Rabu, September 16, 2009

Yang sana kena pergi yang sini kena datang

Semalam hari yang agak kalut. Setelah meminta kebenaran dari Uncle Sultan minggu lepas, bolehlah saya ke program khatam Quran dan berbuka puasa di SMK Seri Permaisuri. Namun beberapa hari lepas itu dapat makluman dari SM Zakir akan diadakan mesyuarat Perhimpunan Penyair Nusantara dan majlis berbuka serta juga solat terawih. Pada waktu yang sama!

Dua perkara meletakkan saya dalam dilema. Saya harus memilih antara dua atau kedua-duanya atau mungkin saya memilih untuk tidak memilih!

Pengetua tidak mahu melepaskan saya dengan alasan yang sama saya terima semasa membuat latihan mengajar di SMK Taman Dato’ Harun dulu. Namun akhirnya pengetua membenarkan dengan syarat saya hadir dulu sekejap majlis khatam kemudian pergilah ke Rumah PENA.

Sempat saya berceloteh dengan shuib ‘penat aku shuib, yang sana kena pergi yang sini kena datang’.. Shuib senyum saja..

Memang melelahkan dari Cheras hendak ke Rumah PENA. Jalan terlampau sesak memberi kesan kepada motor tua saya. 45 minit juga. Mujur juga sempat sekejap hadir mesyuarat yang hampir selesai. Selepas berbuka solat jemaah maghrib dan menunggu isya’ sebelum solat terawih berimamkan Ustaz Azman al-Kurauwi dengan saya sebagai bilalnya.

Dalam kelelahan dan sedikit sakit kepala, hairan juga saya pabila merasakan tubuh saya tidak begitu kekenyangan dan kepenatan ketika terawih seperti malam-malam sebelumnya. Kerana apakah...

Saya pulang selepas menerima beberapa bahan untuk web komuniti PENA dan juga sempat menjemput yang mana sempat ke majlis perkahwinan saya raya ini.. oh ya.. saya akan kahwin.. doakanlah kelancaran majlis dan kebahagiaan saya ya.. :)



"Tak sabar nak balik kampung. Kawe nok kawen" kata Hasmora.

"mu ingat kawen ni mudoh ko?" jawab ustaz Azman dalam nada cemburu.

(gambar dan dialog adalah oleh Zalila Isa dlm album Mesyuarat PPN di facebooknya.. saya akan saman beliau kerana mereka-reka dialog tanpa izin atau mungkin mendesaknya menghadiahkan kamera seperti dia guna sebagai hadiah perkahwinan saya.. haha)

Isnin, September 14, 2009

Sweeping Malaysia? Kamu siapa?

Dua hari lalu di meja makan berbuka puasa di rumah uncle sultan, bersembang-sembang seperti selalu. Tiba-tiba saya tertanya tentang pembantu indonesia mereka yang kelihatan ramai. Dan rupa-rupanya pembantu rumah setiap keluarga yang datang tiap hari berkolaborasi menyediakan juadah berbuka. Saya bertanya tentang gaji mereka. Banyak juga, RM 600. Kemudian tiba-tiba isu terhangat yang merimaskan hubungan indonesia-malaysia timbul. Uncle sendiri bertanya menantunya yang sebenarnya terjadi itu apa kenapa dan bagaimana.

Saya mula menelusuri jaringan maya di laman sesawang penulis-penulis mapan. Dan juga mengikuti perkembangan emosi beberapa rakan. Ramai yang melenting dek kedangkalan segelintir rakyat Indonesia yang gelarkan mereka Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera). Sdr Nassury Ibrahim mengulas tentangnya dengan entri bertajuk sweeping Indonesia from Malaysia. Sila klik kanan dan new tab di sini.

Ada kawan saya mengkeparatkan sekalian orang Indonesia dalam facebook dek insiden bodoh lagi membodohkan ini. Saya membalas kata-katanya dengan mengkritik akan kedangkalannya berfikir memukul rata semua orang Indonesia sedemikian rupa sedangkan yang buat hanya beberapa makhluk mangkuk sahaja.

Tidak adil sebagai seorang siswazah yang diwatikahkan segulung ijazah menghukum orang berdasarkan emosi dan fikir lapis pertama. Tidak adil sama sekali. Seharusnya beliau menggunakan ilmu dan pengalaman yang didapati selama bertahun di alam kampus dengan penuh bijaksana.

Tidaklah cerdik segelintir manusia mangkuk yang melatah tak tentu pasal pabila ada pihak yang tersilap memasukkan budaya tarian mereka dalam beberapa minit promosi pelancongan Malaysia. Saya rasa yang tukang buat iklan tu pun tak boleh nak beza yang tu tarian apa dan dari mana kerana mereka anggap kalau tarian melibatkan orang melayu semuanya sama saja tak kiralah Negara mana. Dan saya rasa alasan mereka kalau mereka dipersalahkan mereka akan berkata – bukankah Indonesia dan Malaysia Negara melayu serumpun? Hah, telanlah hakikat itu sendiri.

Kalau dulu-dulu bolehlah pemimpin Indonesia lantang mengganyang Malaysia. Tapi sekarang zaman sudah berubah. Malaysia sudah jadi Negara membangun yang disegani di rantau asia. Dan rakyat Indonesia sendiri berapa ramai mencari rezeki di Malaysia. Dalam hal ini, Malaysia dan Indonesia saling memberi dan menerima. Itulah hikmah berjiran. Bak kata SBY ‘kita boleh memilih teman, tetapi kita tidak boleh memilih jiran’. (sumber: blog Nobisha)

Agaknya yang bikin onar di sana lupa bahawa sebelum ini Malaysia terlalu banyak menghargai hiburan dan kebudayaan mereka. Dangdut itu asalnya malaysiakah? Bagaimana dengan artis-artis Indonesia yang bagai kambing ceroboh kandang lembu tumpang sekaki makan rumput. Ini hanya analogi, saya tidak kata para artis itu kambing dan lembu. Kalau anda faham begitu apa harus saya buat. Kenapa mereka tidak melenting dan membawa buluh runcing bila cerita indon siang malam main di tv Malaysia. Hanya kerana sedikit tanyangan tarian pendet yang saya pun baru dengar, sudah hendak isytihar perang kepada jiran sebelah menyebelah? Bukankah itu namanya bodoh lagi membodohkan!

Namun begitu saya melihat perkara ini dari satu sudut positif. Dan tidak mahu menyalahkan sesiapa kecuali mereka yang terlibat mengkhinzir-buta. Saya syak semua ini ada dalang yang maha jahat cuba melaga-lagakan serumpun bangsa. Supaya berlaku perang saudara. Paling tidak silaturrahmi harmoni terjalin selama ini renggang dan bermasam muka. Cuma persoalannya siapa? Yahudi? Amerika?

Apa pula gelagat pemimpin kita dan mereka dalam menangani masalah ini. Bolehkah kita mengguna istilah ‘satu nusantara’ untuk mengeratkan hubungan sesama melayu seperti satu malaysia menjadi gagasan walaupun ia tidak ubah seperti mengolah semula perpaduan antara kaum dalam format baru?

Sebenarnya Islam telah sempurna ajarannya dengan menekankan perpaduan semua bangsa, puak dan kaum. Namun ironinya perjuangan kebangsaan yang diperjuangkan menekankan ketuanan bangsa menyebabkan bangsa lain pun terasa disisihkan.

Begitulah akhirnya apabila kita sebenarnya terlalu menurut akal dan nafsu, bukan Al-Quran dan Hadis Rasul SAW yang mana jika kita berpegang kepada keduanya akan selamat sejahtera dan aman harmonilah hidup kita.

Ahad, September 13, 2009

Kotak bicara kembali!


Setelah sekian lama kotak bicara gagal berfungsi dek keghairahan mengedit blog sedikit masa dulu, kini ia dapat diguna kembali dan masih juga yang lama. Bukan yang baru. Dan yang terakhir mencatat bicara ialah suhada jaafar..

Kotak bicara ini khusus untuk anda berinteraksi dengan saya dan juga dengan orang lain yang turut menggunakannya. Amatlah diharapkan budi baik saudara saudari berbahasa dengan bahasa sepatutnya dan berbicara seperti orang berbudi bahasa layaknya.

Selamat menggunakannya.

Bersalin kulit

Alhamdulillah, akhirnya...

Sudah lama sebenarnya saya ingin menyalin kulit blog ini. Akhirnya setelah bertemu kulit yang sesuai dan berkenan di mata maka tibalah masanya ia ditukar.

Oh ya.. ingin beri pandangan? Apa-apalah pandangan sama ada cara menulis ke.. tentang template baru ni ke atau apa-apa sajalah.. yang penting anda jaga bahasa anda. Jangan mencarut. Bulan puasa ni. Kemudian jagalah cara anda menulis. Tulis dalam tulisan penuh, bukan tulisan SMS. Kita ada ruang yang cukup untuk berjuta perkataan dalam jaringan maya ini.

Cerita Tiga Orang Bakhtiar

Pertama-tama saya mohon maaf andai anda yang membaca bernama Bakhtiar atau anda punyai kaitan saudara dengannya, kerana nukilan saya kali mungkin kan mengguris rasa. Maaflah ya.. bukan hendak membuka aib sesiapa cuma hendak berkongsi sedikit cerita dari beberapa peristiwa yang mencuit jiwa saya.

Atau anda yang saya sebut sendiri adalah watak cerita, maaflah ya.. sekadar berkongsi luahan rasa untuk tauladan bersama.

Bakhtiar yang pertama;

Ketika saya menjaga kedai buku di Akademi Islam, sebelum saya menjadi guru ganti di SMK Seri Permaisuri, Cheras.. ada seorang Bakhtiar datang kepada saya. Hari itu adalah hari terakhir saya menjaga kedai buku Ustaz Azman al-Furati (gelarnya begitu kerana syarikatnya bernama Furat Enterprise). Ketika dia datang adalah beberapa orang pelanggan lain, anak gadis. Setelah gadis-gadis itu beredar dia memberitahu saya akan isi hatinya yang berkenan dan suka pada gadis Kelantan, terutama yang dia lihat itu tadi. Comel dan manis katanya. Dia beli sebuah buku dan meminta nombor saya. Pertama kali saya tulis nombor telefon pada buku yang saya jual. Kenapa dia tak minta autograf saya sekali ye.. silap tu.. tandatangan saya lawa apa.. hehe

Hari berikutnya adalah langkah seterusnya bagi dia. Dia sms saya dan telefon saya. Bagi saya, inilah orang pertama begitu serius mencari jodoh melalui saya. Sebelum ni sudah ada, tapi sekadar sembang-sembang gitu saja. tidaklah sampai sms bertalu-talu dan bercakap lebih lima minit untuk hal ini. Bagi saya berbicara dengan lelaki yang baru kenal dalam telefon melebihi lima minit untuk hal seperti ini sudah dikira amat serius. Bermakna dia betul-betul ingin saya mendapatkan jodoh untuk dia. Dia ingat saya ni ejen cari jodoh apa. Cukuplah dengan muka ejen pendaftar lesen SKEM dan ejen HPA yang dicop di dahi saya. Cukup. Yang tu takpa sebab niaga dan cari wang biaya. Ini buat pening kepala. Bukan apa, cari jodoh untuk seseorang yang menetapkan syarat yang agak rigid adalah sesuatu yang agak menyusahkan. Di mana hendak cari seorang gadis yang cantik, berilmu agama, warak dan orang Kelantan pula. Ingat boleh petik jari macam tu ke.. cakap bolehlah buat tengok.

Memang ramai di Akademi Islam tu.. tapi pengalaman mengajar saya. Saya sebelum ni tak pernah minta tolong orang carikan. Memanglah sayapun agak popular di UM kerana aktif dalam persatuan tapi itu bukan saham saya dalam mendapatkan seorang calon isteri. Tidak mudah. Yang saya dapat sekarang pun tidak begitu mengenali saya ketika belajar dulu. Tapi pernah juga satu kuliah. Itupun dia yang beritahu. Nak harapkan saya kenal gadis-gadis sekuliah, yang sama-sama tutorial sajalah. Satu kuliah ramai takkan saya nak perhati sorang-sorang, nantikan apa pensyarah kata, orang lain kata.. kan?

Semalam dia telefon lagi tapi sudah lewat senja hampir waktu berbuka. Saya tidak angkat kerana waktu itu sedang bertadarus di rumah Uncle Sultan. Kalau ya pun SMS sepatah tanya boleh telefon ke tidak. Saya pun lupa hendak tanya lepas tu kerana hambatan berbuka dan bergegas pulang untuk terawih, kena jadi imamlah pula.

Telah saya maklumkan usah bergantung harap sangat kepada saya kerana saya sudah kurang ke dalam UM seperti sebelum mengajar. Masa tidak mengizinkan. Memang saya ada beberapa orang kawan, tapi bab mempertemukan jodoh bukan perkara biasa yang boleh sambil lewa seperti borak-borak biasa. Perlu bertemu mata bagi saya kalau dekat-dekat sama-sama di kota. Paling tidak panggilan telefon kalau si gadis sudah di desa. Dan, yang gadis pun mahu lihat si jejaka yang ingin mengambilnya menjadi suri, kacakkah dia. Machokah dia. Warakkah dia. Bukan hak sebelah pihak dalam memilih walaupun wanita ramai mereka pun ada kepentingan terhadap lelaki. Lelaki bagaimana yang layak untuk mereka. Atau yang mereka rasa sesuai dan kena dengan citarasa. Jangan diingat ya wanita bukan hanya memandang pada rupa. Wanita yang bijak menilai segala-gala. Dan wanita yang bodohlah yang selalu silap memilih yang mengakibatkan jalan hidupnya tidaklah jernih seperti diharapkan. Sama juga lelaki, jika hanya memilih rupa semata tanpa mengambil kira aspek-aspek lain, silap-silap anda kan merasa pahit bila mengecap gula!

Saya bilang sama dia, jangan hendak dipilih yang bertudung labuh saja. Yang pertama-tama tengok pada akhlak dia. Risik dia adakah dia menghormati orang tua. Kalau isteri hormat orang tua kita maka berbahagialah kita. Bab tudung kita boleh didik. Kita boleh suruh. Saya kata lagi, semuanya bergantung pada kita para suami. Saya bawa contoh seorang kawan saya yang kini bakal menimang cahaya mata pada Syawal bakal menjelma. Isterinya sebelum menjadi isterinya bertudung tiga segi, tapi sekarang bertudung labuh dan siap berjubah lagi. Apa pula berlaku pada sesetengah gadis yang bertudung labuh tapi dapat suami yang tak suka isterinya pakai begitu... dia setuju apa yang saya kata. Tentang dia berhenti di situ. Saya masih berfikir bagaimana cara hendak carikan dia seorang isteri seperti yang dia mahu. Yang tak tahan... demand tuuuu...


Bakhtiar yang kedua;

Yang ini pendek saja ceritanya. Yang ini saya tak jumpa, dia telefeon saya. Ketika dia telefon saya di SMK Seri Permaisuri, hari pertama melapor dan sedang lepak-lepak tempat duduk yang saya gantikan sementara tuan asalnya dalam pantang. Saya dimaklumkan guru yang saya ganti tu terpaksa bercuti kerana dibuat orang. Hehe..

Yang ni sorang berkempen dalam telefon. Agak lama juga dalam 15 minit gitu. Dalam hati saya cuak bercampur geram akan adanya mangkuk ayun macam tu. Cakapnya laju. Pada awal bicara dia beritahu tentang pakej rescue-simkad Celcom. Encik adalah orang terpilih mendapat panggilan ini dari kami.. begitulah lebih kurang awal mulanya. Manis je dengarnya. Mujur tidak perempuan,kalau perempuan lagi lama saya layan.. haha...

Katanya kalau telefon hilang nombor-nombor telefon akan selamat bila kita tuntut nombor yang sama. Percuma untuk bulan pertama dan RM2.50 bulan seterusnya. Strategi niaga memang awal percuma, macam orang tak tahu. Cuaknya bila dia sambung lagi bicara kempen insuran la pulak. Hampeh betul rasa pabila nada katanya macam nak paksa saya daftar insuran tu. Saya tanya laman web syarikat yang katanya kerjasama dengan Celcom Malaysia. Tak pernah saya dengar nama syarikat tu. Tak masyhur pun.

Macam-macam dia cerita nak tarik perhatian saya. Yang sakit hati dia cerita kalau encik mati besok mak bapak encik bagaimana? Weh bapak aku dah takda dan mak aku ada lapan orang lagi adik-beradik boleh jaga! Tapi saya tak kata camtu pun kat dia. Ingat ni bulan puasa dan dalam bilik guru pula. Lagipun saya ni guru agama. Malulah saya. Saya cuak dia berbicara tentang takdir, tentang jaminan masa depan. Kalaupun saya tidak ambil insuran dia apa dia ingat dia sorang saja ke meniaga insuran? Saya cakap elok-elok taknak ambil. Dan dia macam cuak dengan saya terus letak telefon lepas beritahu – encik kalau berminat encik boleh telefon talian 1-800 dan beberapa nombor yg tak sempat saya tangkap sebab lajunya dia bercakap sebelum gagang itu dihempas. Kalau betul kenapa tidak suruh saya telefon talian tetap yang dia guna untuk memanggil saya. Apa dia ingat saya bodoh, talian hangat tu memang bebas tol tapi kawan saya kata minyak kena bayar sendiri! dan memang saya pernah kena pun.

Tidak lama ada seorang ejen insuran takaful etiqa tak silap saya yang menawarkan skim takaful warga pendidik khas kerjasama dengan NUTP. Saya dengar sekejap penerangan pakcik India itu yang berdiri macam cikgu bagi penjelasan pada cikgu-cikgu yang duduk-duduk di kawasan rehat bilik guru. Dan tidak pula dia memaksa guru-guru supaya mendaftar walaupun dia bercakap sudah lebih dari sejam saya tengok. Dan dalam hati saya, nanti aku posting ok jugak ambil takaful ni dari duk percaya yang dalam telefon yang entah ya entah tak ya.

Tak lama juga tiba SMS yang menawarkan khidmat rescue-simkad. Sekali saya terfikir, macam betul je.. ah.. aku salin dah pun nombor-nombor dlm telefon ni. Tak payah buang duit tiap bulan.. huh


Bahktiar yang ketiga;

Yang ini lagiii pendek. Sebenarnya ini adalah cerita kawan saya apabila dia mendengar perbualan telefon saya dengan Bakhtiar yang pertama tadi. Dia rasa lucu apabila ada juga orang macam tu. Dia pun ceritalah pasal kawan dia bernama Bakhtiar yang sudah tua tapi belum juga kawin entah-entah meninggal sebatang kara. Jenis tersumbat katanya. Haha.. apa-apalah. Tapi konklusinya bukanlah yang bernama Bakhtiar itu tersumbat ya.. kebetulan saja. Sapa-sapapun tersumbat kalau tak kena cara.

Oklah.. selamat menikmati hari-hari terakhir Ramadhan dengan penuh pengertian. Hargailah peluang yang ada ini. Ramadhan tahun depan belum tentu kita jumpa. Renung-renugkanlah dan selamat beramal.

Myblogloglaq