Selasa, November 17, 2009

Perkampungan Penulis 1Malaysia


Perkampungan Penulis 1 Malaysia selama tiga hari di Biro Tatanegara, Akademi Kenegaraan - tidaklah begitu mengujakan. Namun kerana ia peluang untuk menimba ilmu dan pengalaman saya gagahkan jua untuk pergi.

Saya rasakan lewat untuk mencatat kehadiran saya di perkampungan itu, tapi lebih baik catat. Ada juga kenangan untuk dikongsi. Program berlangsung tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November lalu. Saya memilih untuk sebilik dengan Abdul Hadi Yusuf. Keunikan di BTN ialah dalam satu bilik dibahagikan kepada tiga bilik kecil lengkap dengan katil untuk seorang, pendingin hawa dan sebuah almari. Kak Wan Zaida kata macam hotel Cuma kena bawa ‘toilettries’ sendiri.

Terdapat seminar dan bengkel. Juga acara deklamasi puisi yang sebenarnya tiada dalam tentatif. Diadakan serta merta. Bengkel diagihkan peserta kepada kumpulan kecil, kumpulan saya dikendalikan oleh Sdr. Abdul Hadi. Tapi beliau terpaksa pulang ke Kelantan pada sesi kedua, diganti oleh Cikgu Amiruddin.

Dua buah puisi bertema 1 Malaysia kena hasilkan. Masing-masing pakat perah otak. Memang kalau saya ada masanya tersumbat payah sungguh nak buat sajak bersifat tempahan. Tapi saya gagahkan juga. Keluar dengan Sdr. Abdul Hadi dalam jam 12.30 pagi cari air dengan kacang di kedai mamak dekat Hotel Midah. Balik ke bilik makan kacang dengan air tambah seratus (baca hundred plus) pun tak jadi. Saya tinggal Abdul Hadi sorang-sorang buat sajak. Saya baru siap empat baris masa masuk tidur. Hanya ketika mandi pagi yang agak lama (bukan mandi wajib ya) barulah dapat idea mencurah-curah macam air hujan. Siap mandi saya terus tulis. Edit semasa bengkel. Saya hanya peduli komen Sdr Abdul Hadi. Komen Cikgu Amirudin saya peduli juga tapi ia tak mengubah puisi saya itu. Saya kalau saya dah rasa puas dengan editan itu maka saya muktamadkan puisi itu. Kecuali saya baca semula dan rasa perlu edit barulah saya edit.

Saya turunkan di sini sebuah puisi yang sudah di tangan Perpustakaan Negara saya rasa. Puisi ini alami perubahan kedudukan rangkap selepas dikomen oleh Sdr Abdul Hadi. Bertambahlah guru sajak saya. Guru cerpen saya masih hanya Zaharah Nawawi. Sebab tu belum menulis dengan semangat. Hehe.. sebenarnya itu hanyalah alasan orang yang malas sahaja. Mahu seribu daya upaya kan...


Tanah Darah Pusaka

Tanah ini, tanah darah pusaka
yang kita boleh berkongsi
atas nama bangsa Malaysia
namun itu tidak bermakna
boleh menuntut hak yang sama
sedangkan kami lebih lama
bermukim di tanah ini.

Ini, tanah darah pusaka
boleh dikongsi banyak perkara
cuma hormatilah hak istimewa
kerana kami awal mula
meneroka ini benua.

Ibu pertiwi warisan pusaka
mengandung jasad pembela nusa
lalu bisakah kita memberi
apa sahaja yang dipinta
sedangkan telah termaktub
dalam kitab kanun negara.

Tanah ini tanah warisan
dipertahankan nenek moyang
dengan menumpahkan darah
hingga kini masih basah
semerbak harum wangi tanah.

Hasmora Masnuri
Akademi Kenegaraan, Kuala Lumpur
30 – 31 Oktober 2009.

Tiada ulasan:

Myblogloglaq