Ahad, Disember 06, 2009

Realiti yang fantasi

Awal mula pertama mula, maaf dipinta andai ada yang terasa dengan apa yang akan saya luahkan ini, kerana ia adalah jeluak hati saya yang sesiapa berkenaan dengannya akan terasa jua kalau tidak banyak pun, sedikit.

Luahan ini sebenarnya agak klise, sudah banyak yang meluahkan maksud saya. Tidak puas hati dengan rancangan realiti tv. Realiti yang bagi saya hanyalah fantasi. Melampau-lampau hingga membuatkan saya cuak. Komen jurinya. Nyanyian pesertanya bolehlah berkira, tapi kasihan, budak-budak lagi sudah diajar begitu. Besar nanti tak tahulah.

Saya perhati, masyarakat kita memang sudah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain kerana pentas dan tempat duduk dalam dewan atau auditorium sudah setaraf dengan kebanyakan negara maju. Pemikiran dan selera juga berubah-ubah seiring dengan pemodenan dan globalisasi yang didendangkan dan berdengung di sana-sini. Namun apa yang malang, kebanyakan orang terjerumus dalam gaung istilah ‘hedonisme’ dan pembaziran emosi. Menyanyi dan menari menjadi kebiasaan. Kalau yang kita lihat di kaca tv sudah sedemikian, apatah lagi yang tidak ditayangkan. Kalau tidak sekarang pun akan datang. Bukan hendak bersangka buruk, tapi firasatnya kuat begitu. Firasat itu sebenarnya adalah pemerhatian kepada kebiasaan. Bukan rasa-rasa yang lahir dari perasaan prasangka.

Saya sendiri menonton juga idola kecil 2. Saja hendak lihat anak kepada seorang kawan yang dulu saya tengok kecil sekarang sudah besar panjang. Mak dengan isteri saya pun tengok. Lagipun Majalah 3 baru habis. Drama entah apa-apa, jadi tengoklah TV9 dihatiku itu. Kakak saya yang minat Arwah Sudirman mungkin akan memuji budak-budak ini kerana pandai bawa lagu dengan baik dan penuh penghayatan. Memang sedap lagu-lagu Sudirman. Saya dan kawan-kawan PALAPES pernah menggunakan ‘Pelangi Petang’ sebagai lagu perpisahan dengan jurulatih kami, Sarjan Rosli yang berpindah ke Pulau Pinang. Memang menyedihkan. Menusuk-nusuk kalbu hingga begitu memilukan. Huhuhuhu... Kami memang sayang jurulatih kami itu walaupun beliau layan kami macam anak tiri... hihihi...

Yang paling saya menyampah ialah di akhir rancangan, tak ubah dengan mana-mana rancangan realiti tv yang lain. Moyok macam kucing diherdik tikus bila menunggu pengumuman siapa yang akan disingkirkan. Pakat-pakat menangis bila diumumkan. Alahai, lebih dari berpisah takkan berjumpa semula. Macam apa entah. Audien dalam studio pun tumpang semangkuk sepinggan secawan. Inilah yang saya maksudkan sebagai pembaziran emosi. Perlukah kita menangis tersedu sedan hanya kerana disingkirkan dalam sebuah realiti tv? Banyak perkara yang sepatutnya mendapat simpati dan tangisan tetapi hanya dilihat tanpa apa-apa perasaan atau hanya sekadar menyatakan kasihan...

Saya mungkin tidak pandai menegur, tapi apa yang saya pernah belajar, menegur secara berhikmah tidak bermakna kita harus berlemah-lembut dan berbahasa penuh kiasan. Kerana kalau berkias sangat orang tak faham dan kalau terlalu berlemah-lembut orang ingat kita tak tegas. Kalau teguran ada yang terasa, itu lumrah.

Renung-renungkanlah bersama dan selamat termenung...

Tiada ulasan:

Myblogloglaq