Isnin, Januari 25, 2010

Rindu budu

Sejenis makanan asasi dan kegemaran saya sejak kecil, budu. Tanpa budu tak lalu makan nasi. Budu penting sebagai pemecah selera dan sos pencicah ulam. Tak kira ulam apa asalkan namanya ulam semua saya bedal.

Ketika hendak datang ke Sabah, sahabat saya belakang rumah yang bertugas di Kota Marudu (tempat yang belum tentu ada budu), tak jauh dari Kota Belud, mengatakan tidak boleh bawa budu naik kapal. Agak kecewa saya mendengarnya. Tapi sepupu saya dan isterinya di Puchong Prima, Abang Di dan Kak Na mengatakan sebaliknya. Maka saya pun bawalah budu sebanyak dua botol (kecil, cap ketereh) yang diisi semula ke dalam botol air minuman seperti disyorkan Kak Na. Tidak boleh bawa dalam botol kaca, tak lepas katanya. Tapi silapnya saya tidak tambah budu yang tidak sampai setengah botol pun walaupun Kak Na tanya beberapa kali hendak berhenti beli pagi-pagi buta ketika hendak hantar saya ke KLIA. Akhirnya saya hampir putus bekalan budu walaupun sudah dicatu sebaik mungkin. Menyesal dulu kan pendapatan...

Maka saya telah sedia awal-awal, budu bikin sendiri. ikan bilis segar saya dapat di pasar Kota Belud, hanya dengan ‘mencampak’ pancing kepala agung. Duitlah. Peram dalam botol sebab tiada tempayan. Lebih kurang 3 minggu kemudian, masak dengan tambah air, campur gula dan pewarna oren merah. Wah, sekali sudah jadi macam budu kat kedai. Rasanya bolehlah tahan. Tak pernah menuntut ilmu buat budu mana-mana, hanya mengikut resepi yang ditulis dibotol budu. Mungkin sebab saya ni memang ada bakat memasak. Hehe.

Telah juga saya minta emak poskan beberapa helai pakaian saya dua minggu lepas (pakaian yang amat penting juga), dan budu saya minta poskan sekali. Lagi seminggu sampai barangkali. Bagaimanalah nasib, selamat atau tidak. Entahkan pecah dalam kotak, maknanya bau budu habislah baju tu.

Beberapa hari lepas, ketika membeli-belah di Pasaraya Gui Brothers, pasaraya paling terkenal di Kota Belud ini, terjumpa dua botol budu. Dua-duanya saya sebat. Cap Cinta Rasa. Jauh juga budu ni terbang, masuk ke dalam pasaraya di Kota Belud. Sayangnya, indah nama dari rasa. Tak begitu umph seperti Lazzah atau Ketereh. Takpalah, asalkan ada, daripada tiada langsung.

Lepas ni rasanya tak perlulah lagi merindu budu. Bekalan mentah untuk buat budu senang didapati di sini. Atau mungkin juga saya boleh jadi pembekal budu untuk kawan-kawan di Sabah ni, siapa tahu...

Rabu, Januari 20, 2010

Nama saya ada nama Allah


Nama saya Hasbullah. Nama ayah saya Mohamed, seperti yang ditulis polis zaman dulu. Kalau bunyi sebenarnya, Muhammad. Maka nama penuh saya berbunyi;

Hasbullah Muhammad!

Maksudnya; jaminan Allah Muhammad...

Pernah seorang rakan penulis, dalam chating bertanya; mengapa tidak gunakan nama sebenar tetapi Hasmora Masnuri. Kalau nama sebenar alangkah indah bunyinya.

Ya, saya tertanya juga diri saya sendiri. Lalu saya berfikir, adakah aku akan dirundung riak dan takabbur kerana namaku yang indah ini. Bukankah nama itu satu doa!

Ya, kerana itu saya merasakan hidup saya selama ini walaupun penuh liku dan ranjau berduri saya tetap selamat dan rezeki selalunya murah walaupun saya ini hamba-Nya yang tidak selalu bersyukur atas segala nikmat yang diberi. Berkat nama selalu disebut orang.

Saya insaf. Tapi... akan saya gunakankah nama sebenar dalam karya-karya mendatang. Rasanya, saranan rakan penulis boleh saya cuba. Nimoiz T.Y juga pernah berpendapat, saya belum terlambat menggunakan nama sebenar walaupun sudah terlajak dikenali sebagai Hasmora.

Ya, biarlah rakan-rakan penulis mengenali saya sebagai Hasmora, tetapi tidak salah saya gunakan nama sebenar atau mungkin saya huraikan Hasmora; Hasbullah Mohamed Rahman. Ya, rasanya begitu lebih baik. Rahman, sebagai mengenang seorang datuk yang tidak pernah saya melihatnya. Orang yang tidak pernah kita jumpa bolehkah kita merasa rindu kepadanya? Tentulah boleh. Tidakkah kita terasa amat rindu bertemu Rasulullah SAW, meskipun kita tidak pernah menatap wajah Baginda.

Mulai hari ini, karya saya akan menggunakan Hasbullah Mohamed Rahman. Cuma, rakan-rakan penulis masih boleh terus memanggil saya Hasmora.

Selasa, Januari 19, 2010

Penukil belut ke Kota Belud



Beberapa minggu sebelum posting, saya belajar menukil belut dengan anak sepupu di Pasir Mas. Menggunakan paip berdiameter satu inci dan botol klorok, saya buat tukil belut. Inilah cara ringkas yang dibuat orang sekarang, selain masih ada yang guna buluh – untuk kelihatan tradisi, tetapi berat.

Hanya sempat menahan selama empat hari dan mendapat tiga ekor belut – sehari seekor belut sebesar ibu jari. Maka keluarlah sebaris ayat dari emak saya “Membazirlah saja batang paip aku tu..” saya menjawabnya dengan senyum temeweh... saya terpaksa mengangkat tukil belut kerana tidak sempat hendak menguruskannya dek masa banyak diperlukan untuk menyudahkan lesen kereta – yang akhirnya terpaksa menyudahkan bahagian akhir di Sabah juga.

Tidak sangka, menukil belut menjadi petunjuk kepada saya akan ditempatkan di Kota Belud. Namun nama tempat ini tidak membawa makna banyak belut, tetapi maksud belud dalam bahasa Bajau adalah bukit. Di sini memang dikelilingi bukit-bukau. Dan majoriti bumiputera di sini adalah etnik Melayu-Bajau. Tapi kebanyakan mereka yang tidak tahu salasilah keturunan tidak mengaku bahawa mereka sebenarnya adalah juga dari keturunan Melayu. Wajah-wajah orang Bajau memang saling tak tumpah seperti orang Melayu di semenanjung jua.

Gambar: Sedang bikin tukil belut daripada batang paip berdiameter 1 inci.

Isnin, Januari 11, 2010

Coretan tentang MPR


Saya menulis beberapa baris ayat ini bukan untuk melukakan hati sesiapa. Apatah lagi mencederakan perasaan sahabat-sahabat saya. Hanya sekadar perkongsian, kerana kita tidak lagi dapat berbicara seperti dulu kerana Laut China Selatan telah memisahkan. FB dan YM pun tidak begitu membantu kerana sukarnya untuk saya akses internet di kediaman kuarters guru di tepi bukit, walau ada broadband. Kalau di sekolah masa pula suntuk, walaupun ada kemudahan wireless.

Tulisan Sdr Jimadie Shah Othman adalah umpama satu ‘tamparan’ dari dalam. Beliau lepasan MPR (2000) yang kini menjadi wartawan di Malaysiakini, menulis artikel bertajuk ‘Perasan bagus sasterawan alumni MPR’ bertarikh 3 Januari 2010. Antara lain dalam tulisan beliau menyebut;

“Walaupun hadir berkursus hanya selama seminggu, alumni MPR ini dianggap sebagai "anak emas di kolam kencana" agensi bawah Kementerian Pelajaran itu.”

Minggu Penulis Remaja akronimnya MPR, sudah gah namanya. Sesiapa yang terlibat dengannya bertuah dan beruntung kerana berpeluang berguru pada yang bitara. Tawaran kepada saya pernah ada, melalui emel. Tapi ketika itu umur saya sudah 26, dan setelah saya bertunang. Sedangkan saya merasakan saya tidak layak ketika usia 25 lagi. Kerana khabarnya had usia sehingga umur 20 sahaja. Kalaupun saya terima, saya rasa hanya akan memalukan diri sendiri, orang tua dalam kelas budak-budak.

Pernah saya SMS dengan Tuah Sujana tentang hal ini, beliau bertanya tentang umur saya. Katanya saya sudah terlepas peluang. Tapi itulah saya juga tertanya, kenapa masih ada tawaran kepada saya tempoh hari. Mungkin pihak urusetia MPR sudah merubah tahap usia atau terlepas pandang pada umur saya.

Saya tidak kisah saya bukan dari MPR. Zarif Hassan pun. S.M Zakir juga. Tapi orang ingat S.M Zakir dari MPR, mungkin kerana beliau selalu menjadi pembimbing. Ada juga yang ingat saya ini lepasan MPR, sedangkan saya hanya tahu tentang MPR ini baru tahun lepas. Cuma saya fikir juga ‘apa lebihnya masuk MPR?’

Beberapa sahabat saya di PENA adalah alumni MPR, antaranya Lutfi Ishak, Ridzuan Harun dan Hj Shamsudin Othman. Tidak saya lihat mereka berkelompok seperti didakwa orang, bahawa MPR ini suka berkelompok. Cuma dakwa-dakwi itu lebih tertumpu kepada pucuk dan tunas yang baru beranting dan berdahan.

Dalam kalangan penulis muda pun ramai juga yang menjadi kawan, contohnya Nasriah Abdul Salam dan Hani Salwah. Dan beberapa orang lagi yang sekadar kenalan. Saya rasa bertuah berkenalan dengan mereka, dan tidak pula merasakan semangat asabiyah MPR menyelubungi mereka. Entahlah.

Ketika Perhimpunan Penulis Muda Nasional di Melaka, Mac tahun lalu. Saya berada paling dekat dengan mikrofon, di mana suara lantang membalas kritikan panelis di pentas yang ‘menghentam’ MPR. Saya rasa, itulah suasana yang paling hangat semasa perhimpunan itu. Tapi, panelis dan penulis muda yang membalas kritikan kedua-duanya kawan saya. Jadi saya berkecuali dalam isu tersebut dan tidak mahu mengulas apa-apa demi menjaga diri saya dari menjadi mangsa seterusnya. Hehe.

Rabu, Januari 06, 2010

Catatan Seminggu di bumi dakwah

Sabah adalah bumi dakwah. Ardhu al-dakwah. Begitu Ustaz Dr. Kassim Tusin jelaskan kepada kami 8 orang guru Pendidikan Islam yang baru sampai di bumi Sabah pada 30 Disember 2009 dengan satu penerbangan dari KLIA, bersama seorang pegawai pengiring dari KPM, Ustazah Farhana.

Kami 3 orang ustaz dan 5 ustazah dan dalam lapan orang kami hanya dua saja yang masih bujang iaitu dua orang junior saya di SMAP Labu dulu, Suhaimi dan Roshidi. Ketika sampai di lapangan terbang, Roshidi tanya saya “Hang perasan tak Pak Lah, kami berdua ja yang bujang..” ketika saya baru sampai juga S.M Zakir menghubungi saya untuk jemputan deklamasi sajak, tapi di Sabah saya sudah baa.. kata Abe Zakir “Pah Saboh nah demo.. baru nok ajok baco sajok..” uhuhu.. melepas saya malam baca puisi PENA-ASWARA.

Dua hari satu malam kurang lebih kami di Hotel Imperial International. Tiga sesi taklimat dan satu sesi penyerahan surat penempatan. Surat penempatan paling mendebar-debarkan kami.

Pada malamnya, selepas taklimat oleh Ustaz Kassim, beliau mengatakan beliau baru tahu bahawa saya dan Noradila suami isteri. Dan katanya telah ditetapkan sebelum ini dalam mesyuarat bahkan dalam surat pun kami jauh. Ustazah Farhana pun begitu, baru tahu ketika di KLIA. Masakan begitu, sedangkan saya telah memberi surat semasa temuduga dulu yang mengatakan kami suami isteri lengkap dengan salinan surat nikah dan borang posting isteri saya. Ustaz Kassim kata, itu silap pihak BPI-KPM, hanya dicatat di tepi nama saya dalam kurungan (telah berkahwin dengan guru pelatih DPLI). Itu yang diberi kepada mereka. Kalau dia tahu, dia takkan aniaya letak jauh-jauh. Memang saya tahu pihak BPI-KPM sudah maklum tentang perubahan status kahwin saya kerana mereka ada telefon dua minggu sebelum keluar keputusan penempatan. Kerana itulah kami suami isteri ditempatkan di negeri sama.

Mujurlah Ustaz Kassim orangnya amat baik hati. “Buat masa ni ustaz jangan bimbang. Saya akan usahakan. Saya tak sampai hati letak suami isteri jauh-jauh. Saya masih berperikemanusiaan. ” Begitulah kurang lebih kata-kata Ustaz Kassim malam itu, menenangkan hati saya yang gusar gelisah tak terkata. Masuk ke bilik terdengar esakan isteri saya. Menangis dia. Tapi saya yakin Ustaz Kassim ada jalan. Dan nyata memang sudah ketentuan Tuhan.

“Inilah penempatan yang paling sukar... kerana harus kami pertimbangkan yang sudah berkahwin.. ustazah-ustazah dekat dengan suami masing-masing..” kata Ustaz Kassim. Berat sungguh tanggungjawab beliau. Alhamdulillah, saya dan isteri di Kota Belud. Roshidi di Sandakan. Katanya satu sekolah dengan Sidek, sahabat sekelas saya di SMAP Labu. Suhaimi nun di SMK Pamol, dua jam perjalanan dari Sandakan. “Mujur ada rezeki ustaz.. kalau tak.. jauh itu ustaz dengan isteri.. asalnya ustaz di Tambunan itu..” fuhhh selamat.. kalau jauh apalah nasib. Sudahlah Puan Noradila itu mengidam mangga muda tiap hari, pulak tu mangga muda susah dapat sekarang ini.huhuhu. Ustazah-ustazah lain dapat sekolah daerah di mana suami masing-masing berada cuma tidak tahu dekat atau jauh.. yang penting satu daerah..

Kerana tiada rumah sewa di Kota Belud yang makin padat tapi kekurangan perumahan, maka kami menginap di rumah tamu SMK Pekan II, sekolah Noradila Musa berbakti. Saya ke SMK Arsyad menggunakan motosikal ihsan Ustaz Fairuz atau lebih dikenali dengan Apai, menantu kepada pengetua saya, Puan Latifah. Saya tidak pasti berapa kilometer antara SMK Pekan II dengan SMK Arsyad, tapi kalau dengan motosikal dalam 10 minit saja. Jika dengan kereta rasanya 20 ke 30 juga. Maklumlah, terpaksa melalui bulatan demi bulatan Pekan Kota Belud yang agak sibuk lagak Kuala Lumpur gayanya.

Ketika melapor di SMK Arsyad, saya dihantar oleh pemandu teksi yang hanya mahu dikenali sebagai Mat. Abang Mat saya panggil. Mesra orangnya. Anak buah Ustaz Sabli, pegawai SPIM-JPS yang membantu mendapatkan kereta sewa yang berpatutan. Dan memang Abang Mat tak ambil lebih dari yang dijanjinya dengan Ustaz Sabli. RM 20 sahaja satu kepala. Sekali dengan beg bagasi yang berat amat ito. Tak tertidur saya dalam perjalanan ke Kota Belud yang makan masa tak kurang satu jam setengah dari KK. Tapi isteri saya lena saja sepanjang perjalanan. Banyak modal berbualnya, kalah saya. Dia juga mempelawa saya ke rumahnya kalau kelapangan.

Selama seminggu di Sabah, mendapat sekolah yang baik bahkan boleh dikatakan terbaik di Kota Belud ini, saya berasa sangat beruntung dan bertuah. Dan saya mungkin tidak akan dapat di mana-mana nama jalan dengan nama sendiri kecuali di Kota Belud, seperti di bawah ini. Hehehe...


Ada dua papan tanda ini di Kota Belud, ejaannya bercirikan tempatan baa...



Myblogloglaq