Sabtu, Ogos 22, 2009

Malam yang pertama


Alhamdulillah, akhirnya kita masih sempat berada di madrasah Ramadhan yang teramat mulia. Pastinya inilah saat detik yang ditunggu sekalian para solehin. Musim beribadat dengan ganjaran melimpah ruah.

Malam yang pertama tarawih, seperti tahun-tahun sebelumnya.. alhamdulillah ramai orangnya. Pernah ketika saya menginap di Kolej Kelima Universiti Malaya, malam pertama terawih jemaah melimpah hingga ke tangga. Melucukan juga tahun lepas di pangsapuri saya tinggal ini, jemaah sampai keluar di koridor.

Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bermaksud “Barangsiapa yang mendirikan sembahyang (terawih) pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Begitu sekali tawaran yang Rasulullah SAW sampaikan dari Allah SWT. Adakah kita mahu memandang remeh tawaran dan peluang keemasan yang tidak selalu datang ini? mahukah lagi kita menangguhkan penerimaan terhadap tawaran yang amat berharga ini?

Sungguh, berapa ramai antara kita yang rugi kerana mensia-siakan sekian banyak peluang yang Allah berikan kepada kita. Hidayah, kita sebenarnya harus berusaha mendapatkannya. Allah berikan kita akal untuk berfikir apa yang baik dan buruk. Allah tidak menghukum atas kealpaan dan kejahilan. Namun setelah sampai seruan dan peringatan, bermulalah taklifan atas kita manusia hamba-Nya.

Pada zaman ini, sepatutnya tiada lagi alasan tidak tahu, jahil dan sebagainya. Tidak semestinya perlu masuk kuliah atau menghadiri majlis ilmu di masjid untuk mendapatkan ilmu agama. Sekarang maklumat di hujung jari. Di televisyen, di radio, buku-buku dan banyak lagi sumber boleh didapati. Ustaz-ustaz pun ramaisekarang ni tak macam dulu. Haruskah lagi kita menunggu tua sedangkan Izrail pasti menjemput bila-bila masa! Yang penting, anda berfikir sejenak, kenapakah anda hidup di dunia, untuk apa dan mengapa.. tidaklah Allah membuat sesuatu dengan sia-sia. Seperti juga Allah jadikan sekalian makhluk dan alam. Pasti ada tujuannya. Anda manusia dikurniakan akal, fikirkanlah!

Malam pertama terawih sudah berlalu, hari pertama Ramadhan ayuh kita mulakan tadarus al-Quran sekurang-kurang sekali khatam bulan ini. Dua kali lagi bagus, insyaAllah sama-sama kita pulun. Dan malam-malam yang seterusnya, ayuh kita hadir tanpa gagal!

Tiada ulasan:

Myblogloglaq