Sabtu, September 12, 2009

Ruang-Ruang Kemerdekaan


Telah kita korbankan sebahagian usia
mengisi ruang kemerdekaan negara
lalu adakah kita kan membiarkan
anak muda hari ini memunah masa depan
dengan gaya hidup rosak cara barat
dibangga-banggakan hingga menjadi
cara hidup sekalian marhaen
melupuskan resam adab budaya timur.

Ruang-ruang kemerdekaan kini
sungguh polos dengan hedonisme
rencam angan-angan disebut wawasan
umat ini sungguh makin lupa pada Tuhan
Tuhan dipedulikan hanya pada waktu solat
agama dirujuk ketika nikah dan cerai
imam dicari tatkala kematian sanak-saudara
masjid dijejak untuk solat sunat hari raya
sedang waktu biasa masa menjadi sia-sia
dengan aktiviti maksiat dan liburan semata.

Umat hari ini mengisi ruang kemerdekaan
memadai bagi mereka dengan mengibar bendera
cukup dengan hadiri ceramah patriotik anjuran penguasa
menunjukkan semangat tatkala perhimpunan para pemuda
lalu apakah untung kepada negara, andai ini semua
tidak lebih hanyalah semata-mata retorik belaka.

Ruang-ruang kemerdekaan, malangnya
terisi oleh hedonisme dan retorika sia-sia.

Hasbullah Mohamed Rahman
Taman Bukit Angkasa,
Kuala Lumpur.

Ahad, Ogos 30, 2009

Kali yang terakhir

Semester lepas, ketika itu saya meniti hayat terakhir sebagai mahasiswa di Universiti Malaya. Di hadapan Bank Islam, Bangunan Peperiksaan, dia datang kepada saya dan meminta supaya menyertai pertandingan pantun anjuran jabatannya. Sebagai kerja kursus katanya. Namun saya tidak menjanjikan apa-apa. Tengok keadaan kata saya. Saya ambil nombor dia, dan dia ambil nombor saya.

Tidak berapa lama dia SMS saya. Saya mula garu kepala. Mana nak cari lagi dua orang peserta. Hendak tiga satu kumpulan. Saya kata saya kan beritahu bila dah jumpa orangnya. Saya tanya Hafizul. Dia tak sudi. Aku tak pandai berpantun, katanya. Saya tanya Cik Salmi Manja (gelar saya padanya).. pun tak sudi. Saya pun beritahulah dia, tak dapat menyertai sebab tiada partner.

Semalam, sedang saya jaga buku di Akademi Islam, Maizatu Akman mampir lalu mengkhabarkan pemergiannya menemui Tuhannya. Innalillah.. satu kejutan buat saya. Arwah seorang yang periang dan sangat aktif dalam Persatuan Mahasiswa Kelantan. Kali pertama engenali sejak di tahun tiga dulu semasa program gerai konvo. Ada gelaran diberi untuk mereka tiga orang. Lupa dah... ish... kenangan tu.. boleh lupa pulak dah.. kali terakhir berseloroh dengannya ketika gerai konvo yang lalu. Tika itu saya sudah jadi pelanggan. Bukan pekerja lagi dah. Dah empat tahun saya di dapur Citarasa Darul Naim. Tiba masa kena jadi pelangganlah pula.

Itulah permintaan pertama dan terakhir dari dia kepada saya. Hari ini rasa terkilan itu tiba-tiba menerpa kerana tidak menunaikannya dulu. Ah, sesal tiada guna.

Al-Fatihah buat Arwah Siti Shuhada Mohamad. Semoga beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang soleh di akhirat kelak. Amin...


Jari Siti Suhada dan hafizul seolah-olah saling menunjuk antara satu sama lain.. yang berpaling ke kanan dipanggil kawan-kawan sebagai Seni. Tak silap saya, ini gambar terbaru di gerai CDN, konvo yang lalu..
(sumber gambar dari blog PMKUM)

Jumaat, Ogos 28, 2009

Ismail oh Ismail

Di kampung saya ada dua orang Ismail Mamat. Sorang baru sahaja meninggal beberapa bulan lepas. Beliau lebih dikenali sebagai Haji Ismail. Alfatihah.. saya hanya mampu mengirim SMS takziah kepada anak sulungnya. Dan sedekahkan al-Fatihah cuma. Tidak mampu saya pulang menjenguk insan yang pernah menjadi sahabat dan guru saya itu. Hari itu hari sabtu, 2 Mei dan latihan mengajar hanyalah hari isnin berikutnya. Seorang lagi Ismail Mamat ialah sahabat karib saya sejak kecil yang juga rumahnya sebelah rumah saya saja. Kalau datang berita mengatakan Ismail Mamat maka saya akan tanya Ismail yang mana? Alhamdulillah sahabat saya itu masih ada untuk saya tatap dan mungkin saya akan menyaksikan dia berteman tidak lama lagi..hehe.. ada beberapa orang lagi Ismail di kampung saya, antaranya dikenali sebagai Pakdo Weil, Pak Muda (juga dipanggil sebagai Jusuh dalam kalangan rakan sebayanya), Mail Keh (buldozer, sebab dulu keja dia bawak makeluk tu).. dan beberapa lagi Ismail termasuklah ayah sepupu saya yang anaknya serumah dengan saya sekarang.. orang kampung panggil dia Pokheng..

Malam tadi pula saya dapat satu SMS dari seorang kawan berbunyi begini;

“Innalillahi wainna ilaihi rajiun, Ustaz Ismail Kamus baru menemui Allah sebentar tadi.. satu kehilangan besar buat agama dan negara.. semoga Allah mencucuri rahmat kpdnya.. tlg fwd sama”

Saya tak melatah.. saya buka facebook.. biasa kawan-kawan ada yang mengulas dalam status mereka. Saudara Afifi ada tulis sesuatu menafikan.. Sape la sebarkan fitnah Ust. Ismail Kamus meninggal katanya. Saya pun komenlah status dia tu.

Tak lama lepas tu menyusul SMS berikutnya dari kawan sama.. alhamdulillah nasib saya selidik dulu.. saya juga SMS sahabat di Gombak, Ustaz Hj Manaf yang merupakan murid Ustaz Ismail Kamus. Pendek saja jawapannya “nawok tu”.. haha.. ringkas tapi padat.

Maka saya terbaca sebuah berita dalam Berita Harian online tentang Prof Ismail Salleh yang meninggal dunia akibat sakit jantung. Mungkinlah ada pihak yang memanipulasikan berita ini lalu mensensasikannya dengan mengatakan Ustaz Ismail Kamus yang meninggal dunia. Padahal beliau sedang berada di Mekah dalam keadaan sihat wal afiat. Subhanallah, siapalah punya kerja tak senonoh sebar berita palsu di bulan mulia ni..

Alfatihah buat Prof Ismail Salleh dan takziah buat keluarga arwah. Semoga beliau dicucuri rahmat olehNya.


Dr Md Ismail Salleh (sumber BH online)


SYAKIR Hanis (dua dari kanan) bersama kakak dan abang menyiram air mawar di pusara bapa di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang, semalam. (sumber BH online)

Ahad, Ogos 23, 2009

Sijil halal hotel


Apabila membaca berita dalam Utusan Online tentang sijil halal hotel di Malaysia, terpana saya sekejap. Sebelum itu saya sudah dengar dari radio IKIM FM, beberapa peratus saja. Memang mengejutkan. Gelap perut la makan kat hotel yang teramat was-was dapur depa.

Inilah yang menggusarkan saya kalau nak pergi hotel. Lebih baik makan kat warung tepi jalan. Kalau nak nampak mewah pun restoren yang ada nama sikit. Kalau di Pantai Dalam ni, Anis Putri Konar bagi saya paling oklah. Kena dengan selera Kelantan saya, meskipun kemungkinan makanan dimasak oleh mek-mek Indon amat besar.

Oleh yang demikian, perlulah alternatifnya. Apa alternatif yang mampu menghilangkan gusar anda yang mementingkan halalan toyyiba bukan hotel mewah dan berbintang-bintang semata? Bagi saya, usahawan Islam wajib menceburkan diri dalam bidang perghotelan. Dan sepuluh bintang dari empat belas bintang bendera Malaysia saya beri kepada Haji Ismail, bigboss HPA atas usahanya dalam mendirikan hotel HPA yang halal. Kenapa hanya 10? Nanti beliau berjaya buat satu Malaysia baru dapat 14! 10 pun dah banyak dah tu..hehe

Saudara-saudariku muslimin muslimat yang dirahmati Allah sekalian, carilah yang halal dalam apa jua urusan anda demi akhirat yang sejahtera.


Hotel HPA yang akan dibina di Kota Bharu, insyaAllah.. takbir!
(sumber gambar)

Sabtu, Ogos 22, 2009

Malam yang pertama


Alhamdulillah, akhirnya kita masih sempat berada di madrasah Ramadhan yang teramat mulia. Pastinya inilah saat detik yang ditunggu sekalian para solehin. Musim beribadat dengan ganjaran melimpah ruah.

Malam yang pertama tarawih, seperti tahun-tahun sebelumnya.. alhamdulillah ramai orangnya. Pernah ketika saya menginap di Kolej Kelima Universiti Malaya, malam pertama terawih jemaah melimpah hingga ke tangga. Melucukan juga tahun lepas di pangsapuri saya tinggal ini, jemaah sampai keluar di koridor.

Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bermaksud “Barangsiapa yang mendirikan sembahyang (terawih) pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Begitu sekali tawaran yang Rasulullah SAW sampaikan dari Allah SWT. Adakah kita mahu memandang remeh tawaran dan peluang keemasan yang tidak selalu datang ini? mahukah lagi kita menangguhkan penerimaan terhadap tawaran yang amat berharga ini?

Sungguh, berapa ramai antara kita yang rugi kerana mensia-siakan sekian banyak peluang yang Allah berikan kepada kita. Hidayah, kita sebenarnya harus berusaha mendapatkannya. Allah berikan kita akal untuk berfikir apa yang baik dan buruk. Allah tidak menghukum atas kealpaan dan kejahilan. Namun setelah sampai seruan dan peringatan, bermulalah taklifan atas kita manusia hamba-Nya.

Pada zaman ini, sepatutnya tiada lagi alasan tidak tahu, jahil dan sebagainya. Tidak semestinya perlu masuk kuliah atau menghadiri majlis ilmu di masjid untuk mendapatkan ilmu agama. Sekarang maklumat di hujung jari. Di televisyen, di radio, buku-buku dan banyak lagi sumber boleh didapati. Ustaz-ustaz pun ramaisekarang ni tak macam dulu. Haruskah lagi kita menunggu tua sedangkan Izrail pasti menjemput bila-bila masa! Yang penting, anda berfikir sejenak, kenapakah anda hidup di dunia, untuk apa dan mengapa.. tidaklah Allah membuat sesuatu dengan sia-sia. Seperti juga Allah jadikan sekalian makhluk dan alam. Pasti ada tujuannya. Anda manusia dikurniakan akal, fikirkanlah!

Malam pertama terawih sudah berlalu, hari pertama Ramadhan ayuh kita mulakan tadarus al-Quran sekurang-kurang sekali khatam bulan ini. Dua kali lagi bagus, insyaAllah sama-sama kita pulun. Dan malam-malam yang seterusnya, ayuh kita hadir tanpa gagal!

Myblogloglaq