Sabtu, April 05, 2008

Hanya sebuah puisi

Puisi Malam Sabtu

Malam ini aku tersentuh amat
kesan rentetan beberapa hari lalu
yang datang padaku dan berlalu
seperti angin hadir menyampai pesan
bahawa sekian banyak kenangan
dan nostalgia mengimbau dalam kotak ingatan
menerawang dalam tiap ruang fikiran
bahawa hari esok menjelang
kita kan pasti mencari sinar baru
untuk menyuluh masa akan datang.

Sebenarnya dalam dadaku tiada lagi ruang
untuk aku terus menerus merasa riang
dan setiap nafas yang aku hirup sewaktu pagi
menjadi racun tatkala hadir dinihari
kerana sekian lama aku berhenti
mencari udara yang lebih segar
di ruang angkasa yang aku berlegar.

Dan sekali lagi aku merasakan
malam ini akan bertemu siang
sebelum puas aku menikmati dakapan malam
yang mengulit lenaku sehingga
tanpa aku sedari aku bermimpi di dalam mimpi.


Seperti malam-malam sebelum ini
aku berselimut kain cadar yang dibekal ibu untuk
membungkus aku tatkala tidur
bimbangkan sejuk dan nyamuk menggigit
kerana kata ibu nyamuk kota raya bahaya sekali
dan pesan ibu juga
“kita orang susah mesti belajar dari kesusahan,
biarlah tidak senang kalau senang itu,
melupakan kita kepada Tuhan”

Aku bisa sendu kerana rindu
namun aku lebih terkedu jika pesan ibu
menjadi angin lalu
dan aku akan menyesali
saat bayu berbisik-bisik pilu
dan menganjing-anjingkan aku.

Malam ini malam sabtu
semoga esok apabila ayam mobilfonku berkokok
aku akan bangun dan sedia menghadapi hari baru
dengan harapan langit masih lagi biru
dan matahari masih terbit seperti dulu.

Teratak Dayasari, UMKL.
5 April 2008.

Tiada ulasan:

Myblogloglaq