Isnin, Januari 25, 2010

Rindu budu

Sejenis makanan asasi dan kegemaran saya sejak kecil, budu. Tanpa budu tak lalu makan nasi. Budu penting sebagai pemecah selera dan sos pencicah ulam. Tak kira ulam apa asalkan namanya ulam semua saya bedal.

Ketika hendak datang ke Sabah, sahabat saya belakang rumah yang bertugas di Kota Marudu (tempat yang belum tentu ada budu), tak jauh dari Kota Belud, mengatakan tidak boleh bawa budu naik kapal. Agak kecewa saya mendengarnya. Tapi sepupu saya dan isterinya di Puchong Prima, Abang Di dan Kak Na mengatakan sebaliknya. Maka saya pun bawalah budu sebanyak dua botol (kecil, cap ketereh) yang diisi semula ke dalam botol air minuman seperti disyorkan Kak Na. Tidak boleh bawa dalam botol kaca, tak lepas katanya. Tapi silapnya saya tidak tambah budu yang tidak sampai setengah botol pun walaupun Kak Na tanya beberapa kali hendak berhenti beli pagi-pagi buta ketika hendak hantar saya ke KLIA. Akhirnya saya hampir putus bekalan budu walaupun sudah dicatu sebaik mungkin. Menyesal dulu kan pendapatan...

Maka saya telah sedia awal-awal, budu bikin sendiri. ikan bilis segar saya dapat di pasar Kota Belud, hanya dengan ‘mencampak’ pancing kepala agung. Duitlah. Peram dalam botol sebab tiada tempayan. Lebih kurang 3 minggu kemudian, masak dengan tambah air, campur gula dan pewarna oren merah. Wah, sekali sudah jadi macam budu kat kedai. Rasanya bolehlah tahan. Tak pernah menuntut ilmu buat budu mana-mana, hanya mengikut resepi yang ditulis dibotol budu. Mungkin sebab saya ni memang ada bakat memasak. Hehe.

Telah juga saya minta emak poskan beberapa helai pakaian saya dua minggu lepas (pakaian yang amat penting juga), dan budu saya minta poskan sekali. Lagi seminggu sampai barangkali. Bagaimanalah nasib, selamat atau tidak. Entahkan pecah dalam kotak, maknanya bau budu habislah baju tu.

Beberapa hari lepas, ketika membeli-belah di Pasaraya Gui Brothers, pasaraya paling terkenal di Kota Belud ini, terjumpa dua botol budu. Dua-duanya saya sebat. Cap Cinta Rasa. Jauh juga budu ni terbang, masuk ke dalam pasaraya di Kota Belud. Sayangnya, indah nama dari rasa. Tak begitu umph seperti Lazzah atau Ketereh. Takpalah, asalkan ada, daripada tiada langsung.

Lepas ni rasanya tak perlulah lagi merindu budu. Bekalan mentah untuk buat budu senang didapati di sini. Atau mungkin juga saya boleh jadi pembekal budu untuk kawan-kawan di Sabah ni, siapa tahu...

1 ulasan:

Unknown berkata...

Nilah "masalah" besar kalu jadi ore kelate. Celik mata budu, nak tido male budu haha. Kat rumoh ambo ado berdozen-dozen budu. Mata ambo kelipok-kelipok jah tengok. Ambo tok berehi mano, takat make denge nasi krabu buleh la. Kalu hari biasa ambo lanyak sambal belacan. Ore kedoh sebut cabai tumbuk.

Myblogloglaq