Isnin, Januari 11, 2010

Coretan tentang MPR


Saya menulis beberapa baris ayat ini bukan untuk melukakan hati sesiapa. Apatah lagi mencederakan perasaan sahabat-sahabat saya. Hanya sekadar perkongsian, kerana kita tidak lagi dapat berbicara seperti dulu kerana Laut China Selatan telah memisahkan. FB dan YM pun tidak begitu membantu kerana sukarnya untuk saya akses internet di kediaman kuarters guru di tepi bukit, walau ada broadband. Kalau di sekolah masa pula suntuk, walaupun ada kemudahan wireless.

Tulisan Sdr Jimadie Shah Othman adalah umpama satu ‘tamparan’ dari dalam. Beliau lepasan MPR (2000) yang kini menjadi wartawan di Malaysiakini, menulis artikel bertajuk ‘Perasan bagus sasterawan alumni MPR’ bertarikh 3 Januari 2010. Antara lain dalam tulisan beliau menyebut;

“Walaupun hadir berkursus hanya selama seminggu, alumni MPR ini dianggap sebagai "anak emas di kolam kencana" agensi bawah Kementerian Pelajaran itu.”

Minggu Penulis Remaja akronimnya MPR, sudah gah namanya. Sesiapa yang terlibat dengannya bertuah dan beruntung kerana berpeluang berguru pada yang bitara. Tawaran kepada saya pernah ada, melalui emel. Tapi ketika itu umur saya sudah 26, dan setelah saya bertunang. Sedangkan saya merasakan saya tidak layak ketika usia 25 lagi. Kerana khabarnya had usia sehingga umur 20 sahaja. Kalaupun saya terima, saya rasa hanya akan memalukan diri sendiri, orang tua dalam kelas budak-budak.

Pernah saya SMS dengan Tuah Sujana tentang hal ini, beliau bertanya tentang umur saya. Katanya saya sudah terlepas peluang. Tapi itulah saya juga tertanya, kenapa masih ada tawaran kepada saya tempoh hari. Mungkin pihak urusetia MPR sudah merubah tahap usia atau terlepas pandang pada umur saya.

Saya tidak kisah saya bukan dari MPR. Zarif Hassan pun. S.M Zakir juga. Tapi orang ingat S.M Zakir dari MPR, mungkin kerana beliau selalu menjadi pembimbing. Ada juga yang ingat saya ini lepasan MPR, sedangkan saya hanya tahu tentang MPR ini baru tahun lepas. Cuma saya fikir juga ‘apa lebihnya masuk MPR?’

Beberapa sahabat saya di PENA adalah alumni MPR, antaranya Lutfi Ishak, Ridzuan Harun dan Hj Shamsudin Othman. Tidak saya lihat mereka berkelompok seperti didakwa orang, bahawa MPR ini suka berkelompok. Cuma dakwa-dakwi itu lebih tertumpu kepada pucuk dan tunas yang baru beranting dan berdahan.

Dalam kalangan penulis muda pun ramai juga yang menjadi kawan, contohnya Nasriah Abdul Salam dan Hani Salwah. Dan beberapa orang lagi yang sekadar kenalan. Saya rasa bertuah berkenalan dengan mereka, dan tidak pula merasakan semangat asabiyah MPR menyelubungi mereka. Entahlah.

Ketika Perhimpunan Penulis Muda Nasional di Melaka, Mac tahun lalu. Saya berada paling dekat dengan mikrofon, di mana suara lantang membalas kritikan panelis di pentas yang ‘menghentam’ MPR. Saya rasa, itulah suasana yang paling hangat semasa perhimpunan itu. Tapi, panelis dan penulis muda yang membalas kritikan kedua-duanya kawan saya. Jadi saya berkecuali dalam isu tersebut dan tidak mahu mengulas apa-apa demi menjaga diri saya dari menjadi mangsa seterusnya. Hehe.

4 ulasan:

Nazmi Yaakub berkata...

hehehe.. jadi org tengah.. mcm sebahagian para sahabat yg berkecuali dlm kes aisyah dengan ali :)

Hasmora berkata...

jadi orang tepi sajalah.. sekadar mendengar..eheh.. menyampu kan serba tak kena..haha

benuasuluk berkata...

syeikh,
ya, ana mpr. tapi ana bukan orang dalam PENA. Ana hanya suka berkawan-kawan saja. Ana bukan ajk PENA, hatta bukan ahli PENA pun. Ana 'ahli tidak bersekutu' PENA saja. Dah ana suka berkawan nak buat lagu mana?
:)

Hasmora berkata...

ooo.. kalu gitu orang tepi-tepilah.. takpa kita kawan dgn semua.. tak elok cari musuh.. hehe

Myblogloglaq