Rabu, November 18, 2009

Kembali ke Kuala Lumpur

5.20 pagi semalam saya tiba di Terminal Putra, Kuala Lumpur. Bertolak dari Terminal Bas Transnasional Langgar, Kota Bharu jam 9.00 malam. Asal perancangan hendak bertolak pagi semalam bas jam 9 pagi. Tapi mendapat SMS dari Haji Shamsudin Othman memaklumkan mesyuarat pada 17 November jam 4.30 petang (semalam la maknanya tuh) di Rumah PENA. Mujurlah belum beli tiket lagi. Segera saya ke Terminal Langgar beli tiket. Memang nak beli tiket dah pun petang tu tapi perancangan asal bukan hendak ke KL malam, tapi pagi.

Sampai di Terminal Putra, turun bas saja ramai pemandu teksi menerpa dan bertalu-talu menawarkan khidmat. Saya hanya geleng saja. Kalau waktu siang tengahari tambang dah RM 10 untuk perjalanan sedekat Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam apatah lagi untuk kala dinihari. Mahunya depa perah poket sampai tinggal sekupang. Saya memilih untuk naik komuter seperti selalunya. Dengan sebuah beg galas dan sebuah beg besar yang ada dua beg lagi di dalamnya saya berjalan ke stesen komuter seberang jalan. Ke Stesen Angkasapuri tambangnya baru seringgit.

Komuter sampai jam 5.55 pagi. Orang tak ramai. Yang ada jeling-menjeling. Tak mesra langsung. Senyum saya tak berbalas. Mungkin masing-masing masih mengantuk. Senyum masih tawar. Apalah mamat ni senyum. Ada apa-apa ke.. mungkin itu yang bermain di benak mereka. Ah, pedulilah. Di KL Sentral naik beberapa orang. Duduk tak jauh dari saya. Dari gaya bercakap bukan orang Malaysia. Macam Indonesia tapi tentunya bukan Jawa sebab saya pernah dengar bahasa Jawa. Bukan begitu. Sampai di Angkasapuri saya turun. Angkat beg yang agak berat naik jejantas. Mungkin sebab kurang latihan sejak bergelar pegawai kadet bersara menyebabkan stamina pun berkurang. Habis halangan jejantas saya heret beg bertayar tu. Ada seorang lelaki menunggu komuter dan saya senyum. Hambar tak berbalas. Serempak dengan petugas stesen yang baru sampai pun saya buat tak tahu. Bengang dah.

Saya memilih untuk naik bas, bukan minta tolong kawan di rumah sewa sebab beg besar susah bawa dengan motosikal. Seringgit juga tambangnya. Kalau teksi duduk saja dah tiga ringgit. Sampai di flat mahunya 5-6 ringgit. Padahal kalau berjalan tak sempat berpeluh pun. Takkan nak berjalan heret beg bertayar yang murah pagi buta. Berat pulak tu. Sampai di Kampung Pantai Dalam, ramai yang naik. Penuh satu bas. Kerana saya duduk belakang pemandu dan dekat pula dengan pintu maka saya tengok satu demi satu yang naik. Saya cam, wah ini semua bapak-bapak sama ibuk-ibuk mau pergi kerjak! Kebetulan pula pemandunya bernama Sunarto dan yang baru naik seorang berbicara samanya begitu lama sampai saya turun di Taman Bukit Angkasa. Nampak gayanya sungguhlah Kuala Lumpur bukan sahaja cepat banjir dek hujan malah sudah banjir sama pendatang!

2 ulasan:

Azrul Hisham berkata...

welcome back to KL bro... (^_^)

Hasmora berkata...

datang kejap je bro.. seminggu utk Pertemuan Penyair Nusantara :)

Myblogloglaq