Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan

Khamis, Mac 17, 2011

Interlok masih bergelut nyawa (nota kecil buat Uthaya Sankar SB)

Rupa-rupanya Interlok masih bergelut nyawa. Ingatkan dah selamat kena sembelih dah. Namun kemelut pindaan ini masih dalam proses. Cuba klik pautan ke Malaysiakini di sini.

Memang lapan panel tumbang dan tiga ahli India tarik diri, tapi apakah orang India akan berputus asa selagi Interlok belum selesai dipinda. Uthaya Sankar SB (sendirian berhad ke special branch tak tahu la) adalah orang kuat mewakili kaum India setakat ini. Dia berhak kecewa dan terasa dikhianati. Namun 100 pindaan kepada novel Interlok memang melampau!

Kata Nazmi Yaakob ketika memautkan artikel Malaysiakini dalam facebook "Cuba buat 100 pindaan dalam karya penulis seorang itu pula, tengok macam mana!"

Uthaya Sankar ini pernah mengagumkan sesetengah rakyat Malaysia dengan kebolehan bercakap dan menulis Bahasa Melayu dengan begitu baik. Namun kami orang Melayu sebenarnya tidak suka saudara menggunakan bahasa kami untuk melukai hati kami sebegini rupa. Kami tidak rela.

Memang 'Interlok' bukanlah satu bahagian atau frasa dalam perlembagaan negara apatah lagi sebuah kitab agama. Namun ia adalah karya yang terbit dari tangan seorang Sasterawan Negara. Menjamah karya SN bermakna anda menjamah gelaran yang diberikan oleh Yang Dipertuan Agung. Persoalannya siapa anda untuk berbuat demikian?

Di kala majoriti penulis Melayu yang menjadi rakan anda sebelum ini berjuang mempertahankan maruah sebuah karya SN, anda berada di posisi penyerang bersama-sama mereka yang rakus menyerang. Lalu di manakah saudara di hati kami?

Oh ya Saudara Uthaya, izikan saya meminda sepuluh perkataan dalam novel saudara... boleh?

Rabu, Mac 16, 2011

Interlok berjaya dipinda


Tahniah kerana kejayaan meminda sebuah novel karya sasterawan negara Dan tahniah juga, kerana berjaya menyembelih maruah seorang Sasterawan Negara. Setelah 40 tahun karya seorang sasterawan yang dinobat Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agung, ia telah dilucutkan kewibawaannya!

Lihat kenyataan akhbar tentangnya di sini.

Ketika menonton berita di TV3, saya terasa lucu pula apabila pembaca berita tiada perasaan segan silu langsung melaporkan tentang kejayaan kerajaan Malaysia meminda novel demi menjada hati kaum India negara ini. Itulah hebatnya pembaca berita. Tak kira apapun yang mereka laporkan, tak ubah seperti robot yang tiada perasaan. Adalah sekali-sekala, berita sedih atau gembira memang wajah mereka menunjukkan peri-manusia. Tapi kalau bab politik, tak
ubah seperti lembu dicucuk hidung!

Banyak pro dan kontra isu ini. Bagaimanapun saya lebih suka melihat kesan negatif peristiwa ini. Puncanya salah satu ialah Gagasan 1Malaysia itu sendiri. Kerana bangsa India telah melihat dalam 1Malaysia menawarkan kesamarataan hak semua kaum maka mereka menuntut supaya 'paria' tidak lagi dikaitkan dengan mereka. Penyakit inilah sebenarnya sedang melanda negara hari ini. Cuma ia tidaklah menakutkan seperti H1N1. Namun ia bisa menjadi barah yang bakal meranapkan ketamadunan Melayu di Tanah Melayu sendiri!

Ya, Tanah Melayu. Itulah perkataan keramat yang dipadamkan oleh penjajah Inggeris demi untuk memerah segala kekayaan Svarnabumi ini. Setelah hak demi hak dinafikan, tiba masanya orang Melayu sendiri menggadaikan maruah kepada orang lain.


Saya teringat pertanyaan seorang ibu, peserta dari Indonesia pada Hari Puisi Nasional ke-18 di Resort Binsulok, Membakut. "Malaysia sepatutnya belajar dari Indonesia..." persoalan itu dijawab sinis oleh Cikgu Amiruddin. Ya, dari segi sastera tiada apa yang perlu kita belajar dari Indonesia, kerana menurut Cikgu Amiruddin Malaysia lebih bagus dalam hal sastera. Sastera diajar dalam kelas setiap hari. Buat program sastera pun mendapat bantuan kerajaan.

Namun orang Indonesia menempelak kita dalam novel Di.Ar.Ti yang merupakan karya pengalaman Dr. Rahmat Haroun yang melanjutkan pelajaran di sana yang kurang lebih begini "Malaysia mendapat kemerdekaan dengan cara percuma..." Saya terlepas pandang sebenarnya novel ini, ketika saya tahu enaknya membaca novel ini setelah meminjam dari Saudara Dahri Zakaria, kaunter buku DBP sudah pun ditutup (pada Hari Puisi).


Ada satu lagi karya yang saya rasa bakal menggugat rasa politikus Malaysia khususnya Melayu, buku 'Melayu Hilang Di Dunia' oleh Khalid Salleh atau Wak Khalid nama manjanya. Tulisan ini kalau nak pinda memang jenuh. Kerana apa yang
ditulis itu adalah apa yang terbuku dalam hati dan jiwa seorang penulis, pelakon teater malah pengkritik politik Malaysia. Beliau melihat Melayu ini bakal hilang kerana perbuatan pemimpin Melayu itu sendiri. Walaupun saya belum membaca buku ini (kebetulan duit yang dibawa tak cukup, RM50 harganya), tapi dari apa yang Wak Khalid ceritakan ketika pertemuan kami di Hari Puisi itu cukup untuk saya memahami apa yang hendak disampaikan Wak Khalid dalam buku yang tebal itu.

Kita ini Melayu, bak kata Dato' Hashim Yaacob "Kitalah Tuan". Saya pun pernah menulis sebuah puisi tentang tetamu. Apa yang ingin saya sampaikan dalam puisi itu ialah tentang adab dan tatacara yang sepatutnya tetamu buat di rumah orang. Apabila kita biarkan tetamu m
enjadi tuan di rumah kita, maka bersedialah kita untuk menjadi hamba.

Sebuah puisi Dato Hashim Yaacob tentang Melayu yang harus kita renungi

KEMANA KAU MELAYUKU

Melayuku zaman ini
di kampung dan di kota
sedang bersengketa mereka.
Berpecah tiga, empat dan lima
tidak lagi sekata.

Tidak nampak Melayuku ini
pada bara yang kian menjadi unggun
menunggu membakar mereka!

Mari Melayuku kita ke kota:
Melihat gedung jualan,
dan bangunan menyergam,
kita pun berasa megah.
kita pun menjadi jaguh
pada cakap dan pandang.
Yang menyergam itu
bukan kita pemiliknya!

Mari Melayuku kita pulang ke kampung:
Kita fikirkan
apakah lima puluh tahun nanti
di tanah pusaka turun temurun ini
kita masih akan di sini?
Mari kita fikirkan ,
cara memadamkan bara
yang mengunggun
menanti membakar kita!

Hashim Yaacob
17 Jun 2001

Fikir-fikir dan selamat beramal...!

Jumaat, Jun 18, 2010

Imam Muda dipertikai

Bagi saya, setiap sesuatu perkara ada pro dan kontra. Dalam perkara realiti tv, berapa banyak orang menghantar surat kepada surat khabar dan pertikaikan kewibawaan sesuatu rancangan itu.

Memang ramai juga yang pertikaikan apa faedahnya rancangan yang menghasilkan artis segera, melibur saja kerjanya. Tapi... tapi... berapa kerat orang yang hantar surat kepada surat khabar bagitau rancangan ni tak guna, merosakkan dan melalaikan. Tiba-tiba untuk rancangan yang baik ni ada. Agak musykil la saya rasa.

Imam Muda bagi saya adalah satu alternatif bagi rancangan hiburan itu semua. Rancangan yang memaparkan jalan solusi bagi mereka yang ingin membetulkan diri, mencontohi apa yang baik. Cuma saya agaklah, yang melihat Akademi Fantasi mungkin akan tukar rancangan kalau tertengok program Imam Muda ni, maklumlah Imam Muda disiarkan serentak di beberapa tv astro yang lain.

Peserta-peserta Imam Muda adalah mereka yang berilmu agama di peringkat tinggi. Salah seorang daripada mereka adalah sahabat saya di UM, Asyraf. Saya sempat membantu Asyraf @ Acap menjual kitab-kitab dalam kuliah kepada kawan-kawan dengan harga yang amat berpatutan.

Kebelakangan ni saya memang malas sikit nak kemaskini @ 'update' blog ni.. dan alternatif saya ialah baca surat khabar online dan kupas mana yang patut.

Kalau imam muda atas ni memanglah tak layak jadi imam pun sedangkan makmum di belakang jauh lebih layak.

Bacalah di bawah ni, saya tolong potong dan tampal surat tersebut yang bertarikh beberapa hari sudah.


'Imam muda tak layak pimpin solat, jurunikah’

Berita Harian; 2010/06/15

SAYA rasa semua pihak sudah maklum mengenai rancangan yang disiarkan pihak Astro di saluran Oasis iaitu program realiti TV pencarian Imam Muda.

Tidak dinafikan program seperti ini memberi banyak peluang kepada anak muda menunjuk bakat mereka tetapi saya juga beranggapan pihak Astro janganlah mengambil kesempatan ke atas senario ini tanpa memikirkan impaknya. Agama bukanlah satu perkara yang boleh diperlekehkan. Ia tidak seharusnya menjadi bahan untuk mengaut keuntungan bagi sesetengah pihak. Ia sepatutnya dipelajari dengan penuh sifat ketakwaan bukan dengan niat untuk memenangi hadiah. Satu daripada hadiah yang bakal diterima oleh juara pertandingan ini adalah sebuah kereta bernilai RM150,000, lumayan sekali. Selain itu, pemenang akan menjawat jawatan imam di masjid utama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Senangnya hendak menjadi imam sekarang ini, sedangkan perkataan imam itu sendiri membawa maksud yang amat dalam dan bukan calang-calang orang boleh digelar imam. Macam manalah agaknya nasib imam muda ini pada masa depan jika ada imam yang lebih layak menyandang jawatan itu.

Peserta Imam Muda ini mestilah berusia antara 18 hingga 27 tahun. Ternyata di sini apa yang saya nampak, golongan remaja yang bakal menjadi imam muda ini tidak sesuai untuk memimpin jemaah ketika solat, menikahkan pasangan yang bakal menjadi suami isteri malah lebih besar tanggungjawab yang bakal mereka kendalikan di kalangan masyarakat kita ini.

Jika seseorang itu berjaya menjadi imam muda, adakah secara tidak langsung ia akan mula menimbulkan perasaan riak dan takbur di dalam dirinya? Bagaimana imam yang berjiwa seperti ini mampu untuk membimbing makmumnya?

Saya rasa perkara ini tidak harus diambil sambil lewa dan tidak wajar dipermain-mainkan.

AHMAD NIZAM HASHIM,
Ampang, Selangor

Selasa, Jun 15, 2010

Nasiblah, musim memotong ini

Mungkin sudah tiba masanya para pelajar harus bersifat lebih patriotik seperti saya yang memilih untuk belajar dalam negara, Malaysia tercinta. Lalu pendamkan saja hasrat untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana biasiswa perlahan-lahan akan dihentikan. Kecuali anda anak hartawan, sila teruskan.

Ini berita dalam BH Online yang baru saya baca sebagai simpanan sendiri dan juga mungkin buat tatapan mereka yang tidak sempat, kerana artikel berita online tidak lama di sana. Kalau adapun dalam arkib, makan masa juga hendak mencari. sumber di sini.

Pemberhentian biasiswa luar negara tanda universiti tempatan diiktiraf

2010/06/14

KUALA LUMPUR: Pemberhentian pemberian 1,500 biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara mulai tahun depan akan dilakukan secara berperingkat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz , berkata langkah itu bertujuan mengurangkan perbelanjaan kerajaan bagi menanggung pelajar yang menuntut di luar negara.
"Kita kurang secara berperingkat. Ini soal kemampuan kerana perbelanjaan untuk seorang pelajar terlalu mahal. Lebih untung kalau kita belanjakan untuk orang ramai," katanya.

Mohamed Nazri mengulas laporan media hari ini yang memetik beliau sebagai, berkata bahawa JPA akan menghentikan pemberian 1,500 biasiswa kepada pelajar bagi mengikuti kursus ijazah sarjana muda di luar negara tahun depan.

Namun, mereka yang mendapat tempat di universiti terkemuka seperti Oxford dan Cambridge, masih boleh memohon untuk diberikan biasiswa.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata penamatan pemberian biasiswa itu dijangka mampu memberi kesan yang baik kepada pelajar tempatan.

Katanya, universiti tempatan bersedia menampung jumlah pelajar yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara berikutan keputusan itu.
"Apabila ramai pelajar tidak dihantar ke luar negara, ini bermakna ramai pelajar akan belajar di universiti yang terbaik di sini. Kita memang dari segi nak tentukan sama ada universiti itu mencapai kecemerlangan atau tidak, salah satu komponen yang penting ialah pelajar terbaik.

"Ini bukan soal tiada masalah. Dari segi IPT (Institusi Pengajian Tinggi) tempatan, kita sedia menampung jumlah pelajar," katanya di lobi Parlimen di sini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pihaknya menyambut baik cadangan itu sambil menyifatkan ia akan mengurangkan bebanan kos kepada kerajaan.

"Kita menyambut baik usaha ini untuk memberikan biasiswa kepada lebih ramai pelajar tempatan. Kalau kita beri biasiswa kepada 1,500 pelajar yang belajar di luar negara, memang tak cukup juga kerana tiap-tiap tahun yang merayu pun ramai juga.

"Banyak juga universiti luar negara yang ada kampus berkembar dalam negara kita. Sekarang ini, kalau RM1 juta hanya kepada tiga orang pelajar dan bagi kursus perubatan ia menelan lebih RM1 juta. Kalau kita nak hantar pun ialah untuk pakar," kata Liow.

Liow yang juga Timbalan Presiden MCA, berkata usaha menghentikan pemberian biasiswa tidak dilihat menyekat peluang mana-mana pihak malah dilihat mampu mengantarabangsakan universiti tempatan. - Bernama

dan... artikel biasiswa dalam web beliamuda mungkin sudah tidak relevan lagi...


Myblogloglaq