Isnin, September 14, 2009

Sweeping Malaysia? Kamu siapa?

Dua hari lalu di meja makan berbuka puasa di rumah uncle sultan, bersembang-sembang seperti selalu. Tiba-tiba saya tertanya tentang pembantu indonesia mereka yang kelihatan ramai. Dan rupa-rupanya pembantu rumah setiap keluarga yang datang tiap hari berkolaborasi menyediakan juadah berbuka. Saya bertanya tentang gaji mereka. Banyak juga, RM 600. Kemudian tiba-tiba isu terhangat yang merimaskan hubungan indonesia-malaysia timbul. Uncle sendiri bertanya menantunya yang sebenarnya terjadi itu apa kenapa dan bagaimana.

Saya mula menelusuri jaringan maya di laman sesawang penulis-penulis mapan. Dan juga mengikuti perkembangan emosi beberapa rakan. Ramai yang melenting dek kedangkalan segelintir rakyat Indonesia yang gelarkan mereka Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera). Sdr Nassury Ibrahim mengulas tentangnya dengan entri bertajuk sweeping Indonesia from Malaysia. Sila klik kanan dan new tab di sini.

Ada kawan saya mengkeparatkan sekalian orang Indonesia dalam facebook dek insiden bodoh lagi membodohkan ini. Saya membalas kata-katanya dengan mengkritik akan kedangkalannya berfikir memukul rata semua orang Indonesia sedemikian rupa sedangkan yang buat hanya beberapa makhluk mangkuk sahaja.

Tidak adil sebagai seorang siswazah yang diwatikahkan segulung ijazah menghukum orang berdasarkan emosi dan fikir lapis pertama. Tidak adil sama sekali. Seharusnya beliau menggunakan ilmu dan pengalaman yang didapati selama bertahun di alam kampus dengan penuh bijaksana.

Tidaklah cerdik segelintir manusia mangkuk yang melatah tak tentu pasal pabila ada pihak yang tersilap memasukkan budaya tarian mereka dalam beberapa minit promosi pelancongan Malaysia. Saya rasa yang tukang buat iklan tu pun tak boleh nak beza yang tu tarian apa dan dari mana kerana mereka anggap kalau tarian melibatkan orang melayu semuanya sama saja tak kiralah Negara mana. Dan saya rasa alasan mereka kalau mereka dipersalahkan mereka akan berkata – bukankah Indonesia dan Malaysia Negara melayu serumpun? Hah, telanlah hakikat itu sendiri.

Kalau dulu-dulu bolehlah pemimpin Indonesia lantang mengganyang Malaysia. Tapi sekarang zaman sudah berubah. Malaysia sudah jadi Negara membangun yang disegani di rantau asia. Dan rakyat Indonesia sendiri berapa ramai mencari rezeki di Malaysia. Dalam hal ini, Malaysia dan Indonesia saling memberi dan menerima. Itulah hikmah berjiran. Bak kata SBY ‘kita boleh memilih teman, tetapi kita tidak boleh memilih jiran’. (sumber: blog Nobisha)

Agaknya yang bikin onar di sana lupa bahawa sebelum ini Malaysia terlalu banyak menghargai hiburan dan kebudayaan mereka. Dangdut itu asalnya malaysiakah? Bagaimana dengan artis-artis Indonesia yang bagai kambing ceroboh kandang lembu tumpang sekaki makan rumput. Ini hanya analogi, saya tidak kata para artis itu kambing dan lembu. Kalau anda faham begitu apa harus saya buat. Kenapa mereka tidak melenting dan membawa buluh runcing bila cerita indon siang malam main di tv Malaysia. Hanya kerana sedikit tanyangan tarian pendet yang saya pun baru dengar, sudah hendak isytihar perang kepada jiran sebelah menyebelah? Bukankah itu namanya bodoh lagi membodohkan!

Namun begitu saya melihat perkara ini dari satu sudut positif. Dan tidak mahu menyalahkan sesiapa kecuali mereka yang terlibat mengkhinzir-buta. Saya syak semua ini ada dalang yang maha jahat cuba melaga-lagakan serumpun bangsa. Supaya berlaku perang saudara. Paling tidak silaturrahmi harmoni terjalin selama ini renggang dan bermasam muka. Cuma persoalannya siapa? Yahudi? Amerika?

Apa pula gelagat pemimpin kita dan mereka dalam menangani masalah ini. Bolehkah kita mengguna istilah ‘satu nusantara’ untuk mengeratkan hubungan sesama melayu seperti satu malaysia menjadi gagasan walaupun ia tidak ubah seperti mengolah semula perpaduan antara kaum dalam format baru?

Sebenarnya Islam telah sempurna ajarannya dengan menekankan perpaduan semua bangsa, puak dan kaum. Namun ironinya perjuangan kebangsaan yang diperjuangkan menekankan ketuanan bangsa menyebabkan bangsa lain pun terasa disisihkan.

Begitulah akhirnya apabila kita sebenarnya terlalu menurut akal dan nafsu, bukan Al-Quran dan Hadis Rasul SAW yang mana jika kita berpegang kepada keduanya akan selamat sejahtera dan aman harmonilah hidup kita.

Tiada ulasan:

Myblogloglaq