Isnin, November 23, 2009

Puisi pertama di Berita Minggu


Seingat saya puisi pertama saya di Mingguan Malaysia adalah pada Mei 2008. Saya hilang keratannya ketika proses perpindahan dari kolej kelima ke rumah sewa di Taman Bukit Angkasa. Memanglah satu kerugian. Harus dibuat bagaimana..

Ketika sedang menikmati sarapan pagi bersama sahabat-sahabat PENA di Dewan Banquet DBP awal pagi hari ini mereka pakat kata puisi saya tersiar di Berita Minggu. Otak saya menggaru-garu benak akal dan mencari ingatan dalam arkib lupa. Ah.. bila aku hantar dan yang mana ya.. Seingat saya sukarnya hantar ke Berita Minggu. Tiap kali hantar mesti tak sampai. Beberapa kali bertanya Nazmi Yaakub tapi dia kata emel itulah. Bila saya buka sent item.. La rupanya yang saya hantar minggu lepas. Lepas la pulak. Sayangnya yang ini lupa letak alamat rumah kat kg da. takpelah, lain kali letaklah. Namun saya cukup puas hati dapat melekat di jaring sastera Berita Minggu.

Serumpun Tidak Seperdu
(bersatulah Melayu sedunia)

Dalam serumpun buluh
tidak seperdu pun yang utuh
hingga tebing runtuh
kerana aur tidak kukuh.

Serumpun buluh tidak seperdu
jauh-jauh dari tebing sungai deras
bagaimana aur ‘kan menjadi padu
menahan tebing dari jatuh
habis buluh dibawa arus.

Serumpun tidak seperdu
Tidakkan bersatu!

Hasmora Masnuri
Taman Bukit Angkasa, KL
0530 pagi, 14 September 2009.



Rabu, November 18, 2009

Meredah hujan kota metropolitan

Tadi saya ke Gombak dengan motosikal yang dipinjamkan Tuan Haji Shamsudin Othman Al-Johori semalam, ada urusan di SKEM. Tak jadi hendak ke SAKM 09 di UKM. SKEM ialah Institut memandu yang saya jadi ejen pendaftaran di Universiti Malaya sejak saya tahun dua, 2006. Tapi urusan utama ialah lesen saya sendiri yang terbengkalai sejak bulan Jun tahun lepas, di samping turut memaklumkan untuk berhenti menjadi ejen. Ingin saya sudahkan lesen di Kelantan. Sementara menunggu penempatan mengajar yang entah bila. Dengar-dengarnya lewat, seperti maklumbalas pihak KPM beberapa minggu sudah. Lama masa yang saya ambil untuk sudahkan lesen kereta nan sekeping. Lantaran sibuknya saya pada perkara lain. Dan juga belanjawan saya yang sudah ‘lari’ ke perkahwinan saya. Hehe.

Dalam perjalanan pulang turun hujan. Lebatnya alang kepalang. Berhenti bawah khemah tepi jalan. Sudah berteduh dua orang. Saya hanya senyum pada mereka. Dan kami hanya senyum sepanjang perteduhan kami itu. Tiada butir bicara kata walau sepatah. Senyum mungkin sudah cukup untuk mewujudkan suasana harmoni dan mesra kerana kami tahu kami senasib. Tersangkut perjalanan dek hujan. Sudah musim dia. Dan hujan pun aturan Yang Maha Pencipta. Tidak perlu sesiapapun merungut pabila turun hujan. Ini tidak “alah... hujan pulak dah..” tapi itulah yang selalu terjadi pada kebanyakan orang. Kufur nikmat weii..

Dua kali saya berhenti sebelum tiba ke destinasi kedua, Hentian Putra. Beli tiket pulang pula Isnin depan ni. Dengan basah kuyup masuk ke dalam. Kasut pun basah. Rosak pulak kasut buaya aku tak sempat baham orang lagi. Kasut hantaran kahwin tu.huhuhu.

Tika entri ni ditulis (baca taip) hujan masih turun. Patutlah semalam hujan tak turun rupanya qadha pada hari ni. Tak betah saya tinggalkan isteri di kampung musim-musim hujan begini. Hehehe. Tapi kerana Pertemuan Penyair Nusantara sudah dirancang lama dan saya terlibat secara serius sebagai urus setia tidak boleh saya menarik diri meski kakak saya yang menjanda itu akan menamatkan status jandanya Jumaat ini. Mujur dia tak kisah, dan dia pun tak boleh nak kata apa pada saya. Lagipun saya sudah tinggalkan isteri saya sebagai wakil. Aulawiyatnya ialah saya harus menunaikan yang amanah diberikan. Apapun, semoga kakak saya menikmati musim hujan ni dengan suaminya yang baru. Hahaha...

Muka depan SKEM, kawasannya hampir dengan Muzium Orang Asli



berhenti teduh tak jauh dari Greenwood. Motosikal ni Haji Sham Al-Johori punya



Kembali ke Kuala Lumpur

5.20 pagi semalam saya tiba di Terminal Putra, Kuala Lumpur. Bertolak dari Terminal Bas Transnasional Langgar, Kota Bharu jam 9.00 malam. Asal perancangan hendak bertolak pagi semalam bas jam 9 pagi. Tapi mendapat SMS dari Haji Shamsudin Othman memaklumkan mesyuarat pada 17 November jam 4.30 petang (semalam la maknanya tuh) di Rumah PENA. Mujurlah belum beli tiket lagi. Segera saya ke Terminal Langgar beli tiket. Memang nak beli tiket dah pun petang tu tapi perancangan asal bukan hendak ke KL malam, tapi pagi.

Sampai di Terminal Putra, turun bas saja ramai pemandu teksi menerpa dan bertalu-talu menawarkan khidmat. Saya hanya geleng saja. Kalau waktu siang tengahari tambang dah RM 10 untuk perjalanan sedekat Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam apatah lagi untuk kala dinihari. Mahunya depa perah poket sampai tinggal sekupang. Saya memilih untuk naik komuter seperti selalunya. Dengan sebuah beg galas dan sebuah beg besar yang ada dua beg lagi di dalamnya saya berjalan ke stesen komuter seberang jalan. Ke Stesen Angkasapuri tambangnya baru seringgit.

Komuter sampai jam 5.55 pagi. Orang tak ramai. Yang ada jeling-menjeling. Tak mesra langsung. Senyum saya tak berbalas. Mungkin masing-masing masih mengantuk. Senyum masih tawar. Apalah mamat ni senyum. Ada apa-apa ke.. mungkin itu yang bermain di benak mereka. Ah, pedulilah. Di KL Sentral naik beberapa orang. Duduk tak jauh dari saya. Dari gaya bercakap bukan orang Malaysia. Macam Indonesia tapi tentunya bukan Jawa sebab saya pernah dengar bahasa Jawa. Bukan begitu. Sampai di Angkasapuri saya turun. Angkat beg yang agak berat naik jejantas. Mungkin sebab kurang latihan sejak bergelar pegawai kadet bersara menyebabkan stamina pun berkurang. Habis halangan jejantas saya heret beg bertayar tu. Ada seorang lelaki menunggu komuter dan saya senyum. Hambar tak berbalas. Serempak dengan petugas stesen yang baru sampai pun saya buat tak tahu. Bengang dah.

Saya memilih untuk naik bas, bukan minta tolong kawan di rumah sewa sebab beg besar susah bawa dengan motosikal. Seringgit juga tambangnya. Kalau teksi duduk saja dah tiga ringgit. Sampai di flat mahunya 5-6 ringgit. Padahal kalau berjalan tak sempat berpeluh pun. Takkan nak berjalan heret beg bertayar yang murah pagi buta. Berat pulak tu. Sampai di Kampung Pantai Dalam, ramai yang naik. Penuh satu bas. Kerana saya duduk belakang pemandu dan dekat pula dengan pintu maka saya tengok satu demi satu yang naik. Saya cam, wah ini semua bapak-bapak sama ibuk-ibuk mau pergi kerjak! Kebetulan pula pemandunya bernama Sunarto dan yang baru naik seorang berbicara samanya begitu lama sampai saya turun di Taman Bukit Angkasa. Nampak gayanya sungguhlah Kuala Lumpur bukan sahaja cepat banjir dek hujan malah sudah banjir sama pendatang!

Selasa, November 17, 2009

Berubah wajah lagi

Saya harap ini kali terakhir saya mengubah wajah blog ini. Tapi ini bukan muktamad lagi, Cuma selepas ini kalau saya ubah pun saya guna template sedia ada sahaja. Template sebelum ini meskipun cantik tapi ia mungkin agak berat untuk sesetengah komputer orang yang mengunjungi blog ini.

Dua orang komplen serupa, Ustaz Azman Al-Kurauwi dan terbaru Marsli N.O. Masing-masing kata kenapa blog ni jadi kelabu. Mungkin latarbelakang blog ini kelabu dan ditampal kanvas biru yang cantik. Saya ingat tulisan saja yang kelabu rupa-rupanya latar pun sama. Saya harap tak ada yang komplen tak dapat baca blog ini disebabkan template sebab saya sudah gunapakai template biasa yang sedia ada dalam senarai blogspot.

Buat semua, selamat menulis blog.

Perkampungan Penulis 1Malaysia


Perkampungan Penulis 1 Malaysia selama tiga hari di Biro Tatanegara, Akademi Kenegaraan - tidaklah begitu mengujakan. Namun kerana ia peluang untuk menimba ilmu dan pengalaman saya gagahkan jua untuk pergi.

Saya rasakan lewat untuk mencatat kehadiran saya di perkampungan itu, tapi lebih baik catat. Ada juga kenangan untuk dikongsi. Program berlangsung tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November lalu. Saya memilih untuk sebilik dengan Abdul Hadi Yusuf. Keunikan di BTN ialah dalam satu bilik dibahagikan kepada tiga bilik kecil lengkap dengan katil untuk seorang, pendingin hawa dan sebuah almari. Kak Wan Zaida kata macam hotel Cuma kena bawa ‘toilettries’ sendiri.

Terdapat seminar dan bengkel. Juga acara deklamasi puisi yang sebenarnya tiada dalam tentatif. Diadakan serta merta. Bengkel diagihkan peserta kepada kumpulan kecil, kumpulan saya dikendalikan oleh Sdr. Abdul Hadi. Tapi beliau terpaksa pulang ke Kelantan pada sesi kedua, diganti oleh Cikgu Amiruddin.

Dua buah puisi bertema 1 Malaysia kena hasilkan. Masing-masing pakat perah otak. Memang kalau saya ada masanya tersumbat payah sungguh nak buat sajak bersifat tempahan. Tapi saya gagahkan juga. Keluar dengan Sdr. Abdul Hadi dalam jam 12.30 pagi cari air dengan kacang di kedai mamak dekat Hotel Midah. Balik ke bilik makan kacang dengan air tambah seratus (baca hundred plus) pun tak jadi. Saya tinggal Abdul Hadi sorang-sorang buat sajak. Saya baru siap empat baris masa masuk tidur. Hanya ketika mandi pagi yang agak lama (bukan mandi wajib ya) barulah dapat idea mencurah-curah macam air hujan. Siap mandi saya terus tulis. Edit semasa bengkel. Saya hanya peduli komen Sdr Abdul Hadi. Komen Cikgu Amirudin saya peduli juga tapi ia tak mengubah puisi saya itu. Saya kalau saya dah rasa puas dengan editan itu maka saya muktamadkan puisi itu. Kecuali saya baca semula dan rasa perlu edit barulah saya edit.

Saya turunkan di sini sebuah puisi yang sudah di tangan Perpustakaan Negara saya rasa. Puisi ini alami perubahan kedudukan rangkap selepas dikomen oleh Sdr Abdul Hadi. Bertambahlah guru sajak saya. Guru cerpen saya masih hanya Zaharah Nawawi. Sebab tu belum menulis dengan semangat. Hehe.. sebenarnya itu hanyalah alasan orang yang malas sahaja. Mahu seribu daya upaya kan...


Tanah Darah Pusaka

Tanah ini, tanah darah pusaka
yang kita boleh berkongsi
atas nama bangsa Malaysia
namun itu tidak bermakna
boleh menuntut hak yang sama
sedangkan kami lebih lama
bermukim di tanah ini.

Ini, tanah darah pusaka
boleh dikongsi banyak perkara
cuma hormatilah hak istimewa
kerana kami awal mula
meneroka ini benua.

Ibu pertiwi warisan pusaka
mengandung jasad pembela nusa
lalu bisakah kita memberi
apa sahaja yang dipinta
sedangkan telah termaktub
dalam kitab kanun negara.

Tanah ini tanah warisan
dipertahankan nenek moyang
dengan menumpahkan darah
hingga kini masih basah
semerbak harum wangi tanah.

Hasmora Masnuri
Akademi Kenegaraan, Kuala Lumpur
30 – 31 Oktober 2009.

Myblogloglaq