Bertamu di Teratak Pena*,
bersama sahabat sesastera sebaya,
Zamzuri Mustapha.
Lewat kami tiba
meski sudah terburu-buru
memburu waktu
yang sentiasa cemburu.
Hanya tahu Teratak Pena
sekitar Dewan Bahasa dan Pustaka,
maka tawakal padaNya
semoga ketemuinya.
Syukur dipanjatkan,
kami akhirnya tiba jua
jenuh berpusing-pusing mencari jalan
meski sudah nampak
seawal mampir menghampiri.
Bertamu di Teratak Pena
inilah kali pertama
meraikan aidil fitri
dalam suasana deklamasi puisi
oleh penyair ternama
dan bait-bait puitisnya
penuh makna dan berisi.
Bertamu di Teratak Pena
adalah satu ruang
yang memberiku peluang
mengenali penulis-penulis mapan
yang mantap dan matang
seperti SM Zakir dan Shamsuddin Othman
juga penulis-penulis veteran
seperti Ismas Saring dan Kemala
yang sedang meniti usia yang
semakin senja.
Aku menjamah Laksa Johor
nampak asing kerana ini kali pertama kulihat
tapi dua mangkuk juga kuranggah
sebab sedap dan nak jumpa payah
sedang Zamzuri perlahan-lahan
mengunyah lemang berlauk rendang
sambil melayan sembang
dengan rakan seangkatan
seorang gadis Jawa Sabahan
juga pensyarah di jabatan
kukira dia juga seperti kami
bercakap KL versi Kelantan.
Walau lewat bertandang
namun kami awal pulang
lalu menghulurkan salam
tanda persaudaraan sesama Islam
dan persahabatan dalam kesusasteraan
semoga rahmat dan keberkatan
nikmat kesihatan dan bahagia kehidupan
terus bercucuran
...bagaikan hujan.
*Rumah Pena.
-Beraya di rumah pena bersama Zamzuri Mustapha (pemenang tempat kedua Akademi Sastera musim pertama)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan