Memaparkan catatan dengan label Masyarakat Kita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Masyarakat Kita. Papar semua catatan

Rabu, Jun 08, 2011

Kerbaukah ter-Persona

kawe eksiden denge kuba, alhamdulillah kawe denge kuba sehat.. persona ja hok berat!

di sini sungguh 1Malaysia
lembu, kerbau, kambing dan kuda
semuanya boleh berada di atas jalanraya
kerana tuan mereka seperti akalnya tiada
tidak bertambat, melepaskan begitu sahaja

akhirnya giliran saya tiba jua
apabila seekor anak kerbau muda
yang sedang gila-gila remaja
terpesona dengan Persona saya
lalu menghadiahkan kalungan bunga
dari semak yang diambil dengan tanduknya
sambil membuat saya rugilah juga
kalau tidak seringgit beribu tu ada
benar saya tuntut insuran
tapi kena paham yang tersirat
insuran kan naik bila saya nak bayar nanti
itulah kerja manusia hari ini
tak dapat hidup kalau tak menipu

inilah yang orang politik kena buat
bikin peraturan baru di Kota Belud
nak tunggu ada orang mati langgar kerbau ke
kalau kerbau mati pun dah dikira rugi
kalau lembu, kuda mati pun juga rugi
tapi lebih baik dari orang yang mati
lebih baik dari tuan kereta yang rugi
ini tidak, tuan kerbau lembu tak pernah rugi
sebab pakat-pakat taknak mengaku

inilah ujianMu ya Allah
ku redha, kuterima...


inilah kerbau yg terbang tiba2 landing atas jalan, tiada apa2 sihat walafiat lagi dia

ada kalungan bunga yg tiada bunga.. terima kasih wahai kerbau

kereta saya kena kerbau, tapi kereta sebelah yg mengelak masuk gaung.. yg banyak kereta nun tengok yg masuk gaung la tu.. alhamdulillah semua selamat.. cuma cedera ringan

Isnin, Mei 30, 2011

yang penting nawaitu

- sesungguhnya setiap amalan mestilah dengan niat, kerana setiap perkara yg dilakukan dinilai berdasarkan niatnya. (Muhammad SAW)

apabila menguruskan peserta kadet polis untuk perkhemahan kedua saya di sekolah saya bertugas, sekali lagi saya terasa 'tergores hati' dgn beberapa perkara yg tidak perlu saya jelaskan di sini kerana bimbang ada yg lain bukan sekadar 'tergores hati'. meski blog ini tempat saya melepaskan rasa tapi bukan rasa tidak puas hati kpd orang yg bermain setiap hari dgn saya di tempat saya berjalan dan berlari..

kerana itu saya perbetuli niat, apa yg saya lakukan ini hanyalah kerana Allah, bukan kerana sesiapa. saya sudah terbiasa dgn masalah lebih kurang sama sejak terlibat dgn unit beruniform ini. sejak di sekolah menengah, masuk alam askar wataniah sehinggalah ke pasukan PALAPES semasa di UM.

masih banyak yg perlu kita perbaik demi keharmonian hidup di masa akan datang insyaAllah.. buat para pelajar, perbetulkan niat anda, apakah tujuan anda berkecimpung dlm ko-kurikulum, hendak cari glamor atau ambil kesempatan atau saja-saja masuk sbb boring di rumah saja-saja duduk.. bah, halatuju kamu sendiri tentukan!

Khamis, Mac 17, 2011

Dialog Orang Muda Mac 2011

Hati berbunga-bunga kembang kuncup mahu pergi, tapi kerana tiket belon sekarang mahal, susah pula tinggal anak bini di Sabah, cukup la rasanya tengok poster lawa ni. Encik Naga buat ni.. syabbash betteyy..

Interlok masih bergelut nyawa (nota kecil buat Uthaya Sankar SB)

Rupa-rupanya Interlok masih bergelut nyawa. Ingatkan dah selamat kena sembelih dah. Namun kemelut pindaan ini masih dalam proses. Cuba klik pautan ke Malaysiakini di sini.

Memang lapan panel tumbang dan tiga ahli India tarik diri, tapi apakah orang India akan berputus asa selagi Interlok belum selesai dipinda. Uthaya Sankar SB (sendirian berhad ke special branch tak tahu la) adalah orang kuat mewakili kaum India setakat ini. Dia berhak kecewa dan terasa dikhianati. Namun 100 pindaan kepada novel Interlok memang melampau!

Kata Nazmi Yaakob ketika memautkan artikel Malaysiakini dalam facebook "Cuba buat 100 pindaan dalam karya penulis seorang itu pula, tengok macam mana!"

Uthaya Sankar ini pernah mengagumkan sesetengah rakyat Malaysia dengan kebolehan bercakap dan menulis Bahasa Melayu dengan begitu baik. Namun kami orang Melayu sebenarnya tidak suka saudara menggunakan bahasa kami untuk melukai hati kami sebegini rupa. Kami tidak rela.

Memang 'Interlok' bukanlah satu bahagian atau frasa dalam perlembagaan negara apatah lagi sebuah kitab agama. Namun ia adalah karya yang terbit dari tangan seorang Sasterawan Negara. Menjamah karya SN bermakna anda menjamah gelaran yang diberikan oleh Yang Dipertuan Agung. Persoalannya siapa anda untuk berbuat demikian?

Di kala majoriti penulis Melayu yang menjadi rakan anda sebelum ini berjuang mempertahankan maruah sebuah karya SN, anda berada di posisi penyerang bersama-sama mereka yang rakus menyerang. Lalu di manakah saudara di hati kami?

Oh ya Saudara Uthaya, izikan saya meminda sepuluh perkataan dalam novel saudara... boleh?

Rabu, Februari 16, 2011

Makan.. makan

hari ni post kedua kategori memetik status facebook yang mengancam selepas status Dr Abu Hasan Hasbullah aka Hassan Hayastani. Kerana dalam facebook sebenarnya banyak kata-kata yang bagus dari cerdik pandai yang tidak diindahkan dalam media arus perdana.

Saya terusik dengan kata-kata seorang yg menggelar diri Alykallam Yaakob

Berkatalah orang-orang ini
Si miskin : apa kita nak makan?
Si mewah : di mana kita nak makan ?
Orang Politik : Siapa kita nak makan ?
pada 25hb Januari pukul 8.20 ptg ·

Ini bukan satu lelucon biasa. Hebat kata-katanya. Kata-kata ini adalah komen kepada gambar facebook Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan bertajuk 'Peristiwa 1.1.11.00.01'


Peristiwa 1.1.11.00.01

Orang kaya suka bermain bunga api;
Bunga api dibeli dengan banyak duit.
Membakar bunga api itu membakar banyak duit;
Dari mana orang kaya dapat banyak duit?
Daripada menjual balak atas bukit!

Kata Cucunda saya Farhan berkata, saja-saja bakar duit!

Sama-sama kita fikirkan dan selamat beramal.

Selasa, Februari 08, 2011

Apabila jadi pe-tua



maka apabila pe-tua (pemimpin tua) berjuang demi memboroikan lagi perut anak bini dan kroni, mereka mesti berundur sebelum mereka diperlakukan seperti rakyat Mesir meluahkan lahar nanah kemarahan kepada Hosni Mubarok.. kebangkitan anak muda ibarat bangkitnya pahlawan dulu kala..cuma kini pedang menjadi perkataan.. Allahu akbar..

kenapa?

kerana kita ini hanyalah manusia biasa, tentu sekali bukan dewa.. dan dewa apakah bukan sekadar istilah kuno yang menjadi mitos yang belum tentu lagi kebenarannya?

Tun M pun pernah berkata 'Melayu Mudah Lupa'.. bahkan sebenarnya Manusia pun mudah lupa tuan. Ma = apa atau benda, nusia = keterlupaan, pelupa, diterlupakan.. manusia bukan perkataan asal bahasa Melayu, tetapi pinjaman bahasa Arab seperti banyak perkataan lain yang tak mungkin kita akan pulangkan. entah sejak bila kita pinjam dan tidak pernah ada tarikh mesti dipulangkan semula.

Oh ya, Melayu mudah lupa? bukan Malaysia? dua istilah ini menjadi isu atau polemik yang belum selesai dalam dunia persuratan Melayu. ramai sarjana persuratan Melayu tidak setuju penggunaan istilah Bahasa Malaysia, tapi pemimpin-pemimpin nan tua itu lebih suka menggunakannya kerana semangat 1Malaysia-nya. Ah, bahasa pun bila dipolitikkan akan juga menjadi tahik...

Satu persoalan ingin saya lontarkan semoga menjadi titik tolak anjakan paradigma seterusnya memacu perubahan negara (kalau ia mampulah);

"masihkan kita ingin meletakkan masa depan nan jauh kepada pemimpin tua yang mementingkan diri sendiri dan kroni?"

kerana kita dikurniakan akal, fikirlah sewajarnya supaya tidak menjadi golongan yang rugi di kemudian hari..

kenyataan tetap kenyataan, ia takkan dapat diubah dalam pembohongan dan putarbelit maha dasyat sekalipun!

Ahad, Mei 16, 2010

facebook, israel dan bangsa yahudi

(dan mereka tidak berhak mendapat huruf besar untuk nama mereka)

Apabila meneliti betul-betul warna logo facebook dan melihat pula lambang atau bendera israel, saya perasan persamaan warnanya. Biru dan putih.

facebook diasaskan oleh mark zuckerberg, kelahiran yahudi-amerika dan pelajar gagalan Unviversiti Harvard. Perangainya memang israel. Curi profile pelajar dengan godam komputer maklumat pusat tempat dia belajar.


dan di bawah ini, bendera israel, yahudi laknatullah .. warna biru dan putih. Entah melambangkan apa, mungkin kesucian dan keluasan (langit dan laut), maklumlah yahudi kan ingat bangsa depa tu suci, alah bangsa nabi-nabi. Kalau kawan saya masih tertanya-tanya kenapalah facebook warnanya begitu ringkas, hah inilah jawapannya..


saya meneliti beberapa web dan blog, antaranya bestnya.com dan Mazidul Akmal Sidek yang kompelin berasap tentang facebook. Gambar-gambar ini saya kutip dalam web merata-riti, beberapa gambar yang saya ambil cuma dua saja ditampal di sini. Tak boleh letak banyak-banyak, kasi suwey saja.

Tentang facebook, terpulang kepada anda sama ada hendak teruskan atau padamkan akaun anda. Tapi bagi saya, sekadar anda guna untuk berhubung dengan rakan taulan dan berkongsi idea serta maklumat, tidaklah menyumbang dana kepada yahudi kecuali anda buat iklan dalam tu. Kalau anda sekadar menyumbang beberapa sen (mungkin tanpa anda sedari) kepada produk yahudi contohnya starbuck atau kfc dan sebagainya, usahlah anda gusar dan bimbang sangat kerana ada orang yang tak kisah memberi beberapa juta (77 juta contohnya) kepada yahudi hanya untuk sedikit nasihat contohnya.

Anda boleh layari web onejerusalem untuk melihat wajah 1Israel.

Sekian, terima kasih.

Selasa, Jun 02, 2009

Kugiran Kenduri Kahwin Taman Bukit Angkasa

Setahun sudah saya mendiami Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam. Sudah bermacam rencam-rencana saya lalui. Namun, setakat ini tidaklah saya lihat ia semakin baik.

Ahad lepas ada kenduri kahwin atas jalan masuk ke blok 21. Tepatnya blok 19. Seperti lumrah berlaku di mana-mana di taman perumahan di Kuala Lumpur, bila buat atas jalan maka akan mengganggu lalu-lintas. Namun bukan soal lalu-lintas yang mengganggu nurani saya. Tapi perkara yang bagi saya tidak diperlukan dan membazir – kugiran alias hiburan. Bahkan kerana hiburan seumpama inilah yang mengklasifikasikan walimatul urus yang digalakkan oleh Islam daripada harus menjadi haram.

Sebelah siang saya lihat kumpulan gila hiburan (kugiran) hanyalah sekadar biasa. Itupun sebab saya sekadar lalu. Tak pernah saya bertandang tumpang makan kalau ada kenduri. Orang tak ajak takkan nak pergi. Sebelah malamnya amatlah mengecewakan saya. Bercampur lelaki perempuan berdansa diiring lagu kugiran. Jelas nampak kelihatan walaupun hanya sekadar lalu. Saya yang pulang dari rumah kawan yang buat majlis solat hajat dan bercukur hanya mampu menggeleng dan berkata-kata kecewa sesama kawan yang bawa motor. Ingatkan nak ambil video atau gambar. Tapi tak jadi memikirkan ada risiko jika buat begitu dengan pakaian baju melayu dan kopiah. Ah... Belum berubah lagi rupanya masyarakat kita.

Patutlah tak ramai orang kat surau. Rupanya ramai manusia yang macam ni. Nampaknya Kak Izzah Anwar selaku AP Lembah Pantai kena ambil pendekatan merubah fenomena begini paling tidak kawasan Taman Bukit Angkasa yang didiami oleh kebanyakan mahasiswa Universiti Malaya. Memanglah mahasiswa pun ramai yang spesis tak sedar diri, sama ada yang tinggal di dalam atau di luar. Sekurang-kurangnya beliau sebagai orang kuat Pakatan Rakyat yang mewakili Lembah Pantai di parlimen menjadi contoh dan menangkis tanggapan sesetengah orang yang pesimis melihat kemampuan AP muda menewaskan Kak Jat PRU lalu. Golongan muda memang memerlukan contoh dalam kalangan muda sebagai tauladan.

Ini hanyalah catatan kecil dari insan kerdil. Politik kepartian bukan bidang saya. Tapi tidak semestinya berpolitik hanya di atas landasan kepartian. Dan landasan politik perlu untuk berdakwah kepada masyarakat seumpama ini kerana dakwah melalui contoh tauladan pemimpin mudah dan cepat berkesan berbanding penceramah dan pendakwah di televisyen yang hanya dilihat kaki masjid. Kaki liburan tentunya cepat-cepat alih siaran hiburan. Kan banyak siaran tv kita sekarang ni. Macam-macam ada.. tepuk dada tanya iman laa..

Ahad, Februari 08, 2009

Beberapa catatan Jumaat lalu

Pagi-pagi; kuliah Pendidikan Islam di Malaysia. Sebahagian mukaddimah telah saya ceritakan di bawah ini. Selepas sesi perbincangan politikkatak Perak, pembentangan kumpulan pertama. Tajuknya Institusi Pengajian Pondok di Malaysia. Banyak perkara baru tentang pondok di Malaysia saya baru tahu. Cuma saya tak angkat tangan mengaku pernah belajar di pondok. Salah satu sebabnya ialah saya bukan sepenuh masa. Malah orang Kelate kata cerelang cerelup. Maksudnya kadang-kadang pergi kadang-kadang tak. Menariknya ialah Ustaz Rahimi pun pernah bekerja di Pusat Pembangunan Pondok Berhad sebagai pendaftar selama 8 bulan sebelum sambung pengajian di UIAM.

Tengahari; macam biasa ke Masjid Ar-Rahman. Sebelum tu pekena nasi lauk gulai kambing di Akademi Islam. Sekarang untuk mengelak mengantuk saya mencatat isi-isi penting khutbah. Angin panas meruap selalu menyerang saraf dan meransang kantuk. Kalau tak tidur pun kadang-kadang otak merata merayapnya. Lepas jumaat lupa dah khatib cakap apa. Kan baik catat. Lagipun sebagai bahan untuk mengisi blog assignment saya yang sudah sunyi sepi tanpa pengunjung. Minggu ni tajuknya 'Keliru Minda'. Kelirunya akal waras apabila manusia mengguna akal tanpa merujuk syariat Allah Taala. Maka berlakulah syirik dan khurafat.

Lepas jumaat; bertemu Abang Din, menantu Pok Teh - jiran saya. Jarang-jarang bertemu di Kuala Lumpur. Makan keropok dan minum bersama, seadanya. Apalah yang ada sangat pada pasar jumaat Ar-Rahman. Sebetulnya macam pasar malam pun ada. Tapi tulah, ramai pulak yang lagho tak mengutamakan jumaat. Sebelum jumaat dah hurung gerai, lepas jumaat tak apelah. Tapi belum baca al-Fatihah dah bangun keluar, sudahlah datang lewat. Tak boleh nak tunggu Imam baca doa sekejap.

Balik ke rumah buka tv. Alahai hampeh.. rancangan khas politik Perak. Politikkatak dan politikkambing, ting ting ting menenting.. Mual tengok ulasan. Ah..malaslah ulas pasal katak dan kambing ni banyak-banyak. Baik layan penat dan berehat. Membuta sekejap. huh... kan nikmat.

Petang; setelah menyanggupi penggantian seorang sahabat untuk mengajar Emil di Subang maka untuk kesekian kalinya saya gagahkan diri meredah hujan petang yang mampir setiap hari. Tapi kan Tuhan dah kata - Aku turunkan hujan! Itulah antara kata nasihat arwah Wok kepada saya dulu. Guru al-Quran tersohor Kedai Baru. Kebanyakan pemuda-pemudi berhampiran rumah berguru dengan arwah. Selalu saja saya terima pujian isterinya dan hampir saja saya dijadikan anak angkat mereka! Cuma saya segan dan menolak dengan baik. Adakah saya boleh dinobatkan sebagai pelajar terbaiknya? Entahlah... tak penting semua itu sebenarnya.. Sekarang, Mak saya pula mengambil alih tugas Wok dan Pakdo Deraman yang sudah uzur. Cuma beza saya dan mereka ialah mereka menanti di rumah dan anak murid datang mengadap - percuma. Hanya kebiasaan ibubapa beri hadiah seumpama gula atau susu lemak manis. Saya di ibukota pula harus meredah arus deras kereta dan banyak kenderaan lain yang sedang menghambat dunia untuk ke rumah pelajar. Dan perkhidmatan saya itu dibayar perjam!

Maghrib; ke ar-Rahman lagi. Petang dapat mesej dari al-Hazizi, ceramah Ustaz Azhar Yaakub. Menyelerakan ceramahnya. Oleh kerana isu Perak masih panas dan meruap maka banyak juga disentuhnya. Adalah 20 minit. Lepas tu baru masuk tajuk. Yang menarik saya boleh kongsi ialah 3 perkara pelik orang Malaysia menurut satu kajian. Tak sempat catat kajian siapa.
pertama - paling kerap makan. 6 kali sehari. Apa tidak, macam-macam makanan ada.
kedua - paling banyak forward sms. SMS berangkai. Padahal ia adalah helah syarikat untuk menguntungkan mereka.
ketiga - paling kuat berpolitik. Kadang-kadang berpolitik sampai mengabaikan apa yang sepatutnya diberikan kepada rakyat.

Selepas isyak; ke Malam amal Deklamasi Puisi Palestin DBP. Lebih kurang macam tu lah bunyinya. Tak berapa pasti dah tajuk sebenarnya. Tapi tu lah, tren sekarang masyarakat sastera menganjurkan Majlis Puisi mengutip derma untuk tabung Palestin. Bagus daripada satu sudut. Yang tak bagusnya bercampur aduk segala macam perkara. Nak geleng pun buat sakit leher je.. sabar je lah. Kak Aisyah malam tu adalah kemuncaknya. Meskipun bertudung litup tapi dia masih gagal menjaga aurat suaranya. Dato' Siti lagilah. Dia berjaya bertudung tapi aurat jambulnya tetap terdedah. Kak Masyitah tak tegurpun, saya pulak lebih-lebih. Apa la ustaz nih, ijazah pun tak habis lagi. Hoi... jadinya Tuhan tengok ijazah la ye... Subhanallah enti. Sabar je lah ana..huhu..

Malam hitam langit kelam suram. Metropolitan tetap terang benderang menyuluh bumi muram. Jalan-jalan liku arus deras terkadang merisaukanku yang hanya bermotor cabuk lagi perlahan. Hati risau galau kacau. Bimbang sebelum ke negeri abadi jauh sana bekalan tidak mencukupi. Ya Rabbi, hanya Engkaulah yang tahu isi hati ini.

Sabtu, Januari 31, 2009

Bukanlah kupinta

Petang tadi, saya ke kedai sayur. Beli daun limau purut. Kalau di kampung harus dapat percuma di pohon sendiri. Seorang lelaki yang masih budak turut datang membeli, seekor ikan. Tutur bicara budak ini dengan penjual seakan senada. Tukang jual bukan rakyat Malaysia. Tak cerah macam saya juga. Tapi rasanya saya taklah segelap dia. Rasa sayalah. Harga seekor ikan itu RM 10.50. Budak tu hanya bawa RM10 sahaja. Budak tu minta diskaunlah kononnya. Langsung tidak dipertimbangkan. Entah apa bakhilnya manusia. Bicara berpanjangan, penjual bertanya bosnya. Bos pun tak bagi muka. Daun limau purut saya 50 sen dan saya hulurkan seringgit. Saya pun kata pada penjual - saya bayar 50 sen dia. Budak tu langsung tak tengok pun muka saya apatah lagi mengucapkan terima kasih lalu meninggalkan saya dan kedai itu begitu sahaja. Bukanlah saya minta diterima kasih, tapi sudah adab pabila orang berbudi kita berbahasa. Nampaknya masyarakat kita bukan sahaja semakin miskin bahasa malah budi juga. Kasihannya budak tu. Entah bagaimanalah ibu bapa yang mendidik dan mengasuhnya. Aduhai... maaaaasyarakat....

Sabtu, April 19, 2008

Maaasyarakat.... oo... maaasyarakat...

Sebagai bacaan selingan minggu ulangkaji, saya meminjam Mastika edisi Februari 2008 sahabat saya, Wan Rahman. Saya terus membuka, dan membaca cerita seorang ibu muda yang menyatakan kekesalannya terhadap masyarakat yang memandang serong kematian anaknya. Anaknya dituduh mati selepas meniru lagak spiderman berlagak di landasan keretapi semata-mata anaknya mati dalam pakaian spiderman. Sungguh naif masyarakat kita membuat hipotesis melulu tanpa ada satu kajian dan langsung tidak bersikap adil serta prihatin atas kedukaan seorang ibu muda yang kehilangan anak sulungnya.

Bacaan saya beralih kepada sebuah tajuk ‘Untuk Seorang Manusia Cacat’ dalam ruangan ‘Kenapa Saya Berkerusi Roda?’ ditulis oleh Anthoni Thanasayan. Memang menyedihkan, masyarakat kita masih ada bersikap naif. Sebuah masyarakat yang dikatakan semakin maju ke hadapan dari segi kebendaan dan pembangunan tetapi budi, akhlak dan adab amat menyedihkan.

Dalam sebuah retorik yang digembar-gembur bahawa masyarakat Malaysia adalah sebuah negara yang rakyatnya prihatin, mesra, saksama dan semua sikap positif dijaja, rupa-rupanya masih banyak indah khabar dari rupa. Orang Kurang Upaya masih tidak dilayan dengan adil dan saksama. OKU masih tidak diberi khidmat masyarakat yang selayaknya. Lagikan Jabatan Kebajikan Masyarakat masih memberi diskriminasi kepada OKU apatah lagi masyarakat kini yang semakin tandus budi akhlak dan nilai ilmu.

Saya memetik tulisan Anthoni yang mengatakan bahawa apabila ada anak muda OKU yang telah pergi ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk meminta bantuan OKU RM 200 sebulan namun dengan mudah ditolak oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat atas alasan bantuan hanya untuk golongan OKU yang bekerja sahaja. Jadi yang tidak mampu bekerja hendak makan apa? Bahkan setelah diberi peluang dan pemuda itu bekerja dengan menjual tisu muka pun tidak bertahan lama kerana dihalau lantaran pekerjaannya mengganggu pandangan orang kaya dan bisnes pasaraya. Pekerjaan itu sahaja yang termampu dia buat lantaran kekakuannya dan hanya mampu menggerakkan sebatang jari sahaja tetapi dihalang juga!

Ironisnya Anthoni menyebut apabila mereka membuat demontrasi di hadapan bangunan PBT kerana tidak berpuas hati dengan tindakan PBT menyita perniagaan sahabat mereka atas alasan tidak mempunyai permit perniagaan, mereka diminta oleh seorang pegawai tertinggi PBT supaya naik ketingkat sembilan untuk menyerahkan memorandum. Bayangkan apabila seorang manusia sihat dan sempurna serta berpangkat dan bergaji ‘tinggi’ menyuruh 50 orang manusia cacat- yang bertongkat kerana buta, berkerusi roda, tempang dan sebagainya supaya naik mengadapnya di tingkat 9! Betapa angkuhnya manusia, lebih dari seorang raja. Bahkan lebih mangkuk dari mangkuk itu sendiri!

Anthoni membawa pula contoh lain masyarakat, manusia yang sebaliknya. Ketika beliau singgah di khidmat pelanggan nokia di Plaza Berjaya, Kuala Lumpur untuk mengambil telefonnya yang dibaiki. Seorang lelaki 40-an turun dari tingkat 13 dan pergi ke kereta Anthoni untuk menyerahkan telefon beliau dan beberapa helai kertas untuk ditandangani diiringi dengan sebuah senyuman manis yang ikhlas. Beliau adalah Peter Teoh, pengurus kanan pusat khidmat pelanggan di syarikat itu! Betapa ironisnya.

Semakin bijak pandai seorang manusia pada zaman ini belum tentu lagi mereka semakin bijaksana dalam tindak-tanduknya. Mungkin kerana kesenangan yang dikecapi dan suasana negara yang ‘selesa’ menyebabkan sesetengah golongan manusia yang mengejar kemewahan dunia dan nikmat sementara lupa bahawa dunia ini hanya ujian Yang Maha Esa. Mereka tidak sedar bahawa golongan kurang upaya yang wujud hanyalah sebahagian daripada ujian juga. Sesiapa yang mampu menghadapi dan melayan mereka dengan sepatutnya adalah bonus akhirat bagi mereka!

-teringat kepada Abang Mat yang cacat sejak kecil dan berusia 50 tahun kurang lebih, kini dijaga Mak Teh sekeluarga, emak saudara yang dengan sabar dan tabah menjaga Abang Mat setelah pemergian ibunya, Mak Ngoh lebih sedekad lalu. Mak Teh sudah tidak bergilir menjaga Abang Mat dengan Pak Da Deraman saya rasa selepas pemergian Mak Da Setawa. Juga amat merindui arwah Siti Aisyah yang ditakdirkan down sindrom, adik kesayanganku yang dijemput Tuhan ketika berusia 2 tahun kerana penyakit jantung berlubang, ibu selalu sayu dan menitis air mata tatkala teringatkannya. (saya pun menitis tatkala menyatakan hal ini. Al-Fatihah.)

Myblogloglaq