Jumaat, Januari 02, 2009

PPSMI, Saya dan Anda

Adakah kita masih tidak cerdik menilai sejarah yang telah berlalu. Adakah kita hanya belajar sejarah untuk lulus cemerlang atau sekadar berbangga bahwa datuk nenek moyang kita dahulu bermandi darah untuk mempertahanakan tanah air dari di jajah? Sedangkan kita kini sedang membiarkan minda anak-anak kita dijajah satu demi satu. Hegemoni barat beranak pinak dalam cepu akal lalu menganggap apa sahaja dari barat adalah entiti yang tidak boleh ditolak malah perlu disanjung meski terpaksa menguburkan legasi nenek moyang sendiri.

Sudah jenuh saya melihat semua sandiwara pemimpin. Melontarkan retorik-retorik plastik, sedangkan tak lain semua hanyalah kata-kata fantastik yang tak bukan untuk mengangakan sesetengah manusia yang sukakan perubahan drastik mesipun tak tercapai akal memikirkan natijahnya. Sesetengah orang kita memang suka mengungkapkan peribahasa ‘sudah terjatuh baru terngadah’. Dan akibatnya penyesalan tiada kesudah.

Saya tidak pasti adakah rakyat marhaen akan lebih mendengar kata-kata seorang Profesor dalam bidang bahasa atau lebih sanggup terperangkap dalam jurang retorik pemimpin sombong yang melontarkan keangkuhannya di tengah-tengah kekalutan ideologis seolah-olah tiada sesiapa akan mencabar keangkuhannya itu. Saya tergerak untuk menulis tentang Pengajaran Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ini setelah terkilan dengan seorang kawan dari Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Matematik) yang tidak tahupun apa itu PPSMI. Barangkali diapun sama sahaja mesti teruja kerana dapat mengajar matematik dalam bahasa inggeris. Kalau setakat speaking merangkak macam saya baik tak payah nak berbangga.

Saya amat bersetuju jika kerajaan memperkukuhkan Bahasa Inggeris. Ini, bahasa inggeris entah ke mana, sains matematik pun entah ke mana. Nak budak terer bahasa inggeris tapi inggeris kokap, matematik sains pun tak dapat tangkap. Seorang profesor dari UPSI berjuang habis-habisan menetang PPSMI ini. Ramai juga yang bermujahid bersamanya termasuk golongan muda yang dipelopori oleh PKPIM.

Saya menyokong penuh usaha sesiapapun yang mempertahankan bahasa ibunda dengan apa cara sekalipun kecuali membunuh dan menghuru-harakan negara dalam konteks menimbulkan peperangan bersenjatakan parang, M16, mortar, kereta kebal, jet pejuang atau seumpamanya. Cukup hanya pena menjadi pedang dan hujah kata yang bagaikan belati tajam menikam dan menusuk kalbu pemimpin dan mereka yang menyokong di belakangnya. Sembelihlah ideologi karut dan hegemoni yang membelenggu pemikiran moden mereka. Sesungguhnya sebarang usaha mencemarkan maruah bahasa ibunda adalah perbuatan yang tidak boleh dimaafkan sama sekali. Prof Abdullah Hassan ada mengkhabarkan tentang pembentang Hawaii yang menyatakan bahawa bahasa Hawaii telah pupus sepenuhnya lantaran pemimpin zaman yang tak lama dahulu terlalu mengagungkan bahasa orang putih dengan memutihkan semua bahasa asli Hawaii.

Tertarik saya pada sebuah forum beberapa malam sudah. Seorang dari kementerian pelajaran manakala dua lagi ahli akademik bergelar profesor. Bangganya saya profesor dari UKM itu adalah kaum cina, bertambah berbangganya apabila beliau dengan tegasnya mengatakan bahawa bahasa melayu mampu menjadi bahasa ilmu maka mengapa pula harus diambil bahasa inggeris sebagai bahasa untuk mendalami sains dan matemtik. Bangsa yang berjaya di dunia ini tak pernah menjadikan bahasa inggeris sebagai bahasa perantara dalam mengembangkan ilmu sains dan teknolofgi mereka. Hairan juga saya jika kita (Malaysia) beria-ia memperkenalkan dasar pandang ke timur dengan menjadikan Jepun dan Korea sebagai contoh untuk mengembangkan teknologi kita maka kenapa kita tidak melihat satu perkara yang menjadi tunjang kepesatan mereka, iaitulah bahasa. Tidak dinafikan mereka juga menggunakan bahasa inggeris tetapi bukan sebagai bahasa buku teks untuk anak-anak mereka. Hanya diajar bahasa inggeris untuk mereka boleh berkomunikasi dengan orang luar.

Sebagai contoh, Thailand- adakah anda pernah menonton rancangan televisyen Thailand? Jika pernah, perasankah anda bahawa semua rancangan tak kira dari jepun atau amerika hatta cerita hindustan pun dialih bahasa kepada bahasa thai@siam. Betapa mereka begitu taksub terhadap bahasa mereka. Tapi kita pula sanggup menggunakan bahasa inggeris hatta dalam dewan parlimen yang sepatutnya menggunakan bahasa melayu bahkan sesetengah ahli parlimen dengan wenangnya tidak menyebut dengan izin apabila menuturkan istilah tertentu bahasa inggeris. Lebih teruk apabila keluar parlimen pabila bercakap depan wartawan dia main rojak pasemboq je bahasa tu. Jadi inilah pemimpin yang kita harapkan untuk memperkasakan bahasa kebangsaan.




1 ulasan:

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Semoga Allah merahmati tuan. Saya doakan tuan terus memperoleh kekuatan fizikal, kecerdikan minda dan kemahiran melahirkan fikiran. Saya yakin tuan faham hadis lima sebelum lima. Manfaatkanlah usia muda tuan.

Tulisan tuan ini berkesan. Tuan dapat mempertajam tulisan tuan dari semasa ke semasa. Di samping itu, terus cari jalan agar pemikiran tuan tersebar lebih luas. Insya-Allah, saya akan berusaha mengikuti blog ini dan memanfaatkan pemikiran tuan.

Wallahuaklam. Wassalam.

Myblogloglaq