Rabu, November 14, 2007

Murnikan Murni Yang Dinodai

Semalam; 13 November 2007, Universiti Malaya dikejutkan oleh kejadian yang tidak disangka-sangka berlaku kepada mahasiswa yang dianggap oleh orang sebagai golongan intelektual dan terpelajar. Hanya orang yang pandai-pandai sahaja yang dapat masuk universiti. Orang yang tidak berprestasi tinggi dalam pelajaran diperingkat sekolah tidak akan ke universiti. Namun sesetengah daripada kita tersilap mendefinisikan orang yang masuk universiti ini. Izinkan saya memberi pendapat dalam hal ini.

Orang yang memasuki universiti sememangnya orang yang berprestasi tinggi dalam pelajaran. Namun perlu diingat. Tidak semua orang yang memasuki universiti itu bijak. Kerana orang yang paling bijak menurut Rasulullah ialah orang yang paling banyak mengingati mati. Namun apabila orang tidak banyak mengingati mati, maka larangan agama usahlah diambil peduli. Malah kadang-kadang orang hanya tamat tingkatan lima atau hanya UPSR pun lebih bijak dari mereka yang menjejak kaki ke menara gading. Tidak setuju dengan pendapat saya?.

Ramai orang yang pandai. Sebab itu ramai yang dapat masuk universiti sekarang ini. Tapi tidak semuanya bijak pandai. Bahasa kasarnya ialah bodoh. Sama ada bodoh sombong atau buat-buat bodoh itu adalah satu cerita lain. Tetapi tidak menghiraukan Firman Allah dan sabda Nabi memang orang yang bodoh sombong. Sudah tidak tahu jalan tetapi ingat diri bijak dan mengenepikan peta hidup dan panduan yang diberikan sememangnya satu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh orang yang berakal. Apatah lagi kepada warga universiti yang dipandang tinggi orang sebagai tempat melahirkan orang yang menjadi orang di dunia ini.

Apa yang mengejutkah ialah seorang mahasiswi dibogelkan oleh seniornya yang sama kolej kediaman dengannya dan diambil gambar bogelnya. Itu yang Kosmo! laporkan semalam. Apa yang sebenarnya berlaku tidak semua diceritakan. Tapi sedikit ceritapun sudah mencukupi untuk orang ramai memandang universiti ini bukan lagi tempat melahirkan cerdik pandai yang bijaksana, tetapi tempat anak muda yang ingin hidup bebas sebebas-bebasnya. Kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Motif kejadian yang disyaki pula amatlah remeh. Kerana seorang lelaki. Cinta tiga segi. Cemburu buta. Cemburu menyebabkan sesiapa sahaja buta mata hati dan bertindak sesuka hatinya. Rupa-rupanya tidak semua kakak boleh diharap melindungi adiknya. Malah meletakkan adiknya dalam paya yang paling kotor. Tidak cukup dengan cabaran kota selut yang penuh cabaran dan dugaan ini ditambah pula kekotoran lembah yang penuh sosialisasi ini.

Bagi saya, saya meletakkan semua orang dalam kandang pesalah sekarang ini, selagi belum terbukti apakah yang sebenarnya berlaku. Saya cuma menunggu kisah sebenar dari sumber yang agak sohih. Memang susah nak cari sumber yang betul-betul sah kerana manusia ni banyak jenis riwayatnya. Lagikan hadis Nabi banyak kategori juga kesahihan hadisnya. Ada ulama’ yang memandai-mandai buat hadis sendiri (ulama' as-su'). Orang sebut sebagai hadis palsu. Ada juga hadis maudhu’. Ada hadis hasan. Banyak lagilah kalau nak cerita satu semester baru habis (kalau sempat habis).

Tapi zaman sekarang ini lagilah canggih ceritanya. Dalam surat khabar lain, dalam televisyen lain dan dalam kepala otak masing-masing pun lain. Tidak ramai mahasiswa yang mengambil berat tentang cerita ni. Tentang masalah seorang perempuan kena bogel oleh perempuan dan diambil gambarnya. Kemudian mungkin yang akan dilakukan ialah masukkan gambar tu dalam jaringan maya dan wusshh... tersebarlah ke seluruh dunia. Betapa bahayanya teknologi langit terbuka di tangan orang yang tidak bertakwa. Mahasiswa hanya celik mata dan menadah telinga setelah habis kertas peperiksaan; seperti saya (tetapi kebetulan pula semalam baru habis). Itupun kalau suka mengambil tahu tentang orang lain di sekeliling. Kalau menghadap buku dan komputer siang malam dan memekakkan telinga, membutakan mata siang malam, dan malaskan membaca suratkhabar tak guna juga.

Apa yang saya dengar bila cuba korek-korek dari kawan-kawan masih belum memuaskan hati. Maklumlah kawan-kawan ramai lagi yang belum habis periksa. Saya pun semalam baru habis exam tapi selepas ini banyak lagi tugas yang sedang menanti. Tugas-tugas sebagai YDP PALAPES yang masih bertimbun belum disiapkan. Buletin PALAPES yang masih dalam pembikinan, perlu siap sebelum masuk musim latihan tahunan. Juga sebagai editor untuk majalah PALAPES kali ini. Jika tidak ingatkan ini semua adalah latihan pemantapan diri sendiri dan juga ujian Tuhan sudah lama saya mengundurkan diri. Beginilah perjuangan, tidak boleh undur diri jika sudah maju kehadapan. Perjalanan harus diteruskan. Perlu bertahan. Tetapi jikapun terpaksa berundur, jangan sesekali undur terus menyerah kalah, kecuali untuk mengatur strategi untuk menyerang dan mara semula. Inilah prinsip perjuangan.

Cerita ‘Murni’ yang sudah dinodai masih dalam peringkat kepala cerita. Masih banyak plot yang belum dirungkai. Entahkan tragis atau bagaimana kesudahan cerita sedang dinanti-nantikan. Murni hanya mahu dikenali sebagai Murni. Nama sebenarnya bukan Murni barangkali. Itu yang dilaporkan oleh Kosmo!. Namun apa yang ingin saya tegaskan di sini ialah kenapa saya letakkan semua orang sama ada Murni atau seniornya dalam kandang pesalah. Hal ini tidak lain dan tidak bukan ialah semua orang yang terlibat termasuk lelaki yang menjadi rebutan itu adalah mereka telah membuat beberapa kesalahan yang telah ditegaskan oleh agama yang mereka mengaku beriman itu sebagai salah. Tuhan telah berikan garis panduan dan batasan-batasan dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan, tetapi yang hangpa duk pi langgaq pasai apa?

Kenapa saya berkata sedemikian rupa? Kenapa tidak, seorang mahasiswa Islam seharusnya tahu batas-batas dalam kehidupan seorang muslim. Haram perhubungan antara lelaki dan perempuan ajnabi tanpa ikatan pernikahan yang sah. Ingin saya kemukakan dalil. Salah satunya ialah yang paling masyhur, boleh kata semua orang tahu ayat ini. Firman Allah yang bermaksud “...jangan kamu menghampiri zina..”. tapi hanya sedikit yang orang faham dengan maksud atau tafsiran ayat ini. Tidak sedikit orang yang faham terjemahannya. Aplikasinya orang buat-buat tak faham atau memang tak nak faham.

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman pernah menjawab satu persoalan tentang ‘Disiplin dalam Pertunangan’ yang dilontarkan kepadanya. Beliau menjawabnya dalam laman web beliau www.zaharuddin.com. Sedangkan pertunangan mempunyai disiplin yang ketat inikan pula hubungan yang entah membawa kepada pertunangan ataupun setengah jalan. Yang bertunang lagikan boleh putus. Apalagi cintan-cintun remaja begini. Kerana beliau sudah menjawab panjang lebar tentang permasalahan dalam pertunangan jadi beliau pun merumuskan beberapa perkara yang harus dijaga dalam tempoh pertunangan. Yang ingin saya sandarkan di sini ialah beberapa perkara yang perlu dijaga, dititikberatkan dalam perhubungan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi dan belum sah menjadi suami isteri sama ada sudah bertunang, dalam proses nak bertunang ataupun sekadar bercinta yang baru episod permulaan. Kerana perbicaraan adalah panjang dan dalil amat banyak, ringkasan perkara perlu dijaga seperti berikut (semuanya menurut al-Quran dan juiga al-Hadis):

a. Haram bersentuh, menyentuh satu sama lain.
b. Haram berdating tanpa disertai mahram yang thiqah.
c. Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat. (sms, phone, chat, messenger).
d. Awas fitnah masyarakat sekeliling.
e. Awas fitnah dalam diri dan pasangan.
f. Haram melihat epada aurat masing-masing.
g. Awas daripada bertukar gambar.
h. Awas daripada hebahan umum sebelum di ijabkabul. (bertunang pun tak patut orang tahu, usahkan cintan-cintun)

Nasihat saya kepada Murni, bersabarlah dengan dugaan dan ujian yang menimpa ini. ada hikmahnya Allah timpakan bala kepada saudari. Jangan pula salah anggap. Bala itu maksud sebenarnya ujian, bukan kecelakaan. Itu adalah mungkin kifarat dosa. Allah sayangkan hamba-Nya dan Allah ingin tunjukkan kesalahan itu dengan dibalas semasa di dunia lagi supaya saudari Murni bertaubat dan tidak melakukan perkara-perkara dosa yang ditegah oleh-Nya. Koreksi diri semula. Jangan ulang perkara-perkara yang tidak diredhai Allah yang saudari lakukan bersama 'teman lelaki' saudari.

Kisah Murni adalah iktibar kepada semua. Allah menurunkan ujian kepada seseorang hamba-Nya bukan amaran untuk yang terkena sahaja tetapi iktibar dan tauladan kepada hamba-Nya yang lain, yang bertaqwa kepada-Nya. Jika benar serius dalam hubungan jangan ditangguh-tangguhkan, suruh si lelaki masuk minta secara elok dengan keluarga. Itupun kalau lelaki itu anak jantan sejati. Ke macam mana ustazah Murni?

Oleh yang demikian saudara saudari yang bijaksana dan bijaksini, janganlah kita biarkan insan seperti Murni harungi kehidupan sukar ini dengan seorang diri. Kita masih boleh mengambil peranan dengan memurnikan kembali ‘Murni’ yang telah dinodai.

Tiada ulasan:

Myblogloglaq