Sabtu, Jun 27, 2009

Bukan cerpen saya.. haha

cerpen ini bukan cerpen saya.. tapi kerana ada nama saya maka saya abadikan dalam blog ini.. cik mazmi ni kenal saya ke ek.. huhu. kebetulan Yusman pun senior saya

Cerpen: Sahabat yang terjebak

Oleh Mazemie Maz

“KAUCAKAP senanglah. Kau tak duduk tempat aku ....!” sergah Hasbullah, apabila aku bertanyakan keadaannya. Aku pun tak sangka dia sanggup berkasar dan menyergah aku sebegitu, setelah lima tahun kami tak berjumpa.

“Aku sebenarnya .…”

“Sudahlah Yusman. Kau pun sama macam ummi aku. Macam walid aku. Macam adik-adik aku ....!” sergah Hasbullah lagi.

“Sebab mereka tak nak tengok kau terus macam tu ....!” Aku bersuara setelah terkedu seketika.

“Macam apa? Syaitan ....? Iblis ....?”

“Hasbull ....! Kenapa cakap macam tu ....?”

Hasbullah menggenyeh-genyehkan hidungnya berkali-kali. Macam penagih dalam ketagihan. “Kenapa kau nak bersyarah dengan aku? Kenapa? Jahat sangat ke aku ni ....?”

“Hasbull ....! Siapa kata kau jahat?” aku cuba memujuk dan mengatur langkah mendekatinya.

“Heh ..., kau diam boleh tak ....?” suara Hasbullah semakin tinggi. Jari telunjuk kanannya serentak menuding ke arahku. Sementara jari-jari kirinya menggenyeh-genyeh hidungnya lagi berkali-kali. Ternyata dia benar-benar marahkan aku. Dia seakan tidak menerima kehadiranku yang bertujuan untuk menegurnya supaya menjadikan dirinya kembali seperti sebelumnya.

Hasbullah kemudiannya bermundar-mandir di bawah pokok rendang di tepi sungai di belakang rumahnya.

Sejak seminggu pulang bercuti, aku baru berkesempatan berjumpa dengannya. Sebelum ini, berkali-kali aku pulang bercuti ke kampung, tak pernah pula ternampak kelibatnya. Sedangkan aku berhasrat sangat untuk bertemu dan bertanyakan khabarnya. Aku sesungguhnya tidak menduga dia terjebak dengan dadah sehingga sejauh itu.

2 HASBULLAH, sahabat sekampungku. Perhubungan kami teramat baik sejak dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah. Kerap bermain-main bersama-sama. Memikat burung bersama-sama. Meronda-ronda berbasikal sekeliling kampung pun bersama-sama. Dengan seorang lagi sahabat kami yang juga sepupuku, Naswir. Kami sering terhibur dengan gelagat nakal dan gila-gila Hasbullah.

Semasa di sekolah rendah, Hasbullah kurang cerdik. Tidak sebagaimana aku dan Naswir. Di dalam kelas, antara kami, sejak dari darjah satu hingga darjah enam, hanya aku dan Naswir berlumba-lumba belajar untuk mendapatkan tempat pertama dalam kelas pada setiap penggal. Kalau aku dapat nombor satu dalam kelas, tempat keduanya pasti milik Naswir. Begitulah juga sebaliknya.

Semasa di sekolah rendah lagi, aku dan Naswir sudah pandai menulis dan membaca jawi. Kelebihan itu akan memudahkan aku dan Naswir untuk belajar bersolat. Hingga aku dan Naswir selalu mendapat pujian daripada Ustaz Omarul.

Hasbullah kurang pandai menulis dan membaca jawi, walaupun dia anak kepada Ustaz Omarul yang mengajar mata pelajaran pendidikan Islam di sekolah kami.

“Lepas sekolah rendah nanti, kamu nak sekolah di mana, Yusman?” Ustaz Omarul ingin tahu jawapanku.

“Saya nak ke sekolah menengah biasa saja, Ustaz,” jawabku teragak-agak.

“Kenapa nak masuk sekolah menengah biasa? Kenapa tak nak belajar di sekolah menengah aliran agama?” Ustaz Omarul sedikit kurang senang dengan jawapan yang kuberikan.

“Entahlah Ustaz ....”

“Ustaz suka kalau Yusman masuk sekolah agama. Kemudian jadi ustaz .…”

Aku sekadar tersengih.

Ustaz Omarul memang berhasrat melihat aku menyambung pelajaranku ke sekolah aliran agama. Impiannya mahu melihat aku menjadi seorang ustaz sepertinya. Itu yang pernah Ustaz Omarul luahkan kepada ayahku.

“Yusman tu cerdik budaknya. Belajar pandai, sembahyang pandai. Baca dan tulis jawi pun boleh. Jarang budak sebaya dia boleh baca dan tulis jawi. Saya yakin dia boleh jadi ustaz suatu hari nanti,” Ustaz Omarul memuji kebolehanku sewaktu sedang berbual-bual dengan ayahku. Dia kerap mengunjungi keluargaku.

“Saya tak kisah, Ustaz. Saya ikut saja mana yang Yusman suka,” balas ayahku.

3 MUNGKIN sedikit kehampaan terpacak di pundak Ustaz Omarul apabila dia mendapat tahu yang aku menyambung persekolahanku ke sekolah menengah biasa. Sama seperti anaknya, Hasbullah, tetapi Naswir yang berminat memasuki sekolah menengah aliran agama.

Naswir dan Hasbullah bagaimanapun tidak ke mana juga. Selepas tamat tingkatan lima, masing-masing membawa haluan sendiri.

Naswir kiranya bernasib baik kerana berjaya menjadi kerani di pejabat daerah di tempat kami. Tiga tahun selepas itu, Naswir menjalankan perniagaan menyewa kereta secara sambilan. Hingga kini, selain perniagaan sewaan keretanya semakin berkembang maju, dia juga memiliki sebuah pasar raya mini di kampung kami. Dia memang seorang yang berwawasan walaupun tidak berpelajaran tinggi. Dia berminat dalam bidang perniagaan.

Aku pula dapat melanjutkan pengajian di Kuala Lumpur dan terus bekerja di kota raya setelah tamat pengajianku selama tiga tahun. Kini sudah hampir tujuh tahun aku menjadi penghuni kota yang penuh dugaan dan cabaran ini.

Sementara Hasbullah pula tenggelam punca dalam kehidupannya. Kerana berkawan dengan tidak keruan, dia akhirnya terlibat dengan penagihan dadah. Astaghfirullah-al-azim ....! Aku agak terkejut juga mendengar perkhabaran malang mengenai sahabatku itu daripada adikku, Yusmar.

“Dia dah teruk sangat dah. Kalau tak dapat duit nak beli dadah, bukan rumah saja dibalingkannya dengan batu, ummi dan walid dia pun sanggup diugut dengan pisau,” cerita Yusmar melalui telefon setiap kali aku menghubunginya.

Aku sekadar mampu menggeleng-gelengkan kepala. Antara percaya dengan tidak apa yang aku dengar itu.

“Betul, bang. Yusmar tak bohong. Begitulah keadaan Hasbullah sekarang,” jelas adikku itu bersungguh-sungguh apabila aku melahirkan keraguan dengan apa yang aku dengar dari mulutnya.

“Umi dan walid dia macam mana ...?”

“Nak kata macam mana. Sudah kerap benar dia keluar masuk pusat serenti. Tapi masih macam itu juga,” ujar Yusmar lagi.

Pernah tiga tahun lalu, sewaktu aku pulang ke kampung aku sempat berbual-bual dengan Ustaz Omarul mengenai Hasbullah. Ternyata Ustaz Omarul amat terkilan dengan apa yang terjadi kepada anaknya. Dia juga tidak dapat menyembunyikan perasaan malunya kepada jiran-jiran dan seluruh masyarakat kampung sejak penglibatan Hasbullah dengan penagihan dadah yang berterusan itu.

4 “BERSABARLAH, ustaz. Mungkin masih ada peluang untuk selamatkan dia …” ujarku yang cuba menyelami perasaan Ustaz Omarul.

“Ustaz dah puas menanggung malu, Man. Malu dengan perbuatan anak ustaz sendiri,” Ustaz Omarul meluahkan perasaan hatinya.

Aku mengeluh. Turut menumpang rasa dengan apa yang dialami Ustaz Omarul.

“Ustaz mengajar anak orang lain supaya menjadi baik … menjadi manusia berguna …” Ustaz Omarul cuba menahan sebak. “Tapi anak ustaz sendiri yang jadi manusia tak berguna. Sampah masyarakat. Macam mana Ustaz tak malu, Man. Sudah tak tahu di mana lagi Ustaz nak sorokkan muka Ustaz ni ...!” Ustaz Omarul terus meluahkan apa yang terbuku di hatinya setelah sebaknya kembali reda.

Aku turut diburu rasa terharu setiap kali aku menatap wajah Ustaz Omarul. Sebenarnya aku pun tidak pernah menyangka yang Hasbullah boleh terlibat dengan dadah sejauh itu. Sewaktu di sekolah menengah dulu, aku pernah juga cuba-cuba merokok, tapi Hasbullah yang menegahku dengan mengugut akan memberitahu kepada ayahku jika aku teruskan hasratku itu. Disebabkan tegahannya itu aku mencampakkan rokok yang sebatang di tanganku itu ke tepi semak.

Aku dapat menyelami dan menduga hati walid dan umminya. Anak sulung yang diharap sebagai pengganti ketua keluarga setelah ketiadaan kedua-duanya, hidup tanpa keruan akibat terjebak dengan penagihan dadah. Betapa kecewa dan hampanya hati ummi dan walidnya itu.

“Semalam Ustaz Omarul kena serangan jantung,” beritahu Yusmar sewaktu aku menghubunginya di pejabat.

“Apa Ustaz Omarul kena serangan jantung? Kenapa? Parahkah dia?” aku tidak sabar ingin tahu.

“Puncanya kerana Hasbullah .…”

“Hasbullah lagi?” aku tiba-tiba melepaskan keluhan kesal.

“Dia mengamuk. Dia membaling rumahnya dengan batu bertubi-tubi,” ujar Yusmar.

“Sebab tak dapat duit nak beli dadahlah tu?” aku cuba mengagak.

“Huh .… apa lagi. Itulah selalunya. Kalau giannya dah sampai, dia bukannya peduli apa lagi. Minta duit dengan ummi dia untuk belikan dadah. Bila tak dapat, rumah yang jadi mangsanya. Tapi kali ni agak teruk dia mengamuk. Menjerit-jerit … memekik-mekik macam orang hilang akal ...! jelas Yusmar lagi.

5 USTAZ Omarul yang sudah lama menanggung malu dengan perbuatan anaknya itu, sudah tidak tersabar lagi agaknya. Penyeksaan yang ditanggungnya sekian lama telah diterjemahkan melalui jantungnya. Dan khabar yang menyedihkan aku terima, Ustaz Omarul telah pergi buat selama-lamanya setelah koma selama seminggu.

“Innalillahiwainna-ilaihirajiun.”

Dan betapa aku begitu berat untuk menerima kenyataan itu.

Betapa aku turut menumpang sedih dengan apa yang telah berlaku. Lebih mengharukan kerana aku tidak berpeluang menziarahi arwah Ustaz Omarul kerana kesibukan tugasanku. Namun dari jauh aku tidak lupa sedekahkan al-Fatihah buat arwah.

“Sudahlah, Yusman. Kau jangan ganggu aku lagi. Aku lebih senang dengan cara hidup aku macam ni ...!” lamunanku tersentak dengan sergahan Hasbullah yang tiba-tiba terhenti bermundar-mandir di bawah pokok rendang di tepi sungai itu. Sepasang matanya yang layu memandang ke arahku.

Aku dapat tahu yang Hasbullah ada di bawah pokok rendang itu daripada adiknya. Kebetulan aku singgah seketika di rumahnya untuk bertanyakan khabar keluarga arwah Ustaz Omarul.

“Senang apanya, Hasbull. Macam mana kaukata kau senang dengan cara hidup macam tu? Hidup tak serupa orang lain?” balasku dengan suara yang agak tinggi. Memang aku berhasrat sangat untuk bersemuka dengannya setiap kali pulang bercuti ke kampung. Tetapi kesempatan itu tak pernah ada. Ada kalanya aku pulang bercuti, Hasbullah pula berada di pusat serenti.

Tetapi hari itu aku berpeluang berjumpa dengannya. Dia baru seminggu keluar dari pusat serenti. Namun, begitulah selalunya. Pusat serenti tidak pernah mengubah keadaan hidupnya yang tersesat jauh itu. Dia pulih hanya seketika. Kemudian kembali kepada asal. Malah, aku juga agak terkejut apabila dia seakan-akan tidak bergembira berjumpa denganku. Sah, memang akalnya tidak sempurna. Itulah yang dapat aku mengagak. Dia bagaikan tidak pernah mengenali diriku yang juga sahabat karibnya sejak dulu.

Walaupun petang itu aku tidak berpeluang berbicara panjang dengannya, namun aku berjanji akan berjumpa dan bersemuka dengannya lagi. Aku terpaksa pulang ke Kuala Lumpur kerana tugas. Aku masih ingat pesan arwah Ustaz Omarul yang pernah meminta agar aku bersamanya dalam usaha membantu Hasbullah kembali ke pangkal jalan dan kembali menjadi manusia yang sempurna dengan menjauhi dadah dalam kehidupannya.

Aku merasa sedikit kecewa kerana hasrat Ustaz Omarul untuk melihat Hasbullah pulih seperti biasa tidak kesampaian. Dan aku berjanji akan menyambung hasratnya itu.

6 NAMUN sebulan setelah aku kembali ke Kuala Lumpur, aku mendapat khabar yang juga mengharukan. Kali ini khabar yang Yusmar sampaikan agak memeranjatkan juga.

“Bang, Hasbullah dah tak ada lagi. Baru sebentar tadi dia disahkan meninggal dunia.” Begitu pesanan ringkas yang aku terima daripada Yusmar. Ketika itu aku baru saja untuk memulakan mesyuarat mingguan dengan kakitangan di pejabatku.

Mesyuarat aku tangguhkan seketika. Aku terus menghubungi Yusmar untuk mendapatkan pengesahan. “Dia meninggal dunia kerana mengambil dadah berlebihan,” beritahu Yusmar.

“Innalillahiwainna-ilaihirajiun .…”

Kesedihan dan kehampaanku berbaur. Namun aku sedar aku tidak dapat mengatasi takdir Allah. Sesungguhnya takdir Allah itu mengatasi segala-galanya. Semoga roh Hasbullah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman. Amin ...!

Biodata:

MAZEMIE MAZ atau nama sebenarnya Mazmi Muhammad dilahirkan di Kuala Terengganu dan dibesarkan di Dungun. Mula menulis sajak dan cerpen pada awal 1980-an. Sajak pertamanya disiarkan dalam Watan dan diikuti majalah Wanita. Cerpen pertama disiarkan dalam Mingguan Perdana. Novel kanak-kanaknya, Biragas Makhluk Asing diterjemahkan ke bahasa Inggeris.

Karyanya masih mendapat tempat dalam media arus perdana tanah air. Pernah bekerja di jabatan kerajaan selama empat tahun sebelum menyertai syarikat penerbitan akhbar dan majalah tanah air bagi melebarkan minat dalam bidang penulisan. Pernah berkhidmat sebagai editor untuk akhbar dan majalah kanak-kanak, kereta dan motor sebelum membuat keputusan menjadi penulis bebas. Beberapa lirik lagu ciptaannya dinyanyikan sejumlah penyanyi popular tanah air. Novel terbarunya, Kenangan Semalam, sudah beberapa kali dicetak ulang.

Tiada ulasan:

Myblogloglaq