Jumaat, Februari 27, 2009

YANG KITA TERLEPAS PANDANG - MENDIDIK ANAK

Semalam, ada kelas tuesyen Diyanah seperti biasa. Hampir saya tangguhkan kelasnya dek hujan di Pantai Dalam terlalu lebat. Kuala Lumpur seperti Malaysia pula, ada pembahagian hujan seperti setiap negeri, bahkan kita boleh melihat hujan di tempat lain sedang tempat sendiri kering. bahkan anda boleh menyaksikan sempadan hujan depan mata jika anda bernasib baik. Tak percaya? Selalulah memerhati dengan mata kepala sendiri. Beberapa kali saya menyaksikan. Hujan di Bangsar, tapi bila sudah sampai kawasan Jalan Mahameru berdekatan Parlimen tempat para kambing dan biri-biri menyamar itu, hujan belum sampai, sedangkan saya sudah lenjun.. eh lari tajuk pulak..

Semalam, semasa saya sampai di rumah Diyanah, ibunya sudah ada. Dia duduk di meja. Sebelum saya menghenyak diri ke kerusi, bicaranya terlebih dahulu menghenyak nurani saya. Saya tidak pasti apa kesalahan Diyanah, mungkin cuai masa mengambil buku. Tapi saya amat pasti kesalahan ibunya, penggunaan bahasa pada anak. Dengan bahasa mudahnya ialah, caranya mengajar anak - bagi saya amat salah. Saya cerita pada kawan saya yang sebelum ini mengajar Diyanah sebelum diganti Ustaz Saharudin, saya bagitahu dia Kak Salbiah cakap pada Diyanah 'Silly'..dia tanya balik saya apa maksud.. ai aku bagi jugak dia ni kang.. syok-syok orang cerita dia tak faham rupanya.. silly tu bodoh! Saya terhenyak pabila mendengar sang ibu berkata bodoh pada anaknya.. depan gurunya! Bahkan berkali-kali!!!

Ini bukanlah cara tarbiyah yang baik. Bahkan inilah cara paling buruk mengajar anak. Kesannya masih jauh untuk dikesan. Namun kesan jangkapendeknya ialah anak berasa amat malu - merendahkan motivasi anak. Mulut orang tua sama ada ibu bapa mahupun guru amat berbisa atau istilah lainnya mulut masin. Rasanya tidak pernah guru mahupun ibubapa saya kata begitu bahkan pujian itu ada. Kakak ada yang pernah kata pada saya tapi saya balas balik.. Mu la bodo! haha... zaman budak macam tu la ye.. sekarang semua dah cerdik dah.. kalo gaduh lagi memang masih bodoh.. Macam mana Mak saya puji saya? Dia kata 'Loh jughuh (baik)' ''Loh ceghidik (cerdik)'. Guru saya? Hasbullah bagus, pandai.. haha.. Bukan mengangkat diri tapi hanya melampirkan testimoni.. takkan saya nak reka-reka untuk buat contoh.. ini bukan teori!

Sesekali saya memerhati, bukan sahaja di rumah Diyanah bahkan kebanyakan warga kota yang mengamalkan sistem autokratik dalam mendidik anak. Ibubapa menentukan segala apa yang patut belajar dan apa yang anak buat malah dengan siapa anak patut berkawan. Yang paling malang seorang lagi murid saya langsung tiada kawan. ‘Ustaz jadi kawan saya ye? Saya tak ada kawan…’ alahai kesian… keadaan ini hanya akan melahirkan anak yang patuh tapi pasif, kurang berinisiatif dan kurang memberi pandangan. Namun yang paling bahaya jika anak memberontak jiwanya, melakukan suatu yang tidak diduga. Tidak boleh juga terlalu berlembut dengan anak. Menurut apa sahaja mahunya. Anak masih kecil sekolah rendah nak telefon mahal dibelinya. Cara mendidik ini dipanggil Laissez-faire. Macam perdagangan la pulak. Kesan didikan cara ini hanya akan menghasilkan manusia kurang bertanggungjawab, terlalu bergantung pada orang lain, kurang berikhtiar dan kurang menghormati orang tua. Pernah berkawan dengan anak orang kaya tak? Sesetengahnya ek semacam kan? Lesing baru tahu.

Cara terbaiknya ialah jadilah ibu bapa yang demokratik. Sentiasa berbincang secara terbuka dan melibatkan anak-anak dalam membuat sesuatu keputusan. Contoh, ibu bapa bertanya pendapat anak-anaknya terlebih dahulu dalam menentukan tempat peranginan yang hendak dikunjungi. Dalam konteks hidup saya – sekolah mana yang saya pilih. Ibu bapa saya mencadangkan sekolah agama dan saya selalu sahaja bersetuju dengan mereka kerana tahu itulah yang terbaik buat saya. Kesannya? Anak mempunyai keyakinan yang lebih tinggi, lebih aktif, bersopan santun dan gemar berkongsi masalah. Hairannya juga ibu saya yang sekolah sampai darjah empat pun lebih demokratik berbanding ibu murid saya itu yang juga pernah belajar di Universiti Malaya. Mungkinlah dia pun dibesarkan sedemikian rupa. Hidup mewah senang sebenarnya sukar mengajar manusia menjadi lebih manusia… kan?

Kesimpulannya, yang masyarakat kita sering terlepas pandang ialah cara mendidik anak. Hal ini jugalah faktor kebahagiaan keluarga. Keluarga yang bobrok akan menghasilkan masyarakat yang lebih bobrok.

Banyak lagi yang kita perlu belajar sebelum menjadi seorang yang bergelar ibu atau bapa. Boleh belajar dari orang-orang tua, pengalaman-pengalaman orang lain. Di Universiti Malaya, guru yang boleh anda cari ialah Prof Madya Ustaz Ahmad Kamil di Akademi Islam. Beliau ajar Pendidikan keibubapaan!

Tanpa ilmu yang mantap di samping imbangan emosi semasa melayari bahtera perkahwinan akan membawa bahtera itu ke arah kehancuran. Sama ada melanggar bongkah ais mahupun karang di lautan atau kerana nakhoda itu sendiri yang gagal mengemudi tatkala badai menerjah.

Ini adalah harapan dan motivasi kepada saya. Juga peringatan buat diri-sendiri agar lebih bersedia menghadapi alam baru yang amat mencabar. Perkahwinan adalah sunnah Nabi saw dan lebih besar lagi, ia adalah amanah Allah!

2 ulasan:

Setelus Hati Zinnirah berkata...

erm.. betul tu ustaz.. zaman skrg ni x mcm zaman dulu2 kan.. tp benda ni bukannye jd kt anak2 org kaya je.. even students sy yg dr golongan fakir n golongan miskin pun ade yg mcm tu.. parents diorg bg alasan.. dunia dah berubah.. huhuhu... Wallahualam..

Lumut Pagi berkata...

Salam sdr..

Mohon mencelah.

Saya punya tugasan baru. Tentang budaya Melayu. Karya agung yang saya pilih ialah Misa Melayu. Mohon saya bertanyakan pendapat sdr tentangnya.

Pada hemat sdr, di manakah pusat (centre) budaya Melayu kita?

**Girang rasanya andai sdr sudi 'menghadiahkan' saya sebaris dua buah fikiran sdr tentangnya.

Myblogloglaq