Memaparkan catatan dengan label Siri-Siri Sabah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Siri-Siri Sabah. Papar semua catatan

Rabu, Jun 08, 2011

Kerbaukah ter-Persona

kawe eksiden denge kuba, alhamdulillah kawe denge kuba sehat.. persona ja hok berat!

di sini sungguh 1Malaysia
lembu, kerbau, kambing dan kuda
semuanya boleh berada di atas jalanraya
kerana tuan mereka seperti akalnya tiada
tidak bertambat, melepaskan begitu sahaja

akhirnya giliran saya tiba jua
apabila seekor anak kerbau muda
yang sedang gila-gila remaja
terpesona dengan Persona saya
lalu menghadiahkan kalungan bunga
dari semak yang diambil dengan tanduknya
sambil membuat saya rugilah juga
kalau tidak seringgit beribu tu ada
benar saya tuntut insuran
tapi kena paham yang tersirat
insuran kan naik bila saya nak bayar nanti
itulah kerja manusia hari ini
tak dapat hidup kalau tak menipu

inilah yang orang politik kena buat
bikin peraturan baru di Kota Belud
nak tunggu ada orang mati langgar kerbau ke
kalau kerbau mati pun dah dikira rugi
kalau lembu, kuda mati pun juga rugi
tapi lebih baik dari orang yang mati
lebih baik dari tuan kereta yang rugi
ini tidak, tuan kerbau lembu tak pernah rugi
sebab pakat-pakat taknak mengaku

inilah ujianMu ya Allah
ku redha, kuterima...


inilah kerbau yg terbang tiba2 landing atas jalan, tiada apa2 sihat walafiat lagi dia

ada kalungan bunga yg tiada bunga.. terima kasih wahai kerbau

kereta saya kena kerbau, tapi kereta sebelah yg mengelak masuk gaung.. yg banyak kereta nun tengok yg masuk gaung la tu.. alhamdulillah semua selamat.. cuma cedera ringan

Jumaat, Jun 03, 2011

Hamzah tengok lembu

Cuti dua minggu sebenarnya agak lama.. alhamdulillah, sebagai guru saya menikmati cuti sekolah ini dengan sebaiknya.

Anak saudara yg bertugas di WP Labuan datang bercuti kali ni.. tahun lepas saya ke Labuan, dan tiada apa-apa yang menarik sangat di sana. Paling-paling pergi tengok burung di Taman Burung dan akuarium yg ada dua tiga ekor ikan..

Cuti kali ni pun tidaklah banyak sangat tempat yg kami pergi.. hendak pergi ke tempat Tagal tak sempat. Pergi ke akuarium di UMS tutup pulak pada hari rabu. Jadi, pergilah kami tengok2 lembu di Desa Lembu@Sapi di Kundasang.. yg bagi kami dan kebanyakan pengunjung sudah macam New Zealand dah..
anak-cucu sedara..

suka Hamzah tengok lembu susu..

tang mana laa yg seronoknya...


Isnin, Mei 30, 2011

yang penting nawaitu

- sesungguhnya setiap amalan mestilah dengan niat, kerana setiap perkara yg dilakukan dinilai berdasarkan niatnya. (Muhammad SAW)

apabila menguruskan peserta kadet polis untuk perkhemahan kedua saya di sekolah saya bertugas, sekali lagi saya terasa 'tergores hati' dgn beberapa perkara yg tidak perlu saya jelaskan di sini kerana bimbang ada yg lain bukan sekadar 'tergores hati'. meski blog ini tempat saya melepaskan rasa tapi bukan rasa tidak puas hati kpd orang yg bermain setiap hari dgn saya di tempat saya berjalan dan berlari..

kerana itu saya perbetuli niat, apa yg saya lakukan ini hanyalah kerana Allah, bukan kerana sesiapa. saya sudah terbiasa dgn masalah lebih kurang sama sejak terlibat dgn unit beruniform ini. sejak di sekolah menengah, masuk alam askar wataniah sehinggalah ke pasukan PALAPES semasa di UM.

masih banyak yg perlu kita perbaik demi keharmonian hidup di masa akan datang insyaAllah.. buat para pelajar, perbetulkan niat anda, apakah tujuan anda berkecimpung dlm ko-kurikulum, hendak cari glamor atau ambil kesempatan atau saja-saja masuk sbb boring di rumah saja-saja duduk.. bah, halatuju kamu sendiri tentukan!

Ahad, Oktober 03, 2010

Kenduri kedua di Sabah

Tempat kedua diungguli oleh Ustajah Kasyfe Aidi, selepas Najia Izzati Kekijin.. anak Datuk rupanya dia ni.. ish..siap ada jalan bapak dia, maklum la jalan nak masuk rumah dia bah..haha

Asalnya PokLan kata Kam (Kamarul Adam) ikut sekali, tapi tak dapat pulak dia ikut atas alasan yang saya malah Pok Lan sendiri pun tak tahu. Nak kata malas, bukannya orang ajak pegi jalan kaki. Naik kereta, Persona Elegance lagi tu.. jangan 'demand' (dengan izin - kehkeh) nak naik BMW ke Merz ke, tak dapeknya.

Cuma satu yang saya kempunan dari majlis Ustajah ni, oleh-oleh.. ish tak dapat la.. geram nak ambik yang atas meja, rasa segan pulak, kang orang tengok kang malu pulak. Biar entah sapa entah tinggalkan kat meja tu. Takpalah, dapat gambar pun jadilah.

Gambar-gambar kenangan di Papar pegi bekwoh bersama Zamzuri (MRSM KK, Kinarut) Fadhlan (SK Kinabongan) dan Naim (SK apa entah lupa)


dengar-dengarnya depa ni kawan sejak sekolah, akhirnya kawin..jarang benar jumpa yang macam ni.. yang kawan masa Universiti pun entah ke mana..

Souvenir yang saya kempunan.. adeh...

Tepi sungai bah rumah dia, wow sedapnya dapat lepak kat sini petang-petang sambil pegang sebatang joran..

Jumaat, Ogos 20, 2010

Sang Singa Padang Pasir


Dulu, zaman Melayu Melaka, dikhabarkan tentera Melaka tewas perang kerana tidak dibacakan kepada mereka akan kitab Amir Hamzah, yakni kisah tentang panglima gagah berani zaman Rasulullah SAW, Saidina Hamzah r.a.

Sempena nama pahlawan gagah itulah maka saya namakan permata hati saya ini. Semoga membesar menjadi seorang pejuang yang membela agama Allah - Islam, insyaAllah.

Lahir di Hospital Likas, Kota Kinabalu pada 9 Ogos lalu, jam 4.50 petang dengan berat 2.9 kg.

Selasa, Jun 15, 2010

Pak Lang kami kawin

Dari Kota Belud ke Kg Tungou, Ranau
kami bergerak dengan kereta patriotik kami
sebuah Proton Persona hitam metalik
menuju sebuah majlis perkahwinan dua sahabat
pengantin lelaki dari Bagan Datoh, Perak
rakan juang semasa kadet di universiti
pengantin perempuan orang tempatan
rakan belajar dalam kuliah dahulu

dalam keadaan kereta patriotik baru kami
sebuah Persona sudah ada bunyi keriuk
keriuk... keriuk.. keriuukkk..
terutama melalui jalan tidak rata
kebiasaan jalan di Sabah ini
dan jalan kami lalui menuju Kg Tungou
panjang tidak beraspal

Selamat pengantin baru Pak Lang
selamat bercinta sampai syurga.



jadi kelabu persona hitam penangan jalan grabel sepanjang setengah jam ke Kg Tungou


Kebanyakan kenderaan yang berselisih ialah jenis 4WD.. sebuah 4WD terbabas tika dalam perjalanan pulang

Khamis, Februari 18, 2010

Cuti raya Cina



Cuti raya Cina, kami ‘makan angin’ la juga. Saudara saya di Kota Marudu, Ustaz Rahim dan Kak Joh ambil kami di Kota Belud. Kami ke Kota Kinabalu sebelum ke rumah mereka. Perjalanan yang agak panjang. Sebenarnya saya agak bimbang, tidak ikut nasihat Ustaz Azman dan Ustaz Safwan aka Ujang. Tapi isteri terlalu ingin makan angin, tidak hirau dia risiko terhadap kandungannya yang hampir 3 bulan.

Hari isninnya kami ke Kundasang dan Ranau-Poring. Di Kundasang beli la sikit sayur. Taklah murah sangat, tapi agak segarlah. Kemudian kami kecewa bila ke Poring, orang terlampau ramai. Sendat tersumbat tiada ruang hendak parkir,tempat mandi pun penuh. Raya Cina katakan. Kami pun ke ladang Teh Sabah. Bergambar lebih kurang kemudian balik.

Alhamdulillah setelah menikmati percutian dengan saudara dan kawan-kawan baru di Kota Marudu, isteri saya tiada apa-apa walaupun risiko perjalanan terhadapnya agak tinggi.

Isnin, Januari 25, 2010

Rindu budu

Sejenis makanan asasi dan kegemaran saya sejak kecil, budu. Tanpa budu tak lalu makan nasi. Budu penting sebagai pemecah selera dan sos pencicah ulam. Tak kira ulam apa asalkan namanya ulam semua saya bedal.

Ketika hendak datang ke Sabah, sahabat saya belakang rumah yang bertugas di Kota Marudu (tempat yang belum tentu ada budu), tak jauh dari Kota Belud, mengatakan tidak boleh bawa budu naik kapal. Agak kecewa saya mendengarnya. Tapi sepupu saya dan isterinya di Puchong Prima, Abang Di dan Kak Na mengatakan sebaliknya. Maka saya pun bawalah budu sebanyak dua botol (kecil, cap ketereh) yang diisi semula ke dalam botol air minuman seperti disyorkan Kak Na. Tidak boleh bawa dalam botol kaca, tak lepas katanya. Tapi silapnya saya tidak tambah budu yang tidak sampai setengah botol pun walaupun Kak Na tanya beberapa kali hendak berhenti beli pagi-pagi buta ketika hendak hantar saya ke KLIA. Akhirnya saya hampir putus bekalan budu walaupun sudah dicatu sebaik mungkin. Menyesal dulu kan pendapatan...

Maka saya telah sedia awal-awal, budu bikin sendiri. ikan bilis segar saya dapat di pasar Kota Belud, hanya dengan ‘mencampak’ pancing kepala agung. Duitlah. Peram dalam botol sebab tiada tempayan. Lebih kurang 3 minggu kemudian, masak dengan tambah air, campur gula dan pewarna oren merah. Wah, sekali sudah jadi macam budu kat kedai. Rasanya bolehlah tahan. Tak pernah menuntut ilmu buat budu mana-mana, hanya mengikut resepi yang ditulis dibotol budu. Mungkin sebab saya ni memang ada bakat memasak. Hehe.

Telah juga saya minta emak poskan beberapa helai pakaian saya dua minggu lepas (pakaian yang amat penting juga), dan budu saya minta poskan sekali. Lagi seminggu sampai barangkali. Bagaimanalah nasib, selamat atau tidak. Entahkan pecah dalam kotak, maknanya bau budu habislah baju tu.

Beberapa hari lepas, ketika membeli-belah di Pasaraya Gui Brothers, pasaraya paling terkenal di Kota Belud ini, terjumpa dua botol budu. Dua-duanya saya sebat. Cap Cinta Rasa. Jauh juga budu ni terbang, masuk ke dalam pasaraya di Kota Belud. Sayangnya, indah nama dari rasa. Tak begitu umph seperti Lazzah atau Ketereh. Takpalah, asalkan ada, daripada tiada langsung.

Lepas ni rasanya tak perlulah lagi merindu budu. Bekalan mentah untuk buat budu senang didapati di sini. Atau mungkin juga saya boleh jadi pembekal budu untuk kawan-kawan di Sabah ni, siapa tahu...

Selasa, Januari 19, 2010

Penukil belut ke Kota Belud



Beberapa minggu sebelum posting, saya belajar menukil belut dengan anak sepupu di Pasir Mas. Menggunakan paip berdiameter satu inci dan botol klorok, saya buat tukil belut. Inilah cara ringkas yang dibuat orang sekarang, selain masih ada yang guna buluh – untuk kelihatan tradisi, tetapi berat.

Hanya sempat menahan selama empat hari dan mendapat tiga ekor belut – sehari seekor belut sebesar ibu jari. Maka keluarlah sebaris ayat dari emak saya “Membazirlah saja batang paip aku tu..” saya menjawabnya dengan senyum temeweh... saya terpaksa mengangkat tukil belut kerana tidak sempat hendak menguruskannya dek masa banyak diperlukan untuk menyudahkan lesen kereta – yang akhirnya terpaksa menyudahkan bahagian akhir di Sabah juga.

Tidak sangka, menukil belut menjadi petunjuk kepada saya akan ditempatkan di Kota Belud. Namun nama tempat ini tidak membawa makna banyak belut, tetapi maksud belud dalam bahasa Bajau adalah bukit. Di sini memang dikelilingi bukit-bukau. Dan majoriti bumiputera di sini adalah etnik Melayu-Bajau. Tapi kebanyakan mereka yang tidak tahu salasilah keturunan tidak mengaku bahawa mereka sebenarnya adalah juga dari keturunan Melayu. Wajah-wajah orang Bajau memang saling tak tumpah seperti orang Melayu di semenanjung jua.

Gambar: Sedang bikin tukil belut daripada batang paip berdiameter 1 inci.

Rabu, Januari 06, 2010

Catatan Seminggu di bumi dakwah

Sabah adalah bumi dakwah. Ardhu al-dakwah. Begitu Ustaz Dr. Kassim Tusin jelaskan kepada kami 8 orang guru Pendidikan Islam yang baru sampai di bumi Sabah pada 30 Disember 2009 dengan satu penerbangan dari KLIA, bersama seorang pegawai pengiring dari KPM, Ustazah Farhana.

Kami 3 orang ustaz dan 5 ustazah dan dalam lapan orang kami hanya dua saja yang masih bujang iaitu dua orang junior saya di SMAP Labu dulu, Suhaimi dan Roshidi. Ketika sampai di lapangan terbang, Roshidi tanya saya “Hang perasan tak Pak Lah, kami berdua ja yang bujang..” ketika saya baru sampai juga S.M Zakir menghubungi saya untuk jemputan deklamasi sajak, tapi di Sabah saya sudah baa.. kata Abe Zakir “Pah Saboh nah demo.. baru nok ajok baco sajok..” uhuhu.. melepas saya malam baca puisi PENA-ASWARA.

Dua hari satu malam kurang lebih kami di Hotel Imperial International. Tiga sesi taklimat dan satu sesi penyerahan surat penempatan. Surat penempatan paling mendebar-debarkan kami.

Pada malamnya, selepas taklimat oleh Ustaz Kassim, beliau mengatakan beliau baru tahu bahawa saya dan Noradila suami isteri. Dan katanya telah ditetapkan sebelum ini dalam mesyuarat bahkan dalam surat pun kami jauh. Ustazah Farhana pun begitu, baru tahu ketika di KLIA. Masakan begitu, sedangkan saya telah memberi surat semasa temuduga dulu yang mengatakan kami suami isteri lengkap dengan salinan surat nikah dan borang posting isteri saya. Ustaz Kassim kata, itu silap pihak BPI-KPM, hanya dicatat di tepi nama saya dalam kurungan (telah berkahwin dengan guru pelatih DPLI). Itu yang diberi kepada mereka. Kalau dia tahu, dia takkan aniaya letak jauh-jauh. Memang saya tahu pihak BPI-KPM sudah maklum tentang perubahan status kahwin saya kerana mereka ada telefon dua minggu sebelum keluar keputusan penempatan. Kerana itulah kami suami isteri ditempatkan di negeri sama.

Mujurlah Ustaz Kassim orangnya amat baik hati. “Buat masa ni ustaz jangan bimbang. Saya akan usahakan. Saya tak sampai hati letak suami isteri jauh-jauh. Saya masih berperikemanusiaan. ” Begitulah kurang lebih kata-kata Ustaz Kassim malam itu, menenangkan hati saya yang gusar gelisah tak terkata. Masuk ke bilik terdengar esakan isteri saya. Menangis dia. Tapi saya yakin Ustaz Kassim ada jalan. Dan nyata memang sudah ketentuan Tuhan.

“Inilah penempatan yang paling sukar... kerana harus kami pertimbangkan yang sudah berkahwin.. ustazah-ustazah dekat dengan suami masing-masing..” kata Ustaz Kassim. Berat sungguh tanggungjawab beliau. Alhamdulillah, saya dan isteri di Kota Belud. Roshidi di Sandakan. Katanya satu sekolah dengan Sidek, sahabat sekelas saya di SMAP Labu. Suhaimi nun di SMK Pamol, dua jam perjalanan dari Sandakan. “Mujur ada rezeki ustaz.. kalau tak.. jauh itu ustaz dengan isteri.. asalnya ustaz di Tambunan itu..” fuhhh selamat.. kalau jauh apalah nasib. Sudahlah Puan Noradila itu mengidam mangga muda tiap hari, pulak tu mangga muda susah dapat sekarang ini.huhuhu. Ustazah-ustazah lain dapat sekolah daerah di mana suami masing-masing berada cuma tidak tahu dekat atau jauh.. yang penting satu daerah..

Kerana tiada rumah sewa di Kota Belud yang makin padat tapi kekurangan perumahan, maka kami menginap di rumah tamu SMK Pekan II, sekolah Noradila Musa berbakti. Saya ke SMK Arsyad menggunakan motosikal ihsan Ustaz Fairuz atau lebih dikenali dengan Apai, menantu kepada pengetua saya, Puan Latifah. Saya tidak pasti berapa kilometer antara SMK Pekan II dengan SMK Arsyad, tapi kalau dengan motosikal dalam 10 minit saja. Jika dengan kereta rasanya 20 ke 30 juga. Maklumlah, terpaksa melalui bulatan demi bulatan Pekan Kota Belud yang agak sibuk lagak Kuala Lumpur gayanya.

Ketika melapor di SMK Arsyad, saya dihantar oleh pemandu teksi yang hanya mahu dikenali sebagai Mat. Abang Mat saya panggil. Mesra orangnya. Anak buah Ustaz Sabli, pegawai SPIM-JPS yang membantu mendapatkan kereta sewa yang berpatutan. Dan memang Abang Mat tak ambil lebih dari yang dijanjinya dengan Ustaz Sabli. RM 20 sahaja satu kepala. Sekali dengan beg bagasi yang berat amat ito. Tak tertidur saya dalam perjalanan ke Kota Belud yang makan masa tak kurang satu jam setengah dari KK. Tapi isteri saya lena saja sepanjang perjalanan. Banyak modal berbualnya, kalah saya. Dia juga mempelawa saya ke rumahnya kalau kelapangan.

Selama seminggu di Sabah, mendapat sekolah yang baik bahkan boleh dikatakan terbaik di Kota Belud ini, saya berasa sangat beruntung dan bertuah. Dan saya mungkin tidak akan dapat di mana-mana nama jalan dengan nama sendiri kecuali di Kota Belud, seperti di bawah ini. Hehehe...


Ada dua papan tanda ini di Kota Belud, ejaannya bercirikan tempatan baa...



Myblogloglaq