa dan kaum, sehingga klta telah dijadikan model negara demokrasi. Bukan tujuan mencari musuh atau mereka cerita, tapi realitinya kita kini sedang diancam.

Sedar atau tidak kemewahan dan kestabilan ekonomi kita telah mengundang ‘semut-semut’ untuk mencuri manisnya. Kita sebagai organisasi yang dikhaskan menjaga lubuk madu dan manisan ini mestilah sentiasa beringat bahawa bukan semua yang datang untuk urusan berdagang kerana ada dikalangan mereka berniat untuk menimbulkan huru-hara dan merampas lubuk tersebut.

Oleh itu kita harus sedar bahawa kita sedang diperhatikan. Kejayaan kita membangunkan negara ini telah menimbulkan rasa kurang senang. Justeru hanya kewaspadaan dan kepekaan kita terhadap ancaman negara memberikan kita ruang dan kesempatan untuk bertindak mengekalkan kedaulatan negara tercinta ini.

(dipetik dari BTDM)

Khamis, November 15, 2007

Seribu Bicara Satu Bahasa

Aku hanya ada satu bahasa
bahasa itulah bahasa ibunda
bahasa itulah bahasa diraja
bahasa itulah bahasa perantara
bahasa itulah bahasa bangsa.

Kini kudengar seribu bicara
hanya ia satu bahasa
melambangkan satu bangsa
bangsaku ‘bangsa Malaysia’
oh ya bahasaku,
“Apakah namamu kini?”.

Kini kulihat bahasaku dilanda kalut
bahasaku jadi mangsa kemelut
bahasaku kononnya tidak memajukan bangsa
bahasaku kononnya hanya bahasa sastera
bahasaku kononnya bukan bahasa angkasa
padahal pada zaman kegemilangan Melaka
bahasa bangsaku adalah lingua franca
digunapakai pedagang seluruh dunia!

Aku jadi keliru sebenarnya
bahasaku dilacurkan pejuang bangsa
sekejap begitu sekejap begini
aku kasihankan anak-anak desa
sudahlah mundur lagi di hulu
sedangkan anak-anak di hilir pun
ternganga-nganga, terpinga-pinga.

Kita ingin maju dengan bahasa asing
bahasa yang pernah menjajah tanah air
jadi apa erti kita merdeka lima dasawarsa
jika bahasa asing masih dekat di hati
bahasa sendiri disimpan di dalam peti.

Berhati-hatilah pemimpin bangsa
dalam setiap ucapan kata bicara
kelak pabila nanti dipersoalkan oleh-Nya
barulah kau terdiam seribu bahasa!


HASMORA MASNURI
Kuala Lumpur.
14 November 2007

Ombak Kuning

.:semoga terus berombak:.

Kuseru ombak kuning
landalah kekotoran itu
bersihkan biru yang menompok
parasit yang harus mati
kerana biru itu sudah kotor
dek terlalu lama tidak dicuci.

Kuseru ombak kuning
datang bersamaku menjadi badai
membantai pantai kelabu
agar putih bersih.

Ombak kuning
lambang kecuakan laut
pada darat yang ternoda
.

HASMORA MASNURI
Dayasari UM.

Segugus Syair Seloka Jiwa

.:kudedikasikan kepada sahabat-sahabatku
yang ke jinjang pelamin:.

Sehayat menanggung beban
senafas memperjuangkan keamanan
semimpi mengejar pelangi
sebantal meniduri hari
sepemeluk tiang yang berdiri
sekelibat kulihat kau berlari
semasa masa seakan berhenti
seketika tadi merangkak pagi.

Seranjau kau mencari
seseorang menemani hidup
sehidup mengharungi duga
semati makam bersemadi
serasa mencicip nasi
sesuap makan bersama
sesudu kuah sehirup
sepinggan dihadap berdua
sekenyang selepas sendawa
setajuk ketawa lucu
serajuk menangis pilu.

Selamat melayari hidup
sekuntum doa kupohon pada-Nya
.

HASMORA MASNURI
Dayasari.

Rabu, November 14, 2007

Murnikan Murni Yang Dinodai

Semalam; 13 November 2007, Universiti Malaya dikejutkan oleh kejadian yang tidak disangka-sangka berlaku kepada mahasiswa yang dianggap oleh orang sebagai golongan intelektual dan terpelajar. Hanya orang yang pandai-pandai sahaja yang dapat masuk universiti. Orang yang tidak berprestasi tinggi dalam pelajaran diperingkat sekolah tidak akan ke universiti. Namun sesetengah daripada kita tersilap mendefinisikan orang yang masuk universiti ini. Izinkan saya memberi pendapat dalam hal ini.

Orang yang memasuki universiti sememangnya orang yang berprestasi tinggi dalam pelajaran. Namun perlu diingat. Tidak semua orang yang memasuki universiti itu bijak. Kerana orang yang paling bijak menurut Rasulullah ialah orang yang paling banyak mengingati mati. Namun apabila orang tidak banyak mengingati mati, maka larangan agama usahlah diambil peduli. Malah kadang-kadang orang hanya tamat tingkatan lima atau hanya UPSR pun lebih bijak dari mereka yang menjejak kaki ke menara gading. Tidak setuju dengan pendapat saya?.

Ramai orang yang pandai. Sebab itu ramai yang dapat masuk universiti sekarang ini. Tapi tidak semuanya bijak pandai. Bahasa kasarnya ialah bodoh. Sama ada bodoh sombong atau buat-buat bodoh itu adalah satu cerita lain. Tetapi tidak menghiraukan Firman Allah dan sabda Nabi memang orang yang bodoh sombong. Sudah tidak tahu jalan tetapi ingat diri bijak dan mengenepikan peta hidup dan panduan yang diberikan sememangnya satu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh orang yang berakal. Apatah lagi kepada warga universiti yang dipandang tinggi orang sebagai tempat melahirkan orang yang menjadi orang di dunia ini.

Apa yang mengejutkah ialah seorang mahasiswi dibogelkan oleh seniornya yang sama kolej kediaman dengannya dan diambil gambar bogelnya. Itu yang Kosmo! laporkan semalam. Apa yang sebenarnya berlaku tidak semua diceritakan. Tapi sedikit ceritapun sudah mencukupi untuk orang ramai memandang universiti ini bukan lagi tempat melahirkan cerdik pandai yang bijaksana, tetapi tempat anak muda yang ingin hidup bebas sebebas-bebasnya. Kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Motif kejadian yang disyaki pula amatlah remeh. Kerana seorang lelaki. Cinta tiga segi. Cemburu buta. Cemburu menyebabkan sesiapa sahaja buta mata hati dan bertindak sesuka hatinya. Rupa-rupanya tidak semua kakak boleh diharap melindungi adiknya. Malah meletakkan adiknya dalam paya yang paling kotor. Tidak cukup dengan cabaran kota selut yang penuh cabaran dan dugaan ini ditambah pula kekotoran lembah yang penuh sosialisasi ini.

Bagi saya, saya meletakkan semua orang dalam kandang pesalah sekarang ini, selagi belum terbukti apakah yang sebenarnya berlaku. Saya cuma menunggu kisah sebenar dari sumber yang agak sohih. Memang susah nak cari sumber yang betul-betul sah kerana manusia ni banyak jenis riwayatnya. Lagikan hadis Nabi banyak kategori juga kesahihan hadisnya. Ada ulama’ yang memandai-mandai buat hadis sendiri (ulama' as-su'). Orang sebut sebagai hadis palsu. Ada juga hadis maudhu’. Ada hadis hasan. Banyak lagilah kalau nak cerita satu semester baru habis (kalau sempat habis).

Tapi zaman sekarang ini lagilah canggih ceritanya. Dalam surat khabar lain, dalam televisyen lain dan dalam kepala otak masing-masing pun lain. Tidak ramai mahasiswa yang mengambil berat tentang cerita ni. Tentang masalah seorang perempuan kena bogel oleh perempuan dan diambil gambarnya. Kemudian mungkin yang akan dilakukan ialah masukkan gambar tu dalam jaringan maya dan wusshh... tersebarlah ke seluruh dunia. Betapa bahayanya teknologi langit terbuka di tangan orang yang tidak bertakwa. Mahasiswa hanya celik mata dan menadah telinga setelah habis kertas peperiksaan; seperti saya (tetapi kebetulan pula semalam baru habis). Itupun kalau suka mengambil tahu tentang orang lain di sekeliling. Kalau menghadap buku dan komputer siang malam dan memekakkan telinga, membutakan mata siang malam, dan malaskan membaca suratkhabar tak guna juga.

Apa yang saya dengar bila cuba korek-korek dari kawan-kawan masih belum memuaskan hati. Maklumlah kawan-kawan ramai lagi yang belum habis periksa. Saya pun semalam baru habis exam tapi selepas ini banyak lagi tugas yang sedang menanti. Tugas-tugas sebagai YDP PALAPES yang masih bertimbun belum disiapkan. Buletin PALAPES yang masih dalam pembikinan, perlu siap sebelum masuk musim latihan tahunan. Juga sebagai editor untuk majalah PALAPES kali ini. Jika tidak ingatkan ini semua adalah latihan pemantapan diri sendiri dan juga ujian Tuhan sudah lama saya mengundurkan diri. Beginilah perjuangan, tidak boleh undur diri jika sudah maju kehadapan. Perjalanan harus diteruskan. Perlu bertahan. Tetapi jikapun terpaksa berundur, jangan sesekali undur terus menyerah kalah, kecuali untuk mengatur strategi untuk menyerang dan mara semula. Inilah prinsip perjuangan.

Cerita ‘Murni’ yang sudah dinodai masih dalam peringkat kepala cerita. Masih banyak plot yang belum dirungkai. Entahkan tragis atau bagaimana kesudahan cerita sedang dinanti-nantikan. Murni hanya mahu dikenali sebagai Murni. Nama sebenarnya bukan Murni barangkali. Itu yang dilaporkan oleh Kosmo!. Namun apa yang ingin saya tegaskan di sini ialah kenapa saya letakkan semua orang sama ada Murni atau seniornya dalam kandang pesalah. Hal ini tidak lain dan tidak bukan ialah semua orang yang terlibat termasuk lelaki yang menjadi rebutan itu adalah mereka telah membuat beberapa kesalahan yang telah ditegaskan oleh agama yang mereka mengaku beriman itu sebagai salah. Tuhan telah berikan garis panduan dan batasan-batasan dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan, tetapi yang hangpa duk pi langgaq pasai apa?

Kenapa saya berkata sedemikian rupa? Kenapa tidak, seorang mahasiswa Islam seharusnya tahu batas-batas dalam kehidupan seorang muslim. Haram perhubungan antara lelaki dan perempuan ajnabi tanpa ikatan pernikahan yang sah. Ingin saya kemukakan dalil. Salah satunya ialah yang paling masyhur, boleh kata semua orang tahu ayat ini. Firman Allah yang bermaksud “...jangan kamu menghampiri zina..”. tapi hanya sedikit yang orang faham dengan maksud atau tafsiran ayat ini. Tidak sedikit orang yang faham terjemahannya. Aplikasinya orang buat-buat tak faham atau memang tak nak faham.

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman pernah menjawab satu persoalan tentang ‘Disiplin dalam Pertunangan’ yang dilontarkan kepadanya. Beliau menjawabnya dalam laman web beliau www.zaharuddin.com. Sedangkan pertunangan mempunyai disiplin yang ketat inikan pula hubungan yang entah membawa kepada pertunangan ataupun setengah jalan. Yang bertunang lagikan boleh putus. Apalagi cintan-cintun remaja begini. Kerana beliau sudah menjawab panjang lebar tentang permasalahan dalam pertunangan jadi beliau pun merumuskan beberapa perkara yang harus dijaga dalam tempoh pertunangan. Yang ingin saya sandarkan di sini ialah beberapa perkara yang perlu dijaga, dititikberatkan dalam perhubungan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi dan belum sah menjadi suami isteri sama ada sudah bertunang, dalam proses nak bertunang ataupun sekadar bercinta yang baru episod permulaan. Kerana perbicaraan adalah panjang dan dalil amat banyak, ringkasan perkara perlu dijaga seperti berikut (semuanya menurut al-Quran dan juiga al-Hadis):

a. Haram bersentuh, menyentuh satu sama lain.
b. Haram berdating tanpa disertai mahram yang thiqah.
c. Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat. (sms, phone, chat, messenger).
d. Awas fitnah masyarakat sekeliling.
e. Awas fitnah dalam diri dan pasangan.
f. Haram melihat epada aurat masing-masing.
g. Awas daripada bertukar gambar.
h. Awas daripada hebahan umum sebelum di ijabkabul. (bertunang pun tak patut orang tahu, usahkan cintan-cintun)

Nasihat saya kepada Murni, bersabarlah dengan dugaan dan ujian yang menimpa ini. ada hikmahnya Allah timpakan bala kepada saudari. Jangan pula salah anggap. Bala itu maksud sebenarnya ujian, bukan kecelakaan. Itu adalah mungkin kifarat dosa. Allah sayangkan hamba-Nya dan Allah ingin tunjukkan kesalahan itu dengan dibalas semasa di dunia lagi supaya saudari Murni bertaubat dan tidak melakukan perkara-perkara dosa yang ditegah oleh-Nya. Koreksi diri semula. Jangan ulang perkara-perkara yang tidak diredhai Allah yang saudari lakukan bersama 'teman lelaki' saudari.

Kisah Murni adalah iktibar kepada semua. Allah menurunkan ujian kepada seseorang hamba-Nya bukan amaran untuk yang terkena sahaja tetapi iktibar dan tauladan kepada hamba-Nya yang lain, yang bertaqwa kepada-Nya. Jika benar serius dalam hubungan jangan ditangguh-tangguhkan, suruh si lelaki masuk minta secara elok dengan keluarga. Itupun kalau lelaki itu anak jantan sejati. Ke macam mana ustazah Murni?

Oleh yang demikian saudara saudari yang bijaksana dan bijaksini, janganlah kita biarkan insan seperti Murni harungi kehidupan sukar ini dengan seorang diri. Kita masih boleh mengambil peranan dengan memurnikan kembali ‘Murni’ yang telah dinodai.

Selasa, November 13, 2007

Hakikat Kebahagiaan Hakiki

Bolehkah sebuah keluarga, sebuah rumahtangga itu bahagia tanpa sembahyang kerana ramai juga orang Islam yang tidak sembahyang tapi tetap bahagia. Mereka tetap kaya. Duit banyak. Dia sihat. Anak-anak cerdik dapat keputusan cemerlang. Bahkan ramai yang melanjutkan pelajaran ke IPT. Kemudian tinggi lagi. Naik lagi tinggi. Bila dah habis mengaji pula jadilah orang yang belajar tinggi bertingkat-tingkat tapi bodoh berlipat-lipat. Bangang dulu-dulu tak habis-habis, bangang sekarang datang lagi.

Persoalan ini dijawab dengan penuh kebijaksanaan oleh seorang tokoh ulama’ pemimpin yang dihormati oleh kawan dan lawan dan juga disegani oleh mereka yang tidak berkenan kepadanya lantaran mereka lebih suka pemimpin yang lebih liberal dalam Islam ini. Jawapan beliau beliau tidak akan diperolehi jika ditanya kepada pemimpin ataupun ulama’ beraliran sekular mahupun liberal. Dan jawapan beliau yang bersahaja pasti memukau sesiapa sahaja meskipun kali pertama mendengarnya.

Beliau mentakrifkan bahagia dalam Islam itu meliputi dari dunia sampai akhirat (rabbana aatinaa fiddunniya hasanah wafil aakhiroti hasanah). Atas dunia Allah Taala telah sebutkan bahawa ada di antara manusia wahai Muhammad, orang yang cuma pentingkan kebahagiaan di dunia sahaja tanpa mengira hasanah atau sayyiah. Apa yang orang sebegini mahukan kesenangan dan kebahagiaan di dunia sahaja.

Itupun tanpa mengira halal dan haram. Di sini jelas bahawa kebahagiaan bagi orang melayu yang tidak menghiraukan Islam berbeza dengan pengertian kebahagiaan bagi orang yang mukmin. Orang Islam, dia pentingkan kebahagiaan di kedua-dua dunia yakni alam dunia dan alam akhirat.

Jika makan minum dan seronok di dunia sahaja tiba-tiba kita menghadapi azab dan sengsara di akhirat, maka itu bukan kebahagiaan yang sebenar. Inilah puncanya Nabi-Nabi dan Rasul itu dilantik.

Ia bertujuan untuk melawan sesiapa sahaja yang membawa pemikiran yang sesat sama ada ia dipimpin oleh kerajaan, keetua-ketua kerajaan, pemimpin-pemimpin suku-suku puak, atau tokoh-tokoh kebangsaan yang cuma mementingkan dunia sahaja. Nabi Ibrahim AS melawan Namrud misalnya. Namrud itu seorang raja yang sangat bahagia di dunia tetapi Nabi Ibrahim diutuskan juga untuk melawan beliau. Siapa yang tidak tahu “The Hanging Garden of Babylon” itu landmark kepada kebahagiaan yang dikecapi oleh Namrud di zamannya itu.

Nabi Musa AS pula melawan bapa angkatnya sendiri yakni Firaun yang menguasai segala kuasa dan harta kekayaan. Logiknya tidak perlu Nabi Musa melawan Firaun kerana dia boleh memberikan kebahagiaan dan Musa sendiri turut menumpang kekayaan Firaun lalu mencapai kebahagiaan. Ini tidak lain berpunca dari fahaman Firaun yang menolak kebahagiaan dalam erti kata dunia dan akhirat itu.

Nabi Muhammad SAW sendiri pun melawan Abu Jahal, Abu Lahab dan Abu Sufian di atas dasar yang sama.

Begitulah antara lain huraian panjang lebar oleh pemimpin berjiwa rakyat dan dikasihi Allah dan disayangi rakyat apabila beliau menjawab persoalan. Lantas kebahagiaan bagaimana yang kita cari. Kebahagian duniawi yang nisbi atau kebahagiaan hakiki yang abadi?

Tulisan ini dipetik dan diubahsuai/ditokok tambah dari buku Khusyuk Dalam Solat (Bab Dari Hati Ke Hati). Dapatkannya hari ini. Gerenti tak menyesal punya. Cayalah. Tak nak caya tak pe. Saya tak rugi mende.. (",)

Rabu, November 07, 2007

Apa Duit Boleh Beli, Apa Yang Tidak?

Ada falsafah yang mengatakan;

Money can buy a house but not a home,
money can buy a bed but not sleep,
money can buy medicine but not health, and
money can buy sex but can’t buy love.”

Kebahagiaan tidak ada kaitan dengan kemiskinan atau kekayaan. Bahagia juga ada di mana-mana. Tidak kira di kampung, di desa atau di bandar. Bagaimanakah caranya mencapai bahagia dan bagaimana rasa bahagia itu boleh dikekalkan? Dapatkah kita memilih agar selalu bahagia? Jawapannya adalah ya, kita boleh. Namun tidak semua orang berjaya beroleh bahagia kerana tidak semua orang tahu di mana sebenarnya letak kunci kebahagiaan itu. Jika kita kurang berusaha usahlah mengharapkan bahagia akan datang ibarat yang bulat datang bergolek atau yang pipih datang melayang; kerana bahagia kita haruslah berusaha keras mendapatkannya.

Perasaan bahagia itu ada dalam diri dan bergantung jalan mana yang kita pilih. Tanya diri, sama ada kita mahukan bahagia atau sebaliknya, kemudian barulah berserah pada takdir. Sebelum itu, kita harus sedar kenapa bahagia itu sukar dicapai?

Keasyikan mengejar duniawi dan hartabenda ditambah dengan budaya hedonisme yang semakin menular dalam kehidupan masyarakat kini sehingga kita terlupa tujuan sebenar kita dilahirkan. Sifat tidak pernah mensyukuri atas rahmat Tuhan dan apa yang kita perolehi adalah asas kepada rasa tidak bahagia. Manusia juga sering tidak pernah puas dengan apa yang kita perolehi dan ini adalah asas kepada rasa tidak bahagia. Manusia juga sering tidak pernah puas dengan apa yang dicapai. Memang ini satu hakikat dan sering berlaku. Setelah berjaya meraih sesuatu, belumpun sempat berasa puas dengan kejayaan tersebut kita telah pun membuat sasaran baruuntuk mencapainya dan begitulah seterusnya.

Selalunya matlamat atau sasaran begini membuat kita sering merasa cemas apabila tujuan seterusnya tidak tercapai. Namun tidak betul juga jika kita langsung tidak mempunyai matlamat. Paling penting berpada-pada. Kita juga mungkin sering merenungi nasib buruk yang melanda dan tidak cuba melakukan sesuatu untuk mengubahnya. Fikiran menjadi kaku dengan musibah yang melanda dan tidak mampu melupakan perkara yang pahit dan tidak mampu keluar dari masa lampau yang kelam.

Terlalu mengikut kata hati boleh membawa padah. Jika terlalu menurut nafsu pula boleh menyebabkan alpa dan lalai. Apabila hidup dipenuhi noda dan tersesat jauh dari landasan; kebahagiaan itu sukar dikecapi kerana tidak pasti bahagia bagaimana yang dicari. Meletak harapan tinggi takut mengecewakan. Begitulah yang sering terjadi apabila kita menyayangi seseorang atau inginkan sesuatu dan meletakkan harapan yang keterlaluan. Jika apa yang dimahukan atau diingini tidak tercapai,mulalah rasa kecewa dan sekaligus tidak gembira dengan apa yang berlaku. Kita begitu mudah kecewa apabila kehendak dan cita-cita kita tidak kesampaian ataupun permintaan kita tidak tertunai. Kita mudah merasa marah lantaran terlalu mengikut hati dan perasaan. Saban hari kita berdoa kepada Tuhan minta itu dan ini tetapi acapkali doa kita tidak makbul; kalau diterima pun kadang-kadang lain yang diminta lain pula yang dapat.

Kita begitu cepat menyalahkan orang lain ataupun bermasam muka dengan orang yang tidak mahu memberi kita sesuatu yang kita hajati ataupun menunaikan permintaan kita. Kita rasa kecewa dan tidak bahagia. Tanpa kita sedari, terkadang ada hikmat dan rahsia di sebalik semua itu yang mana hanya Tuhan sahaja Yang Maha Mengetahui.

Ahad, November 04, 2007

Hari Ini Untuk Esok

Ketika mula termenung, memikirkan masa hadapan, masa bila yang anda akan fikirkan? Pelbagai jawapan yang mugkin saya terima dari anda. Ada yang berfikir tentang perkahwinannya. Tentang hari tuanya-meskipun tidak semua tahu bahawa dia sempat tua atau tidak.

Saya sendiri mempunyai pendapat dalam hal ini. Pendapat atau jawapan saya mungkin agak panjang. Kerana banyak yang akan saya fikir tentang masa depan saya sendiri. Ya. Kerana kita adalah manusia, dan manusia perlu merancang masa hadapannya. Tidak dapat tidak. Yang akan menentukan nanti adalah Tuhan. Ya. Tuhan. Tuhan hanya Allah yang satu. Tiada dua atau tiga.

Dan kerana itu kita tidak perlu bimbang bahawa akan berlaku pergaduhan antara Tuhan yang akan menentukan masa depan kita seperti yang dipercayai oleh agama lain - percaya bahawa ada banyak tuhan. Allah yang mengatur semuanya. Tiada yang berkongsi kuasa dengan-Nya. Dia Maha Esa. Dia Maha Berkuasa.

Maka, apabila kita merancang, apakah kita merancang untuk esok? Hari ini adalah untuk esok. Hari untuk kita merancang apa yang kita akan buat pada keesokan harinya. Hari ini akan menjadi semalam. Esok akan menjadi hari ini. Hari yang berganti hari kita tidak berhenti berfikir dan merancang masa hadapan.

Apabila kita merancang pada hari ini untuk hari esok, satu perkara jangan kita lupa - esok mesti aku menjadi lebih baik dari hari ini dan akan terus lebih baik pada hari seterusnya!

Jumaat, November 02, 2007

Prolog

Segala puji bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, bulan dan bintang, Adam dan Hawa dan seluruh alam maya ini. Selawat serta salam ke atas Rasul junjungan Nabi Muhammad saw dan salam juga kepada ahli keluarga baginda.
Syukur kepada-Nya kerana menganugerahkan kita nikmat iman dan Islam dalam hidup ini. Tanpa iman dan Islam nescaya kita menjadi manusia yang paling rugi kerana orang yang tidak memiliki iman dan Islam pada dirinya adalah tergolong dalam golongan ahli neraka selama-lamanya.

Kerana menyedari hidup ini tidak lama, marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita dengan meningkatkan amalan dan muhasabah diri. Allah swt berfirman yang bermaksud; "...setiap yang bernyawa itu pasti akan menemui kematian..." dan tidak dapat tidak setiap yang mati pasti akan melalui alam barzah-alam rohani-alam yang hanya amalan yang bercakap. Maka mampukah kita menghadapi semua ini andai amalan kita tidak seberapa semasa di dunia ini? Berpesan saya kepada diri sendiri dan kepada sahabat sekalian; perbanyakkanlah mengingati mati kerana dengan mengingati mati kita akan lebih menambah amalan, membanyakkan zikir, merajut doa memohon keampunan-Nya dan rahmat-Nya. Nabi saw kan juga pernah bersabda yang bermaksud "...orang yang paling bijak dalam kalangan kamu adalah orang yang paling banyak mengingati mati..."

Ya sahabat-sahabatku sekalian, setiap langkah yang kita atur adakah kita perhitungkan adakah langkah kita itu menghampiri syurga ataupun neraka? Adakah setiap ayat yang kita ucapkan itu kita teliti dan tapisi; adakah ia menyedapkan telinga sahabat-sahabat dan orang ramai atau hanya retorik yang amat menyakitkan hati sahaja?

Ayuh kawan, kita muhasabah diri kita ini yang maha lemah dan tiada daya kuasa melainkan dengan rahmat Qudrat dan Iradat-Nya Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

Myblogloglaq