Ahad, September 14, 2008

Hadiah Ramadhan - Untukku

Alhamdulillah, Dewan Sastera edisi September menyiarkan karya yang saya nukilkan dan hantar lewat Mei yang lalu. Meski saya sedari karya ini disiarkan dalam bahagian puisi Tunas Cipta pada minggu lepas, namun baru rasa hendak muatkan di blog yang tak seberapanya ini. Saya sedari karya ini disiarkan setelah menziarahi sahabat yang juga orang sastera - Mohd Zamzuri Mustapha, pemenang tempat kedua Akademi Sastera yang baru saja berlalu. Kebetulan pula bulan ini saya lupa hendak membeli Dewan Sastera pada awal bulan. Jadi lambatlah sikit tahunya...

Puisi ini saya hasilkan tatkala menemani Kapten Peter Dunggi menghantar isterinya ke Hentian Puduraya - selepas subuh. Isterinya ingin ke Melaka untuk selesaikan urusan apa entah. Kapten Peter pula baru lagi pindahkan anak isteri dan rumahnya sekali ke Kuala Lumpur, maka jalan ke Pudu dia tak biasa. Ketika ini waktu latihan. Jadi bila dia ajak saya temankan dia awal-awal pagi maka satu kesempatan bagi saya kerana tidak perlu baris pagi untuk melapor. Haha... ramai kawan-kawan ingat saya sengaja 'menuang' tapi hakikatnya ini juga satu arahan - menguji kejujuran dan kesetiaan kepada pemimpin. Kapten Peter adalah pegawai latih baru menggantikan Kapten Mazalan yang membimbing Siri ke-27 sejak peringkat satu. Kapten Peter mengambil alih pertengahan semester kedua Intermediate @ tahun dua.

Hampir setengah jam saya menulis bait-bait puisi ini ketika menunggu dalam kereta. Kapten Peter menghantar isterinya di terminal. Mujur semasa ilham datang saya bawa bersama buku catatan. Pagi itu tulis, pagi itu juga siap. Tak edit-edit lagi dah. Balik latihan malam tu taip, beberapa hari lepas tu hantar. Beberapa bulan selepas tu - bulan ini, terbit dalam sisipan Tunas Cipta - Dewan Sastera. Ini adalah puisi ketiga terbit dalam Dewan Sastera sejak puisi pertama disiarkan bulan Mei tahun lepas. Satu kepuasan bagi saya apabila karya terbit dalam majalah atau akhbar. Sebagai penulis muda yang baru bertatih dalam lapangan sastera, banyak lagi yang perlu belajar dan tidak boleh patah semangat meski banyak karya yang dihantar menjadi kertas lapik sahaja. Mungkin karya tidak begitu bermutu dan menuntut saya menulis dengan lebih gigih dan memerlukan saya menambah pembacaan. Setakat ini hanya puisi yang saya hantar. Dua buah cerpen hanya menunggu masa yang sesuai untuk dihantar. Lagipun printer sedang dalam kerosakan sekarang.. uhuuuu....

Ini adalah hadiah yang kecil. Saya mengharapkan sebuah hadiah yang lebih besar... Apa ye... entahlah. Hanya Tuhan Yang Maha Tahu!


Lebuh Kehidupan

Sudah lumrah manusia banyak
bertungkus lumus untuk hidup
namun tidak bersedia, untuk mati.

Di lebuh kehidupan ini
sarat dengan manusia
dengan keinginan bertali arus
mengejar segenggam fulus
yang beterbangan di udara hangus
demi kesinambungan hidup
sesuap nasi anak isteri
atau hanya sekadar
melibur diri-sendiri.

Di jalan dunia yang luas dan lurus
belum menjanjikan akan tiba destinasi
di jalan sempit dan berliku
ramai pula yang kecundang
kerana lelah yang menyelirat
diracuni nafsu amarah.

Jejak yang menapak
ikhlaskanlah diri
demi redha ilahi.


Hasbullah Haji Mohamed
Hentian Puduraya
22 Mei 2008, 6.25 pagi.

1 ulasan:

Ki Kiey berkata...

terhibur baca sajak ini:]

teruskan usaha anda:]

Myblogloglaq