Rabu, November 07, 2007

Apa Duit Boleh Beli, Apa Yang Tidak?

Ada falsafah yang mengatakan;

Money can buy a house but not a home,
money can buy a bed but not sleep,
money can buy medicine but not health, and
money can buy sex but can’t buy love.”

Kebahagiaan tidak ada kaitan dengan kemiskinan atau kekayaan. Bahagia juga ada di mana-mana. Tidak kira di kampung, di desa atau di bandar. Bagaimanakah caranya mencapai bahagia dan bagaimana rasa bahagia itu boleh dikekalkan? Dapatkah kita memilih agar selalu bahagia? Jawapannya adalah ya, kita boleh. Namun tidak semua orang berjaya beroleh bahagia kerana tidak semua orang tahu di mana sebenarnya letak kunci kebahagiaan itu. Jika kita kurang berusaha usahlah mengharapkan bahagia akan datang ibarat yang bulat datang bergolek atau yang pipih datang melayang; kerana bahagia kita haruslah berusaha keras mendapatkannya.

Perasaan bahagia itu ada dalam diri dan bergantung jalan mana yang kita pilih. Tanya diri, sama ada kita mahukan bahagia atau sebaliknya, kemudian barulah berserah pada takdir. Sebelum itu, kita harus sedar kenapa bahagia itu sukar dicapai?

Keasyikan mengejar duniawi dan hartabenda ditambah dengan budaya hedonisme yang semakin menular dalam kehidupan masyarakat kini sehingga kita terlupa tujuan sebenar kita dilahirkan. Sifat tidak pernah mensyukuri atas rahmat Tuhan dan apa yang kita perolehi adalah asas kepada rasa tidak bahagia. Manusia juga sering tidak pernah puas dengan apa yang kita perolehi dan ini adalah asas kepada rasa tidak bahagia. Manusia juga sering tidak pernah puas dengan apa yang dicapai. Memang ini satu hakikat dan sering berlaku. Setelah berjaya meraih sesuatu, belumpun sempat berasa puas dengan kejayaan tersebut kita telah pun membuat sasaran baruuntuk mencapainya dan begitulah seterusnya.

Selalunya matlamat atau sasaran begini membuat kita sering merasa cemas apabila tujuan seterusnya tidak tercapai. Namun tidak betul juga jika kita langsung tidak mempunyai matlamat. Paling penting berpada-pada. Kita juga mungkin sering merenungi nasib buruk yang melanda dan tidak cuba melakukan sesuatu untuk mengubahnya. Fikiran menjadi kaku dengan musibah yang melanda dan tidak mampu melupakan perkara yang pahit dan tidak mampu keluar dari masa lampau yang kelam.

Terlalu mengikut kata hati boleh membawa padah. Jika terlalu menurut nafsu pula boleh menyebabkan alpa dan lalai. Apabila hidup dipenuhi noda dan tersesat jauh dari landasan; kebahagiaan itu sukar dikecapi kerana tidak pasti bahagia bagaimana yang dicari. Meletak harapan tinggi takut mengecewakan. Begitulah yang sering terjadi apabila kita menyayangi seseorang atau inginkan sesuatu dan meletakkan harapan yang keterlaluan. Jika apa yang dimahukan atau diingini tidak tercapai,mulalah rasa kecewa dan sekaligus tidak gembira dengan apa yang berlaku. Kita begitu mudah kecewa apabila kehendak dan cita-cita kita tidak kesampaian ataupun permintaan kita tidak tertunai. Kita mudah merasa marah lantaran terlalu mengikut hati dan perasaan. Saban hari kita berdoa kepada Tuhan minta itu dan ini tetapi acapkali doa kita tidak makbul; kalau diterima pun kadang-kadang lain yang diminta lain pula yang dapat.

Kita begitu cepat menyalahkan orang lain ataupun bermasam muka dengan orang yang tidak mahu memberi kita sesuatu yang kita hajati ataupun menunaikan permintaan kita. Kita rasa kecewa dan tidak bahagia. Tanpa kita sedari, terkadang ada hikmat dan rahsia di sebalik semua itu yang mana hanya Tuhan sahaja Yang Maha Mengetahui.

Tiada ulasan:

Myblogloglaq