Ahad, Jun 28, 2009

Nakal tak bermakna jahat

Semalam kena ‘relief’ sebuah kelas tingkatan empat. Kelas majoriti pelajar India. Waktu yang saya ganti pula mata pelajaran Sivik, guru India juga pengajarnya. Dan waktu ini dipisahkan antara India dan Melayu kerana Melayu mengambil Pendidikan Islam.

Setengah jam sebelum saya masuk kelas guru itu mendapatkan saya dalam bilik guru dan mengajak saya berbincang di luar. Sedikit pelik juga. Kenapa mesti di luar?

“Cikgu lepas ni relief kelas 4 KI kan?” cikgu dan pelajar India membiasakan panggilan cikgu kepada saya, bukan ustaz seperti cikgu dan pelajar Melayu lain.

“Ya saya, kenapa ya cikgu?” saya bertentang mata dengan cikgu India yang mungkin dalam 50 tahun umurnya. Lemah-lembut bicaranya. Melihat gaya pula kalau cikgu macam ni budak nakal tak makan dek saman.

“Saya terpaksa keluar sekejap lagi hendak ke sekolah rendah anak saya untuk ambil kad kemajuannya. Jadi begini cikgu, kelas tu kelas budak India. Cikgu nak masuk kena bawak itu rotan kerana budak-budak jahat, terutama yang lelakinya.” Saya sedikit tersentak. Jahat?

Perbincangan tak lama. Dia pun nak cepat. Saya masuk bilik guru dan meminjam rotan cikgu Rezal. Lucu juga rasa bila ada pelajar kenal rotan ni, “Ni rotan cikgu Rezal ke cikgu?” haha.. lagipun cikgu Rezal memang suka bawak rotan ke kelas.

Arakian saya ke kelas tersebut dan seperti yang dikhabarkan maka memang begitulah rupa. Pada awal memang tidak terkawal. Budak berjalan berlari dan bergurau. Gurau biawak kawan saya kata kalau macam ni. Kapur hancur dilempar pada muka kawan. Tak dapat tidak saya terpaksa mengugut dengan rotan. Budak diam sikit. Tapi ada sorang semacam tak puas hati. Saya bersangka baik muka dia memang macam tu. Lagipun saya tak marah dia sebab dia tak terlibat dengan geng nakal.

Seorang bersembang dengan saya. “Cikgu belajar di mana cikgu?”

“UM, kenal kan?”
“Ya.. kenal.. Kakak saya UKM, cikgu Bahasa Inggeris.. saya pun nak masuk U macam kakak saya” ada nada bersungguh. “Lagi sorang kakak saya minggu depan lapor masuk UUM..”tambahnya lagi.

“Awak nak jadi apa?” saya menduga. Orang lain tiada yang menyampuk.

“Saya nak jadi engineer.. tapi Matematik saya 50 saja..” ayat semacam pasrah.

“kalau Awak nak jadi engineer kena belajar sungguh-sungguh lah.. matematik, sains, bahasa Inggeris..”

“Wajib lulus Bahasa Melayu kan?”

“Mestilah.. tak lulus tak dapat sijillah.” Setelah habis setengah jam sahabat saya datang menggantikan.

Saya kembali ke bilik guru dengan dalam kepala memutar-mutar filem semasa berbicara dengan cikgu India yang terpaksa meninggalkan kelas kerana urusan di sekolah anaknya. Duduk sambung makan rojak jamuan perpisahan seorang guru GSTT yang dapat tawaran DPLI UPSI. Beberapa ketika saya terfikir, budak-budak ni haruskah dipanggil jahat?

Ah.. pelajar nakal di mana-mana tapi nakal tak bermakna jahat!

Tiada ulasan:

Myblogloglaq