Sabtu, Disember 05, 2009

Kisah waris sedara mara

Ketika arwah cik masih ada, beliau pernah membawa saya sekali berjumpa dengan Wok Mud (arwah dia dulu sebelum Cik). Beliau tinggal di Pondok Jabi, dekat dengan Besut tak silap saya. Wok Mud namanya sebenarnya Mahmud, anak sulung Abdul Rahman atau Deraman, datuk saya sebelah Cik. Sebab itu orang memanggil datuk saya Pak Mamud. Kalau orang Arab, disebut Abu Mahmud. Saya tidak sempat melihat datuk saya. Tidak tahu pula tarikh beliau meninggal. Datuk panggilan kepadanya Pok Wo. Nenek pula Mok Wo.

Itulah kali pertama dan terakhir saya melihat Wok Mud. Tika tu saya meningkat remaja. Tingkatan berapa saya lupa. Sebab tu Cik bawa saya, bukan adik lain yang masih tak mengerti apa-apa. Sejak itu semangat untuk mengenali sanak saudara lain meresap dalam tubuh saya. Saya rasa ingin menjejak dan mengenal waris sedara mara yang terputus hubungan. Terlalu banyak batasan yang memisahkan kami. Masa dan tempat menjarakkan. Tiada kemudahan pihak ibu dan bapa salah satunya. Maklumlah, orang susah keretanya banyak termasuklah pemandunya. Cuma lesen kepala agung sahaja yang kurang.

Bulan lepas pula saya bertemu sepupu yang paling tua, anak sulung Wok Mud. Kalau dulu Wok Mud terlalu uzur dek sakit tua, pun begitu juga Abang Wi. Wok Mud matanya tak boleh celik dan bergerak pun mengengsot. Ingatan juga kurang. Namun Abang Wi cuma kencing manis dan buah pinggang. Bicaranya jelas dan ingatannya masih kuat. Beliau bercerita tentang kisah silam, tentang Cik adik beradik yang menjadi kawannya ketika kecil. Cik lebih besar darinya. Abang Wi kawakan Pok Nik Husin dan dan Pak Lah. Berebut kelapa condong depan rumah datuk. Pokok kelapa yang menjadi kuda. Zaman itu apalah yang ada sangat.

Bertemu dengan Abang Wi pun di hospital UKM-tak jauh dari SMK Seri Permaisuri tempat saya jadi guru ganti, dengan jasa Abang Di, anak sulung gemulah Poknik Husin. Kata mak, mujurlah dia masuk hospital boleh juga jumpa. Kalau tidak manakan boleh jumpa sebab Abang Wi orangnya sibuk sentiasa. Saya senyum saja mendengar kata mak. Ada logiknya juga.

Abang Wi antara yang bitara dalam keluarganya. Belajarnya di luar negara pada zaman awal merdeka. Tapi saya tak tahu apa sebenar kerjanya. Entah apa projeknya hingga sibuk benar.

Abang Wi menceritakan impiannya. Dia bercita-cita menghimpunkan seluruh keluarga anak beranak Pak Mamud di sebuah rumah tepi pantai Melawi. Rumah tradisi seperti yang pernah dia huni dulu. Supaya anak cucu merasai suasana yang pernah beliau alami. Saya ceritakan pada abang sulong saya tentang cerita impian Abang Wi. Jawabnya bersahaja, itu cerita lama. Cerita lama... kalau dia kenal Abang Wi lebih lama, cerita itu memang cukup lama.

Saya tidak mahu mengharap, tetapi kalau benar impiannya bukan sekadar impian, biarlah jangan biarkan ia hanya sekadar impian. Saya juga mengimpikan suatu hari nanti saya mengenali semua saudara mara waris waras saya dalam suasana yang harmoni dan gembira. seperti impian Abang Wi. Tapi kuat saya rasakan impian ini mungkin tidak akan menjadi nyata...

Tiada ulasan:

Myblogloglaq