Jumaat, November 02, 2007

Prolog

Segala puji bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, bulan dan bintang, Adam dan Hawa dan seluruh alam maya ini. Selawat serta salam ke atas Rasul junjungan Nabi Muhammad saw dan salam juga kepada ahli keluarga baginda.
Syukur kepada-Nya kerana menganugerahkan kita nikmat iman dan Islam dalam hidup ini. Tanpa iman dan Islam nescaya kita menjadi manusia yang paling rugi kerana orang yang tidak memiliki iman dan Islam pada dirinya adalah tergolong dalam golongan ahli neraka selama-lamanya.

Kerana menyedari hidup ini tidak lama, marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita dengan meningkatkan amalan dan muhasabah diri. Allah swt berfirman yang bermaksud; "...setiap yang bernyawa itu pasti akan menemui kematian..." dan tidak dapat tidak setiap yang mati pasti akan melalui alam barzah-alam rohani-alam yang hanya amalan yang bercakap. Maka mampukah kita menghadapi semua ini andai amalan kita tidak seberapa semasa di dunia ini? Berpesan saya kepada diri sendiri dan kepada sahabat sekalian; perbanyakkanlah mengingati mati kerana dengan mengingati mati kita akan lebih menambah amalan, membanyakkan zikir, merajut doa memohon keampunan-Nya dan rahmat-Nya. Nabi saw kan juga pernah bersabda yang bermaksud "...orang yang paling bijak dalam kalangan kamu adalah orang yang paling banyak mengingati mati..."

Ya sahabat-sahabatku sekalian, setiap langkah yang kita atur adakah kita perhitungkan adakah langkah kita itu menghampiri syurga ataupun neraka? Adakah setiap ayat yang kita ucapkan itu kita teliti dan tapisi; adakah ia menyedapkan telinga sahabat-sahabat dan orang ramai atau hanya retorik yang amat menyakitkan hati sahaja?

Ayuh kawan, kita muhasabah diri kita ini yang maha lemah dan tiada daya kuasa melainkan dengan rahmat Qudrat dan Iradat-Nya Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

Tiada ulasan:

Myblogloglaq