Memaparkan catatan dengan label Koleksi Puisi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Koleksi Puisi. Papar semua catatan

Isnin, April 25, 2011

Dewasa...?


rindu neon Kuala Lumpur

kala telusuri sendirian

lewati bingit kota

hujan ribut

hidup kalut

.

.

.

setelah mengungsi

kota demi kota

desa demi desa

terpaku aku

pada kata

‘dewasa’.

Rabu, Mac 16, 2011

Interlok berjaya dipinda


Tahniah kerana kejayaan meminda sebuah novel karya sasterawan negara Dan tahniah juga, kerana berjaya menyembelih maruah seorang Sasterawan Negara. Setelah 40 tahun karya seorang sasterawan yang dinobat Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agung, ia telah dilucutkan kewibawaannya!

Lihat kenyataan akhbar tentangnya di sini.

Ketika menonton berita di TV3, saya terasa lucu pula apabila pembaca berita tiada perasaan segan silu langsung melaporkan tentang kejayaan kerajaan Malaysia meminda novel demi menjada hati kaum India negara ini. Itulah hebatnya pembaca berita. Tak kira apapun yang mereka laporkan, tak ubah seperti robot yang tiada perasaan. Adalah sekali-sekala, berita sedih atau gembira memang wajah mereka menunjukkan peri-manusia. Tapi kalau bab politik, tak
ubah seperti lembu dicucuk hidung!

Banyak pro dan kontra isu ini. Bagaimanapun saya lebih suka melihat kesan negatif peristiwa ini. Puncanya salah satu ialah Gagasan 1Malaysia itu sendiri. Kerana bangsa India telah melihat dalam 1Malaysia menawarkan kesamarataan hak semua kaum maka mereka menuntut supaya 'paria' tidak lagi dikaitkan dengan mereka. Penyakit inilah sebenarnya sedang melanda negara hari ini. Cuma ia tidaklah menakutkan seperti H1N1. Namun ia bisa menjadi barah yang bakal meranapkan ketamadunan Melayu di Tanah Melayu sendiri!

Ya, Tanah Melayu. Itulah perkataan keramat yang dipadamkan oleh penjajah Inggeris demi untuk memerah segala kekayaan Svarnabumi ini. Setelah hak demi hak dinafikan, tiba masanya orang Melayu sendiri menggadaikan maruah kepada orang lain.


Saya teringat pertanyaan seorang ibu, peserta dari Indonesia pada Hari Puisi Nasional ke-18 di Resort Binsulok, Membakut. "Malaysia sepatutnya belajar dari Indonesia..." persoalan itu dijawab sinis oleh Cikgu Amiruddin. Ya, dari segi sastera tiada apa yang perlu kita belajar dari Indonesia, kerana menurut Cikgu Amiruddin Malaysia lebih bagus dalam hal sastera. Sastera diajar dalam kelas setiap hari. Buat program sastera pun mendapat bantuan kerajaan.

Namun orang Indonesia menempelak kita dalam novel Di.Ar.Ti yang merupakan karya pengalaman Dr. Rahmat Haroun yang melanjutkan pelajaran di sana yang kurang lebih begini "Malaysia mendapat kemerdekaan dengan cara percuma..." Saya terlepas pandang sebenarnya novel ini, ketika saya tahu enaknya membaca novel ini setelah meminjam dari Saudara Dahri Zakaria, kaunter buku DBP sudah pun ditutup (pada Hari Puisi).


Ada satu lagi karya yang saya rasa bakal menggugat rasa politikus Malaysia khususnya Melayu, buku 'Melayu Hilang Di Dunia' oleh Khalid Salleh atau Wak Khalid nama manjanya. Tulisan ini kalau nak pinda memang jenuh. Kerana apa yang
ditulis itu adalah apa yang terbuku dalam hati dan jiwa seorang penulis, pelakon teater malah pengkritik politik Malaysia. Beliau melihat Melayu ini bakal hilang kerana perbuatan pemimpin Melayu itu sendiri. Walaupun saya belum membaca buku ini (kebetulan duit yang dibawa tak cukup, RM50 harganya), tapi dari apa yang Wak Khalid ceritakan ketika pertemuan kami di Hari Puisi itu cukup untuk saya memahami apa yang hendak disampaikan Wak Khalid dalam buku yang tebal itu.

Kita ini Melayu, bak kata Dato' Hashim Yaacob "Kitalah Tuan". Saya pun pernah menulis sebuah puisi tentang tetamu. Apa yang ingin saya sampaikan dalam puisi itu ialah tentang adab dan tatacara yang sepatutnya tetamu buat di rumah orang. Apabila kita biarkan tetamu m
enjadi tuan di rumah kita, maka bersedialah kita untuk menjadi hamba.

Sebuah puisi Dato Hashim Yaacob tentang Melayu yang harus kita renungi

KEMANA KAU MELAYUKU

Melayuku zaman ini
di kampung dan di kota
sedang bersengketa mereka.
Berpecah tiga, empat dan lima
tidak lagi sekata.

Tidak nampak Melayuku ini
pada bara yang kian menjadi unggun
menunggu membakar mereka!

Mari Melayuku kita ke kota:
Melihat gedung jualan,
dan bangunan menyergam,
kita pun berasa megah.
kita pun menjadi jaguh
pada cakap dan pandang.
Yang menyergam itu
bukan kita pemiliknya!

Mari Melayuku kita pulang ke kampung:
Kita fikirkan
apakah lima puluh tahun nanti
di tanah pusaka turun temurun ini
kita masih akan di sini?
Mari kita fikirkan ,
cara memadamkan bara
yang mengunggun
menanti membakar kita!

Hashim Yaacob
17 Jun 2001

Fikir-fikir dan selamat beramal...!

Selasa, Jun 15, 2010

Pak Lang kami kawin

Dari Kota Belud ke Kg Tungou, Ranau
kami bergerak dengan kereta patriotik kami
sebuah Proton Persona hitam metalik
menuju sebuah majlis perkahwinan dua sahabat
pengantin lelaki dari Bagan Datoh, Perak
rakan juang semasa kadet di universiti
pengantin perempuan orang tempatan
rakan belajar dalam kuliah dahulu

dalam keadaan kereta patriotik baru kami
sebuah Persona sudah ada bunyi keriuk
keriuk... keriuk.. keriuukkk..
terutama melalui jalan tidak rata
kebiasaan jalan di Sabah ini
dan jalan kami lalui menuju Kg Tungou
panjang tidak beraspal

Selamat pengantin baru Pak Lang
selamat bercinta sampai syurga.



jadi kelabu persona hitam penangan jalan grabel sepanjang setengah jam ke Kg Tungou


Kebanyakan kenderaan yang berselisih ialah jenis 4WD.. sebuah 4WD terbabas tika dalam perjalanan pulang

Jumaat, April 09, 2010

Malam Jumaat

kala bulan malu-malu
sembunyi sebalik awan
tergigit aku lidah kelu
bicara bisu menusuk rawan

malam jumaat, azimat hikmat
bagai belati tertusuk sukma
Tuhan itu Maha Melihat
tiap baris kata dalam jiwa

Allah itu Tuhan, hanya Dia
tiada Tuhan selain-Nya
menjadikan siang cerah
malam untuk beradu

hanya debarku kala ini
esok hari Jumaat
hari dijangka kiamat
tiada diketahui waktu

kala ini jua aku tertanya
bersediakah aku hadapi
sedang diri dipasung nafsu

Hasbullah Mohamed Rahman
Kota Belud, Sabah.
Jumaat, 12.03 pagi
09 April 2010

Isnin, November 23, 2009

Puisi pertama di Berita Minggu


Seingat saya puisi pertama saya di Mingguan Malaysia adalah pada Mei 2008. Saya hilang keratannya ketika proses perpindahan dari kolej kelima ke rumah sewa di Taman Bukit Angkasa. Memanglah satu kerugian. Harus dibuat bagaimana..

Ketika sedang menikmati sarapan pagi bersama sahabat-sahabat PENA di Dewan Banquet DBP awal pagi hari ini mereka pakat kata puisi saya tersiar di Berita Minggu. Otak saya menggaru-garu benak akal dan mencari ingatan dalam arkib lupa. Ah.. bila aku hantar dan yang mana ya.. Seingat saya sukarnya hantar ke Berita Minggu. Tiap kali hantar mesti tak sampai. Beberapa kali bertanya Nazmi Yaakub tapi dia kata emel itulah. Bila saya buka sent item.. La rupanya yang saya hantar minggu lepas. Lepas la pulak. Sayangnya yang ini lupa letak alamat rumah kat kg da. takpelah, lain kali letaklah. Namun saya cukup puas hati dapat melekat di jaring sastera Berita Minggu.

Serumpun Tidak Seperdu
(bersatulah Melayu sedunia)

Dalam serumpun buluh
tidak seperdu pun yang utuh
hingga tebing runtuh
kerana aur tidak kukuh.

Serumpun buluh tidak seperdu
jauh-jauh dari tebing sungai deras
bagaimana aur ‘kan menjadi padu
menahan tebing dari jatuh
habis buluh dibawa arus.

Serumpun tidak seperdu
Tidakkan bersatu!

Hasmora Masnuri
Taman Bukit Angkasa, KL
0530 pagi, 14 September 2009.



Sabtu, September 12, 2009

Ruang-Ruang Kemerdekaan


Telah kita korbankan sebahagian usia
mengisi ruang kemerdekaan negara
lalu adakah kita kan membiarkan
anak muda hari ini memunah masa depan
dengan gaya hidup rosak cara barat
dibangga-banggakan hingga menjadi
cara hidup sekalian marhaen
melupuskan resam adab budaya timur.

Ruang-ruang kemerdekaan kini
sungguh polos dengan hedonisme
rencam angan-angan disebut wawasan
umat ini sungguh makin lupa pada Tuhan
Tuhan dipedulikan hanya pada waktu solat
agama dirujuk ketika nikah dan cerai
imam dicari tatkala kematian sanak-saudara
masjid dijejak untuk solat sunat hari raya
sedang waktu biasa masa menjadi sia-sia
dengan aktiviti maksiat dan liburan semata.

Umat hari ini mengisi ruang kemerdekaan
memadai bagi mereka dengan mengibar bendera
cukup dengan hadiri ceramah patriotik anjuran penguasa
menunjukkan semangat tatkala perhimpunan para pemuda
lalu apakah untung kepada negara, andai ini semua
tidak lebih hanyalah semata-mata retorik belaka.

Ruang-ruang kemerdekaan, malangnya
terisi oleh hedonisme dan retorika sia-sia.

Hasbullah Mohamed Rahman
Taman Bukit Angkasa,
Kuala Lumpur.

Khamis, Mei 28, 2009

Bukan Salah Anak Ini


bukan salah dia terpaksa lena
kerana dia pun tak tahu nak jawab apa
siapa saya hendak marah dia
kalau saya marah saya dapat apa
kalau dia bangun dia tak tahu buat apa
termangu-mangu macam kambing gigi takda

bukan salah jadi anak bongsu dia
yang katanya tiada apa dia dapat yang istimewa
tak terkata saya bila saya bertanya
tak tahu ayah dia dulu sebelum pencen kerja apa

selain dia ramai lagi gelagat begini ya
cuma tak larat saya nak ambik gambar
sebab dia sebelah saya
tanpa segan silu pejam mata atas meja
kertas jawapan cukup sekadar tulis nama
yang lain saya tak pasti la
macam tak jawab apa juga

mungkinlah ramai lagi begini
jadi mangsa kekeliruan bahasa
bahasa tak dapat, ilmu pun tak dapat
alahai anak bangsaku
pasrahlah..
tabahlah..
sabarlah..
redhalah...

kalau inilah suratan takdirmu
berhentilah berharap aku
melihat bangsaku maju
dengan bahasa ibunda kebanggaanku


Taman Bukit Angkasa

Jumaat, Mac 13, 2009

JIKA BAHASA ITU JIWA BANGSA

Kau lukis pelangi di dada langit
sedang tanganku patah
tatkala menulis cinta di kanvas air
dan segala manusia derita
tatkala sang penguasa membunuh jiwa
dalam dada cerita mereka
yang cuba dilakar
dengan dada terbakar.

Kau larik cinta pada emas
aku hanya mampu mengukir sayang
pada kayu lantai usang
sedang mereka berjuang
dengan mata jerih-pedih
demi halkum bangsa
bakal diwarisi anak masa depan
entah kau aku dan mereka
masihkah ada lagi.

Jika bahasa itu jiwa bangsa
maka kau bunuhlah bahasa itu
hantarkanlah algojo juak derhaka
apa kami marhaen kerdil hina ini mampu
bersuara pun kau lihat kami seperti manusia bisu.

Jika bahasa itu jiwa mana-mana bangsapun
kurasakan bangsaku nanti akan lenyap
kerana jiwanya terus disakiti
oleh pemimpin yang sungguh berani
berlagak Tuah sepertinya dia
begitu sayangkan bahasanya
entahkan terkentut pun dia menyebut
opss.. i am sorry!

Setelah kini namanya Malaysia
kini patutlah siapapun yang jadi pejuang bahasa
harus berasa bimbang biarpun sedikit
kata-kata Tuah mungkin hanya
menjadi mitos semata.

HASMORA MASNURI
Taman Bukit Angkasa


Sabtu, Februari 14, 2009

Cinta Oh Cinta...

(selepas kuliah cinta Valentine oleh Ustaz Hasrizal di Kolej 8 UM )

Tika cinta bersiulan di jalanan dusta
ada juga yang mengutipnya
lalu disimpan dalam raga jiwa
dibelainya
dibuainya
diberinya pada sang kekasih
ambillah cinta ini sayang
kita madukan bersama
agar manis sepanjang masa

Lalu cinta itu mula meracun sukma
kerana cinta nafsu bagaikan virus
yang pantas membarah
hingga hati busuk parah
iblis menguasai tiap arteri darah

Berpimpinan pasangan kekasih
di taman, di pasaraya, di mana-mana
"inilah cinta sejati
cinta kita, selamanya"
bisik sang kekasih sayu
hati yang sedia layu
melayu-layukan segala
diserahkanlah sekujur tubuh
demi serakahnya nafsu
sebagai tanda cinta

Terlanjurlah
demi sebuah cinta
bertalkinlah, iman di dada
ajal maruah terkubur lama
menunggu roh agama dicabut
hanya demi sebuah nafsu
yang dirajakan syaitan durjana

Tuan-tuan sekalian, jagailah anak anda
seusia anak benih
yang bakal tumpah ke rahim ibunya
jangan persalahkan anak
jika kita tidak bersedia sepenuhnya
melahirkan, mengasuh, mendidik
pengembara baru di mayapada nan fana
penuh onak liku ranjau luka dan duka
ini dunia tempat kita menyemai dan menyubur
di akhirat sanalah kita menuainya.

Carilah cinta yang sejati
yang ada hanyalah
padaNya...


Taman Bukit Angkasa

Selasa, Februari 10, 2009

Itu Bukan Bunga Api

Puisi ini disiarkan di Mingguan Malaysia ahad lepas. Saya memang tak berapa nak beli sangat Utusan kecuali hari Ahad, sebab saya suka bahagian sasteranya. Bagi saya sastera tidak bersalah. Dan wartawan di sana pun tak bersalah. Cuma yang salah ialah orang atasan yang ikut telunjuk orang yang laaagii atas.

Terima kasih kepada adik Tuah Sujana yang mengirimkan sms tahniah pagi itu sekaligus memaklumkan kepada saya puisi itu terbit. Juga saudara WB Rendra yang mengirim lewat tengahari. Sokongan sahabat-sahabat membakar semangat saya untuk menulis tahap demi tahap.

Sebenarnya hati lama mendidih-merintih-pedih dengan fenomena sekarang yang kacau-galau-bilau. Maka banyak hasil tulisan saya itu mengalir dari gejolak rasa turun ke jari menukarbentuk rasa itu menjadi tulisan. Saya rasa memang itulah naluri setiap penulis manapun. Meluah rasa melalui tulisan bagi saya adalah satu terapi yang amat baik. Setiap apa yang ditulis pula mohon perlindungan dari Yang Maha Mengetahui dari terjurus ke lembah fitnah dan mengundang murkaNya. Murka raja yang tidak adil tidaklah menjunam kita ke neraka. Tapi kemurkaan Raja segala raja meletakkan kita di neraka sepatutnya pada Hari Pembalasan. Hari itu... ia pasti menjelma kan?

Puisi ini saya turunkan untuk tatapan dengan editan satu perkataan (dah masukpun masih ada ayat kena edit lagi, boleh kan.. alah... puisi ini saya bikin kan..hehehe).. sebenarnya artikel baru 'ni sebagai memenuhi permintaan seorang sahabat, Zarif Hassan..huhu


Itu Bukan Bunga Api

itu bukan bunga api
tak usah kau ralit perhati
itu api pemusnah pembunuh
dari sana ia ke sini
kau pun entahkan telah bersedia menunggu mati
menjemput tanpa mengetuk pintu
tanpa sempat kau pulang dari daerah mimpi

itu bukan bunga api
meraikan tahun baru hijri
mahupun tahun baru masihi
mereka mengirim api sejati
membakar mimpi-mimpi
angan-angan pun hangus sekali

itu bukan bunga api
ah anak, masakan engkau mengerti
mereka menggasak tanah sempit ini tiap hari
usah kau tangis tanpa henti
jangan lagi kau berlari ke sana sini
jadikanlah batu kecil permainan barumu
melawan mereka yang bagaikan gergasi

itu bukan bunga api
tapi itulah api-api kiriman yahudi
mereka membaca kisah ababil, anakku
seolah mereka membawa jet itu dari neraka
bala yang mereka cipta sendiri

selamat tinggal anakku
usah kau ralit menatap bunga api lagi
ayuhlah menjejak langkah ayah
kita menuntut janji-janji ilahi
istana syuhada’ di syurgawi.


Hasmora Masnuri
Taman Bukit Angkasa

-Mingguan Malaysia, 8 Februari 2009


Sabtu, Februari 07, 2009

Kuingin ke sana


Juga bumi Malaya yang senasib dengannya...


satu

jika ada batu sebesar kelingking
dan lastik kubuat sendiri
rasanya ingin saja aku bidas
biar kena cermin mata
atau pecah cermin kereta
seorang manusia angkuh
yang gila kuasa dan harta
dan amat cintakan dunia


dua

jika aku ada jet pejuang sendiri
atau bala tentera sendiri
atau pakatan sendiri
akan aku rempuh mereka
dan lumat-lumat mereka
sebelum mereka merasa
pedihnya azab api neraka


tiga

tapi aku hanya manusia biasa lagi biasa
tiada kuasa tiada suara tiada istimewa
di mata manusia yang gila kuasa dan dunia
hanya mengukir stanza pada halaman percuma
meluah rasa membuku di dada
namun jika ada peluang dan ruang
jika Tuan segala Tuan mengizinkan
hantarkanlah aku ke sana
aku ingin ke sana
mengecap nikmat para syuhada'....

Khamis, Februari 05, 2009

Pantun Lompat Si YB Katak

(kalaulah ada video klip katak lompat sambil menyanyi.. ding ding ding)

Lompat si katak lompat
Lompatlah tinggi-tinggi
Lompatlah YB lompat
Lompat parti sesuka hati

Lompat si katak lompat
Lompatlah tinggi-tinggi
Lompatlah YB cepat
Tapi jaga-jaga kaki

Lompat si katak lompat
Lompatlah tinggi-tinggi
Lompatlah YB lompat
Awas masuk kandang babi

Lompat si katak lompat
Lompatlah tinggi-tinggi
Lompatlah parti lompat
Kau dah bangang apa kupeduli!

Hasmora Masnuri
Taman BUkit Angkasa, Pantai Dalam.
6.00 ptg, 05.02.09

Isnin, Februari 02, 2009

Malam Puisi Di Bawah Langit Gaza

Ramai sungguh hadirin pada malam tadi di Rumah Pena. Maklumlah rancangan besar. Mas Zakir masuk TV3 ajak rakyat Malaysia menyaksikan di bawah langit gaza. Wah ramainya tak terhingga. Untuk program sastera memang sudah cukup ramai. Sama seperti diskusi karya mantan MPR, Rahimidin Z pun jadi hairan kenapa tiba-tiba ramai orang datang. Biasanya dua puluh orang sudah ramai bangat. Wah... lewahnya ramai.

Agak lewat saya mampir. Maklumlah pergi pameran ATM dulu. Balik lewat. Siap mandi pakai baju solat empat rakaat, sang Teruna Zakir menelefon-di mana anda saudara Hasmora? Wah saudara... anda orang kedua memanggil saya Hasmora dalam telefon selepas Cikgu Zamzuri (cikgu dia sekarang). Wah... terkial-kial saya rempit motor malam tadi. Masakan tidak, termakan langsat untuk kesekian kalinya.

Maka saya pun hanyalah ingin menukilkan sebuah puisi sebagai pandangan saya terhadap Di Bawah Langit Gaza.


Interpretasi Sebuah Malam Puisi


Ramainya yang datang menyaksikan
ramainya juga memakai selempang
wah semangatnya anda saudara,tapi...
adakah anda berdoa setiap malam
agar Gaza mengecap keharmonian.

Puisi-puisi melantun dari dada penyair
hatiku meruntun cair
oh kuharap ini bukan sekadar retorik indah
yang akhirnya hanyut di bawa angin malam
dimamah oleh gundah hati kelam.

Kumampir ke Teratak Pena kali ini
bukanlah pemandangan begini yang kuharap
tapi apakan daya yang mampu kubuat
memang begini pemandangan dunia kini
dedah sana dedah sini
kalau boleh hendak ditunjuk semua barangkali
wah... di mana-mana pun kini
orang Melayu pun suka pakai macam yahudi!

Aku bukan penyair malam puisi ini
maafkan aku andai ada stanza menghiris hati
inilah bicara hati Hasmora Masnuri
sesungguhnya kita usah hanya marahkan yahudi
tetapi lihatlah dalam diri sendiri
yang mengalir dalam darah dan denyut nadi
adakah ada racun-racun duniawi
ideologi-ideologi propaganda yahudi.



Hasbullah Haji Mohamed Abdul Rahman al-Masnuri
Taman Bukit Angkasa
Pantai Dalam.


Antara yang menjayakan majlis


Pak Sutung Umar RS dan Pak Arbak Othman

sasterawan muda sdr Zarif dan sdr Saifullizan

Bersama Ustaz Nazmi


Tandatangan pada banner Rakan Muda - sign arab-jawi tuh


Sdr Nasriah juga sudi menandatangannya

Yang ni Zarif gelak sakan pabila saya tunjuk... mulanya Zarif kata "sharp la kamera dia" saya pergi jenguk kamera apa... Sony... wah kamera baru tu... eh.. masih ada tanda harga.. eh.. agak2 la kak... sabar je la ana... huhu

Sabtu, Januari 31, 2009

Adik Saya Akhirnya Seorang Huffaz

Entah apa yang dia pelik tengok aku nampak gelap.. eh dah memang kaler akulah!

Dulu masa muda remaja saya pernah ada cita-cita memasuki Maahad Tahfiz Pulai Condhong. Tapi akhirnya hanya tinggal kenangan. Ada juga terniat hendak masuk Darul Quran. Tapi keputusan SPM tidak mengizinkan. Semangat saya hampir mati. Lama-lama ada semilir bertiup menusuk sukma. Cita-cita awal ketika melangkah kaki ke Al-Amir kini hampir digenggam.Cuma kadang-kadang rasa tak layak orang panggil ustaz. Weh... ustaz tu tahap profesor. Oleh sebab uruf Malaysia asal bidang agama saja mesti ustaz, maka saya tidaklah rasa sangat.

Pagi-pagi saya ke Kuala Kubu Baru. Sedikit pengorbanan demi adik tersayang. Kurang lebih sejam lima belas minit tiba ke bumi barakah - Darul Quran. Meskipun saya gagal menjadi seorang al-hafiz, namun cukup berbangga kerana adik saya akhirnya menjadi seorang al-hafizoh. Ah... rasanya masih ada masa. Cuma ruang dan peluang serasakan cukup terhad. Disiplin dalam harungi perjalanan menjadi seorang huffaz cukup ketat. huh... Dah jadi huffaz pun jenuh jugak nak jaga hafazan...

dan ini adalah baris2 puisi buat adikku itu..

menanam Kalam Tuhan
dalam dada
bukankah lebih baik
dari menanam naskahNya
di Kutub Utara
lalu kita tanpa rasa berdosa
berbangga
dengan sikap bodohnya

alangkah susah untuk menjaga
sukma dinoda dosa-dosa
yang menjadi racun
dan jiwa pun mati
tiada lagi rasa
cinta Ilahi


Hasbullah Haji Mohamed Abdul Rahman al-Masnuri
Taman Bukit Angkasa
Pantai Dalam



Selasa, Januari 13, 2009

Sampai bila... Hegemoni Dunia terus Kuasai diri


Hegemoni Globalisasi

Retorik-retorik terus bersipongang

tatkala tangis anak kecil masih bergema
sampai bila kita biarkan mereka
menghilang dahaga dengan air mata
sedangkan yahudi laknatullah terus melapah
sanak saudara kita di bumi Gaza.

Palestin bagaikan sebilah pedang
makin hari makin tenggelam
kerana kita biarkan Islam karam
dalam nurani paling dalam
Islam sekarang (kebanyakan)
yang ada pada kita hanyalah hiasan
ketawalah manusia-manusia syaitan
kerana anak Adam telah sujud pada nafsu
di mana para syaitan enak beradu.

Di mana salam
yang seharusnya penyambung hubungan
di mana senyuman
menghidupkan kemesraan
telah semua ditelan kemodenan
hegemoni globalisasi
hidup mu-mu, ku-ku
kita nafsi-nafsi
ah! beginilah nampaknya
pabila cinta dunia kuasai diri
mati menjadi ketakutan manusiawi...

Nihilnya hamba ini!
hegemoni dunia terus kuasai diri...


Taman Bukit Angkasa

Ahad, Januari 11, 2009

Pernahkah Termimpi?


pernahkah bermimpi
malam tanpa bulan
hanya cahaya dari rumah terbakar
menerangi alam hingga ke langit

pernahkah termimpi
saudara kita di Palestin tertidur lena
tanpa di ganggu desir senjata yahudi?

alangkah sukar melelap mata
alangkah hilang sepicing lena
kerana asyik bermimpikan saudara
sentiasa tergenang air mata
menangis ratap hiba
lantaran kejamnya manusia
seolah-olah mereka bukan lagi manusia


Taman Bukit Angkasa

Isnin, Januari 05, 2009

Melakar Lembaran Hidup

Puisi ini disiarkan dalam Mingguan Malaysia semalam.Tataplah... Hayatilah...


Melakar Lembaran Hidup

Dakwat tinta masih basah pada lembar kisah semalam
lalu bagaimana kuingin melakar kisah baru
pada lembaran baru pada esok hari.

Langit jingga masih belum padam pada petang ini
bagai tak rela malam memadamkan hari ini
dan menggantikan hari baru pada esok hari.

Hujan masih turun lewat malam ini
bagai menangisi dosa-dosa semalam
yang belum terbasuh dek kejahilan manusiawi.

Tatkala melakar lembaran baru, setiap hari
lakaran-lakaran semalam tetap terbayang
pada helaian-helaian hidup yang semakin pudar.

Hasmora Masnuri
Taman Bukit Angkasa
29 Disember 2008.


Khamis, Januari 01, 2009

Ekspidisi Menawan Bukit Tabur bersama PKPIM UIA



Menawan Puncak Tabur

Mentari jingga terbit dari ufuk timur
tersenyum pagi ini sungguh menawan
sungguh kuteruja untuk menawan sebuah puncak
biarpun tidak setinggi awan
dan pagi ini, aku bergerak
bersama-sama mereka yang baru menjadi kawan
hari pertama tahun baru,
hatiku sungguh diharu menusuk rawan.

Keinginan menakluk puncak
yang tidak seberapa tinggi
tetap mencabar
kerana batu-batu bergigi
tetap juga bimbang
dengan langkah penuh hati-hati
kerana sudah ada yang jatuh di sini
dek kerana terlepas tali.

Bersama kawan yang baru kukenal
tidaklah aku merasa janggal
kerana ukhwah fillah dalam diri
tidak sukar kumesrai.

Dalam perjalanan
bertemu saudara Chung Hwa
sudah ingin turun rupanya
mereka entahkan subuh sudah menjelma
melihat kabus melintas depan mata.

Melihat UIA dari puncak Tabur
juga menikmati pemandangan Kuala Lumpur
entah asap entah kabus pandanganku kabur
ah Kuala Lumpur, tempat cinta-cinta berterabur!


Bukit Tabur
1 Januari 2009

Khamis, November 27, 2008

Malam-Malam Semalam

malam-malam semalam
berlalu dan berlalu
kitakah yang tidak merasa rugi
membiarkan ia pergi
tanpa sujud kepada Ilahi...

mengenang dan mengenang
malam-malam semalam
yang berlalu dan pergi
tiada akan berundur lagi
kitakah hamba yang rugi
mensia-siakan peluang
yang diberi...

mengenang malam-malam semalam
aku merasa rugi
kerana membiarkan ia pergi dan berlalu
dan setiap kali munculnya pagi
tika sujudku padaNya
segala syukur dan segala puji
kerna masih diberi nafas
semoga malam ini
dan malam-malam mendatang
takku persiakan lagi.

Hasmora Masnuri
Taman Bukit Angkasa

Sabtu, Oktober 11, 2008

Bertamu di Teratak Pena











Bertamu di Teratak Pena*,

bersama sahabat sesastera sebaya,

Zamzuri Mustapha.



Lewat kami tiba

meski sudah terburu-buru

memburu waktu

yang sentiasa cemburu.



Hanya tahu Teratak Pena

sekitar Dewan Bahasa dan Pustaka,

maka tawakal padaNya

semoga ketemuinya.



Syukur dipanjatkan,

kami akhirnya tiba jua

jenuh berpusing-pusing mencari jalan

meski sudah nampak

seawal mampir menghampiri.



Bertamu di Teratak Pena

inilah kali pertama

meraikan aidil fitri

dalam suasana deklamasi puisi

oleh penyair ternama

dan bait-bait puitisnya

penuh makna dan berisi.












Bertamu di Teratak Pena

adalah satu ruang

yang memberiku peluang

mengenali penulis-penulis mapan

yang mantap dan matang

seperti SM Zakir dan Shamsuddin Othman

juga penulis-penulis veteran

seperti Ismas Saring dan Kemala

yang sedang meniti usia yang

semakin senja.











Aku menjamah Laksa Johor

nampak asing kerana ini kali pertama kulihat

tapi dua mangkuk juga kuranggah

sebab sedap dan nak jumpa payah

sedang Zamzuri perlahan-lahan

mengunyah lemang berlauk rendang

sambil melayan sembang

dengan rakan seangkatan

seorang gadis Jawa Sabahan

juga pensyarah di jabatan

kukira dia juga seperti kami

bercakap KL versi Kelantan.



Walau lewat bertandang

namun kami awal pulang

lalu menghulurkan salam

tanda persaudaraan sesama Islam

dan persahabatan dalam kesusasteraan

semoga rahmat dan keberkatan

nikmat kesihatan dan bahagia kehidupan

terus bercucuran

...bagaikan hujan.


*Rumah Pena.

-Beraya di rumah pena bersama Zamzuri Mustapha (pemenang tempat kedua Akademi Sastera musim pertama)

Myblogloglaq