Selasa, Jun 02, 2009

Empat Minggu Latihan Mengajar

Para bakal guru di Hari Guru SMKTDH

Tak terasa sudah empat minggu saya jalani latihan mengajar di SMK Taman Dato’ Harun. Minggu ini kalau dikira minggu kelima, namun cuti sekolah 2 minggu menyebabkan latihan secara otomatiknya terbantut. Mungkinlah juga salah satu dari latihan. Iaitu latihan cuti sekolah. Latihan mengatur cuti dengan bijaksana. Haha. Tapi latihan cuti tidak begitu relevan buat manusia lelaki bujang seperti saya dan ramai lagi yang terkial-kial cuba menamatkan zaman berpoya-poya ini. ~maksud saya, zaman yang masih boleh ke sana-sini sesuka-suki tanpa terikat dengan insan bergelar isteri. Alaahai..

Bidang perguruan memanglah pilihan hati nombor satu saya, bukan askar. Kalau tak saya tak pilih sampai empat pilihan berturut-turut masa isi borang UPU dulu. Tapi askar tetap minat dan hobi saya. Sebab itu saya masuk PALAPES. Namun ramai yang kata saya lebih sesuai jadi tentera. Mungkin sebab imej saya yang tegap dengan rupa paras yang tegas dan garang. Memanglah, kalau saya tidak melarik senyum akan nampak garang dan bengkeng semacam. Namun demikian saya seorang yang ceria dan suka juga senyum. Suka buat lawak juga. Pandangan pertama orang akan melihat saya seorang yang garang. Tapi bagi yang pernah berkawan atau belajar dengan saya, tidaklah seperti yang dibayangkan.

Minggu pertama saya mengajar, ada dua orang murid yang tanpa segan silu ketika berselisih ‘eh garanglah cikgu baru ni’. Mungkinlah sebab saya tak senyum masa tu. Entahlah, mungkin masa belah mulut tika kecil bayi nak cukur dulu ayah saya taruh banyak asam gelugur. Kalau taruh banyak kurma dengan madu mungkin lainlah kot. Elok juga begitu kan..haha. tapi.. tapi.. kalau saya ‘ambil baris’ atau pakai baju askar, tak payah la buat lawak dengan saya terutama saat getir yang bukan sekadar memerlukan keseriusan dan ketegasan, bahkan suara yang paling tinggi juga. Jadi, sesiapa yang terlibat dengan saya masa itu usahlah ambil hati. Bak kata pepatah askar – kehendak perkhidmatan. Kadang-kadang terpaksa diaplikasi dalam kegiatan luar askar juga. Bila keadaan memerlukan saya berbuat demikian. Aduuhai..

Bagi saya, mengajar adalah sesuatu yang seronok. Bak kata Tuan Sabariah (Bidadari dari Timur) – kita harus bahagia dengan pekerjaan kita. Kalau tak silaplah. Lagipun buku tu dah di tangan bakal bidadari timur saya.. ehem..

Tika kaki jejak tanah Beris Kubur Besar, tempat membesar bapa saya dan daerah kebanyakan waris-waras saya – saya menanam azam ingin menjadi seorang guru. Berbeza dengan sekolah rendah semasa cikgu besar masa tu yang berjebang bertanya sorang-sorang nak jadi apa maka saya bangun jawab dengan tegas dan yakin “saya nak jadi askar cikgu!”. Bagus.. bagus.. yang beginilah yang kita nak. Kata cikgu besar yang ingat-ingat lupa namanya. Anehnya juga saya masih ingat sesetengah kenangan lama sedangkan saya mudah lupa banyak perkara yang baru dilalui. Mungkin dulu kurang tekanan, dan sekarang banyak sangat yang kena fikir dan kena ingat.

Jumaat lalu sekolah adakan sambutan hari guru. Kawan-kawan ada yang dapat banyak hadiah. Terutama guru GSTT yang memang dah lama mengajar. Tapi, ada juga yang jadikan guru sebagai kerja pra-kerjaya. Bermakna guru bukanlah kerjaya utama. Tidaklah hendak dikatakan dia tidak minat menjadi guru. Saya percaya bila dia bekerja sebagai penyelidik kelak pasti akan merindui saat menjadi guru. Rindu pada telatah kerenah murid. Rindu pada gurau senda teman sekerja. Rindu pada narwastu sekolah yang khas. Tiada di tempat lain.

Meladeni karenah murid yang bermacam ragam perangai. Mungkinlah sesetengah guru yang tak tahan dengan perangai murid akan mengata budak macam setan dan haiwan. Tapi harus diingat kata-kata guru tak ubah kata-kata ibu bapa yang merupakan doa. Walaupun sekolah yang saya jalani latihan sekarang memang masyhur dengan budak-budak yang berlagak samseng, tapi saya lebih suka anak-anak yang tidak sombong bongkak kerana kekayaan. Kadang-kadang timbul rasa kasihan dengan anak-anak yang menjadi mangsa golbalisasi sosial. Terjebak dengan bermacam perkara tidak baik yang diistilahkan oleh kerajaan sebagai gejala salahlaku. Latarbelakang keluarga yang rata-riti bukanlah berada. Dalam kelas belakang adalah seorang yang bapanya jadi kerani bank. Yang lain, ada bapa sudah pencen, ada bapanya pemandu lori, ada yang kerja dengan lori sampah bandaraya. Kawasan sekolah itu berada di kawasan orang pendapatan rendah. Baik sedikit dari setinggan. Dan memang kebanyakannya yang asalnya dulu penduduk setinggan yang bernomad kerana ops setinggan sifar, demi membersihkan wajah kota yang berjerawat.

Masih ada 6 minggu lagi. Jumaat ini pula bengkel refleksi di ILIM selama tiga hari, hingga hari ahad. Hari ini mesyuaratnya. Memang ada yang tidak berpuashati dengan tarikh ini. Namun bagi saya, ia adalah di luar lingkaran kemampuan manusia untuk meningkah takdir dan tidak mampu memuaskan hati semua orang. Saling faham-memahami akan situasi dan kerjasama serta toleransi itu penting. Dalam menganjurkan program yang penting atau kurang penting sama sahaja; dedikasi, komitmen dan pengorbanan semua pihak. Penganjur sudah membuat yang termampu dan terbaik baginya. Sebarang kekurangan dan kekhilafan adalah perkara biasa selagi kita bergelar manusia.

Apapun, saya mendoakan para sahabat Sarjana Muda Pendidikan Islam dan Sarjana Muda Sains Pendidikan selamat menjalani latihan mengajar walau di mana dan suasana sekolahnya. Masing-masing ada cabaran yang tersendiri. Sekolah elit dengan kepandaian dan kebongkakan sesetengah pelajarnya (yang ini saya akan ulas kemudian). Sekolah biasa dengan kebiasaan pelanggaran disiplinnya. Yang penting, mengajarlah dengan gembira dan berlapang dada. Tanggungjawab mendidik anak bangsa sesungguhnya mulia dan berat timbangannya. Mengajarlah dengan ikhlas dan penuh kasih sayang.

Ingatlah kata-kata Syeikh Abu Saif – erti hidup pada memberi. Dan katanya brader kala jengking – apa yang anda beri, anda akan dapat balik!

Tiada ulasan:

Myblogloglaq