Sabtu, Februari 07, 2009

Catatan Tentang Kejadian Memalukan

Bagi saya, arena politik di Perak yang galau memalukan negara. Memalukan kerana negara yang dicanang di mata dunia sebagai negara Islam Hadhari yang cemerlang, gemilang dan terbilang dicemari oleh insiden kerakusan pak menterinya. Malu saya nak mengaku rakyat Malaysia kalau kawan negara asing tanya kenapa di Malaysia yang kelihatannya aman tapi kekacauan timbul kerana pemimpin-pemimpin bangangnya. Nasiblah saya tak jumpa Amirsyah Tajikistan beberapa hari ni. Kalau jumpa kawan baru saya ingat saya nak bagitau saya ni orang Kenya ke Somalia ke sebab kawan-kawan saya ada yang duk gelar saya begitu. Alang-alang juga staf klinik kesihatan ingat saya ni foreigner sebab nombor matrik saya siapa punya angkara ditulis nombor matrik pelajar luar negara. Insaflah saya tak hensem lagi gelapnya rupa. Tapi tak mengapa, Allah dah kata nilai manusia di sisiNya hanyalah taqwa. Bukan kerusi, kuasa, harta dan rupa. Semua itu memang milikNya yang dipinjamkan percuma yang kebanyakan manusia alpa lagi lupa dan buat tak reti sahaja. Kitab Suci al-Quran itupun kebanyakan manusia Muslim bukan sahaja tidak baca dan laksana malah wewenang mempersenda. Subhanallah...

Dalam kuliah pagi semalam, perkara pertama yang dibincangkan oleh pensyarah ialah politik Perak. Tidak pernah disentuh tentang politik tiba-tiba dibicarakan tapi dengan penuh suasana akademik. Berpolitik secara akademik. Ketepikan soal kepartian meskipun kebanyakan memang satu kapal satu nakhoda. Orang akademik memang sepatutnya dari segi etika tidak boleh terlalu berterus terang di khalayak dia di sebelah mana kerana murid-muridnya juga ada pelbagai ideologi dalam kepala. Berapa kerat sahaja sebenarnya yang ingin jadi mu'allim. Kebanyakannya nak cari sesuap nasi sebiji kereta sehimpun harta sahaja. Kalau betul-betul tentulah dari segi imej penampilan dan cara belajar menepati cara seorang murid ke arah seorang mua'llim.

Diberi peluang bercakap meluah pandangan dan beberapa orang pemerhati politik dalam kalangan para bakal mudarris bangkit bersuara. Tiada dalam kalangan muslimat meskipun lama diberi peluang. Saya yang kembali dari tandas pastilah tidak sempat kerana masing-masing sudah angkat tangan dan masa hanya diberi sekejap seorang kerana ada pembentangan panjang.

Empat orang yang saya sempat. Ustaz Nik, Ustaz Hidayat, Ustaz Farhansyah dan Ustaz Zul Kedah menyatakan pendapat masing-masing. Semua pandangan digulung bungkus oleh Ustaz Rahimi dari kacamata seorang ahli akademik yang melihatnya dari perspektif analisis kritis. Kesimpulannya dalam ayat saya - usah terlalu kecewa dengan situasi yang bungkam dan bangang, tapi lihatlah dari hikmahnya. Masyarakat sekarang kebanyakan mampu berfikir kritikal dan mampu menilai baik buruknya. Mungkin ada hikmahnya berlaku semua ini. Natijahnya mungkin akan terbalas jua perbuatan bacul manusia-manusia ego dan mudah lupa.

Dua hari lepas di kafetaria kawan saya bercerita tentang perbualannya dengan kawan kami si Tora - Alan mengaju tanya "apa yang mereka nak sebenarnya.." Tora dengan ayat penuh satiranya "mereka nak apa lagi, mereka nak kerajaanlah!" dan saya senyum sambil cuba membayangkan wajahnya yang selamba sambil berkata begitu. Dan saya sudah jangka yang dia pasti mewujudkan diri di tempat kejadian yang menurut orientalis RTM sedang membuat kacau dan mengganggu ketenteraman. Kawan saya itu memang ketua perusuh demonstran. Syabas kawan...


Tora... matanya sedang kepedihan - gambar dari facebook Hafiz Saiden

Ralat; petang tadi semasa bersembang di kafetaria APIUM, Alan menyebut tentang kesilapan saya di atas. Sebenarnya yang bertanya ialah Tora dan yang menjawab pula Alan. Apa yang berlaku ialah saya tersilap faham pertuturan Azlan Zainal itu. Terima kasih sudi menegur sahabat ^_^. -kemaskini pada 10.02.09

Tiada ulasan:

Myblogloglaq