Sabtu, Oktober 11, 2008

Bertamu di Teratak Pena











Bertamu di Teratak Pena*,

bersama sahabat sesastera sebaya,

Zamzuri Mustapha.



Lewat kami tiba

meski sudah terburu-buru

memburu waktu

yang sentiasa cemburu.



Hanya tahu Teratak Pena

sekitar Dewan Bahasa dan Pustaka,

maka tawakal padaNya

semoga ketemuinya.



Syukur dipanjatkan,

kami akhirnya tiba jua

jenuh berpusing-pusing mencari jalan

meski sudah nampak

seawal mampir menghampiri.



Bertamu di Teratak Pena

inilah kali pertama

meraikan aidil fitri

dalam suasana deklamasi puisi

oleh penyair ternama

dan bait-bait puitisnya

penuh makna dan berisi.












Bertamu di Teratak Pena

adalah satu ruang

yang memberiku peluang

mengenali penulis-penulis mapan

yang mantap dan matang

seperti SM Zakir dan Shamsuddin Othman

juga penulis-penulis veteran

seperti Ismas Saring dan Kemala

yang sedang meniti usia yang

semakin senja.











Aku menjamah Laksa Johor

nampak asing kerana ini kali pertama kulihat

tapi dua mangkuk juga kuranggah

sebab sedap dan nak jumpa payah

sedang Zamzuri perlahan-lahan

mengunyah lemang berlauk rendang

sambil melayan sembang

dengan rakan seangkatan

seorang gadis Jawa Sabahan

juga pensyarah di jabatan

kukira dia juga seperti kami

bercakap KL versi Kelantan.



Walau lewat bertandang

namun kami awal pulang

lalu menghulurkan salam

tanda persaudaraan sesama Islam

dan persahabatan dalam kesusasteraan

semoga rahmat dan keberkatan

nikmat kesihatan dan bahagia kehidupan

terus bercucuran

...bagaikan hujan.


*Rumah Pena.

-Beraya di rumah pena bersama Zamzuri Mustapha (pemenang tempat kedua Akademi Sastera musim pertama)

Ahad, September 14, 2008

Hadiah Ramadhan - Untukku

Alhamdulillah, Dewan Sastera edisi September menyiarkan karya yang saya nukilkan dan hantar lewat Mei yang lalu. Meski saya sedari karya ini disiarkan dalam bahagian puisi Tunas Cipta pada minggu lepas, namun baru rasa hendak muatkan di blog yang tak seberapanya ini. Saya sedari karya ini disiarkan setelah menziarahi sahabat yang juga orang sastera - Mohd Zamzuri Mustapha, pemenang tempat kedua Akademi Sastera yang baru saja berlalu. Kebetulan pula bulan ini saya lupa hendak membeli Dewan Sastera pada awal bulan. Jadi lambatlah sikit tahunya...

Puisi ini saya hasilkan tatkala menemani Kapten Peter Dunggi menghantar isterinya ke Hentian Puduraya - selepas subuh. Isterinya ingin ke Melaka untuk selesaikan urusan apa entah. Kapten Peter pula baru lagi pindahkan anak isteri dan rumahnya sekali ke Kuala Lumpur, maka jalan ke Pudu dia tak biasa. Ketika ini waktu latihan. Jadi bila dia ajak saya temankan dia awal-awal pagi maka satu kesempatan bagi saya kerana tidak perlu baris pagi untuk melapor. Haha... ramai kawan-kawan ingat saya sengaja 'menuang' tapi hakikatnya ini juga satu arahan - menguji kejujuran dan kesetiaan kepada pemimpin. Kapten Peter adalah pegawai latih baru menggantikan Kapten Mazalan yang membimbing Siri ke-27 sejak peringkat satu. Kapten Peter mengambil alih pertengahan semester kedua Intermediate @ tahun dua.

Hampir setengah jam saya menulis bait-bait puisi ini ketika menunggu dalam kereta. Kapten Peter menghantar isterinya di terminal. Mujur semasa ilham datang saya bawa bersama buku catatan. Pagi itu tulis, pagi itu juga siap. Tak edit-edit lagi dah. Balik latihan malam tu taip, beberapa hari lepas tu hantar. Beberapa bulan selepas tu - bulan ini, terbit dalam sisipan Tunas Cipta - Dewan Sastera. Ini adalah puisi ketiga terbit dalam Dewan Sastera sejak puisi pertama disiarkan bulan Mei tahun lepas. Satu kepuasan bagi saya apabila karya terbit dalam majalah atau akhbar. Sebagai penulis muda yang baru bertatih dalam lapangan sastera, banyak lagi yang perlu belajar dan tidak boleh patah semangat meski banyak karya yang dihantar menjadi kertas lapik sahaja. Mungkin karya tidak begitu bermutu dan menuntut saya menulis dengan lebih gigih dan memerlukan saya menambah pembacaan. Setakat ini hanya puisi yang saya hantar. Dua buah cerpen hanya menunggu masa yang sesuai untuk dihantar. Lagipun printer sedang dalam kerosakan sekarang.. uhuuuu....

Ini adalah hadiah yang kecil. Saya mengharapkan sebuah hadiah yang lebih besar... Apa ye... entahlah. Hanya Tuhan Yang Maha Tahu!


Lebuh Kehidupan

Sudah lumrah manusia banyak
bertungkus lumus untuk hidup
namun tidak bersedia, untuk mati.

Di lebuh kehidupan ini
sarat dengan manusia
dengan keinginan bertali arus
mengejar segenggam fulus
yang beterbangan di udara hangus
demi kesinambungan hidup
sesuap nasi anak isteri
atau hanya sekadar
melibur diri-sendiri.

Di jalan dunia yang luas dan lurus
belum menjanjikan akan tiba destinasi
di jalan sempit dan berliku
ramai pula yang kecundang
kerana lelah yang menyelirat
diracuni nafsu amarah.

Jejak yang menapak
ikhlaskanlah diri
demi redha ilahi.


Hasbullah Haji Mohamed
Hentian Puduraya
22 Mei 2008, 6.25 pagi.

Ahad, September 07, 2008

Nostalgia Ramadhan

Setiap kali kehadiran Ramadhan tentunya menggamit nostalgia zaman pucuk sedang menghijau. Zaman remaja yang berlalu tentunya menggamit rasa rindu. Alangkah masa yang berlalu...takkan kembali lagi!

Terkenang zaman muda yang penuh semangat tatkala tiba Ramadhan al-mubarak. Meski agak liat untuk bangun sahur menghadap juadah yang sudah terhidang. Berbeza dengan sekarang yang akan tiba masa giliran masak sahur. Ye...sekarang zaman sudah berubah, dunia makin maju. termasuklah diriku..huhu.. perut makin maju.. haha..


Zaman remaja dulu.. ye.. dulu remaja.. kerana sekarang umurku sudah 25, ku kira umurku sudah dikira dewasa. Sekarang kebanyakan kawan-kawanku juga sudah dewasa meski sekali-sekala bersikap seperti remaja bahkan keanak-anakan. Kehadiran Ramadhan cukup berbeza dulu dan sekarang. Amat kurasakan. Amat...amat... Tambah berbeza pula suasana sekarang di Kuala Lumpur, malam yang terang dengan neon dan dulu setiap malam di kampung tetap bergelap, hanya lampu suluh menerang jalan. Kadang-kadang hanya cahaya bulan. Bahkan kadang-kadang meraba jalan dalam gelap hendak ke surau.

Dulu tiap kali tiba Ramadhan, selalu aku dilantik jadi Bilal di surau. Dengan suara lantang maka aku tidak memerlukan mikrofon. haha... betul.. x caye? x caye udah... Maka akupun menjadi igauan si anak dara...hahaha.. yang ni bohong - rekaan semata-mata...hehe...

Semalam aku teraweh di Masjid Ikhlasiah, Pantai Dalam. Ramai anak muda duduk-duduk kat luar. Mesti tak sembahyang bila duk sembang-sembang. Ish langsung tak macam aku masa muda-muda dulu. Pergi surau sembahyang. Adakah sebab mereka anak kota maka mereka boleh meliarkan diri. Datang masjid sekadar mendengar arahan ayah ibu. Sama seperti arahan supaya ke sekolah. Pergi sekolah tapi duduk kejap panas punggung kemudian ponteng.

Ramadhan... aku merindui zaman yang telah berlalu
menjadi nostalgia mengusik kalbu
sesungguhnya kerinduan ini belum terubat
namun masa yang berlalu tetap berlalu
berlalu menjadi kenangan
dan nostalgia indah dikalbuku

Bukit Angkasa, Kuala Lumpur.

Selasa, September 02, 2008

Ahlan Wasahlan Ramadhan Kareem...

Ramadhan kembali lagi. Madrasah Tarbiah paling ampuh dan terbuka untuk seluruh umat. Hanya manusia yang tidak tahu menghargai sahaja yang mempersiakan peluang keemasan ini. Sebuah lagu nasyid menceritakan secara ringkas dan padat tentang Ramadhan. Lagu kumpulan Hijjaz yang sering berkumandang saban bulan puasa sama ada di radio, televisyen mahupun dari komputer saya sendiri (“,). Liriknya begini:

Bulan Ramadhan bulan yang berkat
bulan rahmat dan bulan utama
pahala digandakan doa diterima
bulan Lailatul Qadar yang istimewa…

Kebanyakan orang sedia maklum akan kelebihan Ramadhan malah mampu memberitahu orang lain pula. Namun sejauhmana pelaksanaan diri-sendiri hanya Tuhan yang Maha Tahu. Ramai orang mampu berpuasa tapi ramai juga orang yang hanya tahu menahan lapar dan dahaga. Selain itu – ah, tak apa...


Telah saya temui ramai orang yang bersikap tak apa. Mempermudahkan perintah Tuhan. Telahpun Tuhan memberi kemudahan lalu dimudah-mudahkan. Telah diberi keringanan namun diringan-ringankan.

Tak kurang juga umat Islam yang saya temui menjadikan Ramadhan hanyalah sekadar sebagai satu sambutan tahunan dan aktiviti tradisi keluarga. Entah di mana penghayatan nilai agama Islam dalam diri. Isteri, anak dan cucu dibiarkan tidak bertudung. Tak tahu menutup aurat. Anak-anak dibiar tidak mendapat didikan agama sewajarnya. Alahai... duniawi sekarang sedang menghambat kita menjauhi tebing ukhrowi!

Jumaat, Ogos 08, 2008

Tahniah graduasi!

Tahniah kepada sahabat2 universiti Malaya yang graduasi pada minggu ini. Setelah tiga atau empat atau lima atau beberapa tahun di uni.malaya akhirnya Berjaya menggenggam segulung ijazah. Saya? insyaAllah ada setahun lagi. Tahun depan grad jika diizin Allah.


Sebuah puisi yang saya nukilkan buat seorang kawan, ditujukan juga buat kawan2 lain…
(setelah diedit untuk posting ini)

salam tahniah, untuk segulung ijazah
tahniah juga kerana berjaya
selepas usaha dan hempas pulas
segala daya usaha

cuma... ingin memberi sedikit nasihat
juga kepada diri sendiri
ombak menggulung menerjah
tabahlah...
ribut cabar menggugah
kuatlah...
godaan duniawi berbisik
beringatlah...
kerana kefanaan duniawi ini
tak kekal
dan fantasinya nisbi membuai

indahnya dunia... sementara
kerana hidup adalah cuba-cubaan
dan manusia itu adalah lupa-lupaan
dan kerana itu semua
maafkan jika ada tersalah kata
tersilap lidah bicara
selama kita bertemu dan bersua

sekali lagi.. tahniah graduasi!

6 Ogos 2008
makmal komputer,fakulti pendidikan ;)

Myblogloglaq