Sabtu, April 19, 2008

Maaasyarakat.... oo... maaasyarakat...

Sebagai bacaan selingan minggu ulangkaji, saya meminjam Mastika edisi Februari 2008 sahabat saya, Wan Rahman. Saya terus membuka, dan membaca cerita seorang ibu muda yang menyatakan kekesalannya terhadap masyarakat yang memandang serong kematian anaknya. Anaknya dituduh mati selepas meniru lagak spiderman berlagak di landasan keretapi semata-mata anaknya mati dalam pakaian spiderman. Sungguh naif masyarakat kita membuat hipotesis melulu tanpa ada satu kajian dan langsung tidak bersikap adil serta prihatin atas kedukaan seorang ibu muda yang kehilangan anak sulungnya.

Bacaan saya beralih kepada sebuah tajuk ‘Untuk Seorang Manusia Cacat’ dalam ruangan ‘Kenapa Saya Berkerusi Roda?’ ditulis oleh Anthoni Thanasayan. Memang menyedihkan, masyarakat kita masih ada bersikap naif. Sebuah masyarakat yang dikatakan semakin maju ke hadapan dari segi kebendaan dan pembangunan tetapi budi, akhlak dan adab amat menyedihkan.

Dalam sebuah retorik yang digembar-gembur bahawa masyarakat Malaysia adalah sebuah negara yang rakyatnya prihatin, mesra, saksama dan semua sikap positif dijaja, rupa-rupanya masih banyak indah khabar dari rupa. Orang Kurang Upaya masih tidak dilayan dengan adil dan saksama. OKU masih tidak diberi khidmat masyarakat yang selayaknya. Lagikan Jabatan Kebajikan Masyarakat masih memberi diskriminasi kepada OKU apatah lagi masyarakat kini yang semakin tandus budi akhlak dan nilai ilmu.

Saya memetik tulisan Anthoni yang mengatakan bahawa apabila ada anak muda OKU yang telah pergi ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk meminta bantuan OKU RM 200 sebulan namun dengan mudah ditolak oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat atas alasan bantuan hanya untuk golongan OKU yang bekerja sahaja. Jadi yang tidak mampu bekerja hendak makan apa? Bahkan setelah diberi peluang dan pemuda itu bekerja dengan menjual tisu muka pun tidak bertahan lama kerana dihalau lantaran pekerjaannya mengganggu pandangan orang kaya dan bisnes pasaraya. Pekerjaan itu sahaja yang termampu dia buat lantaran kekakuannya dan hanya mampu menggerakkan sebatang jari sahaja tetapi dihalang juga!

Ironisnya Anthoni menyebut apabila mereka membuat demontrasi di hadapan bangunan PBT kerana tidak berpuas hati dengan tindakan PBT menyita perniagaan sahabat mereka atas alasan tidak mempunyai permit perniagaan, mereka diminta oleh seorang pegawai tertinggi PBT supaya naik ketingkat sembilan untuk menyerahkan memorandum. Bayangkan apabila seorang manusia sihat dan sempurna serta berpangkat dan bergaji ‘tinggi’ menyuruh 50 orang manusia cacat- yang bertongkat kerana buta, berkerusi roda, tempang dan sebagainya supaya naik mengadapnya di tingkat 9! Betapa angkuhnya manusia, lebih dari seorang raja. Bahkan lebih mangkuk dari mangkuk itu sendiri!

Anthoni membawa pula contoh lain masyarakat, manusia yang sebaliknya. Ketika beliau singgah di khidmat pelanggan nokia di Plaza Berjaya, Kuala Lumpur untuk mengambil telefonnya yang dibaiki. Seorang lelaki 40-an turun dari tingkat 13 dan pergi ke kereta Anthoni untuk menyerahkan telefon beliau dan beberapa helai kertas untuk ditandangani diiringi dengan sebuah senyuman manis yang ikhlas. Beliau adalah Peter Teoh, pengurus kanan pusat khidmat pelanggan di syarikat itu! Betapa ironisnya.

Semakin bijak pandai seorang manusia pada zaman ini belum tentu lagi mereka semakin bijaksana dalam tindak-tanduknya. Mungkin kerana kesenangan yang dikecapi dan suasana negara yang ‘selesa’ menyebabkan sesetengah golongan manusia yang mengejar kemewahan dunia dan nikmat sementara lupa bahawa dunia ini hanya ujian Yang Maha Esa. Mereka tidak sedar bahawa golongan kurang upaya yang wujud hanyalah sebahagian daripada ujian juga. Sesiapa yang mampu menghadapi dan melayan mereka dengan sepatutnya adalah bonus akhirat bagi mereka!

-teringat kepada Abang Mat yang cacat sejak kecil dan berusia 50 tahun kurang lebih, kini dijaga Mak Teh sekeluarga, emak saudara yang dengan sabar dan tabah menjaga Abang Mat setelah pemergian ibunya, Mak Ngoh lebih sedekad lalu. Mak Teh sudah tidak bergilir menjaga Abang Mat dengan Pak Da Deraman saya rasa selepas pemergian Mak Da Setawa. Juga amat merindui arwah Siti Aisyah yang ditakdirkan down sindrom, adik kesayanganku yang dijemput Tuhan ketika berusia 2 tahun kerana penyakit jantung berlubang, ibu selalu sayu dan menitis air mata tatkala teringatkannya. (saya pun menitis tatkala menyatakan hal ini. Al-Fatihah.)

Tiada ulasan:

Myblogloglaq