Jumaat, November 16, 2007

VIRUS SENGKETA BUMI MERDEKA

KEAMANAN dan kemakmuran negara kini diancam dengan pelbagai virus dan penyakit. Tidak kira serangan dari luaran atau penyakit yang sedia ada di dalam diri sendiri. Penyakit dan virus ini perlu dianalisa dan dirawat supaya ianya tidak menjadi barah sehingga menggugat kedaulatan dan memusnahkan kemerdekaan ini. Kesejagatan telah meletakkan Malaysia sebagai suara dunia ketiga dan wakil Negara Islam bagi membangkitkan isu-isu yang bakal merosakkan integrasi sosial.

Namun kelantangan ini sebenarnya banyak menimbulkan rasa tidak senang banyak pihak khasnya yang berkepentingan. Isu militan, Ianun, tuntutan bertindih dan kehadiran kuasa besar di rantau ini merupakan agenda yang perlu ditangani dengan baik dan berkesan kerana semuanya ada kaitan dengan kedaulatan dan keselamatan Negara. Suasana Negara aman dan makmur yang dikecapi telah memberi kelebihan bagi mengundang para pelabur dan pedagang berurusan di negara tercinta ini.

Bukan setakat itu, ianya juga telah ‘menjemput’ tetamu asing kerana mereka juga percaya ada ruang yang boleh dimainkan dalam mengambil kesempatan atas keadaan ini. Semua ini bakal memberi kesan kepada keselamatan dan kestabilan negara kita. Kekuatan ekonomi dan perdagangan yang mengalir dan melayari persekitaran Negara memberikan kelebihan dalam menguatkan lagi pertumbuhan negara dan pendapatan rakyat. Hal ini disedari banyak pihak sehingga mengundang kuasa besar yang tidak yakin akan semangat keperwiraan dan kepahlawanan kita dalam mengekang segala ancaman yang tidak diundang.

Kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara terletak ditengah-tengah laluan ekonomi dunia telah digunakan oleh pakar ekonomi dalam melakar dan merancang ekonomi negara. Ini memberikan kita ruang untuk berurusan dengan hampir semua rakan ASEAN yang dilihat dari segi geografi dan mempertahankan kedaulatan negara strategik sebagai sebuah negara yang terbaik untuk memaksima kedudukan ini.

Disamping itu,kejayaan pemimpin negara dalam memaksimakan hasil bumi melalui keadaan sosial, politik dan ekonomi telah menjadi negara ini contoh terbaik dikalangan negara dunia ketiga dan negara Islam. Kita berjaya mempelbagaikan hasil ekonomi dengan memperkayakan pendapatan rakyatnya hasil dari bahan mentah yang dimiliki. Dasar kerajaan yang menggalakkan R&D untuk mengurangkan kebergantungan kita kepada pihak asing juga mencerminkan persediaan kita menghadapi cabaran globalisasi.

Aspek penggunaan teknologi dan peningkatan ilmu dalam budaya kehidupan juga dilihat sebagai kelebihan yang menjadikan Malaysia sebagai pilihan para pelabur asing. Keamanan ini jelas meyakinkan pelabur bahawa Malaysia sebagai syurga untuk mereka berurusniaga di rantau sebelah timur ini. Antara faktor yang menjadi Malaysia tumpuan semua pihak kerana peranan kita sebagai Negara Islam yang paling berpengaruh khasnya dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan dan hak Islam di mata dunia. Penampilan Malaysia jelas memberi impak kepada kuasa dunia yang merasakan si kerdil bersuara lantang ini tidak mampu mengawal rantau asia tengara ini kerana dirasakan kita seolah-olah ingin bertindak sebagai ketua dengan kelebihan kedudukan dan pengalaman menghadapi krisis ekonomi ciptaan mereka.

Pemimpin kita dikecam kerana tidak mahu mengikut cara mereka namun akhirnya mereka akui yang cara tersebut nyata membuahkan hasil. Kejayaan ini dilihat mereka sebagai satu ancaman kepada mereka kerana idea tersebut datang dari sebuah Negara Islam dan Negara Dunia Ketiga. Sedang ramai pakar ekonomi mengakui keberkesanan cara kita, mereka tetap angkuh sehingga cubaan merosakkan imej negara melalui laporan akhbar yang jelas bertentangan dengan keadaan sebenar.

Keupayaan kita juga dipertikai dalam menentukan keselamatan selat Melaka, antara selat yang paling sibuk di dunia. Hak kita untuk memiliki sistem pemantauan selat juga tersebut telah dinafikan oleh pihak yang berkepentingan sehingga timbul idea menjemput kehadiran kuasa asing bagi menangani masalah tersebut.

Seperkara yang perlu ditangani ialah tuntutan bertindih. Ini menimbulkan banyak masalah jika pihak yang menuntut tidak mahu menerima keputusanTribunal antarabangsa yang dilantik. Kegagalan menghormati keputusan ini bakal mengundang keadaan yang tidak stabil khasnya keselamatan. Ini akan memberikan ruang terutamanya kuasa besar dalam menempatkan diri sebagai suasana hak ketiga yang mendakwa diri sebagai polis dunia bagi menenangkan suasana.

Kita telah bertindak seperti menarik rambut dalam tepung, namun pihak yang sama menuntut cuba bertindak melampaui batas kemanusiaan dan adakalanya tidak menghormati orang lain yang merupakan jiran mereka sendiri. Dalam melaksanakan dasar memakmurkan jiran, seperkara yang harus dipandang serius ialah tindakan luar jangkaan mereka yang menyebabkan kita mesti lebih bersedia dan berwaspada dengan tindak-tanduk jiran dan tindakbalas kita terhadap reaksi tersebut.

Jelas bahawa keamanan dan kemakmuran ini sedang diserang dan cuba digodam dengan virus yang paling merbahaya, merobek keharmonian antara kaum dan hubungan serantau demi kepentingan dan agenda tersembunyi.

Kejayaan kita mengadun pelbagai bangsa, etnik dan suku kaum dalam sebuah negara mendatangkan rasa cemburu pihak asing kerana pada mereka kita tidak menurut cara untuk mentadbir sebuah negara demokrasi. Keharmonian sosial kita cuba diserang dengan pelbagai dakwaan dan tohmahan walaupun kebanyakan negara dunia ketiga mengiktiraf kita sebagai sebuah negara yang berjaya mengintegrasikan hubungan pelbagai bangsa dan kaum, sehingga klta telah dijadikan model negara demokrasi. Bukan tujuan mencari musuh atau mereka cerita, tapi realitinya kita kini sedang diancam.

Sedar atau tidak kemewahan dan kestabilan ekonomi kita telah mengundang ‘semut-semut’ untuk mencuri manisnya. Kita sebagai organisasi yang dikhaskan menjaga lubuk madu dan manisan ini mestilah sentiasa beringat bahawa bukan semua yang datang untuk urusan berdagang kerana ada dikalangan mereka berniat untuk menimbulkan huru-hara dan merampas lubuk tersebut.

Oleh itu kita harus sedar bahawa kita sedang diperhatikan. Kejayaan kita membangunkan negara ini telah menimbulkan rasa kurang senang. Justeru hanya kewaspadaan dan kepekaan kita terhadap ancaman negara memberikan kita ruang dan kesempatan untuk bertindak mengekalkan kedaulatan negara tercinta ini.

(dipetik dari BTDM)

Tiada ulasan:

Myblogloglaq