Latar Bicara

Saya dibesarkan dalam sebuah keluarga sederhana miskin di sebuah desa permai bernama Kampung Kedai Baru dalam daerah Banggu, Kota Bharu Kelantan. Tapi dalam kalangan kawan di Universiti Malaya mereka lebih maklum saya sebagai orang Bachok kerana dua pupu saya, Anuar Mamat memberi faham kepada mereka begitu. Saya senang menerimanya kerana asal bapa saya Beris Kubur Besar, Bachok.

Kenapa saya bilang -sederhana miskin, kerana jika saya betul-betul miskin saya terlalu sukar hendak belajar. Mungkin tiada langsung peluang menerima pelajaran, apatah lagi bermimpi melanjutkan pelajaran ke universiti perdana yang dikenali dengan gahnya bahkan juga kerana yurannya yang mahal. Namun, pengalaman di UM tidak dapat dinilai dengan segunung emas pun.

Benarlah kata Shamsudin Othman, penyair dan pensyarah di UPM mengatakan dulu kepada saya; "Hasmora, posting la KL, barulah cepat naik sebagai penyair.." begitulah kurang lebih katanya. Dan benar, saya ketandusan ilham sejak datang ke Sabah. Mungkin sebab perubahan iklim membuatkan saya 'terkejut'. Mungkin juga disebabkan beban kerja dan ruang waktu setelah berkahwin masih belum diatur dengan bijaksana. Mungkin..

Dulu. Duuulu. Bicara saya dalam blog Bicara Hasmora ini lebih kepada percakapan menyentuh politik. Orang ingat saya ini pejuang dalam politik. Tidak. Tidak sama sekali. Saya tidak akan mengkritik orang politik dalam blog kesusasteraan dan catatan kecil peribadi saya ini. Kalau secara sinis mungkin ya. Hal ini disebabkan oleh saya ini bukan pengkritik politik. Saya tidak memerhati seorang demi seorang ahli politik Sama ada dia terkena jangkitan selesema katak atau tidak itu bukan masalah saya. Itu masalah dia dengan dunianya.

Setelah ditugaskan memegang amanah mendidik anak bangsa di Kota Belud ini, saya ingin mengorak langkah baru meneroka dunia penulisan dengan lebih luas insyaAllah. Mungkin melimpasi sempadan sendiri yang kini sempit dan masih bermain di lapangan yang sama - sajak. Ya, sepatutnya sudah lama tapi harus dibuat bagaimana.

Sekarang anak desa dari keluarga sederhana miskin ini menabur bakti memanusiakan manusia yang cuba ingin menjadi koloni kepada monyet dan buaya. Meski betapa sukar dan cabaran cukup menguji sabar, memanusiakan manusia telah menjadi tanggungjawab hakiki manusia bergelar guru. Di zaman globalisasi dunia langit terbuka, maklumat di hujung jari, di depan mata dalam rumah sahaja; anak-anak kita berubah 300 peratus berbanding kita 10 tahun dulu.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita, Amin.

Tukang Bicara,

Hasbullah Bin Hj. Mohamed Bin Abdul Rahman
Kota Bharu, Kelantan - Kota Belud, Sabah

Myblogloglaq