Selasa, Disember 18, 2007

Kadang-kadang kita...



Kadang-kadang kita harus juga tahu sebenarnya kita ini apa sebenarnya....

HANYA MARHAEN

kawan
hidup singkat ini siapa tahu
dalam bahagia sebenarnya bersembunyi derita
dan aku yang masih mencari
kadang-kadang tersadung luka dilembah kecewa

kawan
hidup ini di mana tiada sengsara
melainkan derita sentiasa mencari mangsa
dan engkau yang berdiri di tebing muara
menggamit aku yang masih berenang
berusaha segala daya
merentasi lautan hidup

kawan
aku hanya marhaen hina

hidup bergelandangan di jalanan cinta
menagih simpati Yang Maha Esa.

HASMORA MASNURI
KOTA BHARU.

Isnin, November 26, 2007

Bagaimana Belajar Berkarya? -pendapat saya...

*sebenarnya berkarya atau menulis secara kreatif tidak dapat diajar secara formal seperti dalam bilik darjah. Itu yang saya faham dari kata-kata beberapa penulis seperti yang saya baca dalam ruangan Bimbingan berkarya DBP Online dan juga dari guru saya sendiri- Zaharah Nawawi-semasa bengkel penulisan cerpen pelbagai kaum beberapa bulan yang lalu. Kita perlu banyak membaca pelbagai bahan dan banyak juga membaca karya-karya penulis mantap. Pada peringkat awal kita boleh meniru gaya mereka dan apabila kita peroleh rentak sendiri maka kita akan menghasilkan karya dengan gaya kita yang tersendiri. Begitulah cara belajar berkarya. Jika hendak harapkan belajar berkarya dari A sampai Z mahunya tidak menulis si penulis-penulis. Ramai lagi orang yang ingin belajar menulis, bukan kita seorang. Jadi jika ada penulis mantap yang sudi, relahati dan sukarela memberi kita bimbingan seadanya, berkongsi pengalaman dan memberi petua semampu daya mereka itupun sudah cukup memadai. Dan sebenarnya jika kita sudi meluangkan masa kita mendampingi penulis-penulis mantap, mereka sebenarnya lagi-lagilah sudi menumpahkan ilmu yang ada pada mereka yang seadanya. Yang mana patut penulis yang baru dan mentah seperti saya ini inginkan. Teguran dan nasihat yang diberikan tentulah menjadi azimat yang amat berharga.

di bawah ini adalah antara puisi Masuri S.N dan beliau antara penyair yang menjadi inspirasi kepada saya dalam genre sajak atau puisi.

Satu Rahmat

wangi udara pagi
ada kuresapkan
keharuman mendesak, mencintai
alam dan insan.

bergerak dari tidur yang nyenyak
bangun menatap wajah hari,
sinar ke dalam rahmat-Nya kuingat
hanya begini aku lupa untuk berangkat.

antara jejak di bumi
kadang aku terbang tinggi sekali,
dua kali mengingat apakah mimpi
ada pagi berwajah mengilhami jiwa mencari.

lagi-lagi aku mengucap lapang
terbuka dada menerima hidup satu siang,
duka bahaya derita bukan menghalang
aku hidup satu rahmat mengalami bukan terbuang.


Masuri S.N
Puisi-Puisi Pilihan.

Rabu, November 21, 2007

Masa Sebenarnya apa ya... bagiku- segala-galanya

Masa di Nubariku

Masa itu emas
telah lama kutahu.

Masa itu segala-gala
baru hari ini kutahu.

Masa itu apa bagimu
dalam sanubarimu
tidaklah kutahu.

Masa itu bagiku
emas tak dapat dibeli
segala-gala yang kucari
di seluruh mayapada ini
bekal ke akhirat nanti.


HASMORA MASNURI
20 November 2007
Taman Jaya.

catatan: diilhamkan Allah ketika mendengar ucapan Ustaz Muhsein..

Ahad, November 18, 2007

Sempena Musim Orang Kahwin ni....

.::puisi ni saya nukilkan semasa musim exam semester lepas, masa tgk kawan2 yg 'bahagia'. Tapi hari ni ada sorang kawan saya yg betul2 akan menghadapi hari bahagianya. Tengahari ni (18 Nov 2007) angkat nikah di Kajang: selamat pengantin baru PK Kamarudin a.k.a Din. Semoga bahagia dunia akhirat. Puisi ini bermaksud, berpasang-pasangan itu adalah lumrah makhluk di alam ini. Bumi dan langit, bulan dan bintang, kanan dan kiri, lelaki dan perempuan, suami dan isteri. Hanya Allah sahaja yang satu, Maha Esa, tiada dua, tiada seperti-Nya di dunia ini. Pada-Nya sahaja kita sandarkan cinta. Kerana Dialah Yang Maha Pencinta::.


Musim Mengawan

Beberapa pasangan merpati
terbang seiringan
merpati dua sejoli
yang baru berkawan.

Merpati-merpati itu terbang beriringan
ke hulu ke hilir berteman
mengutip daun-daun yang kekeringan
kerana ini musim mengawan
teman meneman
berpasang-pasangan.

Ini musim mengawan
lumrah hidup makhluk Tuhan.


HASMORA MASNURI
250015 H April 2007.
B.G.D, Dayasari.

Sabtu, November 17, 2007

Kuning Lambang Semangat

.::semangat juang pahlawan::.

Antara warna bendera negaraku
biru merah putih kuning
kuning juga yang aku minat
kerana kuning itu semangat
seperti kuning pulut semangat
yang ibu buatkan untukku dulu
ketika aku ingin bersunat.

Warna kuning aku cinta
kerana kedaulatannya
kerana keindahannya
kerana cahayanya
kerana kekuningannya
yang menguningkan
harapan dan impian.

Kuning itu lambang semangat
yang pernah membodohkan Tuah
yang pernah membunuh Jebat
yang pernah menghambakan rakyat
yang pernah disimbah darah
dan kuning kini masih payung
yang meneduhkan ummat.


HASMORA MASNURI
Dayasari.

Myblogloglaq