Jumaat, Mac 13, 2009

JIKA BAHASA ITU JIWA BANGSA

Kau lukis pelangi di dada langit
sedang tanganku patah
tatkala menulis cinta di kanvas air
dan segala manusia derita
tatkala sang penguasa membunuh jiwa
dalam dada cerita mereka
yang cuba dilakar
dengan dada terbakar.

Kau larik cinta pada emas
aku hanya mampu mengukir sayang
pada kayu lantai usang
sedang mereka berjuang
dengan mata jerih-pedih
demi halkum bangsa
bakal diwarisi anak masa depan
entah kau aku dan mereka
masihkah ada lagi.

Jika bahasa itu jiwa bangsa
maka kau bunuhlah bahasa itu
hantarkanlah algojo juak derhaka
apa kami marhaen kerdil hina ini mampu
bersuara pun kau lihat kami seperti manusia bisu.

Jika bahasa itu jiwa mana-mana bangsapun
kurasakan bangsaku nanti akan lenyap
kerana jiwanya terus disakiti
oleh pemimpin yang sungguh berani
berlagak Tuah sepertinya dia
begitu sayangkan bahasanya
entahkan terkentut pun dia menyebut
opss.. i am sorry!

Setelah kini namanya Malaysia
kini patutlah siapapun yang jadi pejuang bahasa
harus berasa bimbang biarpun sedikit
kata-kata Tuah mungkin hanya
menjadi mitos semata.

HASMORA MASNURI
Taman Bukit Angkasa


2 ulasan:

Pyanhabib berkata...

ops! tumpang lalu...
dan tumpang senyum.

Hasmora berkata...

sila lalu tuan.. sila sila..hehe

Myblogloglaq