Rabu, Julai 08, 2009

Bina insan, yang bagaimana?

Apa yang saya difahamkan, SMKTDH pada tahun ini julung-julung kali mengadakan kem bina insan untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM dan PMR tak lama lagi. Lagi 3 bulan lebih. Tolak masa tiduq (termasuk dalam kelas), makan, mengelamun serta bergayut wa tengok tivi dan macam-macam ragam aneka perbuatan buang masa budak-budak ni tak sampai dua bulan pun masa untuk belajar. Itupun kalau belajar!

Jadi kalau nak naikkan semangat budak untuk semangat menghadapi peperiksaan, rasanya macam nak pasang enjin turbo kat semangat budak yang ramainya dah lemah semangat nak belajar (bahkan takda!). Tapi paling tidakpun, mereka yang sebelum ni putus harapan kalau kena pada gayanya boleh insaf dan berubah 200 peratus!

Definisi

Namun istilah bina insan itu sendiri yang difahami dan konotasinya yang sebenar bagaimana?

Bina insan. Muluk sungguh bunyinya. Seperti juga modal insan. Bina memerlukan arkitek dan jurutera. Modal semacam meniaga pulak. Jadinya insan sebagaimana kita tahu insan itulah manusia. Insan dan manusia terbit dari kata akar sama dalam bahasa Arab – nasiya.

Maka apa yang saya faham bina insan ialah membina manusia yang akan ingat siapa sebenarnya manusia. Maka manusia ialah benda yang lupa. Lupa siapa itu manusia dan lupa janjinya dengan Tuhan sejak tangan yang digenggam saat dalam kandungan rahim terlepas tatkala diteran ibu keluar menjengah mencium bau dunia buat kali pertama. Insan sesungguhnya dalah keterlupaan kerana itu harus diingat-ingatkan. Namun manusia tetap jua sombong bodoh dan angkuh!

Meskipun program selama dua hari satu malam dilihat tidak mampu membina insan dalam diri anak-anak remaja yang ada dalam kawakan itu goyah iman dan akidahnya, namun bagi saya sekurang-kurang sekolah telah berusaha membantu.

Stigma

Stigma adalah perkataan muluk juga. Sedap disebut. Tapi ia adalah istilah negatif yang sepatutnya tiada dalam kamus hidup masyarakat bertamadun. Stigma dalam masyarakat terhadap sekolah bermacam-macam. Di sekolah ini tidak terkecuali. Lebih dikenali sebagai sekolah yang banyak masalahnya. Stigma ini memberi perspektif negatif kepada warga sekolah, terutama murid. Murid yang baik menjadi malu jika sekolahnya bagaikan dicapmohor besar sebagai sekolah bermasalah, terutama disiplinnya.

Lebih malang hanya kerana beberapa orang yang bikin onar, tapi seluruh warga dipandang sinis. Sedangkan sekolah terbina kerana adanya masyarakat. Tanpa masyarakat maka tiadalah sekolah, kerana sekolah itu adalah keperluan masyarakat. Dan mengapa masyarakat harus melayan sekolah sedemikian rupa? Jika dari sudut ini masyarakat sudah gagal membantu pihak sekolah maka secara tuntasnya mereka telah membantut pembinaan insan itu sendiri. Jika itupun sudah gagal, apa lagi mahu dibincang tentang modal insan jika insan pun gagal dibina!

Ketempangan

Sungguh saya kesali masyarakat hari ini yang semakin bejat dan tempang dalam berjalan sebagai komuniti yang harmonis. Kita menyaksikan manusia hari ini terpaksa mengejar-ngejar keuntungan dunia yang sedikit dan tanpa disedari dan diinsafi terlepas dan tercicir keuntungan sebenar yang menanti di akhirat.

Allah Tuhan yang satu dan esa menjanjikan janji manis buat mereka yang taat kepada-Nya dan juga janji pahit buat yang ingkar dan kufur. Maka ketahuilah janji Allah itu maha pasti dan maha tepati janji. Telah Tuhan ingatkan manusia dengan memberi ujian atau balasan di dunia. Namun hanya sesetengah manusia sahaja yang insaf. Ada yang langsung menjadi kufur kerana rapuhnya iman.

Ketempangan ini terus menjadi-jadi dek pemimpin yang tempang dalam memimpin. Meletakkan nafsu di depan akal lebih dari segala-galanya. Menginjak-injak hukum Tuhan yang mulia yang tak lain hukum Tuhan adalah untuk kebaikan manusia juga. Sepertilah juga arkitek atau jurutera yang tahu kekuatan atau kelemahan binaan atau ciptaannya. Hanya Allah sahaja yang maha tahu apa yang baik dan apa yang buruk untuk makhluk ciptaan-Nya

Kerjasama

Dalam membina insan untuk dijadikan modal untuk generasi masa depan, seharusnya ada kerjasama jitu semua pihak. Usah lagi saling menuduh jari menyalahkan orang lain. Cuba kita lihat ke dalam diri kita sendiri.

Kembali ke dalam diri, apakah yang telah kita buat dalam memberi sumbangan kepada anak-anak generasi zaman ini dalam menyediakan mereka supaya menjadi generasi bestari dalam segenap segi. Usah lagi tenggelam dalam selut retorik politikus yang hanya cakap tapi dia sendiri belum tentu faham apa yang mereka cakap.

Sama-samalah kita berubah menjadi lebih baik insyaAllah.. usah lagi beretorik berlapik dan hipokrit plastik, kerana itu semua adalah ciri manusia munafik!

Tiada ulasan:

Myblogloglaq