Jumaat, Januari 30, 2009

Ops Khidmat Masyarakat PMKUM Di Rantau Panjang


Saya rasa inilah kali pertama saya pulang ke Kelantan tapi sampai di kampung orang. Saya menelefon emak pada hari kedua. Ada desir murka dalam bicaranya. Masakan tidak, menjenguk orang lain dulu. Bagaimana nak buat, saya naik bas dari UM terus ke Rantau Panjang. Memang bercadang menyertai OPKIM kali ni. Yang tahun sudah balik ke rumah dulu. Sesi lepas di Pulai Condong, Machang. Bezanya tahun ini pada cuti semester kedua, bukan cuti akhir semester pertama. Keluarga angkat saya di Tok Bok.

Kali ni dapat abang angkat sekeluarga, Abang Syukri. Anak-anak pun kecil lagi. Tahun lepas semua sekali satu keluarga dari ayah, Mama dan semua anak beranaknya diangkat. Yang paling manja tentulah anak bongsunya. Huh... tak larat nak layan kerenahnya.

Ketika sedang syok dengan program sukaneka di padang, kakak saya sms pasal gerhana matari. Saya ingatkan 25 hb, mungkin sebab tak faham apa yang DJ radio tu cakap apa. Sempat juga tengok yang sudah nak habis. Cerap dari celah-celah jari. Pelik je orang tengok saya. Mata saya mampu tengok macam tu. Kalau mata tak tahan silau baik jangan tengok. Tapi kawan-kawan yang ada sekali ada juga yang mampu. Itupun ambil masa agak lama. Awalnya kata tak nampak. Adalah dalam jam 6.30 masa tengok tu.

Seminggu sebelum asalnya bercadang nak ikut OPKIM Anak Kedah. Maklumlah, nak jejak Negeri Jelapang Padi. Nawaitu bertukar pabila dapat sms Nik Lokman yang jemput kenduri kesyukuran perkahwinan. Buat kecik-kecik rupanya. Patutlah susah nak cari rumah. Tak ada petunjuk apatah lagi bunga manggar. Kali ni tak sempat ambil gambar kenangan. Kamera telah kehilangan kuasa sepenuhnya.

Tentunya saya kan tetap memahat nostalgia di Rantau Panjang pada memori atau sekurang-kurangnya di blog ini. Pantun di bawah ini telah saya bacakan pada akhir majlis penutup, lagipun saya sebagai pengerusinya. Terima kasih buat semua yang terlibat.


Kenangan Di Rantau Panjang


Tiada barang untuk kujual
Tiada ringgit untuk kubeli
Setelah tiba di kubang kual
Seperti sampai di kampung sendiri

Harum wangi narwastu kasturi
Kantuk bertamu mengulit siuman
Jauh-jauh datang ke sini
Untuk bertemu saudara sekalian

Lain kerengga lainlah kera
Lagilah lain si kura-kura
Bercanda ria bicara mesra
Seperti lama jadi saudara

Menjala ikan di sungai kasap
Dibawa pulang hanyalah jala
Biarlah mata pedihkan asap
Asalkan masak bubur asyura

Hanya jasad duduk di beranda
Jiwanya entah pergi ke mana
Comelnya adik bergurau senda
Semoga menjadi insan berguna

Ke rumah pak andak memetik kelapa
Memanjat manggis rumah pak anjang
Sekali-kali pun takkan kulupa
Kenangan manis di Rantau Panjang


Hasbullah Haji Mohamed
Masjid Kampung Kubang Kual
6:15 petang, 26 Januari 2009.



Tiada ulasan:

Myblogloglaq