Selasa, November 09, 2010

Sakit

Nasihat saya kepada diri sendiri dan saudara saudari - jagalah kesihatan diri anda sebelum anda dijaga oleh pihak kesihatan.

Saya kini ada sedkit kebimbangan, pabila berat saya masa belajar dulu dari 65kg naik ke 70kg pada tahun akhir. Lepas kawin naik lagi 5kg, pada tahun lepas. Datang ke Sabah perlahan-lahan naik lagi dan sekarang sudah 80kg.

Perubahan gaya hidup dan makan yang ketara sukar dikawal. Disiplin ketika bergelar kadet PALAPES sudah tiada. Berlari dan bersenam tidak lagi menjadi rutin. Makan macam dulu juga, tapi pergerakan semakin kurang. Bergerak hanya nak bekerja.

Saya yakin, kalau saya terus begini dan saudara seperti saya - hanya menunggu masa sentiasa dipantau pihak kesihatan.

kredit gambar

Selasa, November 02, 2010

Siapa Melayu Sebenar?

Jika bercakap dengan orang Bajau, mereka tidak mengaku mereka orang Melayu, tetapi Bajau. Bila bercakap dengan sesetengah orang Jawa, mereka pun tidak mengaku mereka Melayu, tetapi Jawa. Lalu di mana titik tolak dan noktah persoalan ini..?

Apa yang saya belajar; Bajau, Jawa, Bugis, dan banyak lagi etnik merupakan komponen bangsa Melayu. Yang menjadikan perbezaan ialah dialek bahasa setiap etnik. Adapun bagi kes orang Kelantan, tentu ada penjelasan lain selain kajian oleh pakar forensik seperti artikel di atas.

Orang asli pun diistilahkan sebagai Melayu proto atau Melayu Asli dan juga Melayu Jakun. Sedangkan menurut kajian, mereka berasal dari tanah Afrika. Lalu bagaimana mereka bergerak sekian jauh.. adakah wujudnya orang asli berkulit hitam hampir setiap benua mengesahkan teori seperti yang dikemukakan lewat iklan Piala Dunia di Afrika baru-baru ini yang bumi ini asalnya satu benua yang besar sebelum keraknya berpecah dan membentuk benua-benua lain serta pulau-pulau.

Pernah ada orang Melayu sendiri yang mempertikaikan bangsa Melayu ini bahawa bukanlah sebuah bangsa yang asli tetapi bangsa hasil campuran bangsa-bangsa lain. Kata-katanya itu seolah-olah Melayu tidak punya identiti sendiri tetapi dibayangi bangsa lain.

Seperti gambar yang saya ambil dari facebook Roslan Jomel di atas, Melayu moden seperti yang kita belajar dari sejarah, merupakan Melayu deutro, yakni golongan yang kedua datang selepas Melayu proto@asli. Cuma, saya rasa masih ada perdebatan, pertikaian dan persoalan - dari mana kita datang?

Rabu, Oktober 20, 2010

Anak sedara dan perkahwinan muda

Cerita ini bukanlah hendak memalukan sesiapa apatah lagi membuka pekung di dada, sedikit perkongsian untuk iktibar bersama. Dunia akhir zaman yang kita sukar jangkan apa akan berlaku kepada kita dan keluarga kita. Kita sangka kita telah berjaya mendidik anak dan keluarga kita, rupanya sangkaan kita meleset. Harapan setinggi gunug menjadi rata. Sayang melaut bertukar menjadi racun.


Al-kisah maka tersebutlah kisah, dalam perjalanan ke sekolah saya dapat SMS dari kakak saya, dia bilang dia dapat dua menantu saudara bulan ni.. satu dari anak saudara sebelah suami dia (abang ipar saya la tu..) Satu lagi anak saudara kami sendiri! (usah tanya dia itu siapa..uhuu)

Beberapa hari selepas raya anak-beranak abang ipar saya kalut-gelisah-serabut kerana kehilangan anak gadis berusia 14tahun, lari dari rumah. Selepas berjaya dikesan, maka diketahui dia ada kesan 'kena'. Maka yang jantan pun kena tahan polis. Seminggu dapat penginapan dan makan percuma, maka sahihlah keadaan si gadis, maka mereka pun dikahwinkan oleh keluarga kedua belah pihak. Dengarnya yang jantan pun umur 14 jugak. Nah, barulah betul-betul kahwin muda!

Saya yang berada jauh dari kampung ini hanyalah mendapat berita SMS dari kakak. Kadang-kadang apa yang diberitahu tidak begitu sampai. Dapat tahu serba sedikit keadaan di kampung cukuplah bagi saya. Tapi bukan berita ini yang saya nak dengar, perkara dah nak jadi nak buat camana kan..

Cerita tentang anak saudara sendiri ni pun Mak saya cerita lebih kurang saja, lagipun belum lagi dia pergi melawat tanya khabar sebenar. Saya di Sabah ini menunggu cerita terkini, kronologi cerita yang penuh emosi barangkali. Yang diketahui sedikit ialah yang si anak gadis ni suka ke rumah lelaki ini, dalam keadaan bagaimana tidaklah diketahui, mungkin ada ke mak bapak laki tu ataupun takda. Abang ipar saya ini orangnya tegas, maka nampak nak sangat dia kasi kahwin saja anak bongsunya itu, walau anaknya baru saja habis periksa PMR.

Apapun saya doakan kedua-dua pasangan muda itu berjaya mengharungi kehidupan rumahtangga yang penuh cabaran dan dugaan. Bukan senang untuk seorang remaja yang masih terlalu mentah melewati denai liku rumahtangga.

Tidakkah anda terfikir bahawa perkahwinan di usia muda boleh mengatasi masalah buang bayi. Memanglah mungkin akan berlaku masalah lain akan datang, tetapi sekurang-kurang anak yang dilahirkan nanti mempunyai secebis maruah yang bermaruah kerana beribu dan bapa.

Ada dua kata-kata orang tua-tua dulu yang boleh kita fikirkan bersama;

1. Jaga anak perempuan lebih sukar berbanding jaga kerbau sekandang.

2. Mek dah besar lebar, awe dah besar panjang, mek tok sobar nok berlaki, awe lorat nak bini... (kata orang tua Kelate)

Rasanya, ahli panel Zuriat Kita di Astro Oasis dua malam sudah tidak sebut pasal perkahwinan muda. Duk bincang cara nak tangani isu buang bayi yang menurut seorang tetamu istimewa sebagai bencana, bukan lagi gejala. Perbincangan hanya di sekitar 'permukaan' tidak mencecah ke dasar, dan mungkin hanya difikirkan setengah pendengar sahaja. Ramai yang tahu akibat dari perhubungan yang haram lagi mengharamkan ini tapi ramai mana yang sedar dan faham akan ayat Allah 'walaa taqrabuzz Zinaa..?'. Fikir-fikirkan dan selamat beramal..

Ahad, Oktober 17, 2010

Bajet untuk rakyat?

Dapatan di bawah saya salin dan tampal dari facebook yg menggunakan identiti Tawau. Untuk tatapan sendiri dan jua berkongsi. Sama-sama kita baca dan berfikir apakah benar ia bajet untuk rakyat seperti yang didendangkan...

Berikut ialah intipati Bajet 2011 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat hari ini:

* Pembinaan projek pembangunan bercampur termasuk kediaman mampu milik bernilai RM10 bilion di Sungai Buloh yang dijangka siap pada 2025.

* Pembinaan projek bersepadu “Warisan Merdeka” dengan menara 100 tingkat tertinggi di Malaysia bernilai RM5 bilion yang dijangka siap pada 2015. (satu lagi projek membazir, rakyat marhaen macam biasa sakit leher tengok bangunan, nak rasa pijak tangga pun belum tentu.. cukup sekadar bangga sajalah)

* Pembangunan Zon Akuakultur Bersepadu di Pitas, Sungai Telaga dan Sungai Padas di Sabah serta di Batang Ai dan Tanjung Manis di Sarawak dengan peruntukan RM252 juta.

* Peruntukan RM135 juta bagi persediaan prasarana asas menggalakkan petani menceburi bidang bernilai tinggi seperti industri sarang burung walit.

* Melanjutkan galakan potongan cukai pendapatan bagi pelabur dan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat dalam aktiviti pengeluaran bahan makanan sehingga 2015. (tapi harga makanan tak pula turun-turun, yang kaya siapa - yang kayap siapa?)

* RM85 juta untuk membina kemudahan infrastruktur bagi membolehkan hotel dan resort peranginan di kawasan pedalaman yang berpotensi menarik pelancong. (oklah tu, spy mereka yg miskin boleh cari makan, kalau bolehlah.. tukang sapu pun oklah)

* RM50 juta bagi membina beberapa laluan pejalan kaki berbumbung di kawasan lingkaran KLCC-Bukit Bintang. (maklumlah orang lalu-lalang sini sama ada pelancong atau anak-anak orang kaya)

* Pembangunan resort bersepadu eco-nature pertama di dunia bernilai RM3 bilion oleh Nexus Karambunai di Sabah bermula tahun depan. (banyak lagi rumah mcm reban ayam di Sabah ni..)

* Pemansuhan duti import ke atas 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan pada kadar 5 peratus sehingga 30 peratus bagi menjadikan Malaysia destinasi utama membeli-belah di Asia. (org tempatan yg kaya-raya..?)

* RM119 juta untuk membangunkan penciptaan kandungan tempatan, hosting kandungan tempatan dan pembukaan saluran baru untuk kandungan.

* Pengecualian cukai jualan ke atas semua jenis telefon bimbit.

* RM850 juta bagi menyediakan infrastruktur sokongan untuk mempercepatkan pembangunan koridor dan wilayah.

* RM411 juta untuk melonjak ekonomi ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi, aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan sebagai landasan peningkatkan aktiviti nilai ditambah dalam setiap bidang ekonomi.

* Penubuhan Unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan RM71 juta bagi tahun depan untuk mengkomersilkan hasil penemuan R&D oleh universiti dan institusi penyelidikan.

* RM200 juta untuk perolehan hasil kreatif seperti filem, drama dan dokumentari keluaran tempatan yang berkualiti tinggi.

* Kadar cukai perkhidmatan dicadang dinaikkan satu peratus kepada enam peratus untuk menjamin kesejahteraan masa hadapan negara.

* Cukai perkhidmatan juga dicadang dikenakan ke atas perkhidmatan penyiaran TV berbayar. (naik lagi la siaran Astro kang, kesian orang Sabah, takda Astro tak tengok TV la depa.. Astro kaya camtu jugak..)

* Meningkatkan penguatkuasaan dan pengauditan serta memperluaskan liputan ke atas semua pihak yang sepatutnya membayar cukai bagi memantapkan kutipan hasil.

* Menyusun semula dan memperkukuhkan aspek pendidikan dan latihan dengan belanja mengurus RM29.3 bilion untuk Kementerian Pelajaran, RM10.2 bilion (Kementerian Pengajian Tinggi) dan RM627 juta (Kementerian Sumber Manusia).

* Menubuhkan “Talent Corporation” di bawah Jabatan Perdana Menteri pada awal 2011 untuk membangunkan pangkalan data tenaga kerja berkepakaran serta menjalin kerjasama dengan jaringan bakat di seluruh dunia.

credit: 15 Okt (Bernama)

farock: apa pun aku harap projek dan macam-macam yang di janji kan oleh PM akan terlaksana...nampak nya rakyat akan mendapat keselesaan bajet 2011.


TEKS UCAPAN BAJET 2011

Teks Ucapan Bajet 2011dan Lampiran boleh dimuat turun melalui Portal Rasmi Bajet 2011 www.treasury.gov.my pada jam 6.00 petang semalam . Teks ini juga boleh dimuat turun melalui laman web agensi-agensi Kementerian Kewangan seperti berikut

Jabatan Kastam Diraja Malaysia - www.customs.gov.my

Bank Negara Malaysia - www.bnm.gov.my

Suruhanjaya Sekuriti - www.sc.com.my

Lembaga Hasil Dalam Negeri - www.hasil.gov.my

- orang sekarang lebih suka guna perkataan 'bajet', yang asalnya dari bahasa Inggeris, cakap degar-degar sampai nak tercabut gelegar pasal bahasa kebangsaan.. ooo retorik.. retorik... politik itu boleh jadi baik, boleh juga jadi tahik!

Sabtu, Oktober 09, 2010

Myblogloglaq