Memaparkan catatan dengan label Ramadhan Kareem. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ramadhan Kareem. Papar semua catatan

Rabu, September 16, 2009

Yang sana kena pergi yang sini kena datang

Semalam hari yang agak kalut. Setelah meminta kebenaran dari Uncle Sultan minggu lepas, bolehlah saya ke program khatam Quran dan berbuka puasa di SMK Seri Permaisuri. Namun beberapa hari lepas itu dapat makluman dari SM Zakir akan diadakan mesyuarat Perhimpunan Penyair Nusantara dan majlis berbuka serta juga solat terawih. Pada waktu yang sama!

Dua perkara meletakkan saya dalam dilema. Saya harus memilih antara dua atau kedua-duanya atau mungkin saya memilih untuk tidak memilih!

Pengetua tidak mahu melepaskan saya dengan alasan yang sama saya terima semasa membuat latihan mengajar di SMK Taman Dato’ Harun dulu. Namun akhirnya pengetua membenarkan dengan syarat saya hadir dulu sekejap majlis khatam kemudian pergilah ke Rumah PENA.

Sempat saya berceloteh dengan shuib ‘penat aku shuib, yang sana kena pergi yang sini kena datang’.. Shuib senyum saja..

Memang melelahkan dari Cheras hendak ke Rumah PENA. Jalan terlampau sesak memberi kesan kepada motor tua saya. 45 minit juga. Mujur juga sempat sekejap hadir mesyuarat yang hampir selesai. Selepas berbuka solat jemaah maghrib dan menunggu isya’ sebelum solat terawih berimamkan Ustaz Azman al-Kurauwi dengan saya sebagai bilalnya.

Dalam kelelahan dan sedikit sakit kepala, hairan juga saya pabila merasakan tubuh saya tidak begitu kekenyangan dan kepenatan ketika terawih seperti malam-malam sebelumnya. Kerana apakah...

Saya pulang selepas menerima beberapa bahan untuk web komuniti PENA dan juga sempat menjemput yang mana sempat ke majlis perkahwinan saya raya ini.. oh ya.. saya akan kahwin.. doakanlah kelancaran majlis dan kebahagiaan saya ya.. :)



"Tak sabar nak balik kampung. Kawe nok kawen" kata Hasmora.

"mu ingat kawen ni mudoh ko?" jawab ustaz Azman dalam nada cemburu.

(gambar dan dialog adalah oleh Zalila Isa dlm album Mesyuarat PPN di facebooknya.. saya akan saman beliau kerana mereka-reka dialog tanpa izin atau mungkin mendesaknya menghadiahkan kamera seperti dia guna sebagai hadiah perkahwinan saya.. haha)

Sabtu, Ogos 22, 2009

Malam yang pertama


Alhamdulillah, akhirnya kita masih sempat berada di madrasah Ramadhan yang teramat mulia. Pastinya inilah saat detik yang ditunggu sekalian para solehin. Musim beribadat dengan ganjaran melimpah ruah.

Malam yang pertama tarawih, seperti tahun-tahun sebelumnya.. alhamdulillah ramai orangnya. Pernah ketika saya menginap di Kolej Kelima Universiti Malaya, malam pertama terawih jemaah melimpah hingga ke tangga. Melucukan juga tahun lepas di pangsapuri saya tinggal ini, jemaah sampai keluar di koridor.

Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bermaksud “Barangsiapa yang mendirikan sembahyang (terawih) pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Begitu sekali tawaran yang Rasulullah SAW sampaikan dari Allah SWT. Adakah kita mahu memandang remeh tawaran dan peluang keemasan yang tidak selalu datang ini? mahukah lagi kita menangguhkan penerimaan terhadap tawaran yang amat berharga ini?

Sungguh, berapa ramai antara kita yang rugi kerana mensia-siakan sekian banyak peluang yang Allah berikan kepada kita. Hidayah, kita sebenarnya harus berusaha mendapatkannya. Allah berikan kita akal untuk berfikir apa yang baik dan buruk. Allah tidak menghukum atas kealpaan dan kejahilan. Namun setelah sampai seruan dan peringatan, bermulalah taklifan atas kita manusia hamba-Nya.

Pada zaman ini, sepatutnya tiada lagi alasan tidak tahu, jahil dan sebagainya. Tidak semestinya perlu masuk kuliah atau menghadiri majlis ilmu di masjid untuk mendapatkan ilmu agama. Sekarang maklumat di hujung jari. Di televisyen, di radio, buku-buku dan banyak lagi sumber boleh didapati. Ustaz-ustaz pun ramaisekarang ni tak macam dulu. Haruskah lagi kita menunggu tua sedangkan Izrail pasti menjemput bila-bila masa! Yang penting, anda berfikir sejenak, kenapakah anda hidup di dunia, untuk apa dan mengapa.. tidaklah Allah membuat sesuatu dengan sia-sia. Seperti juga Allah jadikan sekalian makhluk dan alam. Pasti ada tujuannya. Anda manusia dikurniakan akal, fikirkanlah!

Malam pertama terawih sudah berlalu, hari pertama Ramadhan ayuh kita mulakan tadarus al-Quran sekurang-kurang sekali khatam bulan ini. Dua kali lagi bagus, insyaAllah sama-sama kita pulun. Dan malam-malam yang seterusnya, ayuh kita hadir tanpa gagal!

Myblogloglaq