Ahad, Februari 08, 2009

Beberapa catatan Jumaat lalu

Pagi-pagi; kuliah Pendidikan Islam di Malaysia. Sebahagian mukaddimah telah saya ceritakan di bawah ini. Selepas sesi perbincangan politikkatak Perak, pembentangan kumpulan pertama. Tajuknya Institusi Pengajian Pondok di Malaysia. Banyak perkara baru tentang pondok di Malaysia saya baru tahu. Cuma saya tak angkat tangan mengaku pernah belajar di pondok. Salah satu sebabnya ialah saya bukan sepenuh masa. Malah orang Kelate kata cerelang cerelup. Maksudnya kadang-kadang pergi kadang-kadang tak. Menariknya ialah Ustaz Rahimi pun pernah bekerja di Pusat Pembangunan Pondok Berhad sebagai pendaftar selama 8 bulan sebelum sambung pengajian di UIAM.

Tengahari; macam biasa ke Masjid Ar-Rahman. Sebelum tu pekena nasi lauk gulai kambing di Akademi Islam. Sekarang untuk mengelak mengantuk saya mencatat isi-isi penting khutbah. Angin panas meruap selalu menyerang saraf dan meransang kantuk. Kalau tak tidur pun kadang-kadang otak merata merayapnya. Lepas jumaat lupa dah khatib cakap apa. Kan baik catat. Lagipun sebagai bahan untuk mengisi blog assignment saya yang sudah sunyi sepi tanpa pengunjung. Minggu ni tajuknya 'Keliru Minda'. Kelirunya akal waras apabila manusia mengguna akal tanpa merujuk syariat Allah Taala. Maka berlakulah syirik dan khurafat.

Lepas jumaat; bertemu Abang Din, menantu Pok Teh - jiran saya. Jarang-jarang bertemu di Kuala Lumpur. Makan keropok dan minum bersama, seadanya. Apalah yang ada sangat pada pasar jumaat Ar-Rahman. Sebetulnya macam pasar malam pun ada. Tapi tulah, ramai pulak yang lagho tak mengutamakan jumaat. Sebelum jumaat dah hurung gerai, lepas jumaat tak apelah. Tapi belum baca al-Fatihah dah bangun keluar, sudahlah datang lewat. Tak boleh nak tunggu Imam baca doa sekejap.

Balik ke rumah buka tv. Alahai hampeh.. rancangan khas politik Perak. Politikkatak dan politikkambing, ting ting ting menenting.. Mual tengok ulasan. Ah..malaslah ulas pasal katak dan kambing ni banyak-banyak. Baik layan penat dan berehat. Membuta sekejap. huh... kan nikmat.

Petang; setelah menyanggupi penggantian seorang sahabat untuk mengajar Emil di Subang maka untuk kesekian kalinya saya gagahkan diri meredah hujan petang yang mampir setiap hari. Tapi kan Tuhan dah kata - Aku turunkan hujan! Itulah antara kata nasihat arwah Wok kepada saya dulu. Guru al-Quran tersohor Kedai Baru. Kebanyakan pemuda-pemudi berhampiran rumah berguru dengan arwah. Selalu saja saya terima pujian isterinya dan hampir saja saya dijadikan anak angkat mereka! Cuma saya segan dan menolak dengan baik. Adakah saya boleh dinobatkan sebagai pelajar terbaiknya? Entahlah... tak penting semua itu sebenarnya.. Sekarang, Mak saya pula mengambil alih tugas Wok dan Pakdo Deraman yang sudah uzur. Cuma beza saya dan mereka ialah mereka menanti di rumah dan anak murid datang mengadap - percuma. Hanya kebiasaan ibubapa beri hadiah seumpama gula atau susu lemak manis. Saya di ibukota pula harus meredah arus deras kereta dan banyak kenderaan lain yang sedang menghambat dunia untuk ke rumah pelajar. Dan perkhidmatan saya itu dibayar perjam!

Maghrib; ke ar-Rahman lagi. Petang dapat mesej dari al-Hazizi, ceramah Ustaz Azhar Yaakub. Menyelerakan ceramahnya. Oleh kerana isu Perak masih panas dan meruap maka banyak juga disentuhnya. Adalah 20 minit. Lepas tu baru masuk tajuk. Yang menarik saya boleh kongsi ialah 3 perkara pelik orang Malaysia menurut satu kajian. Tak sempat catat kajian siapa.
pertama - paling kerap makan. 6 kali sehari. Apa tidak, macam-macam makanan ada.
kedua - paling banyak forward sms. SMS berangkai. Padahal ia adalah helah syarikat untuk menguntungkan mereka.
ketiga - paling kuat berpolitik. Kadang-kadang berpolitik sampai mengabaikan apa yang sepatutnya diberikan kepada rakyat.

Selepas isyak; ke Malam amal Deklamasi Puisi Palestin DBP. Lebih kurang macam tu lah bunyinya. Tak berapa pasti dah tajuk sebenarnya. Tapi tu lah, tren sekarang masyarakat sastera menganjurkan Majlis Puisi mengutip derma untuk tabung Palestin. Bagus daripada satu sudut. Yang tak bagusnya bercampur aduk segala macam perkara. Nak geleng pun buat sakit leher je.. sabar je lah. Kak Aisyah malam tu adalah kemuncaknya. Meskipun bertudung litup tapi dia masih gagal menjaga aurat suaranya. Dato' Siti lagilah. Dia berjaya bertudung tapi aurat jambulnya tetap terdedah. Kak Masyitah tak tegurpun, saya pulak lebih-lebih. Apa la ustaz nih, ijazah pun tak habis lagi. Hoi... jadinya Tuhan tengok ijazah la ye... Subhanallah enti. Sabar je lah ana..huhu..

Malam hitam langit kelam suram. Metropolitan tetap terang benderang menyuluh bumi muram. Jalan-jalan liku arus deras terkadang merisaukanku yang hanya bermotor cabuk lagi perlahan. Hati risau galau kacau. Bimbang sebelum ke negeri abadi jauh sana bekalan tidak mencukupi. Ya Rabbi, hanya Engkaulah yang tahu isi hati ini.

4 ulasan:

sarah berkata...

salam. ana baca puisi anta yg kuar kat mingguan. tgk nama n tempat dan agak dah sapa. karya yg baik. teruskan berkarya.

HASMORA berkata...

salam sastera cik sarah.. terima kasih ya atas sokongan..

Zarif Hassan berkata...

Saudara,
tak sempat nak beli suratkhabar sebab muak baca kisah politikus yang menjengkelkan. Turunkan sajak tu kat blog. leh baca. hehehe

HASMORA berkata...

Ya saya teruna Zarif,
Permintaan anda dikabulkan..hehe.. aku belipun sebab adi Tuah Sujana pepagi sms ucap tahniah..disusuli WB Rendra tengahari ckt..

Myblogloglaq